Thursday, January 7, 2010

Nikmat Penciptaan Malaikat

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Firman Allah swt dalam surah Fatir [35] ayat 1;



Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: Dua, tiga dan empat; Dia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (1)


Dalam ayat ini Allah menyuruh kita memuji dan syukur dengan nikmat penciptaan malaikat-malaikat. Malaikat2 dicipta dengan pelbagai tugas; ada yang menjaga manusia, jika tak mengantuk dingantukkan, ada yang menjadikan org koma kerana terlalu sakit, bila dah koma hilanglah rasa sakit; bayangkan jika tak mengantuk asyik berjaga tentu tak tertanggung kesakitan. Ada malaikat yang ditugaskan menurunkan hujan, menjaga manusia di jalan-jalan dan pelbagai tugas lagi termasuk menulis amalan manusia.


MALAIKAT sangat dimuliakan oleh Allah. Allah SWT berfirman, dalam surah Al-Anbiyaa' [21] ayat 26-28 yang maksudnya:


Dan mereka (yang musyrik) berkata: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. Maha Sucilah Ia. Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hambaNya yang dimuliakan. (26) Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkanNya. (27) Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan) dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan) dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya. (28)


Malaikat sentiasa mensucikan Allah dan turut mendoakan orang2 yang diredhai Allah. Berikut adalah senarai orang-orang yang didoakan oleh para malaikat :

ORANG YANG TIDUR DALAM KEADAAN BERSUCI.

Imam Ibnu Hibban meriwayatkan dari Abdullah bin Umar ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang tidur dalam keadaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa 'Ya Allah, ampunilah hambamu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci'" (Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih At Targhib wat Tarhib I/37)

ORANG YANG MENUNGGU SOLAT.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Tidaklah salah seorang di antara kamu yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali para malaikat akan mendoakannya 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia" (Sahih Muslim no. 469)

ORANG YANG BERADA DI SAF HADAPAN KETIKA SOLAT.

Imam Abu Dawud dan Ibnu Khuzaimah dari Barra' bin 'Azib ra., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang - orang yang berada pada saf - saf terhadapan" (Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud I/130)

ORANG YANG MENYAMBUNG SAF (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Para Imam iaitu Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim meriwayatkan daripada Aisyah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf" (Hadith ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib I/272)

KETIKA SEORANG IMAM SELESAI MEMBACA AL FATIHAH.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra., bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Jika seorang Imam membaca 'ghairil maghdhuubi 'alaihim waladh dhaalinn', maka ucapkanlah oleh kalian 'aamiin', kerana barangsiapa ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, maka ia akan diampuni dosanya yang lalu" (Sahih Bukhari no. 782)

ORANG YANG DUDUK DI TEMPAT SOLATNYA SETELAH MELAKUKAN SOLAT.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Para malaikat akan selalu berselawat kepada salah satu di antara kalian selama ia ada di tempat solat di mana ia melakukan solat, selama ia belum batal wudhu'nya, (para malaikat) berkata, 'Ya Allah ampunilah dan sayangilah ia'" (Al Musnad no. 8106, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan hadith ini)

No comments: