Saturday, July 31, 2010

sentuhan qalbu

Bismillahirrahmanirrahim.

Sungguh tersentuh dengan youtube di bawah ini:



Sebahagian yang dapat ditulis:

Diriwayatkan ketika baginda Rasululllah saw berkumpul di antara para sahabat, baginda bertanya, siapakah yang mulia di sisi Allah, para sahabat terdiam, lalu ada seorang sahabat berkata, para malaikat ya Rasulullah, baginda berkata ya, mereka itu dekat dengan Allah dan mereka sentiasa bertasabih dan beribadah kepada Allah, tentulah mereka mulia, tetapi bukan itu yang ku maksudkan, tiba2 seorang sahabat bertanya, Rasulullah!, tentulah para nabi itu mulia, nb tersenyum, baginda berkata, ya bagaimana mungkin mereka tidak mulia, tapi bukan itu yang aku maksudkan, kemudaian para sahabat bertanya, apakah kami ya Rasulullah!, apakah kami yang mulia itu ya Rasulullah. Bayangkan baginda memandang para sahabat dan tersenyum, tentulah kalian mulia krn kalian membantuku, tetapi ada lagi yang lebih mulia.

Para sahabat terdiam semuanya, mereka tidak tahu berkata apa-apa lagi, lalu bayangkan tiba2 nb menundukkan wajahnya, bayangkan baginda tiba2 menangis di hadapan para sahabat, para sahabat bertanya mengapa engkau menangis ya Rasulullah, lalu bayangkan baginda mengangkat wajahnya dan nampaklah air mata membasahi janggutnya lalu baginda berkata, sahabatku tahukah kalian siapakah yang mulia itu? Mereka adalah manusia yang akan lahir jauh setelah wafatku nanti, mereka begitu mencintai Allah dan tahukah kalian mereka tidak pernah melihatku, tetapi mereka begitu rindu kepadaku, akupun rindu kpd mereka, mereka yang mulia itu adalah ummatku!, ummatku! bayangkan ketika itu baginda menitiskan airmata, sahabatpun menanagis.

Lalu tuan2! puan2!, siapakah yang dirindui nabi Muhammad saw, siapa yang didoakan oleh baginda setiap waktu? demi Allah sekarang tolong tanya diri sendiri, sudahkah mencintai nb Muhammad saw, bayangkan siapa ikon tuan2!, puan2!, ikon anak2, idola sdr2mu, lihat bagaimana anak2 kita sudah lupa kpd nb Muhammad saw... tontonilah selanjutnya,

Sunday, July 11, 2010

Rasulullah SAW Lihat Pelbagai Perkara Dahsyat

29 Rajab 1431H

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di bawah disalin Artikel Oleh Mohd Fadly Samsudin dimyMetro yang bertajuk : Rasulullah SAW Lihat Pelbagai Perkara Dahsyat.. untuk renungan bersama..

PENUH dengan iktibar. Itulah yang dapat diterjemahkan daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui pemimpin agung, Nabi Muhammad s.a.w sebagai 'perjalanan' yang penuh dengan pengajaran. Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh menyimpang daripada agama Allah.

Israk dan Mikraj menyimpan pelbagai rahsia yang membongkar kelebihan terutamanya martabat Rasulullah s.a.w di sisi Allah.

Dalam 'pengembaraan' luar biasa itu, Nabi Muhammad s.a.w menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan serta seksaan yang diterima manusia lantaran melakukan kemungkaran di dunia.

Antaranya, Nabi Muhammad s.a.w melihat wanita digantung dengan rambutnya dan otak di kepalanya mendidih kerana mereka tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.

Ada pula wanita yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung, minyak panas dituangkan ke dalam kerongkong kerana mereka suka menyakiti hati suami.



TUNAI TUNTUTAN...dalam peristiwa Israk Mikraj Rasulullah menghadap Allah dan diberikan amanah untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam

Baginda turut melihat bagaimana wanita digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya kerana perempuan itu menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.

Manakala ada wanita diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking kerana mereka yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu mandi junub.

Terdapat wanita yang memakan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.

Kemudian, wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka akibat mereka suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.

Selain itu, ada wanita yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah wanita yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.

Ada wanita menyerupai anjing dan beberapa ular serta kala jengking masuk ke mulutnya dan keluar melalui duburnya kerana mereka suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.

Begitulah antara seksaan yang menimpa kaum wanita ketika peristiwa Nabi Muhammad s.a.w melakukan Israk dan Mikraj. Ini membuatkan Baginda sedih setiap kali mengenangkan peristiwa itu.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maha suci Allah yang memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah al-Israak ayat 1).

Peristiwa yang berlaku pada 27 Rejab berkenaan adalah peristiwa yang membuktikan kehebatan dan kekuasaan Allah.

Bukti paling nyata terhadap kekuasaan Allah adalah Dia berkuasa 'membenarkan' Rasulullah diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Ia berlaku setahun sebelum Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah iaitu bersamaan dengan tahun 721 Masihi. Peristiwa berkenaan berlaku ketika Rasulullah dan sahabat berada dalam tekanan kuat daripada golongan Musyrikin Makkah seperti Abu Jahal dan Abu Lahab.

Sebelum Israk dan Mikraj Rasulullah mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda dicuci dengan air Zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was wasnya.
Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk) dengan menunggang binatang yang bernama Buraq.

Semasa perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa itu, Rasulullah s.a.w diiringi Malaikat Jibrail dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, Malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat.

Antara tempat berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w melakukan hijrah, Bukit Tursina, dan Baitul-Laham (tempat Nabi Isa dilahirkan).

Selepas itu, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq pulang ke Makkah pada malam yang sama.

Menurut sarjana, kecepatan Buraq membolehkan Nabi pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata. Ia menyamai kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer sesaat.

Baginda kemudian naik ke langit sampai ke Sidratul Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit kemudian kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Sebuah hadis Rasulullah yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Aku didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis.

Bagi umat Islam, peristiwa terbabit membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat.

Ia menjadi permulaan mukjizat Rasulullah yang menjadi salah satu Rukun Islam. Daripada Anas katanya: "Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: ...(Selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang... lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah berfirman yang bermaksud: "Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti." (Hadis riwayat Bukhari).

Baginda akhirnya mendapat keringanan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari semalam.

Ia menerbitkan keyakinan manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kenabian Muhammad.

Justeru, bulan Rejab adalah di antara bulan yang mulia dalam Islam. Berdasarkan catatan sejarah, pada tahun kesebelas dari kerasulan Nabi Muhammad berada di puncak kesedihan.

Baginda menghadapi dua musibah iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu wafatnya isterinya yang tercinta, Siti Khadijah. Tahun itu juga dikenali sebagai `Aam al Huzni atau tahun berduka cita.

Kemudian, giliran Abu Talib meninggalkan dunia. Bapa saudaranya itu sanggup berkorban serta melindunginya daripada ancaman orang kafir Quraisy.

Abu Talib adalah individu yang sangat disegani dan di hormati dikalangan bangsa Arab menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Nabi.

Begitu juga dengan kewafatan isteri kesayangannya yang di sifatkan sumber inspirasi dalam perjuangan Rasulullah.

Perunding Motivasi dan penceramah, Mohd Zawawi Yusoh, berkata peristiwa Israk dan Mikraj adalah perjalanan 'mencari' Tuhan.

"Ia peristiwa hebat menuju akhirat. Sebelum Nabi melakukan Israk dan Mikraj, terlebih dahulu hati Baginda dibersihkan.

"Bukan bermakna hati Nabi Muhammad kotor tetapi ia adalah simbolik kerana sebelum apa saja bentuk ibadat kita serahkan kepada Allah ia perlu dimulakan dengan hati yang bersih," katanya.

Beliau berkata, peristiwa itu satu isu yang tidak akan selesai sehingga hari kiamat dan memerlukan umat Islam melakukan perubahan untuk menjadi umat cemerlang.

"Peristiwa yang digambarkan Nabi Muhammad ketika Israk Mikraj adalah perbuatan dan tindakan yang tidak mampu dilakukan manusia biasa.

"Peristiwa itu benar, tepat dan menjangkaui sempadan masa. Ia relevan sehingga ke hari ini di mana berlaku pelbagai salah laku yang membabitkan moral masyarakat Islam seperti rogol, tidak membayar zakat, berebut kuasa, rasuah, zina, curang dan pecah amanah," katanya.

Mohd Zawawi berkata manusia perlu sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah sama ada ketika ditimpa kesusahan atau dalam kesenangan.

"Hanya Allah mampu memberikan pertolongan dan menghilangkan segala kesedihan dan kesusahan dalam diri manusia.

"Sebelum Israk, Mikraj Nabi Muhammad ditimpa musibah. Ia memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa mendekatkan diri kepada Allah jika diuji dengan musibah," katanya.

Beliau berkata ketika peristiwa Israk Mikraj, Nabi 'dihiburkan' dengan nikmat syurga sehingga Baginda lupa perjalanan yang ditempuhinya pada malam itu.

"Kita perlu sentiasa beringat bahawa tujuan kita hidup di dunia ini tidak akan terhenti di sini saja. Kehidupan yang kekal abadi adalah di akhirat sana yang menjanjikan balasan syurga buat mereka yang beramal soleh.

"Selain itu, Nabi juga mendapat perintah solat secara langsung daripada Allah tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril. Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lainnya," katanya.

Saturday, June 5, 2010

Suasana Alam Akhirat (52) - Surah Al-Haaqah

22 Jamadil Akhir 1431

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Sebelum meneruskan catatan; di bawah ini di nukilkan anugerah tanda persahabatan daripada:

Ummu atas anugerah ini. Terima kasih ya.


Deena (Pena Farhana) atas anugerah ini. Terima kasih ya.


Catatan kali ini ialah tentang suasana alam akhirat seperti yang digambarkan dalam surah al-Haaqqah, yakni surah ke 69 dalam al-Quran al-Karim.

Surah ini menerangkan peristiwa-peristiwa penting dan disusun secara berturut-turut dan teratur sekali ayat-ayatnya. Dimulakan dengan kehidupan di dunia, diikuti dengan kiamat, perhisaban dan pembalasan. Al-Haaqah adalah salah satu nama hari Kiamat dan hari itu pasti datang. Dalam banyak buku-buku didapati ada yang menterjemahkan sebagai 'Hari Kiamat', 'yang pasti datang' atau 'saat'. Biar apapun namanya yang diberi kita tahu bahawa ini merupakan peringatan berupa ancaman bagi penghuni neraka dan berita gembira buat penghuni syurga.

Sebelum diteruskan eloklah hayati pembacaan surah ini. Sungguh! berdiri bulu roma dibuatnya.




Menurut Bey Ariffin dalam bukunya Hidup Sesudah Mati, Al-Haqqah (Yang Pasti Datang/ Saat/ Kiamat pasti Berlaku) ini mempunyai dua maksud. Maksud pertama ialah bencana hebat yang pasti datang kepada kaum yang menentang secara keterlaluan terhadap para rasul dan nabi yang menyampaikan risalah Allah. bencana itu memang benar ditimpakan ke atas kaum Tsamud, 'Ad, Firaun dan lain-lain golongan seperti kaum Nabi Nuh as dan Lut as. Bencana ini adalah sebagai peringatan kepada orang-orang yang datang kemudian iaitu bagi yang mempunyai telinga untuk menerima peringatan. Kedua, bencana hebat yang menimpa pada hari kiamat nanti.

Pada hari kiamat nanti, bumi dan gunung diangkatkan dan dihempaskan sehingga remuk sama sekali, langit terbelah dan menjadi lemah. Para malaikat melihat keremukan bumi dan gunung-ganang dan langit yang jatuh dari tempatnya. Sebahagian malaikat pula di samping menyaksikan kejadian tetap memikul arasy dan bilangan mereka berjumlah 8.

Sesudah kejadian itu, manusia dibangkitkan seluruhnya dan pada saat itu semuanya dibongkar, tidak ada satupun amalan dapat disembunyikan. Ada orang diberikan kitab dari kanan ada pula dari kiri. Ahli syurga yang diberikan kitab dari kanan bergembira.

Ahli neraka yang dapat kitab dari kiri berkata alangkah baiknya jika kitab itu tidak diberikan kepada mereka agar tidak diketahui perhitungan atau kesudahannya. Mereka ini berkata bahawa alangkah baiknya jika mati sebelum ini tidak dibangkitkan semula. Biarlah mati selama-lamanya. Orang kaya sedar kekayaan mereka tidak boleh menjadi penjamin menebus kesalahan mereka. Begitu juga orang-orang yang berkuasa semasa di dunia, kekuasaan mereka di sana tidak berguna lagi. Mereka dibelenggu, diikat dengan rantai yang panjangnya 70 hasta. Diberikan makanan daripada darah bercampur nanah.

Allah bersumpah dengan apa yang dapat dilihat dan apa yang ghaib, bahawa al-Quran itu adalah perkataan Rasul yang mulia, bukanlah perkataan ahi syair dan bukan perkataan tukang tenung, dan al-Quran turun daripada Tuhan bagi seluruh alam. Al-Quran itu sangat sempurna.


Terjemahan ayat-ayat Al-Haaqqah (Sebenarnya ada disekalikan dalam Video di atas)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Saat yang tetap berlaku itu. (1)

Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (2)

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat). (3)

Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu. (4)

Maka (masing-masing menerima azab dunianya), adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya. (5) A

dapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya. (6)

Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang. (7)

Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)? (8)

Dan (selain dari mereka) datanglah Firaun dan orang-orang yang terdahulu daripadanya, serta penduduk negeri-negeri yang telah ditunggang balikkan, dengan melakukan perkara-perkara yang salah. (9)

Iaitu masing-masing menderhaka kepada Rasul (yang diutuskan oleh) Tuhan mereka, lalu Allah menyeksa mereka dengan azab yang sentiasa bertambah. (10)

Sesungguhnya Kami, ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya). (11)

(Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran. (12)

Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup. (13)

Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur. (14)

Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat. (15)

Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh). (16)

Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu. (17)

Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi. (18)

Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini! (19)

Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)! (20)

Maka (dengan itu) tinggallah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan. (21)

Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya). (22)

Buah-buahannya dekat untuk dipetik. (23)

Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)! (24)

Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka dia akan berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku. (25)

Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku. (26)

Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi). (27)

Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun. (28)

Kuat kuasaku (dan hujah-hujahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku. (29)

(Lalu diperintahkan malaikat penjaga Neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. (30)

Kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahiim. (31)

Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! (32)

Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar. (33)

Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin. (34)

Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya). (35)

Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur. (36)

Yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah. (37)

Maka Aku bersumpah: Demi segala (yang nyata) yang kamu melihatnya. (38)

Dan segala (yang ghaib) yang kamu tidak melihatnya. (39)

Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. (40)

Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman. (41)

Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. (42)

(Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. (43)

Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta (sebarang kata-kata rekaan). (44)

Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami. (45)

Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta-merta). (46)

Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya. (47)

Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertakwa. (48)

Dan sesungguhnya Kami sedia mengetahui bahawa ada di antara kamu yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya). (49)

Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang yang kafir (semasa mereka menerima balasan). (50)

Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya). (51) Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar. (52)