Monday, February 28, 2011

Suasana Hari Akhirat (60) - Surah at-Taghabun

Bismillahirahmannirahim..

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

Hari ini tulis tentang suasana hari akhirat seperti dalam surah at-Taghabun iaitu surah ke 64 dalam al-Quranul Kariim. Yaum al-Taghabun - hari masing-masing nampak kerugian




Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah; bagiNyalah kuasa pemerintahan dan bagiNyalah segala pujian dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (1)

Dialah yang mengaturkan kejadian kamu; maka ada sebahagian dari kamu yang kafir dan ada sebahagian dari kamu yang beriman dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan (serta membalas masing-masing). (2)

Dia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan Dia menentukan bentuk rupa kamu serta memperelokkan rupa kamu dan kepadaNyalah tempat kembali. (3)

Dia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi dan Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada; (4)

Bukankah telah sampai kepada kamu berita orang-orang kafir yang telah lalu? Lalu mereka merasai kesan yang buruk dari perbuatan kufur mereka dan mereka (pada hari akhirat kelak) beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (5)

(Balasan) yang demikian itu, kerana sesungguhnya mereka pernah didatangi Rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, maka mereka berkata: Patutkah manusia (yang seperti kami menjadi Rasul untuk) memberi petunjuk kepada kami? Lalu mereka kufur ingkar serta berpaling (dari kebenaran) dan Allah pun menyatakan tidak berhajatNya (kepada iman dan ketaatan mereka lalu membinasakan mereka) dan Allah sememangnya Maha Kaya, lagi tetap Terpuji. (6)

(Di antara sebab-sebab kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (sesudah mati). Katakanlah: Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (7)

Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan kepada rasulNya serta kepada penerangan cahaya Al-Quran yang Kami turunkan dan (ingatlah), Allah Amat Mendalam PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (8)

(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar. (9)

Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka, kekallah mereka di dalamnya dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. (10)

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (11)

Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata. (12)

Allah, tiada Tuhan melainkan Dia dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah orang-orang yang beriman wajib berserah diri. (13)

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (14)

Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. (15)

Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (16)

Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat). (17)

Dialah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(18)

Hari akhirat juga dikenali sebagai yaum al-Taghabun (Hari ditampakkan kesalahan-kesalahan/ hari masing-masing nampak kerugian/ hari yang penuh penyesalan).

Kalimah yaum al-Taghabun ini terdapat dalam ayat ke 9 iaitu "(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya/kesalahan-kesalahan dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar. (9)

Ada juga yang berpendapat  bahawa Yaum al-Taghabun bermaksud hari yang nampak segala sesuatu yang berlainan dengan yang pernah terlintas di dalam  fikiran seseorang. Ini selaras dengan ayat yang bermaksud:

"Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang mata dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. (As-Sajdah [32] :17)

"Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka)". (Qaaf  [50] : 35

Orang mukmin yang tidak beramal lebih daripada apa yang dia telah lakukan semasa berada di dunia dahulu (walhal ketika itu dia boleh memperbanyakkan amalannya) akan menyesal dan berasa kerugian, sebab dia tidak memberi penilaian yang benar terhadap kehidupan akhirat semasa berada di dunia, dan dia baru mengetahui hakikatnya ketika balasan pahala yang merupakan keindahan yang tidak pernah dia lihat itu terjadi di hadapan matanya. Dia menyesal, andainya dia berbuat lebih baik ketika di dunia, nescaya dia akan mendapatkan syurga yang lebih tinggi. Demikian pula orang-orang kafir, mereka amat menyesal kerana tidak memiliki amal sama sekali. Tetapi semuanya telah terlambat...

Friday, February 18, 2011

Demi Buah Tiin dan Buah Zaitun

Bismillahirahmannirahim..

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat, tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

N3 kali ini disalin dan ditampal di sini. Artikel asal  Manusia ciptaan terbaik Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI  berkenaan tafsir surah a-Tiin. Sumber : Utusan Malaysia


Maksudnya:
"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Demi buah tiin dan zaitun, (1) Dan gunung Tursina, (2) Serta negeri (Mekah) yang aman ini; (3) Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (4) Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, (5) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (6) (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? (7) Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim? (8)"
AL-MARAGHI berkata: Surah al-Tiin termasuk Surah Makiyyah. Ia terdiri daripada lapan ayat dan diturunkan selepas Surah al-Buruj. Surah ini berkait dengan surah al-Insyirah.

Surah al-Insyirah telah dijelaskan oleh Tuhan perihal makhluk Allah SWT yang paling sempurna iaitu Nabi Muhammad SAW. Berikutnya dalam surah ini Allah SWT menerangkan perihal keadaan manusia sehingga akhir saat urusan mereka dan balasan yang telah disediakan oleh Allah SWT untuk orang yang beriman kepada rasul-Nya.

Firman Allah SWT: Demi (buah) Tiin dan (buah) Zaitun.(ayat 1)

Ibn Kathir mengemukakan beberapa pendapat berkenaan dengan tiin antaranya:

* Masjid Damsyik.
* Gunung-ganang dan bukit di sekelilingnya.
* Al-Qurtubi berpendapat: Masjid Ashab al-Kahfi.
* Ibn Abbas r.a berpendapat Masjid Nuh yang berada di puncak gunung Judiy.

Ustaz Muhammad Abduh berpendapat, al-Tiin adalah nama pokok tempat Nabi Adam a.s bernaung di syurga. Sedangkan al-Zaitun pula dikatakan Masjid Baitu al-Maqdis dan buah zaitun.

Al-Maraghi berkata: Tiin dan zaitun mengingatkan kewujudan kedua-dua masa ini iaitu Nabi Adam a.s sebagai bapa manusia yang pertama dan Nabi Nuh a.s sebagai bapa manusia yang kedua.

Firman Allah SWT: Dan demi bukit Sina. Iaitu bukit Tursina atau gunung Sinai.(ayat 2)

Al-Alusi berkata: Ia merupakan tempat Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s tanpa khilaf lagi ia bukit di negeri Syam tetapi yang ma'ruf pada masa kini adalah satu kawasan antara Mesir dan Aqabah.

Firman Allah SWT: Dan demi kota (Mekah) ini yang aman. (ayat 4).

Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Ibrahim al-Nakhaie, Ibn Zaid dan Ka'ab al-Akhbar berpendapat ia kota Mekah.

Ibn Kathir berkata: Sebahagian ulama berpendapat: Tiga tempat ini dimuliakan Allah di mana Allah bangkitkan setiap satunya Rasul yang diutuskan di kalangan ulul al-Azmi.

Pertama: Tempat tin dan zaitun di Baitu al-Maqdis yang diutuskan Nabi Isa bin Maryam.
Kedua: Tursina di mana Allah SWT berbicara dengan nabi Musa a.s.
Ketiga: Mekah yang Allah SWT utuskan Muhammad SAW.

Berdasarkan kenyataan di bawah, jelas menunjukkan permulaannya di tempat yang mulia kemudian lebih mulia dan yang terakhir paling mulia. Yang mana Allah menceritakan berdasarkan tertib, kewujudan mereka secara kronologi.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (ayat 5).

Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk kejadian, ketinggian dan keindahannya.

Al-Maraghi berkata: Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang paling baik. Kami jadikan manusia bersifat tegap, bertulang tumit indah, mampu mencapai maksud yang diinginkannya dengan tangannya, tidak seperti haiwan yang memungut sesuatu dengan mulutnya.

Allah SWT mengurniakan keistimewaan akal kepada manusia, kebolehan membezakan serta kesanggupan menerima ilmu yang pelbagai jenis. Begitu juga mereka mampu membuat gagasan yang menjadikannya mampu menguasai alam wujud, di samping itu mereka yang mempunyai kemampuan dan jangkauan memperoleh apa yang diingini.

Firman Allah SWT: Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya (ayat 6).

Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Apabila ia menyeleweng dengan fitrahnya dari garis lurus yang ditunjukkan Allah dan setelah diberi penjelasan dan kebebasan agar ia memilih salah satu dari dua jalan.

Merekalah golongan manusia yang kekal di atas fitrahnya yang lurus, kemudian mereka lengkapkan pula fitrah mereka dengan iman dan amal soleh dan terus meningkat ke darjat yang sempurna yang diperuntukkan kepada mereka sehingga berakhir dengan kehidupan yang sempurna di negeri akhirat, negeri yang sempurna.

Firman Allah SWT: Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu? (ayat 7)

Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut dua pendapat:

Apakah yang menyebabkan kamu berdusta hai manusia selepas hujah ini berkaitan pembalasan. Ini adalah ancaman kepada orang kafir seperti yang disebut oleh Muqatil.

Siapa yang mampu dalam pendustaanmu dengan pahala dan balasan selepas nyata Allah mencipta manusia. Inilah pendapat al-Farra'.

Firman Allah SWT: Bukankah Allah hakim yang seadil-adilnya? (ayat 8)

Syed Qutub berkata: Tidakkah Allah itu Pengadil Yang Maha Adil apabila Dia menetapkan hukuman-hukuman seperti ini? Atau tidakkah hikmat kebijaksanaan Allah mencapai matlamatnya dalam hukuman yang telah ditetapkan terhadap orang mukmin dan bukan mukmin.

Penutup

Al-Maraghi berkata: Allah SWT itu paling bijaksana mencipta dan mengatur. Oleh sebab itu, Allah SWT menetapkan wujudnya pembalasan amal bagi umat manusia.

Tujuan pembalasan ini supaya manusia tetap kekal pada martabatnya yang mulia menurut fitrah semulajadi mereka. Akan tetapi manusia telah menjatuhkan diri mereka ke martabat yang paling hina, lantaran kebodohan dan pengaturan yang salah.

Justeru, Allah SWT mengirimkan para rasul kepada manusia untuk memberi khabar gembira (petunjuk) dan menyampaikan ancaman. Para rasul ini diberi syariat untuk dijelaskan kepada manusia dan mengajak mereka ke jalan Allah SWT sebagai bukti sifat pemurah Allah SWT kepada manusia.

Nota: Sesungguhnya Allah al-Khaaliq, al-Baari' dan al-Musawwir (Allah Maha Mencipta, Maha Mengadakan dan Maha Memberi Bentuk)  serta Allah Maha Bijaksana. Dia Maha Mengetahui segala keperluan makhlukNya dan Pada penciptaanNya terdapat tanda-tanda kekuasaanNya...

Di bawah ini dipaparkan award daripada blog Titisan Nurani yang lebih dikenali dengan panggilan kakzakie.. (Terima Kasih kepada kakzakie kerana menjadikan blog ini sebagai Favorite). Sebenarnya tak ada apa yang istimewapun blog NOTA UNTUK DIRI ini. Pengisiannya tertumpu untuk mengingatkan diri ini yang hanya menunggu beberapa ketika yang tak tahu entah bila (tapi pasti) akan mendarat di tempat yang barzakh dan seterusnya dihalakan entah di tempat bahagia atau celaka. Mudah2an Allah berikan kesudahan yang baik buat kita semua.. Amiin.

Kepada pembaca blog ini sudi-sudikanlah ke blog kakzakie. Inilah dia Award  daripada kakzakie. Kak Werdah mohon maaf daripada kakzakie kerana tak jawab tag.

Sunday, February 6, 2011

Sedarlah diri tahu diuntung


Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan
 
Seluruh tubuh akan menggigil
Terbujur badan dan kedinginan
 
Tak ada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara

Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela diri

Janganlah mahu dikenang-kenang
Engkau digelar manusia agung

Sedarlah diri tahu diuntung
Sebelum masa kerenda diusung

Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan

Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman