Saturday, April 14, 2012

Hari Penyesalan



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum

Segala pujian adalah milik Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia.

Allah berfirman:

A021


Makhluk-makhluk itu tetap akan mati, bukanlah kekal hidup; dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan (menerima balasan). (Al-Nahl 16:21)

A048

(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa. (Ibrahim 14:48)

Hidup yang singkat ini hendaklah dipenuhkan dengan memanfaatkan alam maya ciptaan Allah yang pada buminya tumbuh pelbagai tanaman, pada lautannya berlumba-lumba pelbagai jenis ikan, dan jauh di perut bumi dan lautan terdapat pelbagai logam kurniaan Yang Maha Segala Kekuasaan dan Kemuliaan..

Manfaatkanlah segala keindahan dengan lautan kesyukuran. Bergembiralah kerana sang mentari yang dermawan menyinari cahayanya lalu sirna malam yang kelam. Bergembiralah bersama terbitnya hari yang baru. Sematkan rasa di jiwamu akan betapa nikmatnya keseronokan dan kegembiraan.

Namun awas! keseronokan yang dicari jangan sampai melahirkan penyesalan kemudiannya. Keseronokan yang dicari hendaklah bersamanya ada rahmat dan redha Ilahi.

Jangan tergolong dalam kalangan yang tersalah pilih dan tersalah dalam tindakan. Jika demikian akan tenggelam dan karam. Malang bagi yang tersalah buat pilihan kerana akhirnya akan wujud penyesalan.

Tanyalah kepada mereka yang telah melangkah ke usia tua, usia muda yang ditinggalkan dengan menyia-nyiakan ruang dan peluang. Pasti mereka akan berkata dengan nada kesal; jikalah saya masih muda saya akan bersungguh-sunguh dalam setiap lapangan!

Penyesalan di akhirat

A030


Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.(Yaa Siin 36:30)


Hidup ini semua orang tahu tidak berhenti di dunia. Itulah maksud ayat di atas. Kita akan mati dan akan berhimpun di sana.

Manusia akan berada pada situasi penyesalan yang amat dahsyat. Manusia yang tenggelam dalam kemaksiatan dan kelalaian semasa berada di dunia akan lemas dalam lautan penyesalan. Mereka akan merintih, merayu agar dikembalikan ke dunia. Masakan dapat!

Orang-orang yang beriman juga turut menyesal termasuk juga orang-orang yang dipanggil muhsinun. Kenapa begitu?

Mudah difahami jika yang mujrimin merasa menyesal yang amat sangat. Ini kerana mereka telah engkar dan melakukan dosa. Lantaran dosa mereka berhadapan dengan bahaya api neraka.

Muhsinin pula menyesal kerana mereka melihat nikmat syurga. Jika sebelum ini mereka bayangkan kenikmatan syurga dan tingkatan-tingkatanya pasti mereka berusaha berlipatganda. Mereka berasa kerugian.

Peluang dan ruang disediakan amat banyak. Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Umur yang diberi perlulah dimanfaatkan. 

Berseronok, begembiralah! Namun keseronokan yang hakiki ialah ketika fitrah diri yang suci diisi dengan apa yang diredhai Allah.

Ketika kita mentaatiNya ada keseronokan dan kebahagiaan yang tidak ada bandingannya. Andai menderhakaiNya akan terasa resah dan gelisah.

Oleh itu awaslah kedatangan hari penuh penyesalan ini. Penuhilah hidupmu mencari kebahagiaan yang hakiki.

Coretan buat menyedarkan diri penulis yang sering alpa..

Monday, April 9, 2012

BILAH-BILAH KEHIDUPAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pagi ini berkesempatan menyalin sesuatu daripada buku Misteri Alam Arwah dan menonton youtube di bawah.

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah ra dan Abu Musa al-Asy'arie ra bahawa mereka berkata : "Aku bertanya kepada Rasulullah saw bila terjadinya seseorang yang akan meninggal dunia itu tidak mengenali orang-orang di sekitarnya? Baginda menjawab: "Ketika sudah ada kenyataan."

Menurut pendapat ulama' bahawa yang dimaksudkan dengan kenyataan itu ialah nampak Malaikat Maut atau Malaikat. Juga dalam pengertian hadith marfu' yang diriwayatkan oleh Tirmizi bahawa Allah menerima taubat seseorang sebelum waktu "ghargharah" yakni ketika roh telah sampai ke kerongkong (halkum). Jadi pada masa sudah ada kenyataan itu; maknanya roh sudah sampai ke kerongkong. 

Pada waktu itu nampak keadaan seseorang apa yang terjadi pada dirinya sama ada dalam keadaan rahmat atau azab . Jadi pada masa itu tidak berguna lagi taubat. Ini bermaksud taubat yang diterima itu adalah sebelum tibanya malaikat maut dan wajiblah seseorang itu bertaubat sebelum datangnya masa ghargharah dan nampaknya malaikat maut seperti disebut dalam sebuah sajak:

Segeralah taubat
Jangan terlambat
Sebelum maut datang menjelang.
Sebelum lidah kaku kejang.

Nafas-nafas dalam zikir
Zikir dalam nafas-nafas
Itu deposit simpanan
Untuk pelanggan-pelanggan Tuhan.




Hidup ini sebenarnya tak hilang melainkan ada yang pergi mendahului kita kepada suatu destinasi. 
Kitapun akan pergi ke tempat itu. 

Semua orang akan pergi. 
Berapa lama bertahan seseorang itu? 10 tahun? dua puluh tahun? 30 tahun lagi? 
Semua tak tahu tapi  semua orang akan pergi ke destinasi itu.
Ke tempat yang sama. 

Bila kita tengok orang lain dulu sampai kita sedih kerana kita rasa kita berpisah dengannya dan dia berpisah dengan kita.
Tapi tidak berpisah selama-lamanya.
Kita juga akan pergi ke alam itu.
Cuma di alam yang satu lagi tu dapat atau tidak berjumpa balik. 
Jika dia di kalangan orang soleh dan kita juga di kalangan orang soleh mudah-mudahan dapat berjumpa.
Jika dia di kalangan orang soleh dan kita tidak di kalangan orang soleh maka kita tidak bertemu dengannya.

Berapa ramai orang mati pada hari dia mati semua orang menangis.
Namun orang akan lupa selepas setahun, dua tahun, tiga tahun tapi orang tak akan lupa tentang kematiannya. Kita ini hanya bilah-bilah hari.

Apabila sebilangan hari itu pergi sebahagian kita pun pergi.
Apabila cukup bilangan hari itu telah pergi kitapun dah tak ada lagi.
Sebenarnya bila berlalunya hari maka hilanglah satu daripada bilah-bilah kehidupan....

Penulisan yang mengingatkan diri penulis agar sentiasa mengosongkan hati daripada sifat-sifat keji.. semoga diri penulis sentiasa diberikan kekuatan untuk menghisab diri sebelum diri dihisab si sana nanti...

Friday, April 6, 2012

Ingat Akan Mati Hidup Di Alam Kubur

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Coretan di hari Jumaat di samping mendengar peringatan





Ketahuilah kematian adalah hal yang sangat menakutkan!
Sangat bahaya jika dilupakan.
Namun sedikit sangat yang mahu ingatkan kematian.
Bahkan hati disibukkan oleh hidup dalam kesenangan.

Perhatikan di sekelilimg kamu.
Rakan sebaya, kaum keluarga yang telah meninggalkan anda.
Bayangkanlah!
Bagaimanakah keadaan mereka.

Ingat bahawa mereka sekarang di bawah debu.
Ingat rupa bentuk mereka ketika ini.
Bagaimana debu tanah menghancurkan wajah cantik mereka.
Bagaimana tubuh hancur.

Bagaimana dia akan berjalan-jalan
Kaki dan sendinya hancur.
Bagaimana dia akan tertawa giginya telah hancur dimakan ulat.
Bagaimana dia mahu bertutur mulutnya telah dimakan tanah.

Ingat pula bagaimana kita akan mati.
Sampai di mana perjalanan hidup ini.
Lalaikah kita akannya lalu cenderung untuk kekal kuat dan muda?
Keinginan untuk tertawa dan bermain-main.
Hingga lupa bahawa kematian sedang menanti.

Ingat mati bukan dengan omongan kosong.
Hati perlu dikosongkan daripada ingat kelazatan hidup.
Bukan harta yang terkumpul yang menyelamatkan.
Amal soleh jugalah yang dapat menolong.


Anda Mungkin Juga Meminati

Related Posts with Thumbnails