Showing posts with label video. Show all posts
Showing posts with label video. Show all posts

Tuesday, December 18, 2012

Bahaya Mati Jahil


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum.

Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Selawat serta salam buat Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Nasihat Luqman al-Hakim yang pertama kepada anaknya ialah jangan syirik kepada Allah. Syirik kepada Allah satu inaya/zalim yang paling besar.

Jadi perkara yang pertama kita perlu nasihat kepada anak-anak kita ialah jangan syirik kepada Allah. Bahaya syirik, jika tak sempat taubat matilah dalam syirik lalu duduklah dalam neraka selama-lamanya.

Orang Budha, Kristian, Yahudi percaya kepada Allah tapi masa yang sama syirik kepada Allah.

Orang Islam kata La ilaha illallah. Allah itu satu, Esa, tiada sekutu baginya.

Dalam solat kita kata la syarika lahu.. tiada sekutu bagiNya.

Dalam Islam tiada istilah menilik, menilik tu haram. Percaya kepada bomoh yang menilik itu syirik.

Jangan sekutukan Allah itu dengan apa sahaja. 

Zalim ada 3

1) Syirik kepada Allah. Allah yang bagi rezeki tiba-tiba duk percaya benda lain pula. Allah bagi segalanya. Manusia tak reti buat apapun. Udara, ikan dan segalanya kita tak tahu buat. Zalim ialah meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Kena faham tauhid uluhiyah dan rububiyyah. Fahamilah Iyyakana'budu waiyyakanasta'iin. Berubat adalah asbab. Bukan ubat yang bagi lega tapi Allah yang bagi lega.

2) Zalim yang tidak diampun ialah zalim sesama kita. Kita buat zalim kepada orang, selagi orang tak ampunkan kita, kita tetap zalim.

3) Zalim yang diampun. Zalim kepada diri sendiri. Tak solat, tak beri zakat, tak tutup aurat. Kalau minta ampun Allah akan ampunkan. Sebab itulah nabi Adam dan isterinya minta ampun.

Zalim yang paling besar ialah syirik. 

Beribadatlah kerana Allah, bagi Allah, untuk Allah, La ilaha illallah.

Semua yang ditulis di atas itu ialah sebahagian daripada kuliyah Ustaz Mutalib Maarof tentang Bahaya mati jahil . Jadi kena belajar supaya tidak buat salah dan tidak mati dalam keadaan jahil, lebih-lebih lagi dalam keadaan mensyirikkan Allah SWT.

Teruskan menonton.




Friday, December 14, 2012

Harta Sebagai Wasilah Untuk Akhirat

tentera semut
Gambar Hiasan : Googles


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum.

Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Selawat serta salam buat Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Lama tak update blog.. Hari ini alhamdulillah diberi kekuatan meng'update'. Itupun copy n paste daripada sebaik-sebaik kekayaan adalah kaya jiwa  .. ditulis dalam ruangan komen di link yang diberi.

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ". (Al-Qasas 28:77) 


Walaupun ayat ini dinasihatkan kepada Qarun namun kena dijadikan panduan oleh kita semua.

Ada dua tujuan Allah ciptakan segala yang ada di bumi dan langit iaitu aqidah dan kebendaan

Allah ciptakan segala-galanya untuk menunujukkan kesempurnaan qudrahNya. Seolah-olah Allah berkata; "Wahai Anak Adam! lihat tumbuh-tumbuhan, binatang dan semua yang Aku ciptakan ini supaya kamu boleh lihat kesempurnaanKu. Melihat semuanya itu kamu semakin sedar kewujudan Aku. 

Dengan melihat segala ciptaan Allah, manusia akan yakin kepada Allah SWT, bila lihat cili bersebelahan tebu tetapi rasanya berbeza, akan berkata seperti dalam ayat ali Imran 191

Sekarang kamu dah dapat rasa kesempurnaan qudrah Allah SWT maka rasalah, nikmatilah kurniaanNya. 

Apa saja yang Allah berikan kepada kita pastikan bahawa semua itu adalah wasilah untuk mencapai kejayaan di akhirat. Ambil sedikit untuk kegunaan di dunia tapi jangan lupa fungsi asalnya.

Bila orang diberi 10 tapi hanya perlu 3 maka yang 7 itu jadikan wasilah untuk akhirat.

Orang yang sihat tentulah bepeluang buat baik lebih daripada orang sakit.Orang kaya tentulah lebih berpeluang daripada orang miskin tapi bukan bermaksud orang miskin susah memasuki syurga.

Hamka ada menulis, jika kamu seorang yang kaya senang-senangkan hatimu kerana Allah telah membuka jalan yang lebar bagi kamu untuk ke syurga, jika kamu seorang yang miskin senang-senangkan hatimu kerana dengan kemiskinan kamu, kamu terbebas daripada kedengkian orang, dengan kemiskinan kamu, kamu boleh tidur di mana-mana tanpa rasa takut. 

Senang-senangkan hatimu, pastikan apa yang Allah SWT berikan kepada kamu itu kamu gunakan sebagai wasilah untuk akhirat, tak salah gunakan sebahagiannya di dunia. Itulah qana'ah. Sebahagian besarnya untuk tujuan akhirat.

Abu abbas al-Mursi kata masa manusia terbahagi kepada 4 sahaja; masa nikmat, masa susah, masa taat dan masa maksiat. Apapun masa kita pastikan kita gunakan untuk tujuan akhirat.

Setiap hamba Allah mempunyai EMPAT waktu, iaitu

1. Waktu mendapat nikmat.
2. Waktu mendapat ujian dan cubaan.
3. Waktu melakukan ketaatan.
4. Waktu melakukan maksiat.

Apabila mendapat nikmat bersyukurlah, bila waktu mendapat ujian dan cubaan; redha dan bersabarlah, jangan sekali-kali berkeluh kesah.

Waktu melakukan ketaatan; ingatlah bahawa Allahlah yang memberi petunjuk dan kekuatan, beristighfar serta berdoalah agar ibadah diterima.

Waktu melakukan maksiat, ingatlah Allah Maha Pengampun lalu bersegeralah bertaubat.

Daripada segi qalbun salim, bila kita sakit jangan segera minta sembuh, bila rugi jangan segera minta untung sebab bila kita sakit atau rugi Allah berikan kita peluang untuk sabar. Jangan mengeluh. Allah Maha Tahu apakah amalan hambaNya yang mudah dilakukan oleh hambaNya sebagai jalan menuju ke syurga.. 

Orang sakit jangan dengki kepada orang sihat, orang rugi jangan dengki kepada yang untung. Jadi bersabarlah. Allah dah kata bila orang tu diberikan nikmat bila bersyukur tak perlu minta Allah tambahkan. Orang musibah tak perlu berkeluh kesah, lihat Nabi Yunus dah ditelan ikan, dia tak mintapun dilepaskan tapi asyik mengaku kesilapan diri, memuji Allah, lihat bagaimana Allah mengampunkan dan meninggikan darjat.

Mengembalikan amalan kepada Allah itulah ikhlas jika mengembalikan kepada diri sendiri itulah ujub maka akan terhumban ke neraka. Merasa dah buat banyak kebaikan bercakap seolah-olah apa yang kita buat dah banyak.

Mudah-mudahan memberi manfaat.

Monday, August 27, 2012

Perkara Ajaib Dunia Yang Ke Lapan!!!

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbir seluruh alam. Selawat serta salam buat Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Masih dalam bulan Syawal.. semoga dapat meneruskan amal baik yang membawa kita menuju ke syurga dengan mengikhlaskan niat kerana Allah SWT.

Benda pelik atau ajaib dalam dunia orang kata ada tujuh.. tapi ada satu lagi yang ustaz tambah.. boleh lihat dan dengar... semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang menentang syari'at Allah.. Amiin




Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakiNya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata: "Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya serta kami taat"; kemudian sepuak daripada mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya) tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya beriman.




Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak daripada mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).




Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya).



(Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran mereka).



Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.



****************
Kepada semua pengunjung Nota Untuk Diri.
Diucapkan Selamat BerHari Raya , agak lewat kerana hari ini dah 8 Syawal.. MAAF ZAHIR DAN BATIN

Semoga Allah menerima amalan kita dan

mengampuni segala dosa serta
dipelihara daripada Api Neraka.
Amiin.. Ya Rabbal 'Aalamiin..

Monday, April 9, 2012

BILAH-BILAH KEHIDUPAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pagi ini berkesempatan menyalin sesuatu daripada buku Misteri Alam Arwah dan menonton youtube di bawah.

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah ra dan Abu Musa al-Asy'arie ra bahawa mereka berkata : "Aku bertanya kepada Rasulullah saw bila terjadinya seseorang yang akan meninggal dunia itu tidak mengenali orang-orang di sekitarnya? Baginda menjawab: "Ketika sudah ada kenyataan."

Menurut pendapat ulama' bahawa yang dimaksudkan dengan kenyataan itu ialah nampak Malaikat Maut atau Malaikat. Juga dalam pengertian hadith marfu' yang diriwayatkan oleh Tirmizi bahawa Allah menerima taubat seseorang sebelum waktu "ghargharah" yakni ketika roh telah sampai ke kerongkong (halkum). Jadi pada masa sudah ada kenyataan itu; maknanya roh sudah sampai ke kerongkong. 

Pada waktu itu nampak keadaan seseorang apa yang terjadi pada dirinya sama ada dalam keadaan rahmat atau azab . Jadi pada masa itu tidak berguna lagi taubat. Ini bermaksud taubat yang diterima itu adalah sebelum tibanya malaikat maut dan wajiblah seseorang itu bertaubat sebelum datangnya masa ghargharah dan nampaknya malaikat maut seperti disebut dalam sebuah sajak:

Segeralah taubat
Jangan terlambat
Sebelum maut datang menjelang.
Sebelum lidah kaku kejang.

Nafas-nafas dalam zikir
Zikir dalam nafas-nafas
Itu deposit simpanan
Untuk pelanggan-pelanggan Tuhan.




Hidup ini sebenarnya tak hilang melainkan ada yang pergi mendahului kita kepada suatu destinasi. 
Kitapun akan pergi ke tempat itu. 

Semua orang akan pergi. 
Berapa lama bertahan seseorang itu? 10 tahun? dua puluh tahun? 30 tahun lagi? 
Semua tak tahu tapi  semua orang akan pergi ke destinasi itu.
Ke tempat yang sama. 

Bila kita tengok orang lain dulu sampai kita sedih kerana kita rasa kita berpisah dengannya dan dia berpisah dengan kita.
Tapi tidak berpisah selama-lamanya.
Kita juga akan pergi ke alam itu.
Cuma di alam yang satu lagi tu dapat atau tidak berjumpa balik. 
Jika dia di kalangan orang soleh dan kita juga di kalangan orang soleh mudah-mudahan dapat berjumpa.
Jika dia di kalangan orang soleh dan kita tidak di kalangan orang soleh maka kita tidak bertemu dengannya.

Berapa ramai orang mati pada hari dia mati semua orang menangis.
Namun orang akan lupa selepas setahun, dua tahun, tiga tahun tapi orang tak akan lupa tentang kematiannya. Kita ini hanya bilah-bilah hari.

Apabila sebilangan hari itu pergi sebahagian kita pun pergi.
Apabila cukup bilangan hari itu telah pergi kitapun dah tak ada lagi.
Sebenarnya bila berlalunya hari maka hilanglah satu daripada bilah-bilah kehidupan....

Penulisan yang mengingatkan diri penulis agar sentiasa mengosongkan hati daripada sifat-sifat keji.. semoga diri penulis sentiasa diberikan kekuatan untuk menghisab diri sebelum diri dihisab si sana nanti...

Friday, April 6, 2012

Ingat Akan Mati Hidup Di Alam Kubur

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Coretan di hari Jumaat di samping mendengar peringatan





Ketahuilah kematian adalah hal yang sangat menakutkan!
Sangat bahaya jika dilupakan.
Namun sedikit sangat yang mahu ingatkan kematian.
Bahkan hati disibukkan oleh hidup dalam kesenangan.

Perhatikan di sekelilimg kamu.
Rakan sebaya, kaum keluarga yang telah meninggalkan anda.
Bayangkanlah!
Bagaimanakah keadaan mereka.

Ingat bahawa mereka sekarang di bawah debu.
Ingat rupa bentuk mereka ketika ini.
Bagaimana debu tanah menghancurkan wajah cantik mereka.
Bagaimana tubuh hancur.

Bagaimana dia akan berjalan-jalan
Kaki dan sendinya hancur.
Bagaimana dia akan tertawa giginya telah hancur dimakan ulat.
Bagaimana dia mahu bertutur mulutnya telah dimakan tanah.

Ingat pula bagaimana kita akan mati.
Sampai di mana perjalanan hidup ini.
Lalaikah kita akannya lalu cenderung untuk kekal kuat dan muda?
Keinginan untuk tertawa dan bermain-main.
Hingga lupa bahawa kematian sedang menanti.

Ingat mati bukan dengan omongan kosong.
Hati perlu dikosongkan daripada ingat kelazatan hidup.
Bukan harta yang terkumpul yang menyelamatkan.
Amal soleh jugalah yang dapat menolong.


Sunday, March 18, 2012

Selamatkah kita daripada siksa kubur?

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Di bawah ini saya menyalin sebuah kisah seperti di bawah (rasanya ramai dah baca kisah ini) yang bila membacanya diharapkan kita semua sentiasa muhasabah diri.

Sumber Gambar : Sila Klik untuk kisah di sana jika dirasakan perlu
Dikisahkan bahawa sewaktu Fatimah r.a. meninggal dunia maka jenazahnya telah diusung oleh 4 orang, iaitu:

1. 'Ali bin Abi Talib (suami Fatimah r.a)
2. Hasan (anak Fatimah r.a)
3. Husin (anak Fatimah r.a)
4. Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a

Sewaktu jenazah Fatimah r.a diletakkan di tepi kubur maka Abu Dzafrrin Al-Ghifary r.a berkata kepada kubur, "Wahai kubur, tahukah kamu jenazah siapakah yang kami bawakan kepada kamu ? Jenazah yang kami bawa ini adalah Siti Fatimah az-Zahra, anak Rasulullah s.a.w."

Maka berkata kubur, "Aku bukannya tempat bagi mereka yang berdarjat atau orang yang bernasab, adapun aku adalah tempat amal soleh, orang yang banyak amalnya maka dia akan selamat daripadaku, tetapi kalau orang itu tidak beramal soleh maka dia tidak akan terlepas daripada aku (akan aku layan dia dengan seburuk-buruknya)."

Abu Laits as-Samarqandi berkata kalau seseorang itu hendak selamat daripada siksa kubur hendaklah melazimkan empat perkara semuanya:

1. Menjaga solatnya
2. Bersedekah
3. Membaca al-Quran
4. Memperbanyakkan membaca tasbih kerana dengan memperbanyakkan membaca tasbih, ia akan dapat menyinari kubur dan melapangkannya.

Empat perkara yang harus dijauhi ialah:

1. Berdusta
2. Mengkhianat
3. Mengadu-domba
4. Kencing sambil berdiri

Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, "Bersucilah kamu semua daripada kencing, kerana sesungguhnya kebanyakan siksa kubur itu berpunca daripada kencing." 


Seseorang itu tidak dijamin akan terlepas daripada segala macam siksaan dalam kubur, walaupun dia seorang alim ulama' atau seorang anak yang bapanya sangat dekat dengan Allah s.w.t.. Kubur juga tidak memandang adakah orang itu orang miskin atau orang kaya, berkedudukan tinggi atau sebaliknya. Ketahuilah bahawa kubur akan melayan seseorang itu mengikut amal soleh yang telah dilakukan sewaktu hidupnya di dunia ini.

Jangan sekali-kali kita berfikir bahawa kita akan dapat menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh dua malaikat Munkar dan Nakir dengan cara kita menghafal. Pada hari ini kalau kita berkata kepada saudara kita yang jahil takutlah kamu kepada Allah s.w.t. dan takutlah kamu kepada soalan yang akan dikemukakan ke atas kamu oleh malaikat kedua-dua malaikat tersebut, maka mereka mungkin akan menjawab, "Ah mudah sahaja, aku boleh menghafal untuk menjawabnya."


Itu adalah kata-kata orang yang tidak berfikiran. Seseorang itu tidak akan dapat menjawab setiap soalan di alam kubur jikalau dia tidak beramal dan meninggalkan larangan seperti yang dinyatakan. Ini kerana amalnya sendiri yang akan menjawabnya. Jika dia rajin membaca al-Quran, maka al-Quran itu akan membelanya dan begitu juga seterusnya.

Paparan nasyid di bawah ini mungkin boleh meningkatkan rasa takut kita kepada kematian dan seterusnya kita memperbaiki amalan kita..




Mudah-mudahan kita dapat berusaha bersungguh-sungguh serta sentiasa memohon pertolongan Allah bagi setiap perkara yang akan kita lakukan.. semoga kita diringankan azab kubur.. amiin 


Tuesday, January 17, 2012

"Rasalah kamu azab seksa yang membakar!"

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Hanya kepada Allah SWT kita panjatkan pujian dan kita sampaikan segala keluhan. Selawat serta salam kita ucapkan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat serta pengikut setia hingga ke hari kiamat. 

Hari ini alhamdulillah berpeluang menyambung mendengar ceramah tentang neraka bahagian 3 iaitu sambungan daripada Lalu Bagaimana keadaannya jika terperosok?



Pakaian ahli neraka adalah daripada api. Dituangkan ke kepala mereka dengan air yang sedang mendidih. Dengan tuangan itu hancur luluh segala isi perutnya serta kulit-kulitnya. Setelah itu mereka dipukul dengan cambuk daripada besi. Apabila mereka hendak keluar dari neraka; mereka dicampakkan kembali ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka; "Rasakan seksaan yang membakar ini!"

Dalam surah al-Hajj ayat 19 hingga 22 kita boleh semak firman Allah SWT:

A019
Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian daripada api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak(Al-Hajj 22:19)

A020
Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka. (Al-Hajj 22:20
A021
Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. (Al-Hajj 22:21
A022
Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" (Al-Hajj 22:22
Semoga dijauhkan Allah daripada terjadi seperti ini kepada kita. Diberikan pakaian daripada api hinggakan melolong, meraung, merintih,lalu  ingin lari tetapi setiap kali ingin keluar ditarik kembali dan dicambuk.


Apa kata malaikat penjaga neraka?


"Rasalah kamu azab seksa yang membakar!"


Ada pula seksaan ahli neraka iaitu dahi, lambung (rusuk) dan ponggong (belakang) mereka dipanggang dengan api neraka. Allah Kareem. Kita di dunia ini tertusuk pakupun; untuk berjalan bukan main pedihnya. Tertusuk duripun sudah bukan main pedihnya inikan pula dahi, lambung dan ponggong disalai atau dipanggang.


At-Taubah ayat 35


A035
(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (At-Taubah 9:35)
Kita mohon perlindungan daripada Allah.

Ada lagi di kalangan penduduk neraka leher diikat dengan rantai dan diseret dengan sekeras-kerasnya dan dilemparkan ke dalam lautan air yang sedang mendidih, kemudian mereka dibakar dalam api yang menjulang dan bernyala-nyala. Ini dinyatakan dalam surah Ghaafir/al-Mukmin seperti di bawah:

A071
Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka, sambil mereka, diseret (Ghaafir 40:71)


A072
Ke dalam air panas yang menggelegak; kemudian mereka dibakar dalam api neraka; (Ghaafir 40:72)
Ada lagi penduduk neraka yang dipegang jambulnya lalu diseret ke tengah-tengah neraka kemudian kepala mereka dituang dengan air yang mendidih seperti yang dijelaskan dalam surah ad-Dukhaan ayat 47 dan 49.

A047
(Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga neraka): "Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah neraka. (Ad-Dukhaan 44:47)

 A049
(Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): "Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu)" (Ad-Dukhaan 44:49)
Pendeknya azab dan seksa neraka itu sesuai dengan amalan dosa manusia ketika mereka berada di dunia.

Dalam Isra' mikraj Rasulullah SAW ditunjukkan pelbagai penglihatan sebagai contoh dan tamsil daripada kehidupan di dunia ini.  Rasulullah SAW diperlihatkan pelbagai perkara mula dari awal perjalanan hinggalah ke syurga dan neraka dan seluruh azabnya.

Sebagai contoh semasa nabi disogokkan sebelum mikraj dengan dua gelas minuman, satu berisi arak  dan satu lagi berisi susu, nabi tanpa ragu-ragu mengambil minuman yang berisi susu dam minum. Selepas baginda minum malaikat Jibril berkata; engkau telah benar wahai Muhammad, pilihanmu tepat. Kenapa ya Jibril tanya baginda, lalu Jibril berkata; untung susu yang kamu minum kalau arak yang kamu ambil pasti umatmu akan jadi umat yang tidak baik.

Ini harus dijadikan contoh bahawa dalam kehidupan kita, jika kita berhadapan dengan hak dan batil maka hati-hati jangan tersalah membuat pilihan.

Banyak perkara yang berlaku di neraka ditunjukkan kepada baginda, baginda melihat sekelompok manusia yang dilontari kepalanya dengan batu daripada api neraka, tiap-tiap kali dilontar kepala itu hancur berkeping-keping, otak berantakan lalu dikembalikan kepala itu ke bentuk asal, setelah kembali ke bentuk asal dilontarkan pula api neraka hingga berkecai kembali. Menjerit, meraung, merintih kesakitan, terus menerus tidak pernah berhenti.

Bila ditanya kenapa begitu keadaannya, Jibril menjawab ya Muhammad itulah contoh daripada umatmu yang berat untuk sujud kepada Allah SWT. Tidak pernah mendirikan solat ertinya sombong kepada Allah SWT.

Selompok lain pula perutnya besar sebesar rumah dililit dengan kala dan ular daripada api neraka diseret-seret dijurang neraka, Dipatuk oleh ular hancur perutnya, lalu dikembalikan ke bentuk asal dan diseret lagi, begitulah berulang-ulang. Inialh balasan untuk orang yang suka makan riba dan harta anak yatim.

Ada sekelompok lagi kukunya terbuat daripada tembaga api neraka, panjang kukunya lalu mencakar-cakar mukanya.dan mengoyak-ngoyakan mukanya sendiri, hancur muka dan dikembalikan lagi ke bentuk asal begitulah berulang-ulang. Ini balasan untuk mereka yang sentiasa bermusuh-musuhan sesama saudara muslim, suka cari aib orang lain, menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Semoga Allah SWT melindungi kita daripada azab api neraka.

Friday, December 30, 2011

Lalu bagaimana kedaannya jika terperosok?

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Hanya kepada Allah SWT kita panjatkan pujian dan kita sampaikan segala keluhan. Selawat serta salam kita ucapkan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat serta pengikut setia hingga ke hari kiamat. 

Hari ini alhamdulillah berpeluang menyambung mendengar ceramah tentang neraka bahagian 2. Rasanya kisah ini sudah kerap kali kita dengar. Oleh kerana dah ditulis (Menulis sambil mendengar) rasanya tidak menjadi kesalahan dipublish di sini sebagai peringatan.



Bagi mereka yang menerima kitab amalan dengan tangan kanan muka mereka berseri-seri, mana yang timbangannya berat dengan kejahatan menerima dengan tangan kiri, pula kelam wajahnya. Pada masa itulah kedengaran pernyataan daripada Allah SWT :

A058

(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani. (Yaa Siin 36:58)

Ucapan selamat daripada Allah SWT, selamatlah kamu; itu adalah ucapan kepada orang-orang yang yang akan masuk ke syurga tetapi pada saat itu juga Allah menyatakan:

A059

Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): "Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman). (Yaa Siin 36:59)

Semua yang berbuat dosa pada hari ini (pinggirlah) jauhlah kamu semuanya; kamu akan digiring ke neraka.

Saudara-saudara kaum muslimin rahimakumullah!

Baik yang akan menuju ke syurga mahupun yang akan ke neraka semuanya akan melintasi jambatan yang di bawahnya ada neraka.

Dalam surah Maryam ayat 72 dan 73 walaupun jambatan itu tidak diterangkan secara jelas, namun Allah telah menyatakan:

A071

Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan (melalui) sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. (Maryam 19:71)

A072

Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa, dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) mereka terlempar (tinggal berlutut) di dalam neraka itu. (Maryam 19:72)

Itulah dinamakan  sirat , ada riwayat menyatakan sirat itu kecil seperti rambut dibelah tujuh dan tajamnya lebih tajam daripada mata pedang, tetapi dalam banyak hal keadaan orang yang melintasi sirat itu bergantung kepada amalannya sewaktu berada di dunia. Maka jangan hairan, jika ada orang yang melintasinya seperti kilat, sekelip mata dah sampai ke syurga, ada yang seperti menaiki kapal terbang, seperti orang berlari, ada seperti jalannya unta, ada yang merangkak, ada yang bergantungan, ada yang telah sampai ke sebelah sana hampir nak sampai ke syurga terpelesek lalu jatuh ke dalam neraka.

Apabila ada orang yang terperosok lalu masuk ke dalam neraka, bagaimana kedaannya di neraka?

Panasnya telah dinyatakan sebelum ini 70 kali panas api di dunia, lalu orang yang masuk ke neraka, akan dapat pakaian, makanan, minuman, perhiasan, tetapi semuanya berlainan dengan pakaian, makanan, minuman, perhiasan yang diperoleh orang-orang yang masuk ke syurga. Mereka juga dapat buah-buahan kerana di neraka juga ada pokok yang namanya pohon zaqqum, buahnya duri daripada api neraka. Dan itulah yang akan ditelan oleh orang-orang yang berada di neraka.

A064

Sesungguhnya pohon zaqqum itu tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang; (As-Saaffaat 37:64

A065

Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan; (As-Saaffaat 37:65)

Dalam ayat di atas Allah SWT menjelaskan bahawa pohon zaqqum itu adalah satu pohon yang tumbuhnya akarnya keluar dari dasar neraka yang buahnya seperti kepala syaitan. Allah gunakan bahasa yang sangat menyeramkan. Itulah yang akan dijadikan makanan kepada orang-orang yang berada di neraka.

Perhiasannya apa pula?


(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang. (Al-Insaan 76:4)

Inilah perhiasan, leher, tangannya dibelenggu dan digiring ke neraka, ketika sampai di neraka malaikat zabaniyah menyambut dengan bengis tidak seperti malaikat penjaga syurga yang ramah dan manis senyumnya, bila orang masuk syurga diucapkan salam atas kamu, masuklah ke dalam syurga dan tinggallah kekal di dalamnya.

Manusia yang berbuat dosa walaupun telah diutuskan para rasul menerangkan hal-hal agama yang lurus, didatangkan al-Quran tetapi mendustakannya lalu dirantai dan dibelenggu dibawa ke neraka. 

Terfikir oleh kita kalau begitu panasnya api neraka, bukankah bila dilempar ke dalamnya tentu terus mati tetapi tidak, jika terus mati seronoklah tapi tidak mati. Kepedihan neraka adalah kepedihan yang kekal dan terus menerus, tidak ada satu saatpun orang-orang di neraka merasakan kesenangan, kepedihan yang tiada tara.

A056

Orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (An-Nisaa' 4:56)

Tidak pernah berehat, lalu bagaimana kedaan mereka?

Sambungannya dalam bahagian 3

Thursday, December 29, 2011

Itu yang paling ringan



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Hanya kepada Allah SWT kita panjatkan pujian dan kita sampaikan segala keluhan. Selawat serta salam kita ucapkan kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat serta pengikut setia hingga ke hari kiamat.

Hari ini alhamdulillah berpeluang mendengar ceramah tentang neraka. Baru dapat dengar bahagian 1 dan di bawah ini disertakan beberapa isi penting seperti yang disebutkan oleh penceramah.



Di sini dibicarakan tentang Neraka dan jalur-jalur penghuninya. Sesungguhnya jika kita bicara tentang neraka, ertinya kalau kita bicara tentang akhirat kita bicara tentang alam ghaib yang merupakan salah satu daripada rukun iman yang wajib diimani. 

Bicara tentang perkara-perkara ghaib ini adalah di luar batas kemampuan nilai-nilai ilmiah dan di luar batasan kemampuan renungan filsafat. Ilmu pengetahuan akan buntu kalau membicarakan alam ghaib. Ertinya kehidupan di akhirat itu tidak boleh diteliti secara ilmiah. Oleh sebab itu kalau kita kembali kepada logik, jika kita ingin mengetahui tentang cara membuat bangku, mobil kita perlu bertanya kepada tukangnya.

Jadi tentang alam ghaib sudah sewajarnyalah kita kembali kepada penjelasan sang Pencipta alam ghaib itu sendiri iaitu Allh SWT. Kita perlu meneliti dalam al-quranul kariim. Allah telah menerangkan masalah-masalah alam ghaib iaitu tentang syurga dan neraka secara jelas dan pasti. Dengan kata lain jika ingin membicarakan tentang neraka ini yang menjadi dasar pada pemikiran kita adalah kita kena beriman dengan Allah SWT dan apa yang Allah jelaskan. Ini kerana perbahasan tentang neraka tidak boleh melalui pengetahuan sebab  belum pernah ada orang yang mati kembali semula untuk menceritakannya.

Neraka di dalam istilah al-Quran selalu disebut dengan 'Naarun' iaitu suatu tempat di akhirat nanti yang wujudnya berupa api yang bergejolak, menyala dengan teramat dahsyat sehingga dapat menggelupaskan kepala setiap orang dan menjulang ke hati.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya : "Apimu yang kamu pakai di dunia ini untuk memasak, untuk menyalakan lampu (api yang kamu gunakan di dunia ini) cuma satu bahagian kecil daripada 70 bahagian panasnya neraka jahannam". Sahabat pada waktu itu terperanjat lalu berkata : "Ya Rasulullah! api di dunia ini sahaja pun sudah cukup untuk menghanguskan kami, menghanguskan apa yang ada."

Bersabada Rasulullah saw; "Maka sesungguhnya api neraka itu dilebihkan panasnya dengan 69 kali daripada panasnya api di dunia ini".

Jadi sepanas-panasnya api yang pernah kita rasai di dunia ini, maka api di neraka nanti 69 kali lebih panas.

Saudara-saudara kaum muslimin rahimakumullah, sehingga boleh jadi seringan-ringan seksa penduduk neraka nanti; kata Nabi; seorang yang diletakkan di tapak kakinya kerikil neraka yang amat kecil, lalu mendidih otaknya.

Itu yang paling ringan.

Luqmanul hakim pernah menasihati anaknya; katanya: "Wahai anakku! kerjakanlah dosa seberapa kekuatanmu menanggung azab Allah dan laksanakan ibadat seberapa hajat dan keperluanmu kepada Allah."

Berapa banyak kamu berhajat kepada Allah begitulah banyaknya kamu harus beribadat kepada Allah. Kalau kamu berasa tidak berhajat atau tidak memerlukan apa-apa daripada Allah, tidak usahlah kamu ibadah.

Saudara-saudara, dalam hidup ini pernahkah kita ketahui ada orang yang tak perlu kepada Allah. Seluruh kita memerlukan Allah. Jadi wajarlah Luqmanul hakim menasihati anaknya sedemikian.

Sebagaimana syurga, neraka pun ada pintu-pintunya, yang melalui pintu-pintu itu sesuai dengan dosa yang dia lakukan semasa hidup.

InsyaAllah akan teruskan mendengar siri-siri berikut ceramah di atas kemudian.

Semoga memberi manfaat.