Showing posts with label Buku. Show all posts
Showing posts with label Buku. Show all posts

Monday, October 17, 2011

KETIKA MULUT DIKUNCI

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian hanya milik Allah. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia hingga ke hari kiamat.

Saya telah miliki buku di atas dan baru selesai membacanya. Membaca merupakan pengisian masa yang sangat lapang buat saya yang sukar membuat kerja-kerja berat dan sukar untuk duduk lama. Syukur, dengan pembacaan ini dapatlah mengingatkan diri yang sangat sangat hampir untuk berpindah dari dunia sekarang ke satu dunia yang lain. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Dunia lain sedang mengintai dan menunggu. Setiap detik kita berjalan menuju suatu dunia yang sama sekali berbeza dengan dunia yang kita huni sekarang ini.

Allah bukan sahaja mengurniakan kita dengan dua mata untuk melihat tapi Allah juga memberikan kita akal untuk berfikir. Akal inilah yang membawa kita untuk persiapan menuju kepadaNYA.

Bagaimana kita nak mengetahui kewujudan dunia lain? Pertanyaan ini mungkin terlintas dalam fikiran kita tetapi kita jangan gundah kerana kehidupan kita adalah ditetapkan oleh Allah melalui beberapa tahap. Tahap-tahap yang bermula daripada alam kehidupan yang terkecil hinggalah ke alam kehidupan yang terbesar.

Semasa berada dalam tahap alam kandungan, alam kita sangat kedap dan sempit serta gelap. Kita hanya diliputi darah. Sumber makanan kitapun daripada placenta ibu. Kemudian beralih ke alam dunia sekarang.  Keadannya lebih luas dan lebih besar daripada alam kandungan. Kita boleh melihat bulan dan matahari, bintang-bintang dan pemandangan yang indah dan sebagainya. Sumber makanan kita juga tersangat banyak. 

Seterusnya kita akan berada di alam barzakh. Alam ini lebih luas daripada alam dunia yang kita huni sekarang. Ini kerana roh telah terlepas daripada kongkongan jasad yang dihuninya. Keadaan roh yang terlepas ke alam barzakh samalah seperti keadaan janin yang terhimpit dalam rahim ibu yang melihat alam dunia yang lebih luas. Ketika roh keluar ke daripada jasad roh akan melihat alam lain yang asing. Begitulah juga nantinya alam akhirat, tentulah lebih besar dan luas daripada alam barzakh. Alam ini lebih sempurna daripada alam-alam sebelumnya.

Alam akhirat inilah alam kehidupan yang sebenarnya. Di sini gerakan aktiviti roh dan jasad akan menjadi lebih sempurna. Jasad dan roh akan dihadirkan bersama-sama untuk mendapatkan balasan kenikmatan syurga ataupun seksaan api neraka.

Kehidupan dunia ini jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat hanyalah berselang beberapa minit atau beberapa jam sahaja.
"Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya. Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?  Mereka menjawab: Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung (umur). Allah berfirman: Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia)".(Al-Mu'minuun [24] - 111 - 114)
Meskipun kita tinggal di dunia selama sepuluh tahun, atau seratus tahun akhirnya kita akan menyedari bahawa kehidupan kita di dunia ini sangatlah singkat.
"Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar). (Ar-Ruum [30] : 55)
Oleh itu dalam perjalanan yang singkat ini kita diingatkan agar; 
"Berlumba-lumbalah / bersegeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar". (Al-Hadid [57] : 21)
Peringatan untuk diriku juga.

Saturday, April 9, 2011

U-TURN KE JALAN LURUS

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

Hari ini saya sambung penulisan yang tertunda, alhamdulillah kerana diberikan kekuatan, syukur dalam setiap keadaan.

Dahulunya saya menyepi kerana pelbagai perkara. Dalam keadaan demikian saya dapat membaca beberapa buah buku yang sudah lama dibeli serta menyambung mendengar CD-CD yang belum lagi didengar.

Salah satu bukunya ialah:



Buku ini mempunyai banyak pengajaran bagi kita yang agak tersasar daripada jalan yang lurus agar cepat-cepat membuat pusingan U. Penulisannya dimulakan dengan kisah-kisah yang mudah difahami dan dihadam, kemudian diikuti dengan hadis Qudsi. Memang menarik.

Buku ini mencungkil rahsia di sebalik kitab himpunan Hadis Qudsi karangan al-Imam al-Ghazali rhm, 'al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah'. Buku ‘U-TURN KE JALAN LURUS’ ini menterjemahkan mutiara peninggalan Rasulullah SAW dengan mengaitkan kisah-kisah yang boleh dijadikan wake-up call kepada kita yang kadang-kala alpa tentang agama. Kealpaan yang mengheret kita ke jalan yang ‘mungkin’ lurus tetapi sebenarnya tidak betul! Setelah membacanya, sebahagian besar pengajaran dan tauladan yang dimasukkan benar-benar menginsafkan diri ini. Kadang-kala perkara yang sering berlaku di persekitaran kita, sebenarnya mempunyai seribu satu pengajaran (hikmah) bagi mereka yang benar-benar berfikir. 

Dalam pengajian tadabbur Ustaz Kariman juga mengingatkan kita bahawa jalan lurus (As-Siraat al-Mustaqim) itu ialah jalan yang besar, lurus dan dapat menampung pelbagai kenderaan. Inilah jalan yang lurus menuju kepada Allah SWT. Jalan itu amat dekat, kenapa? Sebabnya jalan tu besar dan lurus cuba kalau besar tapi bengkang bengkok tentu jadi jauh. Jika lurus tapi sempitpun susah juga. Ini juga nak menyatakan bahawa jalan menuju Allah SWT itu sebenarnya sangat mudah. Ini kerana fitrah manusia ialah mudah untuk melakukan perkara yang baik daripada melakukan perkara yang tak baik. As-Siraat al-mustaqim yang kita pohon setiap kali kita mendirikan solat (Ihninaassiratalmustaqim) itu ialah jalan menuju Allah semasa kita masih berada di atas dunia ini menjalani kehidupan yang bermatlamat hanya SATU; mengabdikan diri  hanya kepada Allah (lilllahi ta'ala) dan akhirnya akan diterima menemuiNya dengan membawa HATI YANG SEJAHTERA.

 

Andai kita bermula dari jalan-jalan kecil menuju jalan yang satu itu iaitu jalan yang lurus dan lebar, kita bertemu round about lalu kita berpusing-pusing di sana berkali-kali pasti kita dikatakan sesat. Begitupun bila kita dah sesat mulalah balik ke pangkal jalan dan bermula lagi di sana.  Tapi AWAS! Janganlah kita sentiasa tersesat. Amat rugi jika tidak berpatah balik hingga sesat sampai ke hujung biarpun kita sedar kita tersesat. Jadi buatlah U-TURN KE JALAN LURUS. InsyaAllah selamat. 

Antara kisah yang ditulis dalam buku ‘U-TURN KE JALAN LURUS’ ini ialah kisah anak ikan yang degil akan pesanan ibunya supaya jangan makan cacing yang dilihat oleh anak-anak ikan, kerana kata ibu ikan, di dalam cacing itu ada keluli yang akan mencangkukkan mulut jika dimakan, seterusnaya akan diseret naik ke darat oleh pengail, kemudian akan disiang sirip dan sisip, dikeluarkan insang dan dibelah perut untuk dikeluarkan isi perut dan akhirnya yang paling menakutkan ialah dilemparkan ke dalam kuali yang berisi  minyak panas. Ada di kalangan anak-anak ikan itu tidak mempedulikan nasihat ibunya. Bila keesokan harinya anak ikan ternampak cacing yang menggeliat di hadapannya diapun menyambar, dengan mengingkari nasihat ibunya, ikan itupun diseret naik sebaik sahaja menelan cacing yang menggiurkan itu.

Begitulah kisah itu dikaitkan dengan kita yang lalai walaupun diberi peringatan berkali-kali, bahawa nafsu syahwat akan membawa kepada kebinasaan, namun ramai yang menjadikan nafsu syahwat sebagai Tuhan.

Sekian dulu untuk kali ini, mudah-mudahan memberi manfaat. Mudah-mudahan kita sentiasa berusaha untuk sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Buatlah pusingan U jika kita tersasar ataupun kita berpusing-pusing di round about. Ya Allah! tunjukilah kami jalan yang lurus.. amiin

Thursday, November 5, 2009

Bertemu Janji Allah

Assalamu'alaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad dan keluarga serta para sahabat yang mulia.

Kedua2 buku di bawah adalah karya TGNA terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd. Alhamdulillah telah usai membacanya.



Buku ini memfokuskan kepada persoalan akhirat. Ia mengajak kita untuk cuba menjenguk misteri alam akhirat berpandukan wahyu yang diterima oleh Nabi besar Junjungan kita Muhammad S.A.W.

Buku 1 yang berwarna merah tebal 190 halaman yang mengandungi 38 bab dan buku 2 berwarna hijau tebalnya 224 mengandungi 45 bab ini cukup jujur memunggah apa saja yang berkaitan dengan alam yang sama-sama kita akan berada tidak lama lagi. Dengan perbincangan Mashyar yang detail, buku ini menyingkap rahsia2 di padang Mahsyar yang menggerunkan kita serta menyayat hati. 

Buku ini juga menghuraikan hal-hal yang menyentuh persoalan berkaitan kehidupan seharian di dunia, yang akan di bawa ke Mashyar, seterusnya diperhitungkan untuk menerima balasan sama ada baik atau buruk bergantung kepada amalan baik dan buruk di dunia.

Membicarakan alam akhirat adalah percubaan untuk menjangkau segala yang misteri di belakang tabir keduniaan. Tiada siapa yang layak untuk membimbing segala apa yang terkandung di alam itu melainkan apa yang di khabarkan oleh Pemilik, Pencipta dan Penguasanya melalui wahyu yang diturunkan kepada NabiNya.

Buku ini mengupas beberapa nama yg Allah berikan kepada hari akhirat berdasarkan kejadian2 atau suasana yang akan berlaku pada hari tersebut. Ini dipetik daripada ayat2 al-Quran. Tujuan Allah berikan pelbagai nama sesuai dengan apa yang akan berlaku nanti adalah supaya manusia berasa gerun akan kedatangan hari yang pasti terjadi ini. Dengan membaca buku ini lebih terserlah akan apa yg akan dihadapi nanti. Dengan itu dapatlah bersedia utk menuju ke sana dengan mempersiapkan bekalan secukupnya. Dengan mengetahui apa balasan jika sesuatu kejahatan dibuat manusia akan berusaha memelihara diri mereka daripada melakukan perbuatan jahat tersebut. Dalam kehidupan di dunia ini pun jika kita hendak melancong ke suatu tempat kita perlu tahu bagaimana keadaan tempat itu, seterusanya apa bekalan bagi menghadapi tempat yang akan dituju itu. Contoh nak ke negara yg bermusim sejuk, bila nak pergi masa musim sejuk perlulah bawa baju panas.

Buku ini menggali pelbagai rahsia akhirat menjadi sebuah catatan. Ia bukan memo sembarangan. Ia memunggah kandungan dan pengertian alam ghaib yang akan sama-sama kita lalui lambat launnya. Bagi mereka yang sudah pergi, mereka sudah dan sedang berada sebahagiannya di alam itu. Sekarang, soalnya masih adakah pilihan kita untuk tidak cuba memahaminya sedangkan kita memang perlu ke sana. sememangnya akan ke situ? Dalam beralihnya hari daripada minggu ke minggu, masih adakah khilaf bahawa kita sedang mendekati satu tarikh kematian yang tidak pernah berganjak? Sebaliknya, kita pula yang semakin mendekat !

InsyaAllah bila ada kelapangan saya akan mencatat sebahagian daripada tajuk2 yang terdapat dalam buku ini.

Sunday, May 31, 2009

Buku Kisah Hidup Nabi Serta Peperangan diZamannya



Buku ini saya beli pada 19 April 2009 sempena pameran buku antarabangsa yang berlangsung baru2 ini.. Buku karangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.. terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd..


Buku yang memuatkan sikap Rasulullah SAW yang membayangkan sikap Islam dalam pelbagai situasi sama ada genting ataupun tenang.. Menghayatinya seolah-olah kita dijemput untuk bersedia di tengah-tengah medan jihad dalam Perang Ahzab, Khaibar, Hunain ataupun mungkin juga berada di kalangan para sahabat semasa Perjanjian Hudaibiyah dimeterai.


Buku yang menggambarkan sikap nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah dan pemimpin yang sepatutnya dicontohi oleh umat islam seluruhnya..


Dalam setiap peperangan nabi Muhammad SAW mempamerkan sikapnya yang bijaksana dalam merancang strategi bagi kemenangan Islam.. sikap nabi menerima pendapat orang lain supaya membina parit dalam peperangan Ahzab membuktikan bahawa nabi bersifat sungguh tawadhu'..


Begitu juga semasa persediaan bagi menghadapi musuh, baginda bersama-sama memecahkan batu dan menggali parit .. biarpun baginda seorang pemimpin.. baginda tidak hanya mengerah tenaga para sahabat dan orang2 Islam yang lain sahaja menggali parit sedangkan baginda mengawasi dari jauh..


Baginda juga bijak membuat keputusan sehingga tawanan perang yakni kaum musyrik Mekah akhirnya ramai yang memeluk Islam.. selain itu baginda juga pandai mengambil hati kaum ansar walaupun kaum ini mengata-ngata baginda di belakang baginda akibat rasa tidak puas hati..


Membaca buku ini seolah2 turut serta dalam peperangan.. dapat membayangkan bunyi derapan kaki pasukan yang berjalan dan dapat membayangkan unta ditunggangi pahlawan perang..ada yang memanah dan ada yang menggunakan pedang..


Terasa sebak apabila membaca perenggan menceritakan bagaimana Rasulullah SAW menahan kelaparan kerana kekurangan bekalan makanan.. apabila sahabat mendapati bagindalah orang yang lebih awal merasa lapar dan letih.. dan apabila lebih banyak batu dibalut dengan bengkung untuk melapik perut baginda.. kesungguhan baginda melaksanakan tugas2 berat bersama-sama para sahabat.. sehingga pakaian dan tubuh baginda diselaputi debu dan tanah..


Buku ini elok dibaca supaya dapat mencontohi akhlak Rasulullah SAW yang sememangnya dituntut oeh Allah SWT.