Showing posts with label Kisah dan Pengajaran. Show all posts
Showing posts with label Kisah dan Pengajaran. Show all posts

Thursday, December 9, 2010

Lelaki Ahli Syurga

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini kongsi sebuah riwayat. Mungkin ramai dah membacanya, tetapi sebagai mengingati semula, saya selitkan dalam blog ini. Semoga dapat memberi manfaat.

Rasulullah saw sedang duduk dalam sebuah majlis ilmu bersama para Sahabat, tiba-tiba baginda berkata: Sekarang akan lalu di hadapan kalian lelaki ahli syurga".

Tak lama kemudian muncul seorang lelaki Ansar dengan janggut yang kusut kerana air wudhuk, tangan kirinya memegang dua sandalnya.

Esoknya Rasulullah saw berkata yang serupa, lalu muncullah lelaki yang sama seperti pada hari pertama.

Pada hari ketiga Rasulullah saw mengatakan hal yang sama juga lalu muncul juga lelaki yang sama.

Apabila selesai majlis hari ketiga, sebaik sahaja Rasulullah saw bangun, Abdullah bin Umar ra mengikut lelaki tadi. Abdullah berkata kepada lelaki itu:

"Aku telah membuat ayahku marah. Akibatnya aku bersumpah untuk tidak menemuinya selama tiga hari. Jika engkau tidak keberatan aku meminta pertolonganmu sebelum aku pergi. Aku akan mengikutimu".

"Baiklah" jawab lelaki itu.

Abdullahpun menginap di rumahnya selama 3 hari. Beliau tidak melihatnya melakukan solat malam walaupun sekali. Namun apabila dia beralih dari sebelah ke sebelah daripada tempat pembaringannya lelaki itu menyebut nama Allah hingga dia bangun untuk solat subuh.

Abdullah berkata: "Dia tidak mengatakan kecuali perkataan yang baik-baik. Apabila sampai 3 hari dan aku hampir meremehkan amalannya, aku berkata: "Wahai hamba Allah, sebenarnya aku tidak bersengketa dengan ayahku, tidak juga diusir. Hanya sahaja aku mendengar Rasulullah saw berkata hingga 3 kali, Akan melintas di hadapan kalian lelaki ahli syurga, lalu engkau muncul.

Aku sungguh bingung, aku menginap di rumahmu ini untuk melihat apa yang engkau kerjakan sebenarnya agar aku dapat menirunya. Namun aku tidak melihat engkau melakukan ibadat yang besar. Aku bertanya-tanya apa yang sebenarnya yang membuatkanmu mendapat darjat yang besar sebagaimana yang Rasulullah katakan?."

Lelaki itu menjawab, “Diriku hanyalah seperti yang engkau lihat.”

Setelah mendengar jawapannya, aku bergerak meninggalkannya. Selang beberapa langkah, lelaki itu kembali berkata kepadaku : “Diriku hanyalah seperti yang engkau lihat, tidak ada yang istimewa, selain itu aku tidak memendam perasaan negatif sedikitpun terhadap seseorang daripada kaum Muslimin, tidak juga mendengki seseorang atas anugerah yang Allah berikan kepadanya".

"Inilah rupanya prestasimu". Ucap Abdullah membuat kesimpulan.

Benarlah dengki, iri hati akan menghapus segala amalan. Hilangkan dengki balasannya ialah syurga.

(Hadis Riwayat Ahmad dengan sanad menurut syarat Bukhari, Muslim, dan Nasa’i).

Dipetik daripada 1001 kisah benar.

Wednesday, April 28, 2010

Kematian Yang Tak Dapat Ditolak

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika demikian, hindarkanlah maut daripada diri kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar. (Muhammad [3] : 168)

Kematian pasti mendatangi setiap makhluk ciptaanNya yang bernyawa. Yang tidak bernyawa pula pasti tempoh lupusnya tak terelak. Kehadiran kematian tak dapat dihindar, biar dia seorang raja yang memiliki kekuasaan hingga ke rakyat jelata yang marhaen. Biarpun didatangi para doktor untuk menyelamatkan, kematian tetap tidak dapat ditolak.

Maka alangkah eloknya kalau semasa (roh seseorang daripada kamu yang hampir mati) sampai ke kerongkongnya; (83) Sedang kamu pada masa itu (berada di sekelilingnya) menyaksikan keadaannya. (84) Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat, (85) Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami); (86) Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar? (87) Kesudahannya: Jika dia (yang mati itu) dari orang-orang "Muqarrabiin", (88) Maka (dia akan beroleh) rehat kesenangan dan rahmat kesegaran, serta Syurga kenikmatan. (89) Dan jika dia dari puak kanan, (90) Maka (akan dikatakan kepadanya): Selamat sejahtera kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan. (91) Dan jika dia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat, (92) Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak, (93) Serta bakaran api Neraka. (94) Sesungguhnya (segala yang disebutkan) itu adalah kebenaran yang diyakini. (95) Oleh itu, bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar. / (96) (Al-Waaqi'ah [56] : 83 - 96)

Tak kira di mana dan apa jua cara kematian pasti mendatangi kita. Di bawah ini sebahagian cara seseorang didatangi kematian.

Penceramah ketika sedang berceramah. Subhanallah, Allahu Akbar.




Dalam masjid.




Ketika sujud.




Sedang melintasi jalan.




Ketika bersukan.




Juga ketika bersukan.




Sebenarnya tidak harus dikhuatirkan kematian, sebab kematian itu pasti. Ia merupakan nikmat bagi setiap yang bernyawa. Kenapa dikatakan nikmat?


Nikmat kehidupan dan kematian.


Hidup itu nikmat dan mati pun nikmat. Kita faham dan mengerti bahawa hidup itu nikmat tetapi fahamkah kita bahawa mati juga merupakan nikmat?


Mati dikatakan nikmat kerana jika kita tak mati2 kita akan penat, sebab semakin tua dan tak berdaya dan bilakah kita akan dapat upah. Allah hanya tunjukkan upah kepada kita apabila kita mati (Bagi yang syukur) . Bila mati dalam husnul khatimah, kubur dilapangkan, jika bakal penghuni syurga, syurga ditunjukkan. Jika nak lihat semua itu mesti kena mati. Nikmat kepada yang hidup pula ialah dunia tidak menjadi sempit kerana manusia baru dilahirkan. jika tak mati2 penuhlah dunia dengan manusia. Rumahpun makin sempit. SUBHANALLAH.. begitulah aturan Allah SWT.

Dalilnya ada dalam surah al-Baqarah [2] ayat 28 : Bagaimana kamu tergamak kufur (tidak syukur/mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan). (Al-Baqarah [2] : 28).

Setiap yang hidup pasti memasukinya. Namun masalah yang serius ialah apakah yang terjadi selepas kematian itu sendiri. Apakah yang menanti sebuah kematian itu adalah sebuah taman yang di dalamnya mengalir sungai-sungai serta kenikmatan yang banyak ataupun sebuah tempat yang di dalamnya api yang bergejolak serta makanan daripada buah zakkum.

Semasa mereka diseret di dalam Neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api Neraka. (Al-Qamar [48] : 48)

Orang-orang salih sangat rindu, ingin segera bertemu dengan Rabb mereka sebagaimana yang dikisahkan bahawa Imam 'Ali bin Abu Talib semasa menunggu saat kematiannya selepas ditikam dengan tombak beracun; beliau tersenyum sedangkan sahabat-sahabat yang mengelilinginya menangis. Ketika ditanya mengapa beliau tersenyum, 'Ali ra menjawab dengan bertanya semula; "Kenapa aku mesti sedih sedangkan aku ingin bertemu dengan kekasihku. Bagaimana aku tak gembira kerana aku akan bertemu denganNya yang selama ini aku hanya menyebut namanya"


Orang yang rindu kepada kematian akan bersiap sedia dengan bekalan. Betapa tidak! kerana dia yakin akan bertemu dengan Allah.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. (7) Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah Syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. / (8) (Al-Baiyyinah [98] : 7 -8)

@@@@@@@@@

Terima kasih kepada e-naLovelykitchen.blogspot atas penghargaan ini.


Monday, February 1, 2010

Keberanian Umar dikagumi

MASJID Saidina Umar di Jerusalem (Baitul Maqdis) yang terletak berhampiran
Gereja the HolySepulchre yang dibina bersempena Saidina Umar pernah bersolat di atas tapak masjid itu.
-----------------------------------------------------------------------------

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.


Siapakah sahabat Nabi Muhammad yang sanggup membunuh sesiapa sahaja yang berani mengatakan bahawa baginda Rasulullah telah wafat?


Akibat tidak dapat menerima hakikat, orang yang paling dikasihi akhirnya pergi menemui Allah, Saidina Umar Al Khattab menghunuskan pedang dan mengamuk sekeliling kota Mekah.


Sehinggalah beliau berjaya dipujuk dan ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq supaya menerima hakikat kewafatan Rasulullah itu tiada bezanya seperti manusia-manusia yang lain.


Kata Abu Bakar: "Sesiapa yang mengikuti Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah SWT ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati!"


Barulah Umar akur dan tunduk kepada ketentuan Allah yang berat itu, tidaklah lagi beliau mengamuk malah mengajak umat Islam yang lain juga menerima hakikat pedih itu dengan iman dan tabah.


Begitulah Umar, masih tersisa sifat peribadinya yang tegas, tetap pendirian dan sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan pendiriannya itu.


Sungguhpun begitu beliau sering dijadikan bahan perumpamaan. Ini apabila Umar diumpamakan seperti sebongkah batu yang sangat keras dan tidak mungkin sesiapa dapat memecahkannya. Tetapi jika sudah ditakdirkan Allah beliau akhirnya tunduk memeluk Islam, terbukti batu yang keras pun boleh dileburkan.


Namun pengislaman Umar yang mempunyai kisah tersendiri itu bukan sahaja berfaktorkan hidayah tetapi mungkin juga berkat doa dari Rasulullah.


Menurut Al Mubarakfuri dalam buku sirah Nabawiyyah SAW, Rasulullah sering meminta dan berdoa kepada Allah: "Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang lelaki yang paling Engkau suka, sama ada Umar bin al Khattab atau Abu Jahal bin Hisham".


Ini mungkin kerana di zaman jahiliah kejahatan Umar dan Abu Jahal begitu melampau terhadap Islam yang seolah-olah tidak mampu lagi dihadapi oleh baginda. Itu menyebabkan baginda sering berdoa. Ternyata Allah lebih 'menyayangi' Umar dan diberikannya hidayah dan cahaya Islam.


Sehingga tidak dinafikan tanpa sumbangan dari Umar, perjalanan dakwah baginda Rasulullah mungkin adalah lebih sukar daripada apa yang kita dapat bayangkan!


Umar lebih dikenali sebagai Umar Al Faruk. Iaitu seseorang yang tahu memilih dan membezakan antara yang hak dan batil, antara benar dan palsu.


Gelaran ini diberi oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaga para jemaah itu daripada gangguan orang-orang Quraisy.


Nabi Muhammad SAW juga memanggil Umar dengan panggilan 'Abu Hafs' kerana kegagahannya itu.


Daripada seorang yang sangat petualang kepada Islam di zaman jahiliahnya, tetapi di zaman Islam beliau seorang pejuang Islam yang paling gigih, kental dan sejati.


Tiada siapa dapat menafikan hakikat itu. Sehingga dapat menakluk wilayah-wilayah bagi meluaskan jajahan dan empayar Islam dari Timur ke Barat dan sehinggalah pada tahun 637 beliau berjaya mengembalikan semula Baitul Maqdis kepada Islam.


Dikisahkan selepas pengepungan Baitul Maqdis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut yang diketuai oleh panglima Islam Abu Ubaidah ibn al-Jarrah.


Namun Paderi Besar Baitul Maqdis iaitu Sophronius enggan menyerah diri kecuali kepada Saidina Umar sendiri.


Lalu Umar mengembara dari Madinah dan apabila bertemu, Paderi itu menyerahkan sendiri kunci kota itu kepada Saidina Umar.


Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak. Sebaliknya beliau solat tidak jauh dari gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian.


Di samping tidak mahu ada pihak yang salah faham bahawa jika Umar melakukan solat di gereja itu bermakna khalifah Islam itu hendak menawan gereja untuk dijadikan masjid.


Sehinggalah 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar solat.


Begitulah antara moral atau akhlak Umar yang unggul dan sukar ditemui pada mana-mana pemimpin dunia yang lain.


Justeru mengapa tidak kita kembali mengenali Umar kerana segala sifat-sifat yang ada pada beliau itu wajar sekali disegarkan kembali dalam ingatan. Setelah kembali segar, mengapa tidak beliau kita contohi?


Sifat-Sifat Peribadi


Seorang yang bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan agama Islam juga seorang yang tegas dan adil.


Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah SWT. Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan amanah.


Pernah menyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika itu beliau memegang jawatan khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya.


Malah beliau sendiri yang mengangkat guni-guni gandum dan minyak untuk diberi kepada golongan yang memerlukan.


Berfikiran terbuka


Menerima pendapat sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat.


Menerima pendapat seorang perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan mas kahwin mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat biasa.


Berani


Sebelum memeluk Islam dengan begitu kuat menentang Rasulullah SAW sehingga menyebabkan beliau sangat ditakuti dan digeruni oleh orang yang memeluk agama Islam. Namun apabila 'berani kerana benar' beliau tidak gentar mengisytiharkan dirinya memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai.


Satu-satunya Muslim yang berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai.


Beliau jugalah yang mencadangkan Rasulullah SAW supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka. Sebagai jaminan beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah SAW daripada berpindah ke Madinah.


Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran al-Faruq.


Adil


Seorang pemerintah yang adil dan bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya. Beliau tidak memilih bulu dan mengetepikan soal status diri dan sesiapa yang didapati bersalah, tetap akan dihukum.


Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.


Jasa-jasa dan sumbangan besar Umar terhadap Islam begitu dijanjikan kepadanya akan syurga. Bagi Umar segala kebaikan yang beliau lakukan selepas memeluk Islam seolah-olah masih tidak membayar segala dosa dan kesalahan beliau yang lampau itu.


Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW pernah ditanya: Siapakah orang yang paling mulia? Jawab baginda: Orang yang paling bertakwa. Kata mereka: Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Jawab Nabi: Kalau begitu, tentang siapakah orang Arab yang paling mulia yang kamu ingin tanyakan kepadaku? Sesungguhnya orang paling mulia di kalangan kamu pada masa jahiliah, dia jugalah yang paling mulia di antara kamu di dalam Islam sekiranya dia tafaqquh fiddin. (riwayat Bukhari)


Tepat sekali jika yang dimaksudkan oleh baginda itu antaranya Umar al Khattab. Lebih-lebih lagi setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti hatta oleh syaitan.


Apakah rahsianya Saidina Umar Al Khattab boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar tafaqquh fiddin (faham agama).


Mukmin yang tafaqquh fiddin memang lebih ditakuti oleh syaitan dibandingkan dengan orang yang banyak beribadat tetapi jahil tentang selok belok agama.


Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: Ertinya: Seorang Faqih (orang yang tafaqquh fiddin) adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'abid (orang yang banyak beribadat). (riwayat Tarmidzi, Ibnu Majaah dan al-Baihaqi)


Nama penuh sahabat besar Nabi ini ialah Umar bin Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab.


Dilahirkan pada tahun 583M daripada Bani Adi iaitu salah satu puak dalam kabilah Quraisy yang dipandang mulia, megah dan berkedudukan tinggi.


Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti. Umar memeluk Islam pada tahun keenam selepas kerasulan nabi.


Oleh : SITI AINIZA KAMSARI