Tuesday, March 30, 2010

Gambaran hari terakhir tentang bumi

Gambar hiasan - gempa bumi di Itali

14 Rabiu'l Akhir 1431.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Allah telah memberikan amaran tentang gempa hari Kiamat:

"Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar". (Al-Hajj [ 22] : 1)

Bumi akan bergegar dengan gempa bumi. Suatu bunyi yang bising yang amat dahsyat menyusul selepas bunyi sangkakala lalu diikuti dengan gegaran demi gegaran. Gunung-ganang yang kukuh, bangunan yang tinggi mencakar langit, pokok-pokok dan semuanya yang ada di langit dan di bumi dan di antara keduanya bergoncang secara serentak. Betapa banyaknya gegaran demi gegaran, semuanya berlaku dalam sekelip mata namun akibatnya amat membinasakan. bayangkan kejadian tanah runtuh, bayangkan pula gempa bumi dan bayangkan tsunami. Manusia semuanya panik, dicengkam rasa takut yang amat sangat. Saat itu tidak ada seorangpun yang dapat mengelakkan kejadian tersebut, tidak pula dapat mencari tempat perlindungan. Jika kejadian gempa dan tsunami yang berlaku sekarang masih ada yang selamat, gempa hari kiamat tidak sama halnya kerana kegemparan ini bukan seperti yang biasa kita dengar dan lihat. Allah sahajalah yang Maha Mengetahui. Allah gambarkan seperti berikut:

Pada masa berlakunya tiupan sangkakala yang pertama yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain daripada yang dikecualikan), Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing); Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut, Pemandangannya tunduk gerun. (An-Naazi'aat [79] :6 - 9)

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya, Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): Apa yang sudah terjadi kepada bumi? Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). (Al-Zalzalah [99] : 1 - 5)

Jangan sekali-kali bersikap demikian! (Sebenarnya) apabila bumi (dihancurkan segala yang ada di atasnya dan) diratakan serata-ratanya, (Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah), Serta diperlihatkan Neraka Jahanam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik) dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya? (al-Fajr [89] : 21 - 23)

Dan apabila bumi diratakan, Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya dan menjadi kosong, Serta mematuhi perintah Tuhannya dan sudah semestinya ia patuh; (Maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya). (Al-Insyiqaq [84] : 3 - 5)

Hari terakhir itu sudah sampai, dan tempoh untuk manusia sudah tidak ada lagi. Tidak ada satupun makhluk akan dapat melarikan diri lagi. Magma akan mengalirkan haba dan tindakbalas kimia ke lapisan luar. Dengan sebab itu kemungkinan besar magma membawa kepanasan serta bahan-bahan yang ada dalam perut bumi bersamanya. Sesungguhnya bumi tatkala itu benar-benar akan tunggang terbalik.

Dan apabila kubur-kubur dibongkarkan. (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dan ditinggalkannya. (Al-Infitar [82] : 4 - 5)

Manusia yang tidak beriman akan mendapat balasan yang amat memusnahkan. Allah menamatkan kehidupan dengan persembahan yang amat mengejutkan bagi mereka yang kufur.


Di hadapan mereka adalah kejadian-kejadian yang membuatkan mereka tegamam, takut dan tidak ada perasaan lain selain rasa takut yang tidak terperi dan sesal yang amat sangat.


Ini baru dijelaskan tentang keadaan bumi, belum lagi gunung-ganang, lautan, alngit bintang dan seluruh ciptaan Allah tentang dahsyatnya Hari Kiamat.

Friday, March 26, 2010

telah dekat

10 Rabiu'l Akhir 1431.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Jika kita beriman kepada hari akhirat, kita tentu beriman kepada tanda-tandanya. Dikatakan bahawa Kiamat telah dekat kerana telah banyak tanda-tanda yang kita boleh lihat sekarang ini seperti munculnya pelbagai fitnah, munculnya orang-orang yang mengaku sebagai nabi, hilangnya amanah, merebaknya perzinaan, minum arak, terjadinya gempa bumi di sana-sini, berlumba-lumba menghias masjid dan berbangga-bangga dengannya, riba bermaharajalela dan banyak lagi.

Jika salah satu tanda-tanda besar muncul maka akan muncul tanda-tanda besar yang lain secara berturut-turut umpama biji tasbih pada rantaian yang terlucut disebabkan rantaiannya putus. Jika matahari terbit dari barat maka pintu taubat ditutup dan amal-amal tidak berguna lagi. Saat itu tidak guna lagi keimanan dan taubat kecuali yang telah beriman dan bertaubat sebelum itu.

"... Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya... ". (Al-An'am [6] : 158)

Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya; Dan Neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya; Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya); Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata; Maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. (An-Naazi'aat [79] : 35 - 41)

Hanya kepada Allah Yang Maha Agung, Rabb 'Arasy yang agung, kita memohon agar menjadikan kita orang-orang yang selamat daripada goncangan yang besar, dan termasuk orang-orang yang diberikan naungan pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya. Amiin.

Peringatan buatku..

Monday, March 22, 2010

Suasana Alam Akhirat (48) - Surah Al-Mutaffifin

07 Rabiu'l Akhir 1431.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini dituliskan tentang suasana hari akhirat yang digambarkan dalam surah 83 yakni al-Muthaffifin (orang-orang yang curang/menipu dalam timbangan dan sukatan) mulai ayat 1 hingga 21.

Dalam tafsir Ibnu Katsir dan Ahmad Sonhadji, sebabnya ayat ini diturunkan ialah semasa Nabi Muhammad saw sampai di Madinah didapati orang2 Madinah menyukat dan menimbang dengan cara yang amat buruk. Salah seorang peniaga yang bernama Abu Juhainah mempunyai dua jenis alat sukatan dan alat timbangan, satu besar dan satu lagi kecil. Jika menyukat barangan untuk dibeli oleh dirinya sendiri daripada orang lain dia gunakan sukatan yang besar, sebaliknya jika dia menjual barangannya kepada orang lain digunakan timbangan yang kecil. Jadi dengan ini dia yang mendapat untung manakala orang lain yang berurus niaga dengannya mendapat kerugian.

Dalam ayat pertama ada perkataan al-muthaffifin. Kalimah itu berasal daripada kata akar thaffafa yang bermaksud mengurangi atau menambah.

Oleh itu Allah menurunkan ayat-ayat ini sebagai peraturan dalam proses jual beli atau urus niaga sesama manusia.

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), (1) Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, (2) Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. (3) Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? (4) Pada hari (kiamat) yang amat agung/ besar (huru-haranya), (5) Hari berdiri manusia untuk menghadap Tuhan sekalian alam? (6)


Allah mengancam dengan kecelakaan besar (Neraka Wail) yang amat panas kerana cara mereka berniaga seperti di atas tadi adalah tidak betul. Allah mengingatkan mereka bahawa mereka akan dibangkitkan semula pada hari akhirat dan akan mendapat balasan atas apa yang mereka kerjakan. Di Padang Mahsyar nanti mereka akan merasa panas teriknya matahari jarak sejengkal di atas kepala, manakala peluh mengikut kadar amalan masing-masing, ada yang sampai ke buku lali, ada yang sampai ke lutut dan ada pula sampai ke lubang hidung. Demikianlah dahsyatnya hari kiamat, dan inilah yang dinamakan yaumul 'Adzim (hari yang agung/besar)(1-6)

Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam "Sijjiin". (7) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia "Sijjiin" itu, (8) Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata, (yang menghimpunkan amalan orang-orang yang berdosa). (9)

Allah mengingatkan bahawa perbuatan menipu dalam perniagaan seperti ini adalah perbuatan yang derhaka kepada Allah swt. Oleh itu janganlah dilakukan. Amalan menipu ini akan dicatatkan ke dalam kitab yang disimpan di tempat yang diberi nama "sijjin". Sijjin ini terambil daripada kata as-sijn yang bererti tempat yang sempit. Kitab ini mencatat segala amalan buruk manusia yang derhaka. (7-9)

Perintah menyuruh menyukat dan menimbang dengan adil ini juga disebut dalam ayat 35 surah al-Isra'.

"Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). (Al-Isra' [17] : 35)


Dalam surah al-An'am juga Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu) dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya). (Al-An'am [6] : 152)


Dinyatakan dalam tafsir Ibnu Katsir bahawa Allah swt telah membinasakan kaum Nabi Syu'aib dan menghancurkan mereka kerana telah menipu dalam hal timbangan dan sukatan.

Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan. (10) Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan. (11)

Sungguh dahsyat siksa terhadap orang-orang yang derhaka ini iaitu orang-orang yang mendustakan adanya Hari Pembalasan, lebih-lebih lagi orang-orang yang tidak menghiraukan langsung tanggugjawabnya terhadap agama. (10 - 11)

Dan tiada yang mendustakannya melainkan tiap-tiap orang yang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka! (12) (Sehingga) apabila dia dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata: Ini ialah dongeng orang-orang dahulu kala! (13) Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. (14) Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya. (15)

Orang-orang yang mendustakan hari kiamat ini adalah orang-orang yang engkar lagi sesat. Mereka banyak melakukan maksiat dan dosa. Apabila dibacakan ayat-ayat dan keterangan kepada mereka, mereka akan mengatakan bahawa itu adalah dongengan semata-mata. Allah mengingatkan bahawa al-Quran bukanlah dongengan tetapi disebabkan perangai mereka itu amat buruk, terbit daripada hati mereka yang telah berkarat dan mati disebabkan banyak melakukan dosa, mereka tidak lagi dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Allah mengingatkan, janganlah engkar dan melakukan perkara-perkara yang dilarang, kelak di akhirat tidak akan mendapat rahmat dan keredhaan Allah. (12-15)

Kemudian, sesungguhnya mereka akan menderita bakaran Neraka. (16) Akhirnya dikatakan (kepada mereka): Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu. (17)
Orang-orang yang tidak mendapat keredhaan Alah swt ini kaan dimasukkan ke dalam neraka. Dan mereka akan menderita dengan siksa bakaran api yang amat dahsyat. Dan malaikat akan mengatakan kepada mereka; "Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu". (16-17)

Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam "Illiyyiin". (18) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Illiyyiin" itu? (19) Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata, (20) Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya. (21)

Amalan orang-orang yang yang taat melakukan amal soleh (Abrar) dicatat ke dalam kitab yang tersimpan di tempat "Illiyyin" yakni berlawanan dengan kitab bagi orang-orang yang derhaka iaitu kitab yang tercatat amalan ahli Abrar. Kata "Illiyyin" ini terambil daripada kata al-'uluww iaitu setiap yang semakin naik dan meninggi akan semakin besar dan luas. Kitab ini disaksikan oleh malaiakat yang hampir dengan Allah.

InsyaAllah sambung lagi untuk ayat 22 hingga akhir surah.

Hayatilah bacaan surah ini



Saturday, March 13, 2010

“Akan Kami perlihatkan....


27 Rabiu'l Awal 1431.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Allah SWT berfirman: “Akan Kami perlihatkan secepatnya kepada mereka kelak, bukti-bukti kebenaran Kami di segenap penjuru dunia ini dan pada diri mereka sendiri, sampai terang kepada mereka, bahwa al-Quran ini suatu kebenaran. Belumkah cukup bahwa Tuhan engkau itu menyaksikan segala sesuatu” (QS Fushshilat 53).


“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) ; yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit; dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang menghalangi” (Q.S Al Furqan 53).

Ayat 53 daripada surah Fushshilat di atas menyatakan bahawa Allah akan sentiasa menunjukkan bukti dari masa ke masa kepada generasi mendatang berupa penemuan-penemuan baru supaya mereka sedar betapa agungnya Allah. Allah telah memberitahu akan perkara ini lebih 1400 tahun yang lepas bahawa akan ada penemuan-penemuan baru. Ini juga membuktikan kemukjizatan al-Quran al-Karim.

Jika Anda termasuk orang yang gemar menonton rancangan TV `Discovery’ pasti kenal Mr.Jacques Yves Costeau , beliau seorang ahli oceanografer dan ahli selam terkemuka dari Perancis. Orang tua yang berambut putih ini sepanjang hidupnya menyelam ke pelbagai dasar samudera di seantero dunia dan membuat filem dokumentari tentang keindahan alam dasar laut untuk ditonton di seluruh dunia.

Pada suatu hari ketika sedang melakukan eksplorasi di bawah laut, tiba-tiba beliau menemui beberapa kumpulan mata air tawar-segar yang sangat sedap rasanya kerana tidak bercampur/tidak melebur dengan air laut yang masin di sekelilingnya, seolah-olah ada dinding atau membran yang membatasi keduanya.



Maha Suci Allah yang Maha Menciptakan
'Sungai dalam Laut'




Fenomena ganjil itu memeningkan Mr. Costeau dan mendorongnya untuk mencari penyebab terpisahnya air tawar dari air masin di tengah-tengah lautan. Beliau mulai berfikir, jangan-jangan itu hanyalah halusinansi atau khalayannya sewaktu menyelam. Waktu pun terus berlalu setelah kejadian tersebut, namun ia tak kunjung mendapatkan jawapan yang memuaskan tentang fenomena ganjil tersebut.

Sampai pada suatu hari beliau bertemu dengan seorang profesor Muslim, kemudian beliau pun menceritakan fenomena ganjil itu. Profesor itu teringat pada ayat Al Quran tentang bertemunya dua lautan ( surah Ar-Rahman ayat 19-20) yang sering diidentikkan dengan Terusan Suez .

Ayat itu berbunyi “Marajal bahraini yaltaqiyaan, bainahumaa barzakhun laa yabghiyaan..." Maksudnya: “Dia biarkan dua lautan bertemu, di antara keduanya ada batas yang tidak boleh ditembus.” Kemudian dibacakan surat Al Furqan ayat 53 di atas.

Selain itu, dalam beberapa kitab tafsir, ayat tentang bertemunya dua lautan tapi tidak bercampur airnya diertikan sebagai lokasi muara sungai, di mana terjadi pertemuan antara air tawar dari sungai dan air masin dari laut. Namun tafsir itu tidak menjelaskan ayat berikutnya daripada surah Ar-Rahman ayat 22 yang berbunyi, “Yakhruju minhuma lu’lu`u wal marjaan” maksudnya, “Keluar dari keduanya mutiara dan marjan.”

Padahal di muara sungai tidak ditemukan mutiara!

Terpesonalah Mr. Costeau mendengar ayat-ayat Al Quran itu, melebihi kekagumannya melihat keajaiban pemandangan yang pernah dilihatnya di lautan yang dalam. Al Quran ini mustahil disusun oleh Muhammad yang hidup di abad ke tujuh, suatu zaman saat belum ada peralatan selam yang canggih untuk mencapai lokasi yang jauh terpencil di kedalaman samudera.

Benar-benar suatu mukjizat, berita tentang fenomena ganjil 14 abad yang silam, akhirnya terbukti pada abad 20! Mr. Costeau pun berkata bahawa Al-Quran memang sesungguhnya kitab suci yang berisi firman Allah, yang seluruh kandungannya mutlak benar!

Allahu Akbar…! Mr. Costeau mendapat hidayah melalui fenomena teknologi kelautan. Maha Benar Allah yang Maha Agung.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya hati manusia akan berkarat sebagaimana besi yang dikaratkan oleh air.” Bila seorang bertanya, “Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?” Rasulullah s.a.w. bersabda, “Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran.”

Jika anda seorang penyelam, maka anda harus mengunjungi Cenote Angelita, Mexico. Di sana ada sebuah gua. Jika anda menyelam sampai kedalaman 30 meter, airnya air segar (tawar), namun jika anda menyelam sampai kedalaman lebih dari 60 meter, airnya menjadi air masin, lalu anda dapat melihat sebuah “sungai” di dasarnya, lengkap dengan pohon dan daun-dedaunan!

Sumber Rujukan: SINI

Untuk lihat videonya di bawah ini:







Monday, March 8, 2010

Saksi




22 Rabiu'l Awal 1431,

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-'Aadiyat [100] ayat 9 hingga 11) :

 A009
(Patutkah dia bersikap demikian?) Tidakkah dia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? (Al-'Aadiyaat 100:9 

A010
Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? (Al-'Aadiyaat 100:10)

A011
Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka pada hari itu. (Al-'Aadiyaat 100:11) 

Pada hari itu segala perbuatan makhluk (manusia dan jin) semasa di dunia biar sekecil manapun akan diselongkar, baik perbuatan yang nampak dan nyata mahupun yang tersirat di dalam hati. Allah Maha Mengetahui dan Allah akan membalasnya.

Memang menjadi kebiasaan apabila seseorang hendak didakwa, pastinya ialah apabila orang itu berbuat jahat atau dituduh berbuat jahat, mana ada orang nak dakwa orang yang telah berbuat baik. Jika orang buat baik memang terus dihargai. Mana ada orang nak bawa ke mahkamah dan nak dakwa. Jadi apabila seseorang itu dituduh tentu dia perlukan saksi. Pendakwa akan memberatkan tertuduh manakala pembela akan meringankan tertuduh. Di mahkamah Allah nanti semua saksi akan memberatkan tertuduh. Kenapa begitu agaknya?

Tentulah amalan jahat orang tak akan mengaku, semua akan mengaku buat baik. Jika buat baik tak perlulah saksi sebab tiada siapapun yang akan menafikan jika dia berbuat baik dan Allah Maha Memerhati dan Maha Menyaksikan.

A047
Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): Apa jua yang aku harap kamu berikan kepadaku sebagai upah maka faedahnya tetap terpulang kepada kamu; balasan yang menjadi upahku yang sebenar hanyalah daripada pada Allah dan Dia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-tiap sesuatu. ( Saba' 34:47 ).

Di mahkamah Allah nanti, saksi-saksi semuanya memihak kepada Allah SWT. Diri mereka sendiri yang akan menjadi saksi terhadap perbuatan jahat mereka. Diri mereka sendiri yang akan membenarkan pertuduhan/keputusan Allah. Semua saksi adalah berpihak kepada Allah. Siapa saksi-saksi lain? Tentulah Rasul-rasul, nabi-nabi dan para malaikat, bumi termasuk kulit dan anggota makhluk itu sendiri. Semua yang tertuduh tentu tidak dapat melepaskan diri.

A172

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) daripada (tulang sulbi) mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. ( Al-A'raaf 7:172 )
 A021
Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan). ( Fussilat 41:21 ) 
 A098


A099

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan? ( A-li'Imraan 3:98 ) Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang yang beriman daripada menurut jalan Allah (agama Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya)? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan. ( A-li'Imraan 3:99 ) (Ali-Imran [3] : 98 - 99).  
Sebab itulah Allah ingatkan, kenapa kamu kufur! sedangkan peringatan Allah adalah baik bagi kamu. Mengapa kamu lalai.

Itulah sebahagian daripada ayat-ayat dan keterangan tentang Allah Maha Menyaksikan apa yang dilakukan oleh makhlukNya. Oleh itu pertingkatkanlah rasa takut berbuat engkar kepada Allah.

Wednesday, March 3, 2010

Hidup Vs Mati.. Allah Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu


17 Rabiu'l Awal 1431,

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.
Allah berfirman:
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم

فَٱنظُرۡ إِلَىٰٓ ءَاثَـٰرِ رَحۡمَتِ ٱللَّهِ ڪَيۡفَ يُحۡىِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِہَآ‌ۚ إِنَّ ذَٲلِكَ لَمُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰ‌ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ۬

Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah, bagaimana Dia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati dan (ingatlah) Dia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Ar-Rum [ 30 ] : 50)

Ayat ini apabila Allah mengatakan bahawa Dia menghidupkan bumi sesudah matinya bermaksud bahawa Allah menurunkan hujan, dengan itu bumi yang tandus atau gersang akan jadi subur dengan sebab turunnya hujan itu (bumi jadi subur selepas tandus atau gersang). Ini kerana hujan mengandungi zat yang diperlukan untuk bumi terus subur. Sebagaimana Allah berkuasa menghidupkan bumi yang tandus menjadi subur begitulah juga Allah berkuasa menghidupkan orang yang telah mati. Allah Berkuasa bagi tiap-tiap sesuatu.

Bagaimana bumi disuburkan boleh dilihat dalam surah Qaf ayat 9:

وَنَزَّلۡنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً۬ مُّبَـٰرَكً۬ا فَأَنۢبَتۡنَا بِهِۦ جَنَّـٰتٍ۬ وَحَبَّ ٱلۡحَصِيدِ

Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang diberkati (banyak faedahnya), lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai; (Qaf [ 50 ] : 9)

Dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa air yang Allah turunkan bukan air biasa malah air yang diberkati, dengan sebab air yang diberkati itulah tanah subur, tanaman menghasilkan buah-buahan atau sayur-sayuran atau bijirin yang dapat dituai. Air itu mengandungi pelbagai garam galian yang diperlukan untuk tanah jadi subur dan pokok-pokok boleh hidup subur.

Allah YANG MAHA MENGHIDUPKAN dan MAHA MEMATIKAN boleh hidupkan tanah yang gersang juga manusia yang telah mati, menarik untuk diperhatikan, mari kita dalam ayat 57 & 58 surah al-A'raf:

وَهُوَ ٱلَّذِى يُرۡسِلُ ٱلرِّيَـٰحَ بُشۡرَۢا بَيۡنَ يَدَىۡ رَحۡمَتِهِۦ‌ۖ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَقَلَّتۡ سَحَابً۬ا ثِقَالاً۬ سُقۡنَـٰهُ لِبَلَدٍ۬ مَّيِّتٍ۬ فَأَنزَلۡنَا بِهِ ٱلۡمَآءَ فَأَخۡرَجۡنَا بِهِۦ مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٲتِ‌ۚ كَذَٲلِكَ نُخۡرِجُ ٱلۡمَوۡتَىٰ لَعَلَّكُمۡ تَذَڪَّرُونَ

Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya). (57)

وَٱلۡبَلَدُ ٱلطَّيِّبُ يَخۡرُجُ نَبَاتُهُ ۥ بِإِذۡنِ رَبِّهِۦ‌ۖ وَٱلَّذِى خَبُثَ لَا يَخۡرُجُ إِلَّا نَكِدً۬ا‌ۚ ڪَذَٲلِكَ نُصَرِّفُ ٱلۡأَيَـٰتِ لِقَوۡمٍ۬ يَشۡكُرُونَ

"Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai-bagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur". ( al-A'raf [ 7 ] : 58)

Bagi ke dua-dua ayat di atas kita boleh perhatikan bahawa Allah memberitahu kita bahawa ada dua jenis bumi, iaitu satu yang gersang satu lagi subur, kita bolehlah kaitkan dengan hati atau jiwa kita iaitu ada yang gersang (mati) dan ada yang subur (hidup).

Jika untuk bumi, Allah turunkan hujan dan DENGAN IZINNYAlah bumi itu subur dan tanaman hidup membiak, kadang-kadang tak perlu dijagapun tanaman itu tumbuh dengan eloknya, itu bagi tanah yang subur, sebaliknya jika tanah gersang atau tandus tanaman tumbuh juga tetapi bantut. Air hujuan itu bolehlah diumpamakan hidayah Allah kepada hati.

Jika kita ada tanah biarpun sekangkang kera, apabila tanah itu subur amatlah mudah tanaman tumbuh dengan hasilnya yang banyak, cantik dan elok, tambahan pula dibajai dan diairi serta dijaga daripada makhluk perosak. Begitu juglah Allah umpamakan dengan hati kita, Allah telahpun berikan hidayah melalui fitrah suci kita, jadi jagalah dan suburkanlah hati kita, hindarilah daripada perosak, terutamanya nafsu kita. Kata pepatah 'Arab, nafsu ini ibarat luka pada badan kita, makin digaru makin sedap, tambah lagi garu, hinggalah berkudis. Juga umpama kanak-kanak yang ketagih menyusu selagi tidak diusahakan berhenti anak itu akan terus menyusu biarpun diletakkan jadam, bila hilang pahit kanak-kanak itu masih mahu menyusu. Itulah ibaratnya Allah suruh kita mengawal nafsu kita dan supaya hati kita sentiasa bersih dan sejahtera semasa ingin bertemu denganNya.

Dalam ayat-ayat di atas Allah juga suruh kita perhatikan dan buat perumpamaan iaitu apabila kita berada di dunia, siapkanlah diri kita dengan amalan-amalan yang baik, tak guna jika Allah bagi hidayah umpama Allah bagi tanah yang subur, air yang berkat tetapi tidak digunakan untuk bercucuk tanam. Kelak di akhirat jika kita tidak bersiap sedia dengan amalan baik kita dihidupkan umpama benih yang mengeluarkan tumbuhan yang bantut. Berbeza dengan orang-orang yang beriman dan bertakwa mereka dihidupkan umpama benih yang mengeluarkan tanaman yang subur, hijau dan indah.