Friday, February 22, 2013

Celik di dunia buta di akhirat


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Muhasabah Hari Jumaat - saiyyidul ayyam.

Ramai manusia diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, boleh melihat dengan sempurna ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi. 

Tetapi pada hari akhirat nanti ada di antara orang-orang yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan buta. 

Kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian? 

Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan perintah Allah, sebaliknya melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan.


Orang-orang seperti ini hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Manakala di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keingkaran ketika berada di dunia. 

Firman Allah SWT: 


20:124

20:125

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta.(Taha 20:124 Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, pada hal aku dulu celik?”(Taha 20:125)
Perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan di sisi Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya. Jika kita benar-benar taat dan akrabnya di dunia dengan Allah SWT, maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita.

Siapa yang mengikut petunjuk Allah mereka tidak akan sesat dan tidak pula akan menderita sengsara ditimpa azab pada hari kiamat nanti. Sesiapa yang ingkar daripada mengikut petunjuk Allah sesungguhnya kehidupan mereka pada hari kiamat nanti sukar, sempit dan dan dihidupkan dalam keadaan buta. Demikianlah balasan terhadap orang-orang yang diberi peringatan tetapi lalai dan ingkar, lalu Allah melupakan mereka pada hari kaimat nanti sebagaimana mereka lupa kepada Allah semasa berada di dunia.

20:126
Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". (Taha 20:126)
Seorang sahabat Nabi, Samurah bin Jundab berkata: “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barang siapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.”


Mata jika dihalakan kepada kemaksiatan boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat.

Justeru, marilah sama-sama kita menghitung diri, adakah kita sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan akan diperhitungkan.

Saturday, February 9, 2013

Tunduk dalam Keadaan Malu dan Hina - Reaksi Orang-orang Yang Berdosa



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Catatan untuk muhasabah diri.

Allah SWT memberi pelbagai gambaran bagaimana reaksi orang-orang yang berdosa ketika berhadapan dengan Allah SWT kelak. Antaranya mereka tunduk dalam keadaan malu dan hina sambil membuat rayuan.

32:12

Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin".(As-Sajdah 32:12
Orang-orang yang berdosa menundukkan kepala kesan daripada kesalahan yang mereka lakukan di dunia. Orang yang angkuh dan sombong semasa berada di dunia akan tunduk malu bila berada di akhirat sebaliknya orang-orang yang tawadhuk serta rendah diri akan terangkat kepalanya di akhirat.

Saidina Umar Ibnul Khattab pernah berkata; "Wahai manusia! hendaklah kamu merendah diri kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkatnya" - Hadis Riwayat Abu Nuaim

Di akhirat kelak, kepada orang-orang yang berdosa mereka akan diperlakukan sebagaimana tabiat dan kelakuan mereka semasa berada di dunia. Mereka yang Allah tundukkan kepala di akhirat ialah kesan daripada apa yang mereka pernah lakukan di dunia.

Firman Allah SWT:

11:5

Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.(Hud 11:5)

Dalam ayat di atas, Allah menyatakan kepada Rasulullah SAW bahawa orang-orang yang mendengar apa yang disampaikan nabi itu menundukkan/membongkokkan badan mereka/tidak mahu memandang Rasulullah SAW kerana mereka enggan mendengar apa yang disampaikan oleh nabi. Pada hal Rasulullah menyampaikan perkara-perkara yang boleh membawa mereka ke arah kebaikan di dunia dan di akhirat.

Samalah juga Firman Allah SWT di bawah:

68:42

68:43

(Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat) dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya; (Al-Qalam 68:42)  Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.(Al-Qalam 68:43)

Pada hari itu, di hadapan pengadilan mereka (orang-orang yang tidak beriman) dibentak supaya sujud tetapi  mereka tidak dapat melaksanakan perintah itu kerana bukan masanya lagi untuk bersolat di akhirat. Semasa mereka berada di dunia mereka tidak pernah solat dan tidak mahu menerima ajaran Rasulullah SAW.


Di akhirat kelak, azab yang mereka akan terima adalah sesuai dan serupa dengan apa yang mereka lakukan semasa berada di dunia sebagaimana orang-orang yang menyimpan emas dan perak tetapi tidak menginfakkan ke jalan Allah.

9:34

9:35

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (At-Taubah 9:34) (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda/apa yang mereka simpan ) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar / diseterika dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (At-Taubah 9:35)

Perhatikan bahawa gambaran dalam ayat di atas seakan-akan gambaran yang pernah dilakukan oleh seseorang yang susah untuk memberi apabila didatang seseorang yang meminta. Mereka mengerutkan dahi, memasamkan muka dan berpaling meninggalkan peminta tanpa memikirkan perasaan peminta.

Apakah yang akan dilihat oleh golongan yang berdosa ini?

Mereka akan melihat Allah SWT yang tiada sekutu bagiNya dan tidak akan penolong yang akan menolong serta tiada pemberi syafaat selain Allah SWT. Ketika itu segala pengakuan sudah tidak berguna lagi.

Begitu jugalah yang berlaku terhadap Firaun yang membuat pengakuan sebelum dia ditenggelamkan.

10:90

10:91

Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Yunus 10:90) Lalu Allah menjawab: "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.(Yunus 10:91)

Pengajaran:
  • Al-Quran memberikan gambaran apa yang akan berlaku kepada orang-orang yang berdosa apabila datangnya hari Kiamat.
  • Betapa sukarnya apabila tiada berbekalkan iman dan amal soleh apabila sampai masa bertemu dengan Allah SWT.
  • Setiap kelakuan jahat di dunia akan dibalas setimpal di akhirat nanti. Sambil disiksa, orang-orang yang berdosa itu juga menerima tempelakan daripada malaikat.

Mudah-mudahan menambahkan rasa bimbang kita kepada saat yang akan tiba, tiada berguma lagi harta dan anak pinak kecuali membawa hati yang sejahtera.