Wednesday, March 21, 2012

Kasih SayangNya Tidak Bertepi...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum.

Hari itu di TITISAN NURANI ada tertera Mieza-POSCODE 7647 
Tangan terus klik menuju ke sana
Tak sangka selepas itu alamatku dipinta untuk projek Mini katanya
Menerusi emel berhubunganlah pula sambil menanti dengan berdebar-debar..


Pagi ini entah ke sekian kalinya menemui doktor di HTAR
Sekembalinya dari sana terlihat 
Satu sampul surat yang unik
Pasti inilah sampul yang kutunggu dari Mieza
dan memang benar!
Tak sabar untuk membukanya!



Kuning warna sampulnya dan dalamnya ada beberapa foto bunga
Sangat indah ciptaan yang Maha Esa.
Siapakah jika bukan DIA yang dapat menciptanya...
MasyaAllah dan InsyaAllah menjadi kenangan terindah..





A060


Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran (tauhid). (An-Naml 27:60



Benar Mieza! Kasih sayang Allah tak pernah bertepi

Dialah yang Maha Penyayang, lagi Maha Mengasihani.
Dialah juga yang mengizinkan ikatan ini terjadi

Terima kasih tak terhingga buatmu Mieza!
Semoga suatu hari nanti kita diizinkanNya berjumpa
Doaku agar Mieza beroleh keselamatan, kesejahteraan di perantauan
dan semoga sentiasa dalam rahmat kasih sayangNya...Amiin Ya Rabbal 'Aalamiin



Sunday, March 18, 2012

Selamatkah kita daripada siksa kubur?

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di bawah ini saya menyalin sebuah kisah seperti di bawah (rasanya ramai dah baca kisah ini) yang bila membacanya diharapkan kita semua sentiasa muhasabah diri.

Sumber Gambar : Sila Klik untuk kisah di sana jika dirasakan perlu
Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, iaitu:

1. 'Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2. Hasan (anak Fatimah r.a)
3. Husin (anak Fatimah r.a)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w."

Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat daripadaku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas daripada aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat daripada siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya:

1. Menjaga solatnya
2. Bersedekah
3. Membaca al-Quran
4. Memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Empat perkara yang harus dijauhi ialah:

1. Berdusta
2. Mengkhianat
3. Mengadu-domba
4. Kencing sambil berdiri

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua daripada kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca daripada kencing." 


Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas daripada segala macam siksaan dalam kubur, walaupun dia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Kubur juga tidak memandang adakah orang itu orang miskin atau orang kaya, berkedudukan tinggi atau sebaliknya. Ketahuilah bahawa kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Munkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat kedua-dua malaikat tersebut, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."


Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak beramal dan meninggalkan larangan seperti yang dinyatakan. Ini kerana amalnya sendiri yang akan menjawabnya. Jika dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

Paparan nasyid di bawah ini mungkin boleh meningkatkan rasa takut kita kepada kematian dan seterusnya kita memperbaiki amalan kita..




Mudah-mudahan kita dapat berusaha bersungguh-sungguh serta sentiasa memohon pertolongan Allah bagi setiap perkara yang akan kita lakukan.. semoga kita diringankan azab kubur.. amiin 


Thursday, March 8, 2012

Suasana Alam Akhirat (64) - Surah Al-Hajj

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Berpeluang mengikuti rancangan Tanyalah Ustaz di TV9 yang bertajuk Pengisian Rohani. Disebabkan ayat-ayat yang dibaca oleh ustaz ni ada kaitan dengan hari kiamat dan ada gambaran apa akan berlaku di sana nanti; maka saya ambil kesempatan menulis serba sedikit di sini. 

Rancangan Tanyalah Ustaz dimulakan dengan bacaan ayat-ayat daripada surah Al-Hajj mulai ayat 1 hingga ayat 6 seperti di bawah:

Bismillah

A001

Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar(Al-Hajj 22:1) 

A002

Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan(Al-Hajj 22:2)

A003

Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan(Al-Hajj 22:3)

A004

Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka(Al-Hajj 22:4)

A005

Wahai umat  manusia , sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian  manusia ) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.(Al-Hajj 22:5)


A006

(Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.(Al-Hajj 22:6)


Pengisian rohani yang dimaksudkan ialah kita kena isikan jiwa kita supaya sentiasa taat akan perintah Allah.

Kita sepatutnya sentiasa bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk bangun selepas tidur. Malam kita tidur pagi esok kita bangun begitulah rutin kita yang sebenarnya malam kita mati dan pagi esoknya Allah hidupkan kita semula. Maknanya Allah sentiasa bagi peluang kepada kita untuk sentiasa buat taat dan jangan bantah. Bukan semua orang berpeluang hidup sampai umur tua kerana ada yang pergi lebih awal.

Allah suruh kita jadi orang yang bertakwa, kerana hari kiamat itu perkara besar. Pada hari itu amat menghairankan kerana ibu yang menyusukan anakpun terlupa akan anaknya. Pada hal kita tahu ibu amat sayangkan anak. Ibu yang hamil dengan sangat mudah keguguran pada hal kebiasaannya kita dengar amat susah atau sakit ibu melahirkan. Pada hari itu juga manusia seolah-olah mabuk padahal mereka tidak mabuk. Mereka terhuyung hayang. Bayangkan bila berlaku gempa bumi, bagaimana keadaannya. Itu baru gempa bumi.

Allah bagi tahu bahawa kebanyakan manusia suka bantah. Kata ustaz apakan tidak, sebagai contoh Allah panggil waktu subuh ajak solat, ajak menuju kepada kebahagiaan, tapi ramai yang tarik selimut. Allah larang minum arak, main judi ramai yang nak buat. Apa-apa sahajalah yang Allah suruh nak bantah saja. Sebenarnya sejak kita masih bayi lagi Allah ajarkan supaya kita solat dan suruh menuju kepada kebahagiaan. Ayah kita azan di telinga kita. Boleh hayati nasyid di bawah peristiwa waktu subuh (ustaz ada nyanyikan sebahagian nasyid ini) , kata ustaz; jika ayampun boleh terjaga  awal kenapa manusia tidak! Itulah nak menunjukkan manusia ini suka bantah suruhan Allah.


Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi
Berkumandang suara azan
Mandayu memecah sepi
Selang seli sahutan ayam

Tetapi insan kalaupun hanya ada
Mata yang celik dipejam lagi
Hatinya penuh benci
Berdengkurlah kembali
Begitulah peristiwa di subuh hari
Suara insan di alam mimpi

Ayuh bangunlah
Tunaikan perintah Allah
Sujud mengharap keampunan-Nya
Bersyukurlah bangkitlah segera
Moga mendapat keredhaan-Nya
Begitulah peristiwa di subuh hari
Setiap pagi setiap hari.


Bila tak nak ikut apa yang Allah perintahkan maka merekapun mengikut ajakan syaitan. Maka hinalah manusia itu. Allah sebenarnya meninggikan darjat manusia, daripada tanah liat jadi air mani (kotor), kemudian jadi sebuku darah (masih lagi kotor/najis), kemudian jadi daging, kemudian jadilah manusia yang mulia. Tinggal lagi manusialah yang perlu berusaha mengisi rohani agar tetap mulia supaya dapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Di bawah ni pula saya sambung dengan ayat-ayat berikut kerana di sini juga ada kaitannya tentang hari kiamat:

A007
Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur. (Al-Hajj 22:7)
A008
Dan ada di antara  manusia  yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran; (Al-Hajj 22:8)
A009
Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan orang lain dari jalan agama Allah; ia akan beroleh kehinaan di dunia, dan Kami akan merasakannya azab yang membakar pada hari kiamat kelak(Al-Hajj 22:9)

A010

(Dengan dikatakan kepadanya): "Azab yang demikian ini ialah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya". (Al-Hajj 22:10)

A011
Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. (Al-Hajj 22:11)

A014

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; sesungguhnya Allah melakukan apa yang ditentukanNya. (Al-Hajj 22:14)

Allah amat menyayangi kita sebab itulah kita selalu dingatkan tentang huru-hara hari kiamat. Disuruh kita tingkatkan ketakwaan. Setiap saat dan ruang kita kena rebut peluang melakukan kebaikan. Kita sentiasa diingatkan supaya mempersiapkan diri sendiri serta keluarga bagi menghadapi hari yang besar ini.