Saturday, August 28, 2010

Kiamat Begitu Hampir

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini ingin berkongsi hasil mendengar ceramah "Kiamat Begitu Hampir".










Kiamat begitu hampir! selepas kewafatan Nabi Muhammad saw, tidak ada lagi rasul, inilah salah satu tanda dekatnya hari Kiamat.

Mengetahui kiamat ini bukanlah dengan tarikh kedatangannya, tetapi dengan tanda-tandanya.

Sabda Nabi SAW yang boleh kita rumuskan: "Kiamat itu ada tanda-tandanya; iaitu tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar"

Tanda-tanda kecil itu begitu banyak antaranya:

1) perbuatan zina akan berleluasa, riwayat Bukhari dan Muslim, dan sekarang memang menjadi kenyataan. Sekarang bukan sahaja orang dewasa malah kanak-kanak juga yang dijual sebagai pelacur.

2) Terangkatnya ilmu dan berleluasa kejahilan. (Imam Bukhari dan Muslim). Ini juga merupakan gejala yang sedang menimpa kita. Dalam aspek sayahadahpun ramai di kalangan pelajar PMR 1995, (PAFA - Di Malaysia) gagal begitu juga dalam menyebut rukun Islam dan Iman.

3) Minuman arak berleluasa.(Imam Bukhari dan Muslim). Ini juga berleluasa sekarang, malah ada ahli-ahli sains membuat kajian bahawa ada yang mengatakan bahawa minum satu ada dua gelas arak jenis wine bagus untuk jantung, lalu ramai yang percaya kebaikan arak, dan dari kalangan orang-orang Islam yang jahil juga turut minum arak.

4) Kiamat tidak akan terjadi sehingga binatang buas bercakap kepada manusia, hujung tali cemeti dan sarung kaki bercakap kepadanya serta paha seseorang memberitahu kepadanya perbuatan yang dilakukan keluarganya di belakangnya (imam Tirmizi). Maksudnya ialah bila kita menghampiri kiamat, teknologi begitu canggih. Tentang binatang buas kita cuba nak memahami mengikut apa yang dinyatakan dalam hadis, ada yang mengatakan ia mungkin robot, hujung cemeti ini ialah teknologi seperti telefon, dihujungnya ada antena untuk memberi maklumat kepada kita seolah-olah hujung cemeti bercakap kepada kita. Tentang tali kasut, ada sebuah iklan yang berbunyi : Jangan sangka tali kasut anda tidak menyampaikan maklumat kepada pasangan anda. Rupanya tali kasut itu seperti tali wayar yang dihujungnya ada kamera yang menangkap imej gambar dan akhirnya disalurkan kepada orang-orang tertentu melalui sistem wireless. Jadi apa yang disabdakan Nabi kita tentang perkara-perkara ini sedang berlaku sekarang ini. Ini memang sesuai pada zaman sekarang bila suami atau isteri tidak mempunyai kepercayaan terhadap pasangan masing-masing dan petanda rapuhnya hubungan kekeluargaan.

Yang paling penting bila menceritakan hadis-hadis ini kita nak menyatakan bahawa apa yang nabi nyatakan terdahulu telahpun dan sedang berlaku.

Jadi apa yang perlu kita buat sekarang ialah bersiap sedia untuk mendekati kiamat. Mungkin ada antara kita yang meninggal terlebih dahulu sebelum kiamat. Jadi bersedialah untuk meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Jika kita tidak dihancurkan oleh kiamat, pasti kita dihancurkan oleh sebuah kematian. Jadi walau apapun kita tetap akan pergi untuk menemui Allah. Keimanan kepada hari kiamat ini amat penting. Nabi kaitkan tanda-tanda kiamat untuk menampakkan bahawa ini bukanlah cerita kosong.

Kiamat pasti datang. Bila kita kaitkan dengan tanda-tanda kita akan berkata masyaAllah apa yang dikatakan oleh nabi adalah kalimah yang hak. Tapi kemuncaknya kita nak kaitkan dengan hadis riwayat Imam Muslim: "Bersegeralah kamu beramal soleh sebab akan datang menimpamu bala-bala yang menimpamu bertubi-tubi seperti kepingan-kepingan yang menimpa di waktu malam", dan inilah yang kita sedang lihat sekarang. Nabi telah memberitahu kita bahawa bala, azab dan musibah akan menimpa kita bertubi-tubi seperti waktu malam, gelap, gelap dan gelap, satu bala atau tragedi datang, kita belum dapat selesaikan datang lagi satu bala, kita telah dapat melihatnya di negara-negara Islam seperti 'Iraq dan Afghanistan, Palestin tak habis-habis ditimpa musibah. Ini Nabi dah beritahu dahulu. Kemudian daripada situ timbul krisis makanan, harga minyak naik, orang fakir miskin meningkat di seluruh dunia. Maka bersegeralah mengerjakan amal soleh. Masalah ini tidak selesai dan ini mengaitkan kepada kita bahawa kiamat begitu hampir.

Jadi apa yang harus kita buat?

Yang paling pokok taatilah Allah SWT. Dialah pemberi rezeki, Dialah yang menyuburkan bumi ini, Allah akan bantu kita bila kita beramal soleh.

Dalam keadaan sekarang kita dapati orang ramai begitu berlumba-lumba mencari harta dan tidak mengingati Hari Kiamat. Apakah pendapat anda?

Berlumba-luba mencari harta kekayaan bukanlah satu yang keji, sebab para sahabat ramai yang kaya raya. Kita menemui beberapa hadis sahih yang menceritakan kekayaan para sahabat contoh Abd Rahman bin 'Auf ra, Sa'ad bin Abi Waqas ra. Pada saat Sa'ad bin Abi Waqas sakit teruk, nabi menziarahinya, beliau bertanya kepada nabi tentang hartanya yang banyak, adakah dia boleh mendermakan keseluruhan hartanya untuk kebajikan jika dia meninggal dunia, nabi berkata tidak boleh, kata Sa'ad, ya rasulullah jika saya dermakan 2 per 3 untuk kebajikan? nabi kata tidak boleh, jika 1 per 3, nabi jawab 1 per 3 boleh. Maka daripada sini lahirlah sebuah hukum iaitu apabila seseorang hendak menderma hartanya ketika saat-saat hampir hendak meninggal dunia dia boleh menderma 1 per 3 daripada hartanya. Saad yang kaya raya hendak menderma, nabi kata boleh 1 per 3, kerana nabi berkata bahawa Saad meninggalkan anak pinaknya dalam keadaan kaya raya lebih baik daripada beliau meninggalkan anak-anaknya dalam kedaan papa kedana yang terpaksa meminta-minta.

Hadis sahih ini menampakkan kepada kita bahawa jika umat Islam kaya raya itu adalah bagus, tetapi jangan sampai kita tenggelam dalam kesibukan mencarinya hingga lupa untuk dekat kepada Allah SWT.

Hadis yang berkaitan dengan "Bersegeralah beramal soleh" tadi ada satu lagi sambungannya iaitu berpagi-pagi seseorang yang beriman, berpetang-petang kafir ia, kemudian berpetang-petang seseorang yang beriman yang lainnya, berpagi-pagi kafir ia. Ini adalah berkaitan dengan isu murtad. Inilah bala yang dahsyat menimpa umat dan nabi berkata semuanya ini berlaku disebabkan satu perkara iaitu mereka menjual agama atau mengenepikan agama demi kesenangan dunia. Ini yang kita nak kena jaga, jangan demi kesenangan dunia, agama kita ketepikan. Inilah yang akan mendatangkan musibah, jadi ambillah dunia secara yang berpandukan kepada syari'at seperti yang dilakukan oleh para sahabat.

Kita nak jadi jutawan, silakan tetapi perlu bersyari'at, kemudian gunakannya juga ikut syari'at, contoh di saat melihat ramai orang susah kita hulurkan bantuan, keluarkan zakat, jangan jadi seperti Qarun yang kaya raya yang terkutuk perangainya, mengaku harta itu dia punya tanpa menisbahkan kepada Allah SWT, dia berbangga kerana menyangka semua kekayaan itu hasil usaha dia semata-mata, dia tak hendak memberi kepada yang meminta lebih-lebih lagi berzakat lalu Allah menenggelamkan dia dan hartanya sekelip mata.

Kalau nak jadi kaya contohilah para sahabat dan Nabi sulaiman as. Jangan jadi seperti Qarun.

Dalam kisah orang British yang mewasiatkan keseluruhan hartannya kepada anjing, Allah dah kisahkan dalam surah Al-Kahfi betapa manusia itu hidupnya akan memerlukan anjing cuma dalam cerita ashabul kahfi anjing yang Allah sebutkan itu membantu dalam berdakwah. Nilai sudah berubaha pada akhir zaman ini, Dajjal jika dia bawa api maknanya sejuk , inilah petanda akhir zaman.

Apa yang berlaku pada akhir zaman ini ialah tantang halal haramnya makanan yang kita ambil. Ini berkaitan dengan kejahilan berleluasa dalam hadis yang telah dinyatakan di atas.

Peranan kita pada hari ini ialah kita kena gerakkan dakwah. Yakni kita yang Allah izinkan ada sedikit ilmu, sedikit kefahaman, sedikit keinsafan dan kesedaran kena amar ma'aruf dan nahi munkar (ajak buat yang baik dan tinggalkan yang munkar).

Semua kena buat yang ini berdasarkan sebuah hadis yang nabi kata : "Sesiapa sahaja yang melihat perkara mungkar kena cegah ikut kemampuannya, jika mampu dengan tangan (kuasa) silakan, jika tak mampu dengan tangan dengan lisan (lidah), jika tak mampu juga cegahlah dengan hati, dengan hati itulah serendah-rendah iman. Jika kita tak suka sesauatu kemungkaran hati kita tak suka alhamdulillah, tapi takkan dengan hati sahaja, kena berusaha, sebab itu bila kita bercakap tentang tanda-tanda kiamat dan kita telah melihatnya janganlah sekadar benci dalam hati, kita kena berusaha dan kena yakin bahawa Allah SWT yang akan memberi hidayah. Kita kena buat semua ini terutamanya kepada keluarga kita terlebih dahulu.

Anak-anak kitapun, belum tentu terjamin kelakuan mereka, kita bimbang sebab kita tahu bahawa mereka terdedah dengan banyak perkara. Mungkin di hadapan kita perangainya baik tetapi di belakang kita, kita tak tahu. Harapan kita agar dapat kita dapat terangkan tentang syari'at Islam kepada anak-anak kita . Kita jangan berpuashati sekadar anak-anak mendapat pengetahuan agama di sekolah.

Kita kena menyalahkan diri kita apabila berhadapan dengan keadaan yang begitu bercelaru sekarang ini.

Saturday, August 21, 2010

Detik Terakhir - Sakarat dan Malam Pertama Dijemput Tetamu Terakhir

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pernahkah kita bayangkan diri kita berada di atas katil setelah kematian? atau atas keranda?, apakah yang akan kita lakukan waktu itu?

Bagaimana keadaan detik terakhir daripada nafas kita?

Apakah kita termasuk di kalangan orang-orang yang suka untuk bertemu Allah atau sebaliknya seperti hambanya yang takut untuk bertemu tuannya kerana banyak melakukan kesalahan kepada tuannya?

Pertanyaan-pertanyaan ini perlu dijawab oleh kita semua ketika kita masih hidup.

Apakah kita menghadapi sakarat seperti dalam paparan di bawah ini. Mohon perlindungan daripada Allah.



Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong, (26) Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)? (27) Dan dia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan; (28) Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih. (29) (Maka) kepada Tuhanmulah pada waktu itu engkau dibawa (untuk menerima balasan). (30) (Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka dia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan dia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardukan mengerjakannya)! (31) Akan tetapi dia mendustakan dan berpaling ingkar! (32) Kemudian dia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah. (33) (Wahai orang yang kufur ingkar!) sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat! (34) Kemudian api Nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak. (35)
[Al-Qiyaamah [75] : 26 - 35]


Saya mengambil masa yang agak lama juga untuk menonton youtube yang dipaparkan seterusnya di bawah seperti yang dicadangkan oleh Pena Maya tentang Malam Pertama di Alam Kubur untuk kita menonotonnya. Sejak tarikh N3 di Pena Maya pada bulan Mei lagi, saya dah beberapa kali cuba untuk melihat sampai habis kesemua seperti di bawah, namun saya baru selesai menontonnya hari ini.

Sebenarnya N3 ini sudah lama saya cuba untuk siapkan, alhamdulillah akhirnya pada hari ini dapat dipublishkan..memang mengesankan kita apabila menontonnya.

















Saya telah menyalin sebahagian daripada yang dituliskan dalam youtube siri kedua seperti di bawah:


Bagaimana suasana pada malam pertama di dalam kubur kita?
Bagaimana kedahsyatan siksaannya?
Dosa-dosa apakah yang menyebabkan siksa kubur?
Bagaimana nak dapatkan kematian terindah?

Bayangkan pada hari itu dia begitu bahagia menikmati indahnya alam ciptaan Allah swt, bersama anak dan keluarga penuh dengan keceriaan, hidup dalam kesenangan dan kesihatan yang terjamin, tertawa gembira dengan telatah anak-anaknya yang lucu dan ditertawakan pula oleh anak-anaknya, mereka begitu bahagia.

Lalu tiba-tiba dia disergah oleh satu malam, malam saat dia dijemput oleh kematian.. sakarat.. sakaratul maut..

[dan datangnya sakaratul maut itu benar..
dan itulah yang kamu selalu lari daripadanya..
ditiuplah sangka kala Hari terlaksananya ancaman..
setiap jiwa datang dengan Malaikat yang menjadi saksi..
sungguh kamu lalai dengan kenyataan ini..
maka kami singkapkan pandanganmu pada hari itu hingga penglihatanmu menjadi jelas..]
Surah Qaf [50] : 19 - 22

Malam itulah malam pertama dia berada dalam alam kubur, sendirian, dicengkam oleh kesunyian, tanpa anak isteri dan juga sahabat karib. Inilam malam pertama anak-anaknya menjadi yatim, isteri menjadi janda.

Malam pertama yang memisahkan anda daripada tempat tidur anda yang empuk, menuju dinginnya tanah dan diselimuti kafan.

Inilam malam yang mengusir anda dari rumah mewah dan megah, menempati liang lahat yang gelap dan sempit.. padahal malam sebelumnya anda masih berpesta, anda makan dan minum bersama sahabat karib..

Tiba-tiba anda masuk pada malam pertama dalam kubur, anda menjadi santapan cacing tanah dan serangga.

Pada malam ini anda baru sedar, ternyata harta, keluarga, jabatan/pangkat darjat yang anda bekerja keras mencarinya sehingga lalai daripada mengingati Allah, tiada satupun daripada semua itu menemani anda dalam kubur dan membela anda.

Allah swt berfirman maksudnya : "Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), (1) Sehingga kamu masuk kubur. (2) Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! "(At-Takaasur [102] : 1 - 3)

Inilah malam, episod pertama daripada alam akhirat.

Kuburan boleh menjadi taman syurga atau sebaliknya boleh menjadi satu lubang iaitu lubang neraka.

Inilah kemtian yang datang dengan tiba-tiba, dia datang tepat pada waktu, tidak terlewat barang sedikitpun merenggut nyawa dengan paksa, melenyapkan segala kenikmatan, dia tidak memilih tua ataupun muda, kaya atau miskin, sihat mahupun sakit.. dia datang untuk mengeluarkan manusia daripada putaran kehidupan yang selama ini kita jalani.

Ketahuilah rumah yang kukuh dan megah tidak akan mampu membentengi datangnya sakaratul maut, longgokan wang di bank tidak mampu menyogok malaikatul maut mengundurkan waktu kematian.

Inilah realitinya tentang kamatian, Rasulullah saw pernah bersabda maksudnya, orang yang paling cerdas ialah orang yang sentiasa mengingati kematian dan menyediakan bekal setelah kematiannya.

Marilah kita siapkan lantera bagi menyinari kegelapan pada malam pertama kita di alam kubur.

Demi Allah, tidak ada yang sanggup meneranginya kecuali iman dan amal soleh yang ikhlas.

Banyak paparan yang mencemaskan yang dapat mengingatkan kita kepada kematian serta takut dan akan bersedia.. insyaAllah.. tontonlah dan hayatilah paparan-paparan youtube ini. InsyaAllah meningkatkan keimanan kita.

Kematian adalah nasihat terbaik dan guru kehidupan, sedikit sahaja kita terlengah memikirkan kematian, kita akan kehilangan guru terbaik dalam kehidupan. Sesungguhnya manusia telah memilih bagaimana akhir hidupnya dan pilihan itu ada pada bagaimana manusia itu menjalani kehidupannya. Sebagaimana ia menjalani kehidupannya seperti itulah kemungkinan besar ia akan menghadapi kematiannya kerana sesungguhnya dengan menjalani kehidupan bererti kita sedang berjalan menuju kematian kita.

Marilah kita berusaha belajar daripada para salaf yang begitu takut dengan kematian, mereka takut kalau-kalau kembali kepada Allah dalam keadaan membawa dosa dan kemaksiatan, takut melalui malam pertama di dalam kubur dalam keadaan gelap berlapis-lapis. Mereka inginkan supaya malam-malam pertama di kubur bagaikan malam-malam pertama di dalam syurga yang indah.

Thursday, August 12, 2010

Suasana Alam akhirat (53) - Surah Al-Jaathiyah (berlutut)

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Seperti biasa marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.




Kali ini ditulis tentang suasana pada hari akhirat dalam surah Surah Al-Jaathiyah iaitu surah ke 45 dalam al-Quran Al-Karim.

Al-Jaathiyah

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani


Haa, Miim. (1)

Turunnya Al-Quran ini, dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (2)

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (3)

Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya. (4)

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran. (5)

Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)? (6)

Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa; (7)

Yang mendengar ayat-ayat penerangan Allah sentiasa dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah dia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (8)

Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat penerangan Kami, dia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian keadaannya, akan beroleh azab yang menghina. (9)

Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada Neraka Jahanam (yang disediakan untuk mereka) dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelamatkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar. (10)

Al-Quran ini ialah hidayat petunjuk yang cukup lengkap dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (11)

Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan juga supaya kamu bersyukur. (12)

Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti. (13)

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: Hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah; (disuruh berbuat demikian), kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: Balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan. (14)

(Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu. (15)

Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat dan pangkat kehakiman serta pangkat kenabian dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang yang ada pada zamannya. (16)

Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara agama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara agama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu. (17)

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar). (18)

Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah) dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertakwa (yang engkaulah pemimpinnya). (19)

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka mata hati manusia dan menjadi hidayat petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya). (20)

Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu. (21)

Dan (ingatlah), Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat (untuk membuktikan keesaanNya dan keadilanNya) dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan (baik atau jahat), sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun. (22)

Tidakkah engkau (wahai Muhammad) lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya itu sebagai Tuhannya?: Dan Alllah membiarkannya sesat kerana diketahuiNya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf? (23)

Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata. (24)

Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata (mengenai soal hidup semula sesudah mati), tidaklah ada hujah mereka (untuk menolak kebenarannya) selain daripada berkata: Bawakanlah datuk nenek kami (hidup semula) kalau betul kamu orang-orang yang benar! (25)

Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia akan mematikan kamu, setelah itu Dia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu). (26)

Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan ketika berlakunya hari kiamat, pada saat itulah ruginya orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah. (27)

Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan! (28)

Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)! (29)

Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar. (30)

Adapun orang-orang yang kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada mereka): Bukankah ayat-ayatku telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu, lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan? (31)

Dan apabila dikatakan (kepada kamu): Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya, kamu berkata: Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua dan kami tidak sekali-kali meyakininya. (32)

Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka balasan kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu! (33)

Dan dikatakan (kepada mereka): Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini dan tempat kamu ialah Neraka dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan. (34)

(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia. Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari Neraka dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki kesalahannya). (35)

(Demikianlah ajaran dan peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan Yang Mentadbirkan langit dan Tuhan Yang Mentadbirkan bumi, Tuhan sekalian alam. (36)

Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi serta Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (37)

Huraian:

Di dunia ramai orang yang sombong kerana harta, pangkat bahkan ada yang sombong kerana kekufuran yakni menuruti hawa nafsu. Kesombongan mereka ketara dalam setiap gerak geri kehidupan. Mereka tidak bersyukur dengan segala nikmat yang Allah kurniakan.

Pada ayat 23, Allah SWT menerangkan keadaan orang-orang yang melakukan dosa terhadap diri sendiri kerana menuruti hawa nafsu. Orang-orang ini meninggalkan petunjuk yang baik semata-mata kerana keras hati sehingga Allah menyatakan bahawa mereka menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan mereka.

Pada hari akhirat nanti semua manusia yang sombong itu akan berlutut seperti pengemis. Mereka semuanya akan dihumban ke dalam neraka jahannam. Tiap-tiap umat dari seluruh bangsa manusia akan bertekuk-lutut disebabkan sangat takut melihat peristiwa kiamat yang menggemparkan. Keadaan mereka seolah-olah pesalah yang sedang menanti hukuman.

Mereka dipanggil satu persatu untuk menerima dan melihat kitab amalan masing-masing. Kitab itulah juga menjadi saksi terhadap segala apa yang mereka lakukan semasa di dunia.

Adapun orang-orang yang bertakwa akan mendapat balasan yang baik manakala orang-orang yang kufur akan mendapat balasan sebaliknya.