Tuesday, December 18, 2012

Bahaya Mati Jahil


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum.

Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Selawat serta salam buat Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Nasihat Luqman al-Hakim yang pertama kepada anaknya ialah jangan syirik kepada Allah. Syirik kepada Allah satu inaya/zalim yang paling besar.

Jadi perkara yang pertama kita perlu nasihat kepada anak-anak kita ialah jangan syirik kepada Allah. Bahaya syirik, jika tak sempat taubat matilah dalam syirik lalu duduklah dalam neraka selama-lamanya.

Orang Budha, Kristian, Yahudi percaya kepada Allah tapi masa yang sama syirik kepada Allah.

Orang Islam kata La ilaha illallah. Allah itu satu, Esa, tiada sekutu baginya.

Dalam solat kita kata la syarika lahu.. tiada sekutu bagiNya.

Dalam Islam tiada istilah menilik, menilik tu haram. Percaya kepada bomoh yang menilik itu syirik.

Jangan sekutukan Allah itu dengan apa sahaja. 

Zalim ada 3

1) Syirik kepada Allah. Allah yang bagi rezeki tiba-tiba duk percaya benda lain pula. Allah bagi segalanya. Manusia tak reti buat apapun. Udara, ikan dan segalanya kita tak tahu buat. Zalim ialah meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Kena faham tauhid uluhiyah dan rububiyyah. Fahamilah Iyyakana'budu waiyyakanasta'iin. Berubat adalah asbab. Bukan ubat yang bagi lega tapi Allah yang bagi lega.

2) Zalim yang tidak diampun ialah zalim sesama kita. Kita buat zalim kepada orang, selagi orang tak ampunkan kita, kita tetap zalim.

3) Zalim yang diampun. Zalim kepada diri sendiri. Tak solat, tak beri zakat, tak tutup aurat. Kalau minta ampun Allah akan ampunkan. Sebab itulah nabi Adam dan isterinya minta ampun.

Zalim yang paling besar ialah syirik. 

Beribadatlah kerana Allah, bagi Allah, untuk Allah, La ilaha illallah.

Semua yang ditulis di atas itu ialah sebahagian daripada kuliyah Ustaz Mutalib Maarof tentang Bahaya mati jahil . Jadi kena belajar supaya tidak buat salah dan tidak mati dalam keadaan jahil, lebih-lebih lagi dalam keadaan mensyirikkan Allah SWT.

Teruskan menonton.




Friday, December 14, 2012

Harta Sebagai Wasilah Untuk Akhirat

tentera semut
Gambar Hiasan : Googles


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum.

Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Selawat serta salam buat Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Lama tak update blog.. Hari ini alhamdulillah diberi kekuatan meng'update'. Itupun copy n paste daripada sebaik-sebaik kekayaan adalah kaya jiwa  .. ditulis dalam ruangan komen di link yang diberi.

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ". (Al-Qasas 28:77) 


Walaupun ayat ini dinasihatkan kepada Qarun namun kena dijadikan panduan oleh kita semua.

Ada dua tujuan Allah ciptakan segala yang ada di bumi dan langit iaitu aqidah dan kebendaan

Allah ciptakan segala-galanya untuk menunujukkan kesempurnaan qudrahNya. Seolah-olah Allah berkata; "Wahai Anak Adam! lihat tumbuh-tumbuhan, binatang dan semua yang Aku ciptakan ini supaya kamu boleh lihat kesempurnaanKu. Melihat semuanya itu kamu semakin sedar kewujudan Aku. 

Dengan melihat segala ciptaan Allah, manusia akan yakin kepada Allah SWT, bila lihat cili bersebelahan tebu tetapi rasanya berbeza, akan berkata seperti dalam ayat ali Imran 191

Sekarang kamu dah dapat rasa kesempurnaan qudrah Allah SWT maka rasalah, nikmatilah kurniaanNya. 

Apa saja yang Allah berikan kepada kita pastikan bahawa semua itu adalah wasilah untuk mencapai kejayaan di akhirat. Ambil sedikit untuk kegunaan di dunia tapi jangan lupa fungsi asalnya.

Bila orang diberi 10 tapi hanya perlu 3 maka yang 7 itu jadikan wasilah untuk akhirat.

Orang yang sihat tentulah bepeluang buat baik lebih daripada orang sakit.Orang kaya tentulah lebih berpeluang daripada orang miskin tapi bukan bermaksud orang miskin susah memasuki syurga.

Hamka ada menulis, jika kamu seorang yang kaya senang-senangkan hatimu kerana Allah telah membuka jalan yang lebar bagi kamu untuk ke syurga, jika kamu seorang yang miskin senang-senangkan hatimu kerana dengan kemiskinan kamu, kamu terbebas daripada kedengkian orang, dengan kemiskinan kamu, kamu boleh tidur di mana-mana tanpa rasa takut. 

Senang-senangkan hatimu, pastikan apa yang Allah SWT berikan kepada kamu itu kamu gunakan sebagai wasilah untuk akhirat, tak salah gunakan sebahagiannya di dunia. Itulah qana'ah. Sebahagian besarnya untuk tujuan akhirat.

Abu abbas al-Mursi kata masa manusia terbahagi kepada 4 sahaja; masa nikmat, masa susah, masa taat dan masa maksiat. Apapun masa kita pastikan kita gunakan untuk tujuan akhirat.

Setiap hamba Allah mempunyai EMPAT waktu, iaitu

1. Waktu mendapat nikmat.
2. Waktu mendapat ujian dan cubaan.
3. Waktu melakukan ketaatan.
4. Waktu melakukan maksiat.

Apabila mendapat nikmat bersyukurlah, bila waktu mendapat ujian dan cubaan; redha dan bersabarlah, jangan sekali-kali berkeluh kesah.

Waktu melakukan ketaatan; ingatlah bahawa Allahlah yang memberi petunjuk dan kekuatan, beristighfar serta berdoalah agar ibadah diterima.

Waktu melakukan maksiat, ingatlah Allah Maha Pengampun lalu bersegeralah bertaubat.

Daripada segi qalbun salim, bila kita sakit jangan segera minta sembuh, bila rugi jangan segera minta untung sebab bila kita sakit atau rugi Allah berikan kita peluang untuk sabar. Jangan mengeluh. Allah Maha Tahu apakah amalan hambaNya yang mudah dilakukan oleh hambaNya sebagai jalan menuju ke syurga.. 

Orang sakit jangan dengki kepada orang sihat, orang rugi jangan dengki kepada yang untung. Jadi bersabarlah. Allah dah kata bila orang tu diberikan nikmat bila bersyukur tak perlu minta Allah tambahkan. Orang musibah tak perlu berkeluh kesah, lihat Nabi Yunus dah ditelan ikan, dia tak mintapun dilepaskan tapi asyik mengaku kesilapan diri, memuji Allah, lihat bagaimana Allah mengampunkan dan meninggikan darjat.

Mengembalikan amalan kepada Allah itulah ikhlas jika mengembalikan kepada diri sendiri itulah ujub maka akan terhumban ke neraka. Merasa dah buat banyak kebaikan bercakap seolah-olah apa yang kita buat dah banyak.

Mudah-mudahan memberi manfaat.

Monday, November 5, 2012

Ingat; "Setiap daripada kita dipertanggungjawabkan..."

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.


Marilah kita berselawat buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.



Apa khabar semua pembaca!. Harap semuanya sihat dan beroleh kesejahteraan dan dalam redha Allah SWT.  

Hari ini, Alhamdulillah selesai mendengar kuliyah ini -  "Persoalan di alam barzakh - Tanyalah Ustaz di TV 9" melalui youtube di bawah. Biarpun apa yang dikuliyahkan selalu kita dengar namun perlu sentiasa diperingatkan (untuk diriku terutamanya). Allahuakbar.


Ustaz telah membaca Surah Qaaf ayat 16 hingga 32 yang terjemahannya seperti di bawah sebagai muqaddimah kuliyahnya.
"Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (16) Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. (17) Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (18) Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya! (19) Dan lagi (apabila sampai saat yang ditentukan) ditiuplah sangkakala (untuk menghidupkan semula makhluk-makhluk yang telah mati); saat itu ialah hari berlakunya amaran yang telah diberikan. (20) Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap orang (ke Padang Mahsyar), disertai (dua malaikat: Yang satu menjadi) pembawa dan (yang satu lagi menjadi) saksi; (21) (Serta dikatakan kepadanya): Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat). (22) Dan berkatalah malaikat yang sentiasa ada bersama-samanya: Inilah (Kitab catatan iman dan amal) orang yang terletak dalam jagaanku, siap sedia (untuk kamu dibicarakan). (23) (Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam Neraka Jahanam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya.di dunia dahulu (24) Yang sering menghalangi jenis kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang meragukan segala kebenaran, (25)Yang menyembah benda yang lain bersama-sama Allah; maka humbankanlah oleh kamu berdua akan dia ke dalam azab seksa yang seberat-beratnya. (26) (Semasa dia dihumbankan ke dalam Neraka Jahanam, dia mendakwa bahawa Syaitanlah yang menjadikan dia sesat; pada saat itu) Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong. (27) Allah berfirman: Janganlah kamu berbalah lagi di hadapanKu, (tidak ada gunanya berbalah pada masa Aku membuat keputusan); padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah). (28) KeputusanKu itu tidak akan diubah atau ditukar ganti dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hambaKu. (29) (Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada Neraka Jahanam: Adakah engkau sudah penuh? Dia menjawab: Adakah lagi sebarang tambahan? (30) Dan (ingatkanlah pula hari) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertakwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (31) (Serta dikatakan kepada mereka): Inilah yang dijanjikan kepada kamu, kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali (kepada Allah dengan mengerjakan ibadat), lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah); (32)"
Allah berikan segalanya supaya kita menggarap ganjaran di akhirat, carilah bekalan pada hari ini untuk akhirat. Siapa yang beralasan sibuk maka bertakwalah. 

Di sini diberitakan tentang persoalan azab di alam barzakh. Dengar soalan senang namun bolehkah kita jawab nanti.

(Sila klik pada butang play  pada audio di bawah, disalin daripada sini


Bila Allah sebut "setiap manusia bertanggungjawab atas apa yang dilakukan di dunia ini" kita kena buang sifat sombong. Jangan fikir nak buat benda-benda yang tak baik. Di alam kubur bukan sahaja kita nak fikir sama ada boleh jawab soalan-soalan tadi tapi kita kena fikir tentang kesudahan kita semasa sakratul maut.

Kubur ialah tempat mula-mula kita nak ke mahsyar.. Syarat-syarat mudah dihisab, jika soalan boleh dijawab dengan baik maka tak perlu risau di mahsyar.

Kamu pasti ditanya nikmat yang diberikan apakah yang dilakukan terhadapnya. Ingat; "setiap manusia bertanggungjawab atas apa yang dilakukan di dunia ini"

Teringat lirik lagu waliband - Ingat mati:

Ingat mati, ingat sakit
Ingatlah saat kau sulit
Ingat ingat hidup cuma satu kali
Berapa dosa kau buat
Berapa kali maksiat
Ingat ingat sobat ingatlah akhirat
Cepat ucap astaghfirullahal’adzim
Pandanglah ke sana
Lihat yang di sana
Mereka yang terbaring di tanah
Bukankah mereka
Pernah hidup juga
Kita pun kan menyusul mereka
Allah swt berfirman maksudnya : "Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), (1) Sehingga kamu masuk kubur. (2) Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)! "(At-Takaasur [102] : 1 - 3)


Sekian, catatan untuk peringatan kepada diri. Semoga memberi manfaat.


Link berkaitan :

1)  Surah Qaf
2) Pertanyaan di alam barzakh
3) Penghinaan di hari akhirat
4) Sakarat

Monday, August 27, 2012

Perkara Ajaib Dunia Yang Ke Lapan!!!

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Selawat serta salam buat Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Masih dalam bulan Syawal.. semoga dapat meneruskan amal baik yang membawa kita menuju ke syurga dengan mengikhlaskan niat kerana Allah SWT.

Benda pelik atau ajaib dalam dunia orang kata ada tujuh.. tapi ada satu lagi yang ustaz tambah.. boleh lihat dan dengar... semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang menentang syari'at Allah.. Amiin




Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakiNya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata: "Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta kami taat"; kemudian sepuak daripada mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman.




Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak daripada mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).




Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya).



(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).



Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.



****************
Kepada semua pengunjung Nota Untuk Diri.
Diucapkan Selamat BerHari Raya , agak lewat kerana hari ini dah 8 Syawal.. MAAF ZAHIR DAN BATIN

Semoga Allah menerima amalan kita dan

mengampuni segala dosa serta
dipelihara daripada Api Neraka.
Amiin.. Ya Rabbal 'Aalamiin..

Sunday, July 22, 2012

Tadabbur Ayat Surah at-Tahrim



Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum.

Dimaklumkan bahawa saya pernah berkongsi satu kuliyah iaitu
 seperti yang dicatat dibawah.. namun setelah beberapa lama dalam N3 tiba-tiba saya dapati ada virus
lalu saya delete video tersebut .

Harapan saya bila letak link seperti di bawah ini tiada lagi masalah:
http://www.youtube.com/watch?v=3-3xX9SvSgg


Saya mohon maaf kerana terpaksa delete kerana masalah virus tersebut.. dan mohon maaf kepada sahabat-sahabat yang memberikan komen kerana terlupa menyalin komen-komen berkenaan.

 Di bawah ini catatan lama:
Dikongsikan di sini kuliyah ustaz Dr Abdul Basit.. 
Kuliah Subuh di Masjid Al-Mukhlisin, Alam Damai, Jalan Damai Bakti, KL. 

Tajuk: Tadabbur Beberapa Ayat daripada Surah At-Tahrim yang menyentuh tentang kekeluargaan... dan diikuti dengan Persiapan Menyambut Ramadhan..

Selamat Berpuasa, beramal dan mentadabbur.

***********

Di bawah ini saya hanya catat tentang tadabbur ayat daripada surah at-Tahrim.  diharapkan anda pembaca dapat menonton selanjutnya tentang persiapan Ramadhan serta penerangan (tadabbur)  ayat-ayat berkaitan  puasa. 

Apa yang menyentuh perasaan ustaz ni ialah ayat yang dibaca sebelum ini iaitu ayat 6 hingga ayat 11 surah At-Tahriim. Surah ini  membincangkan hal kekeluargaan.

Menceritakan kepada kita tentang keluarga Nabi Muhammad saw kemudian diikuti dengan hal 2 kumpulan manusia, iaitu kisah 2 isteri nabi ( isteri nabi Nuh dan isteri nabi Lut) dan diakhiri dengan kisah isteri Firaun.

Elok tadabbur untuk memotivasikan diri kita.. rujuklah tafsir.

Allah ulang ya ayyuhalazina 4 kali bertururt2 kemudian diikuti dengan daraballahu mathalan..
  
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At-Tahriim 66:6)

Ayat ini ditujukan kepada kita dan keluarga kita. Ini menunjukkan merangkumi satu keluarga. Satu peringatan besar buat kita.. ada terdapat orang yang selalu ke masjid, isterinya juga ke masjid dan kuliyah tapi ahli (anak-anak) tidak diperhatikan. 

Ustaz ingatkan jika kita baca dan perhati ayat ini  kenangkanlah diri anak-anak kita.. cek sendiri seorang-seorang.. solat ke tidak.. tutup aurat ke tidak.. adakah terlibat dengan kes riba dsbnya. Akhir ayat Allah sebut dengan detail tentang malaikat.. Allah suruh jaga keluarga.. kena ingat siapa yang akan jadi bahan api neraka?.. Itulah manusia dan batu-batu yang disembah oleh manusia.. Tugas para malaikat pula ialah mengawal, malaikat pula bengis, kasar dan menurut saja segala perintah. Ini malaikat Zabaniyah.

Ustaz tanya.. Terasa ke tidak dengan yang ini.. adakah aku nak campakkan anak aku ke neraka?.. betapa besar tanggungjawab kita menjaga anak-anak kita daripada api neraka..  sebagaimana kita takut anak kita main api terbakar tangannya.begitulah hendaknya kita takut anak kita tercampak dalam api neraka. wal'iyazubillah. adakah kita tidak takut sekiranya kita tak dapat jaga diri dan jaga diri anak-anak  sekeluarga .. apabila cuai dalam mendidik mereka, kita juga  akan masuk ke neraka.

Kemudian ayat kedua.. malaikat akan bercakap dengan orang-orang yang kufur.

Malaikat itu akan berkata kepada orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka): "Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan". (At-Tahriim 66:7)

Kepada orang-orang yang ingkar kepada Allah SWT, Allah mengingatkan bahawa pada hari kiamat nanti malaikat akan berkata tiada lagi hujah kerana sudah terlambat.

Manakala kepada orang-orang yang beriman pula dikatakan kepada mereka;

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".(At-Tahriim 66:8)

Jadi dengan kedatangan bulan Ramadhan ini iaitu Nabi kata Allah SWT ada senarai hamba-hambaNya yang akan dibebaskan daripada api neraka. Oleh itu jangan berputus asa. Hidup ini merupakan ujian. Hendaklah sentiasa bertaubat. Sempena kedatangan Ramadhan ini carilah kesempurnaan di dalamnya.

Ayat ke 9 pula ayat menyuruh berjihad.

Wahai Nabi! Berjihadlah (menentang) orang-orang kafir dan orang-orang munafik, serta bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.(At-Tahriim 66:9)

Ayat ke 10 

Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)". (At-Tahriim 66:10)

Di sini bukanlah Allah SWT hendak menghina nabi Nuh dan nabi Lut, tetapi Allah nak kita sedar bahawa kalau isteri nabi pun tak mahu ikut nabi inikan pula keluarga kita orang biasa. Jangan pula kata "isteri nabipun tak elok perangainya, (sepatutnya isteri nabi eloklah perangainya)". Jika kata begini.. namanya bukanlah tadabbur atau memahami sebagaimana yang Allah hendak kita fahami.

Ayat 11 
Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"; (At-Tahriim 66:11)

Misalan isteri Firaun ini.. ajaib, sebab beliau tinggal dengan Firaun (di istana orang kafir yang mengaku pula Tuhan). Ketika hukuman dikenakan Asiyah isteri Firaun ini mohon dibina istina di syurga. Ketika hampir ajal beliau tersenyum kerana ditunjukkan kepadanya istana di syurga yang disediakan untuknya. Itulah balasan buatnya yang beriman. 

Ini adalah peringatan besar buat kita bahawa hidup kita ini merupakan belas ihsan daripada Allah 'Azzawajalla. Jadi bila kita baca ayat-ayat ini, ingat kisah nabi Nuh dan Nabi Lut jangan kita lupa kepada doa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim mengajar kita berdoa untuk anak-anak kita; "Ya Allah jauhkanlah aku dan anak-anak aku daripada sembahan berhala". Nabi khalilullah inipun bimbang jika keturunannya terikut-ikut dengan umat-umat terdahulu.

Ustaz nasihatkan agar amalkan baca doa ini di samping satu lagi doa nabi Ibrahim; "Ya Allah jadikan aku orang yang mendirikan solat dan demikian juga dengan zuriat keturunanku.... "

Ambillah beberapa ayat al-Quran dan tadabbur.. ustaz galakkan tadabbur surah Qaf..

Mudah-mudahan memberi manfaat.. amiin

Friday, July 6, 2012

Untuk Orang-Orang Yang Bertaqwa


Sumber Gambar - APA ITU TAQWA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Segala puji bagi Allah pemilik alam semesta mentadbir sendirian. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad rahmat bagi sekelian alam, keluarga serta para sahabat. 

Allah berfirman:

A045

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa  ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga (berada dalam taman-taman syurga) dan dekat dengan mata air-mata air yang mengalir. (Al-Hijr 15:45)


A046

(Mereka dipersilakan oleh malaikat / dikatakan kepada mereka): "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman". (Al-Hijr 15:46)


A047
Dan Kami lenyapkan segala rasa dendam ( perasaan hasad dengki)  yang ada dalam hati mereka daripada sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas dipan masing-masing. (Al-Hijr 15:47)

A048

Mereka tidak akan disentuh rasa lelah (susah payah) dalam Syurga itu, dan mereka pula sekali-kali  tidak akan dikeluarkan daripadanya. (Al-Hijr 15:48)

Inilah akhir daripada perjalanan manusia dan di sanalah puncak nikmatnya. Suatu kenikmatan yang besar kurniaan Allah SWT. Syurga yang dibangunkan hanya untuk orang-orang yang bertaqwa, bukan yang lain. Tidak ada campuran antara penghuni-penghuninya. Ini khusus untuk orang-orang yang bertaqwa semasa hidup di dunia, biarpun semasa berada di dunia mereka hidup bercampur dengan manusia-manusia yang ingkar. Walaupun mereka hidup dalam masyarakat majmuk namun mereka memegang erat taqwa. Mereka tidak mengharapkan keduniaan sahaja. Mereka hidup menuntut kebaikan di akhirat dan dengan sebab mereka pegang teguh akan taqwa maka Allah melimpahkan rahmat dan menempatkan mereka di syurga.

A030

Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan sesungguhnya balasan negeri akhirat itu lebih baik lagi; dan memanglah negeri akhirat ialah sebaik-baik negeri bagi orang-orang yang bertaqwa(Al-Nahl 16:30)

Segala sesuatu yang datang daripada Allah SWT untuk orang-orang yang bertaqwa adalah hal-hal kebaikan. Tidak ada yang tidak baik. Mana ada tempat yang labih baik daripada syurga. Jadi mengapa jemu untuk memiliki taqwa?

Penulisan untuk mengingatkan diri ...

Wednesday, June 20, 2012

tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah "

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Segala puji bagi Allah pemilik alam semesta mentadbir sendirian. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad rahmat bagi sekelian alam, keluarga serta para sahabat. 

Alhamdulillah saya berkesempatan mendengar kuliyah dan dikongsikan di sini serba sedikit tentang apa yang telah disampaikan. Allah tak pernah mungkir janji.  

Ustaz membincangkan telah membincangkan tentang ayat-ayat daripada surah al-A'raaf iaitu mulai 96 hingga 100. Elok untuk kita ambil iktibar.

A096
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah (pasti) Kami akan membuka kepada mereka (pintu/kunci pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (Al-A'raaf 7:96)
A097
Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (Al-A'raaf 7:97)
A098
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (Al-A'raaf 7:98)
A099
Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan balasan azab yang diatur  (datang secara tiba-tiba) oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari balasan azab yangdiatur (datang secara tiba-tiba) oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (Al-A'raaf 7:99)
A100
Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)? (Al-A'raaf 7:100
Dalam ayat-ayat di atas Allah menyuruh nabi Muhammad SAW mengingatkan penduduk Mekah dan seluruh umatnya bahawa DIA akan mengurniakan nikmatNya kepada orang-orang yang beriman denganNya dan Rasul-rasulNya dan menerima agama Islam sebagai petunjuk dan pedoman hidupdengan mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang telah dialami oleh umat-umat terdahulu.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan  yang Allah gambarkan dalam ayat ini :

A096
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu / kunci pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (Al-A'raaf 7:96)
Kedatangan azab tersebut adalah sesuai dengan sunnatullah yang telah ditetapkan dan tidak dapat diubah oleh sesiapapun.

Jika sebut sunnatullah (sunnatullah tak berubah)

A043
Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu. Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah " (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan " Sunnatullah " itu. (Faatir 35:43
Sekali-sekali kamu tidak akan dapati sunnatullah berubah. Lan Ù„َÙ† membawa makna mustahil.

Lihat ayat 120 al-Baqarah

A120
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Al-Baqarah 2:120)
Allah bagi tahu tak relanya Yahudi akan Islam dengan menggunakan perkataan lan  Ù„َÙ†.
Nabi juga guna perkataan lan ketika menyatakan umatnya tidak akan sesat bila rujuk al-Quran dan sunnah.

Sekiranya penduduk beriman dan bertakwa rezeki dari langit iaitu turunnya hujan, dari bumi suburnya tanaman. Itu syaratnya. Jadi jika penduduk tidak beriman dan bertakwa maka tak turunlah rezeki dari langit dan bumi.

Itulah sebabnya jika Allah turunkan azab maka azab itu berkait dengan sikap penduduk negeri itu.

Sebab diturunkan Surah ad-Dukhan (jerebu/asap) ialah pada ketika itu kemarau panjang di Makkah, nak lihat bintang tak dapat, bulan tak dapat, kemarau dan jerebu ini akhirnya banyak yang mati. Ada kaitan dengan sikap penduduk. Kita perlu melihat daripada sudut itu. Sebenarnya itu peringatan daripada Allah. Ketika itu mereka menentang ajaran Nabi Muhammad SAW.

Diterangkan juga tentang hati.

Ikutilah selanjutnya kuliyah ini bagi meningkatkan kefahaman dan ketakwaan kita. Semoga kita dapat menambah ilmu dan seterusnya beramal dengannya. Amiin..

Saat ini masih lagi mendengar kuliyah.. mudah-mudahan dapat mendengar hingga akhir.. InsyaAllah.

Wednesday, May 30, 2012

Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat


Sumber

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah pemilik alam semesta mentadbir sendirian. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad rahmat bagi sekelian alam, keluarga serta para sahabat.


SALAH satu doanya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT supaya tidak ditimpakan kehinaan pada hari kiamat. Nabi Ibrahim berdoa: 

“Dan janganlah Engkau hinakan daku pada hari makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).” (Surah al-Syu'ara, ayat 87-89)
Berdasarkan doa diucapkan Nabi Ibrahim, terdapat tiga perkara yang menarik diberikan perhatian oleh setiap Muslim. 
Pertama, kebimbangan Nabi Ibrahim tentang azab yang pedih pada hari akhirat. Sebagai Nabi, bahkan bapa segala nabi dan rasul, juga bergelar Khalil Allah yang bermaksud kekasih Allah, Nabi Ibrahim masih bimbang serta takut jika ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT pada hari kiamat. Inilah sifat mulia Nabi Ibrahim yang sewajarnya dicontohi. 

Kedua, tiadanya nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Untuk neraca piawaian duniawi, harta dan anak termasuk pengikut adalah petunjuk utama menentukan status serta darjat sosial manusia. Namun pada hari akhirat nanti, kesemua itu tidak menjadi perkara penting dan tidak ada harganya kerana kenikmatan di syurga tidak dapat dijual beli, apatah lagi malaikat sebagai barisan pelaksana perintah Allah tak mungkin dapat diminta belas kasihan untuk melepaskan diri daripada azab dan kesengsaraan. 


Ketiga, kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat. Jaminan keselamatan dan kebahagiaan hanya diberikan kepada orang yang datang menghadap Allah dengan hati bersih dan sihat atau qalbun salim.

Dalam kata lain, hati memainkan peranan penting mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Malah, hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. 


Anggota tubuh badan manusia tidak berfungsi secara keseluruhannya kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq serta sifat mazmumah. 

Perlu ditegaskan, ada banyak pendapat daripada ulama tafsir berkaitan asal usul kalimah qalbun salim ini yang asasnya berkisar kepada tiga makna

Pertama, seperti dikemukakan Ibnu Katsir dan al-Alusi, qalbun salim bermaksud sejahteranya hati daripada penyakit syirik atau kepercayaan sesat. Hati sihat bererti memiliki akidah yang benar, lurus, bebas daripada segala bentuk kemusyrikan dan kesesatan. 


Kedua, qalbun salim bererti bersih daripada penyakit hati iaitu sifat mazmumah seperti riak, hasad dengki, sum’ah, sombong dan sebagainya

Permulaan surah al-Baqarah, dikemukakan tiga golongan manusia iaitu orang yang bertakwa (al-muttaqun), orang kafir (al-kafirun) dan orang munafik (al-munafiqun). 

Golongan yang disebut terakhir ini (orang munafik - al-munafiqun) adalah orang yang hatinya berpenyakit seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: 

“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) ada penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” (Surah al-Baqarah, ayat 10) 

Hati yang bersih dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain. 

Ketiga, seperti badan yang sihat, hati sihat juga memiliki kesempurnaan dan kekuatan melakukan tugas sesuai dengan maksud penciptaannya sebagai hamba dan khalifah Allah. Fungsi hati yang utama adalah untuk mengenal Allah SWT, iaitu dengan iman dan takwa, seperti maksud sabda Rasulullah SAW: “Takwa itu di sini, dan baginda SAW menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali.” (Hadis riwayat Baihaqi) 

Satu perkara tidak dapat disangkal adalah hati yang sihat sumber segala kebaikan dan pendorong amal salih. Di sini, hanya hati yang disebut sebagai sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat, bukannya anggota tubuh badan lain. 

Hal ini, menurut imam al-Razi, kerana jika hati sihat, seluruh anggota badan yang lain ikut sihat. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Tiga perkara menarik di sebalik doa Nabi Ibrahim 
  • Bimbang ditimpa kehinaan dan azab pedih pada hari akhirat; 

  • Nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan tiada nilai pada hari kiamat dan 

  • Kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Berita Harian2012/05/25