Showing posts with label Setiap amalan dibalas. Show all posts
Showing posts with label Setiap amalan dibalas. Show all posts

Friday, December 16, 2011

Hijrah Perlu Sepanjang Masa


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.


Di hujung ayat 195 surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman yang bermaksud : 
“... sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Al-Baqarah 2:195)


ANDAINYA setiap individu muslim memahami dan menyedari betapa cintanya Allah SWT kepada orang yang berbuat baik, sudah tentu dia akan merebut cinta Allah itu dengan mengisi setiap ruang waktu kehidupannya berbuat amal salih.

 Allah juga berfirman dalam ayat 111 surah an-Nisaa' maksudnya:


“Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. ”(An-Nisaa' 4:111)


Jika setiap muslim itu benar-benar menginsafi betapa Allah SWT sangat membenci perlakuan jahat dan maksiat, sudah tentu dia akan berasa takut untuk mendekati segala perbuatan jahat dan mungkar. Jika sudah terlanjur, dia akan segera meninggalkannya dan bertaubat kepada Allah SWT.

Mukmin yang menjerumuskan dirinya dalam perlakuan jahat dan amalan mungkar sebenarnya terdedah kepada dosa, kemurkaan serta balasan Allah SWT sama ada di dunia atau akhirat kelak. Inilah perlu ditakuti muslim yang masih tidak mengendahkan tegahan Allah SWT. 

Mereka yang meninggalkan larangan Allah SWT melalui fasa perubahan yang dinamakan hijrah atau transformasi diri. Tindakan ini perlu dilakukan setiap masa kerana amalan muhasabah memang digalakkan dan diterjemahkan kepada berusaha berubah kepada lebih baik dalam bentuk perlakuan. 

Mukmin yang sengaja tidak menghiraukan tegahan Allah dibimbangi ajal menjemputnya lebih dulu sebelum sempat bertaubat. Dinyatakan dalam hadis, Allah SWT cemburu kepada hamba-Nya yang melakukan perkara ditegah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT memiliki sifat cemburu, dan kecemburuan Allah itu ialah apabila orang mukmin melakukan perbuatan yang diharamkan oleh-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Sesungguhnya akhlak yang mulia adalah buah daripada ibadah yang sempurna. Ibadat yang difardukan Allah SWT seperti solat lima waktu, puasa, zakat fitrah dan ibadah haji, selain bukti kepatuhan kepada Allah SWT, juga membentuk pelakunya menjadi manusia berakhlak mulia. 

Dengan kemuliaan akhlak itulah, manusia mampu menjauhi segala amalan mungkar yang ditegah Allah SWT. 

Mukmin yang insaf bahawa hidup ini sementara dan amat singkat, sedangkan masa berlalu setiap saat adalah usianya, akan memandang umurnya masih berbaki itu sangat bernilai dan tidak wajar dibazirkan kepada perkara sia-sia.

Apalagi menjerumuskan diri ke kancah kejahatan dan maksiat. Hidup ini sebenarnya adalah kesempatan emas untuk memburu dan berlumba-lumba mengejar amal kebajikan sebagai bekalan menemui Allah SWT kelak.

Diceritakan, suatu hari seorang lelaki yang gemar berbuat maksiat datang menemui ahli sufi bernama Ibrahim bin Adham untuk meminta nasihat (dengan harapan ia dapat meninggalkan amalan maksiatnya). 

Ibrahim bin Adham lalu menasihati lelaki itu dengan berkata: “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu lakukan maksiat.”

Syaratnya ialah, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan (kamu) makan rezeki-Nya; jika kamu berbuat maksiat, jangan tinggal di bumi-Nya, jika kamu masih bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya.

Jika malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakan kepadanya, ketepikan kematianku dulu kerana aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal salih. Jika malaikat Zabaniah datang hendak mengiringimu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya. 

Nasihat Ibrahim bin Adham itu amat menusuk kalbunya, membuatkan lelaki berkenaan insaf. Air matanya bercucuran kerana tidak tahan mendengar nasihat sangat mengesankan dan sedar bahawa semua syarat itu tidak mampu dilaksanakannya. Mulai saat itu dia bertaubat kepada Allah SWT. 


Monday, November 7, 2011

Suasana Alam Akhirat (62) - Surah Al-Insyiqaaq

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian hanya milik Allah. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia hingga ke hari kiamat.


Huraian di bawah ini diambil daripada sumber yang diberi tajuk "Setiap amalan dibalas". Ini berkaitan dengan suasana alam akhirat seperti yang digambarkan dalam surah al-Insyiqaaq iaitu surah ke 84 ayat pertama hingga ayat kelima belas.

Syed Qutub berkata: "Surah ini dimulakan dengan menayangkan beberapa surah kiamat yang dijelaskan dengan luas dalam surah al-Takwir, surah al-Infitar dan surah al-Naba', tetapi gambaran kiamat yang ditayangkan di dalam surah ini mempunyai satu ciri khusus yang berlainan, iaitu ciri menyerah kepada Allah SWT, di mana langit dan bumi menyerah diri dengan penuh patuh dan khusyuk kepada Allah."

Imam Malik meriwayatkan daripada Abdullah bin Yazid, daripada Abu Salamah bahawa Abu Hurairah r.a pernah membaca dalam solat bersama mereka yang bermaksud: "Apabila langit terbelah lalu ia sujud."

Apabila selesai, Abu Hurairah memberitahu mereka bahawa Rasulullah SAW pernah bersujud kerana membacanya. Demikian yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan al-Nasaei.
Firman Allah SWT:

AYAT 1Apabila langit terbelah, 

AYAT 2 :  Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh.

Ibn Kathir berkata: "Iaitu pada hari kiamat di mana makhluk mendengar dan mematuhi serta mentaati perintah Tuhannya yang selayaknya dipatuhi."

Syed Qutub menambah: "Tetapi perkara baru yang dikemukakan di dalam surah ini ialah penyerahan diri langit kepada Tuhannya iaitu ia wajib menyerah diri menjunjung perintah Tuhannya dengan penuh ketaatan dan kepatuhan."

AYAT 3 "Dan apabila bumi diratakan, 

AYAT 4 : Serta mengeluarkan apa Yang di dalamnya, dan menjadi kosong, 

AYAT 5 : Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh; - (maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa Yang telah dilakukannya)."

Ibn Kathir berkata, maksud bumi diratakan adalah dihamparkan, dibentangkan dan diluaskan. Mujahid, Said dan Qatadah berpendapat di mana bumi memuntahkan yang ada di dalamnya bermaksud mengeluarkan mayat-mayat yang ada dalam perutnya sehingga benar-benar kosong.

Ada tafsir menyebut termasuklah isi kandungan di dalam bumi seperti logam-logam, air-air dan rahsia-rahsia yang diketahui Allah.

Semua isi kandungan ini telah dikandung bumi abad demi abad sehingga sampailah hari kiamat, dan pada hari itulah bumi akan meluahkan semua isi kandungannya itu.

AYAT 6 : Wahai manusia! Sesungguhnya Engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) Dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian Engkau tetap menemui balasan apa Yang Engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).

Ibn Kathir berkata: "Dia akan membalas atas perbuatan usahamu. Syed Qutub dalam salah satu tafsirannya menyebut: "Wahai insan yang dikurniakan dengan sifat-sifat kemanusiaan yang istimewa! Pilihlah untuk dirimu jalan yang layak dan sesuai dengan sifat-sifat istimewa yang dikurniakan Allah kepadamu! Pilihlah jalan yang memberi kerehatan kepadamu dari segala kepenatan semasa engkau menemui Allah kelak.

"Seruan ini menghubungkan dengan untung nasib yang akan diterima oleh orang-orang yang berpenat lelah dan bertungkus lumus di dunia apabila mereka sampai di penghujung jalan menemui Tuhan mereka".

AYAT 7Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, 

AYAT 8 : Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, 

Dengan pengertian lain, seluruh amal perbuatannya tidak dihisab secara khusus, kerana barang siapa yang dihisabnya dilakukan seperti itu (mendalam), maka tidak diragukan lagi pasti dia akan binasa.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Aisyah R. Anha, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang dihisab secara khusus, pasti dia akan diazab.

Lalu Aisyah R. Anha bertanya lagi: Bukankah Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Maka dia akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah? Baginda bersabda: Bukan itu yang dihisab, tetapi yang demikian itu hanyalah amal perbuatan, kerana barang siapa yang dihisab secara mendalam, pasti dia akan di azab. (riwayat al-Bukhari, Muslim al-Tarmizi dan an-Nasaei)

AYAT 9Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) Dengan sukacita. 

Qatadah, al-Dahhak berkata dalam keadaan senang, kerana merasa gembira atas apa yang diberikan Allah SWT kepadanya.

AYAT 10Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, 

AYAT 11 : Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, 

AYAT 12 : Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.

Ibn Kathir berkata, cara penerimaannya iaitu dengan tangan kirinya dari arah belakang, di mana tangannya itu menghulur dan diberikan buku catatannya itu kepadanya.

Sheikh al-Maraghi berkata: "Sesetengah yang lain apabila diperlihatkan amalan perbuatannya yang telah lalu wajahnya bertukar menjadi muram, berusaha menjauhi dan membelakangi serta berharap agar tidak diperlihatkan kepadanya, diambil bukunya dengan catatan amalan itu dengan tangan kiri atau diambilnya dengan cara membelakanginya".

Pada ketika itu dia berseru: "Oh celaka sekali!" Atau dengan keluhan: "Wahai kebinasaan! Terimalah buku itu, kerana kami tidak ingin terus hidup, ia mengetahui hal itu adalah penyebab adanya seksaan yang lama dan pasti dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan merasakan kepanasan api neraka".

AYAT 13Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)! Ini kerana mereka melakukan maksiat di dunia dan lupa pembalasan akhirat.

AYAT 14Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)!

Sheikh al-Maraghi berkata: "Ayat ini berkata orang yang mengikut hawa nafsu syahwatnya dan kelazatan dunia, tidak termasuk dalam golongan orang yang mempunyai perkiraan tentang hari akhirat, keyakinan bahawa mereka akan dikembalikan semula kepada Tuhan untuk dihisab amalannya.

Bahkan mereka beranggapan kuat bahawa mereka tidak akan dihisab dan Allah SWT tidak menyalahi janji-Nya.

AYAT 15 : (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa melihat dan mengetahui keadaannya!

Hamka berkata: "Oleh sebab itu maka hati-hatilah melangkah dari sekarang, agar tenaga tidak habis percuma dan kelak kita akan bertemu dengan Tuhan kita dalam suasana yang menggembirakan hati. Sebab Tuhan sendiri pun inginkan agar kita menjadi orang baik (orang soleh)".


Semoga Allah menjadikan kita golongan yang mendapat catatan amalan dengan tangan kanan. Amin.