Wednesday, November 4, 2009

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad, serta keluarga dan para sahabat yang mulia.

(Khutbah ini disampaikan oleh Rasulullah SAW pada 9 Zulhijjah, 10 Hijrah , di Lembah Uranah,Gunung Arafah)

Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil. Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersunggah-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia daripada yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar daripada landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar daripadaku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu...



Sumber: SINI

Monday, November 2, 2009

Muslihat jahat Israel kuasai Masjid al-Aqsa

Assalamu'alaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.



RAKYAT Palestin dihalang dengan pelbagai cara oleh tentera Israel daripada memasuki Masjid al-Aqsa yang pernah menjadi kiblat umat Islam.

PADA perhimpunan ilmiah tokoh agama dan cendekiawan semua agama di Mesir dilontarkan satu isu siapakah antara penganut agama samawi (Yahudi, Kristian dan Islam) layak masuk syurga. Pertanyaan ini ditanya kepada tokoh agama Yahudi, Kristian dan Islam yang berada di atas pentas.

Tokoh agama Yahudi dan Kristian tidak berani menjawab dan menyerahkan jawapannya kepada ulama Islam yang menjawab dengan mudah bahawa yang layak masuk syurga daripada semua penganut agama ialah Muslim. Kemudian beliau menjelaskan bagi orang Yahudi yang layak masuk syurga ialah siapa saja yang beriman kepada Nabi Musa AS dan bagi orang Kristian yang layak masuk syurga ialah sesiapa saja yang beriman kepada Nabi Isa AS. Tetapi bagi umat Islam yang layak masuk syurga ialah yang beriman kepada Nabi Muhammad SAW dan semua nabi, termasuk Nabi Musa dan Nabi Isa. Firman Allah yang bermaksud: "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain daripada Rasul-Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah: 285)

Ahad minggu lalu, tentera rejim Israel menceroboh Masjid al-Aqsa dan mencemari kesuciannya. Perkara ini bukan pertama kali dilakukan pengganas itu dan bukan juga yang terakhir kerana selagi ada Israel di sana, selama itu pula Masjid al-Aqsa berada dalam bahaya.


Kejadian pertama yang menimpa Masjid al-Aqsa dalam sejarah moden ialah pada 21 Ogos 1969. Pada hari itu, seorang lelaki berbangsa Australia, Dennis Michael Rohan membakar Masjid al-Aqsa. Api menyala besar dan membakar tembok serta mimbar besarnya yang dibina sejak zaman Nuruddin al-Zinki dan pernah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi pada zaman pemerintahannya.

Api berkobar dengan dahsyat seolah-olah seluruh Masjid al-Aqsa akan musnah ketika itu. Sehinggakan bomba juga tidak menghulur bantuan. Tetapi Allah SWT menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan melindunginya. Akhirnya api dapat dipadamkan.

Selepas itu orang Yahudi membuat pengadilan pura-pura terhadap Rohan yang mendakwa dia diutuskan oleh Allah untuk melakukan pembakaran itu, bersesuaian dengan berita daripada Kitab Zakaria. Kemudian Rohan dibebaskan Yahudi dengan alasan gila. Sejak itu, 21 Ogos diangkat sebagai Hari al-Quds sedunia.

Seorang paderi di Baitulmaqdis, Atallah Hanna yang juga tokoh Kristian Ortodoks Greek, Selasa lalu mendesak semua gereja di dunia membantu membela Masjid al-Aqsa daripada serangan Israel. Paderi itu menyeru seluruh umat Islam dan Kristian bersatu dalam mencegah serangan dan pencemaran terhadap Masjid al-Aqsa.

Seruan ini datang selepas pasukan khas Israel menyerang Masjid al-Aqsa di wilayah pendudukan Baitulmaqdis Timur dengan menembak peluru dan gas pemedih mata. Zionis juga melarang penduduk Palestin masuk ke kompleks Masjid al-Aqsa untuk melaksanakan ibadat. Masjid al-Aqsa ialah kiblat umat Islam yang pertama dan juga tempat berlaku peristiwa Israk Mikraj.

Masjid ini mempunyai pertalian sejarah dengan semua agama sejak zaman Nabi Allah Sulaiman. Malangnya. ia silih berganti dijajah oleh bangsa Yahudi, Rom dan Parsi hingga pada zaman Umar abad ke-7, ia dibebaskan daripada belenggu penjajahan.

Pada awal abad ke-12 Masihi, Masjid al-Aqsa kembali dijajah tentera salib, namun akhirnya dibebaskan oleh Salahudin Al-Ayyubi. Kini sejak 1948, Masjid al-Aqsa sekali lagi dijajah tentera Zionis. Ia masjid ketiga paling suci. Melalui dalil hadis yang sahih, diriwayatkan oleh al-Tabrani menyatakan sesiapa yang bersolat di masjid ini mendapat 500 kali ganda pahala.

Pada akhir zaman nanti, akan berdirinya ibu negara umat Islam di bumi ini dan kemajuannya akan membawa kepada tanda akhir zaman. Ini berdasarkan hadis Rasulullah diriwayatkan Nu'aim Hammad dalam kitabnya al-Fitan.

Al-Quds ialah nama lain bagi Baitulmaqdis iaitu kota lama terletak di Palestin dan wilayah Syam. Ia dinamakan al-Quds selepas penaklukan kembali umat Islam terhadap bumi Palestin. Di sebelah timur kota ini terletak Masjid al-Aqsa, manakala di baratnya terletak gereja Nativity di kawasan Khan al-Zeit.

Kota ini dianggap sebagai kota suci bagi Islam, Kristian dan Yahudi kerana ketiga-tiga agama ini mempunyai nilai kudus pada kota berkenaan. Bagi penganut Kristian, berdasarkan akidah mereka di sanalah tempat kelahiran Jesus dan di situ juga juga Jesus disalib dan akan dibangkitkan menjelang kiamat kelak. Yahudi pula mendakwa kota ini adalah janji tuhan Yahweh dan muncul Messiah yang dinantikan.

Tamat peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim Israel dengan bantuan Amerika Syarikat, tentera Zionis memasuki Masjid al Aqsa dan menawannya. Kejayaan mereka dianggap sebagai mukjizat yang berupa petanda berakhirnya agama Islam. Mereka menyambutnya dengan menari sambil menyanyikan lagu: "Letakkan aprikot ke atas epal, agama Muhammad sudah hancur dan musnah. Muhammad sudah mati, yang tinggal hanya anak perempuan yang lemah."

Ketika itu juga Zionis mengisytiharkan tembok sebelah barat Masjid al-Aqsa (Tembok Buraq) sebagai milik mereka. Perlu diingat, penawanan Tembok Buraq bukan bererti penamat dan tindakan terakhir dalam perjuangan mereka menakluki al-Quds tetapi ia permulaan bagi mereka untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina semula The Mount Temple atau Haykal Sulayman.

Isu penaklukan Palestin dan kemusnahan Masjid Al Aqsa semakin parah apabila Eropah dilanda kebangkitan golongan Kristian Protestan yang melakukan penyemakan semula kitab suci mereka. Antara akidah yang disemak semula ialah perihal kedatangan Jesus di Baitulmaqdis menjelang alaf kedua tahun Kristian.

Melalui penyemakan semula kitab suci itu, mereka mendakwa Jesus hanya muncul dalam suasana seperti ia muncul buat kali pertama di Baitulmaqdis. Beliau tidak akan muncul selepas tegaknya Haykal yang disebut dalam Old Testment.

Oleh itu, untuk menyambut kemunculan semula kelahiran Jesus, Haykal perlu dibina dan orang Yahudi perlu dikumpulkan semula di Baitulmaqdis untuk disembelih oleh Jesus kerana golongan Yahudi membunuh Jesus.

Jumaat lalu ialah hari solidariti dengan Masjid al-Aqsa seperti yang diseru tokoh agama Dr Yusuf al-Qardhawi dan ini sekadar catatan semoga bermanfaat. Amin.

Sumber : SINI

Alam Akhirat Dalam al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum wrt wbt

Al-Quran memberi peringatan, petanda agar manusia mengimani hari akhirat

Salah satu daripada Rukun Iman ialah percaya hari akhirat seperti disabdakan Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibril AS mengenai iman yang bermaksud: "Iman ialah engkau beriman kepada Allah dan malaikatNya dan segala kitabNya dan rasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan buruk." (Hadis riwayat Muslim)

Dalam sambungan hadis di atas disebutkan maksudnya: "Khabarkan kepadaku perihal hari kiamat." Rasulullah SAW menjawab: "Tidaklah yang ditanya mengenainya lebih tahu daripada orang yang bertanya." Nabi SAW pun tidak mengetahuinya.

Sebagai orang beriman kita beriman kepada hari kiamat dengan penuh keyakinan dan kebenaran, beriman kepada apa yang Allah SWT khabarkan mengenai hari kiamat dalam KitabNya dan apa yang dikhabarkan Rasulullah SAW mengenai segala hal yang akan terjadi selepas mati sehingga penghuni syurga masuk syurga dan penghuni neraka masuk neraka.

Sesungguhnya dalam kitabNya, Allah SWT berulang kali menyebut tentang hari kiamat , menjelaskan suasana di akhirat di banyak tempat sehingga 80 dp 114 surah2 dalam al-Quran menerangkan tentangnya. Allah sering memperingatkan kita kepada hari akhirat dalam setiap kesempatan, menegaskan kejadiannya, bahkan mengaitkan keimanan kepadaNya dengan hari kiamat. Allah merahsiakan waktu berlaku kiamat kepada hambaNya, tetapi memberikan tanda2 kejadian itu.

Kita beriman kepada segala yang akan berlaku daripada tanda hari kiamat sama ada tanda kecil (alamat al-shughra) atau besar (alamat al-kubra). Tanda itu ialah isyarat akan berlaku hari kiamat kerana ia termasuk dalam cakupan iman terhadapnya.

Tanda kecil hari akhirat yang mempunyai landasan dalil syara' muktamad antaranya: "Banyak berlaku pembunuhan, mengharapkan mati kerana musibah yang dahsyat, keinginan agar dirinya seperti orang yang mati dan berandaian dia sudah mati kerana dahsyatnya petaka yang dihadapi, ramai meninggal dunia tiba-tiba, maut kerana gempa atau wabak, lelaki sedikit daripada perempuan, wanita berpakaian tetapi telanjang, melebarnya pelacuran di jalan dan munculnya penyokong orang zalim daripada kalangan petugas keselamatan yang mendera manusia.

Tandanya kiamat lain ialah munculnya alat muzik, arak, perzinaan, riba, pemakaian sutera halal bagi lelaki, terbenamnya sebahagian bumi dengan segala di atasnya, muncul perubahan bentuk tubuh dan bermaharajalela fitnah.