Wednesday, June 20, 2012

tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah "

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Segala puji bagi Allah pemilik alam semesta mentadbir sendirian. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad rahmat bagi sekelian alam, keluarga serta para sahabat. 

Alhamdulillah saya berkesempatan mendengar kuliyah dan dikongsikan di sini serba sedikit tentang apa yang telah disampaikan. Allah tak pernah mungkir janji.  

Ustaz membincangkan telah membincangkan tentang ayat-ayat daripada surah al-A'raaf iaitu mulai 96 hingga 100. Elok untuk kita ambil iktibar.

A096
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah (pasti) Kami akan membuka kepada mereka (pintu/kunci pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (Al-A'raaf 7:96)
A097
Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (Al-A'raaf 7:97)
A098
Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (Al-A'raaf 7:98)
A099
Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan balasan azab yang diatur  (datang secara tiba-tiba) oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari balasan azab yangdiatur (datang secara tiba-tiba) oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (Al-A'raaf 7:99)
A100
Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)? (Al-A'raaf 7:100
Dalam ayat-ayat di atas Allah menyuruh nabi Muhammad SAW mengingatkan penduduk Mekah dan seluruh umatnya bahawa DIA akan mengurniakan nikmatNya kepada orang-orang yang beriman denganNya dan Rasul-rasulNya dan menerima agama Islam sebagai petunjuk dan pedoman hidupdengan mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang telah dialami oleh umat-umat terdahulu.

Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan  yang Allah gambarkan dalam ayat ini :

A096
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu / kunci pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (Al-A'raaf 7:96)
Kedatangan azab tersebut adalah sesuai dengan sunnatullah yang telah ditetapkan dan tidak dapat diubah oleh sesiapapun.

Jika sebut sunnatullah (sunnatullah tak berubah)

A043
Sambil bersikap sombong takbur di muka bumi dan berusaha merancangkan rancangan-rancangan jahat (terhadap Rasul itu), sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya. (Dengan keadaan yang demikian, maka) tidak ada yang mereka tunggu selain daripada berlakunya kebinasaan menimpa mereka (sebagaimana yang telah menimpa) orang-orang kafir yang telah lalu. Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi " Sunnatullah " (undang-undang peraturan Allah), dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan " Sunnatullah " itu. (Faatir 35:43
Sekali-sekali kamu tidak akan dapati sunnatullah berubah. Lan لَن membawa makna mustahil.

Lihat ayat 120 al-Baqarah

A120
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (Al-Baqarah 2:120)
Allah bagi tahu tak relanya Yahudi akan Islam dengan menggunakan perkataan lan  لَن.
Nabi juga guna perkataan lan ketika menyatakan umatnya tidak akan sesat bila rujuk al-Quran dan sunnah.

Sekiranya penduduk beriman dan bertakwa rezeki dari langit iaitu turunnya hujan, dari bumi suburnya tanaman. Itu syaratnya. Jadi jika penduduk tidak beriman dan bertakwa maka tak turunlah rezeki dari langit dan bumi.

Itulah sebabnya jika Allah turunkan azab maka azab itu berkait dengan sikap penduduk negeri itu.

Sebab diturunkan Surah ad-Dukhan (jerebu/asap) ialah pada ketika itu kemarau panjang di Makkah, nak lihat bintang tak dapat, bulan tak dapat, kemarau dan jerebu ini akhirnya banyak yang mati. Ada kaitan dengan sikap penduduk. Kita perlu melihat daripada sudut itu. Sebenarnya itu peringatan daripada Allah. Ketika itu mereka menentang ajaran Nabi Muhammad SAW.

Diterangkan juga tentang hati.

Ikutilah selanjutnya kuliyah ini bagi meningkatkan kefahaman dan ketakwaan kita. Semoga kita dapat menambah ilmu dan seterusnya beramal dengannya. Amiin..

Saat ini masih lagi mendengar kuliyah.. mudah-mudahan dapat mendengar hingga akhir.. InsyaAllah.

Wednesday, May 30, 2012

Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat


Sumber

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah pemilik alam semesta mentadbir sendirian. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad rahmat bagi sekelian alam, keluarga serta para sahabat.


SALAH satu doanya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT supaya tidak ditimpakan kehinaan pada hari kiamat. Nabi Ibrahim berdoa: 

“Dan janganlah Engkau hinakan daku pada hari makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).” (Surah al-Syu'ara, ayat 87-89)
Berdasarkan doa diucapkan Nabi Ibrahim, terdapat tiga perkara yang menarik diberikan perhatian oleh setiap Muslim. 
Pertama, kebimbangan Nabi Ibrahim tentang azab yang pedih pada hari akhirat. Sebagai Nabi, bahkan bapa segala nabi dan rasul, juga bergelar Khalil Allah yang bermaksud kekasih Allah, Nabi Ibrahim masih bimbang serta takut jika ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT pada hari kiamat. Inilah sifat mulia Nabi Ibrahim yang sewajarnya dicontohi. 

Kedua, tiadanya nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Untuk neraca piawaian duniawi, harta dan anak termasuk pengikut adalah petunjuk utama menentukan status serta darjat sosial manusia. Namun pada hari akhirat nanti, kesemua itu tidak menjadi perkara penting dan tidak ada harganya kerana kenikmatan di syurga tidak dapat dijual beli, apatah lagi malaikat sebagai barisan pelaksana perintah Allah tak mungkin dapat diminta belas kasihan untuk melepaskan diri daripada azab dan kesengsaraan. 


Ketiga, kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat. Jaminan keselamatan dan kebahagiaan hanya diberikan kepada orang yang datang menghadap Allah dengan hati bersih dan sihat atau qalbun salim.

Dalam kata lain, hati memainkan peranan penting mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Malah, hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. 


Anggota tubuh badan manusia tidak berfungsi secara keseluruhannya kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq serta sifat mazmumah. 

Perlu ditegaskan, ada banyak pendapat daripada ulama tafsir berkaitan asal usul kalimah qalbun salim ini yang asasnya berkisar kepada tiga makna

Pertama, seperti dikemukakan Ibnu Katsir dan al-Alusi, qalbun salim bermaksud sejahteranya hati daripada penyakit syirik atau kepercayaan sesat. Hati sihat bererti memiliki akidah yang benar, lurus, bebas daripada segala bentuk kemusyrikan dan kesesatan. 


Kedua, qalbun salim bererti bersih daripada penyakit hati iaitu sifat mazmumah seperti riak, hasad dengki, sum’ah, sombong dan sebagainya

Permulaan surah al-Baqarah, dikemukakan tiga golongan manusia iaitu orang yang bertakwa (al-muttaqun), orang kafir (al-kafirun) dan orang munafik (al-munafiqun). 

Golongan yang disebut terakhir ini (orang munafik - al-munafiqun) adalah orang yang hatinya berpenyakit seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: 

“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) ada penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” (Surah al-Baqarah, ayat 10) 

Hati yang bersih dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain. 

Ketiga, seperti badan yang sihat, hati sihat juga memiliki kesempurnaan dan kekuatan melakukan tugas sesuai dengan maksud penciptaannya sebagai hamba dan khalifah Allah. Fungsi hati yang utama adalah untuk mengenal Allah SWT, iaitu dengan iman dan takwa, seperti maksud sabda Rasulullah SAW: “Takwa itu di sini, dan baginda SAW menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali.” (Hadis riwayat Baihaqi) 

Satu perkara tidak dapat disangkal adalah hati yang sihat sumber segala kebaikan dan pendorong amal salih. Di sini, hanya hati yang disebut sebagai sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat, bukannya anggota tubuh badan lain. 

Hal ini, menurut imam al-Razi, kerana jika hati sihat, seluruh anggota badan yang lain ikut sihat. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Tiga perkara menarik di sebalik doa Nabi Ibrahim 
  • Bimbang ditimpa kehinaan dan azab pedih pada hari akhirat; 

  • Nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan tiada nilai pada hari kiamat dan 

  • Kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Berita Harian2012/05/25

Tuesday, May 29, 2012

Golongan Kanan VS Golongan Kiri





Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum.

Segala puji adalah milik Allah SWT yang mentadbir seluruh alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan sekelian yang istiqamah menjadi pengikut baginda hingga ke hari kiamat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Balad ayat 17 hingga ayat 20:

A017


Kemudian  tidak  menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.(Al-Balad 90:17)


A018


(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).(Al-Balad 90:18)


A019


Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. - (Al-Balad 90:19)

A020

Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).(Al-Balad 90:20)

Perilaku golongan pilihan digambarkan oleh Allah SWT amat berbeza dengan perilaku golongan yang ingkar terhadap perintah Allah SWT.

Ayat-ayat di atas memberikan isyarat bahawa amal-amal soleh tidak bernilai di sisi Allah kecuali didahului dengan iman. Ini kerana Allah telah berfirman yang maksudnya :  

Kemudian  tidak  menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.(Al-Balad 90:17).

Ini membuktikan amalan yang dilakukan oleh orang-orang kafir itu menjadi sia-sia dan tidak dikira di akhirat. Untuk memahami siapakah yang tergolong dalam kategori orang-orang kafir boleh baca di sini.

Saidina Umar Abdul Khattab ra pernah melihat dengan perasaan sedih tindakan seorang rahib yang hidup dengan serba sederhana. Apabila Umar ditanya kenapa beliau sedih? Beliau menjawab rahib itu sebenarnya menyiksa diri sendiri tanpa beroleh ganjaran baik di akhirat.

Sifat golongan yang mendapat pujian Allah SWT pula dalah berkat kesabaran menghadapi segala ujian daripada Allah SWT atau mehnah daripada makhluk. Ujian yang merupakan kesenangan, kepayahan, nafsu syahwat dan sebagainya.

Kemudian golongan yang dipuji ini menghargai kasih sayang. Mereka berpesan-pesan dengan penuh kasih sayang. Dengan itu semua amalan mereka membawa kepada beroleh rahmat Allah SWT.

Kasih sayang dengan Allah atau hubbullah ialah berusaha untuk menunaikan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan; berusaha gigih untuk mencintai apa yang Allah cinta dan membenci apa yang Allah benci.

Manakala berkasih sayang dengan sesama makhluk pula ialah menjaga hubungan dengan saling menghargai, mengasihani dan sebagainya terhadap manusia, haiwan dan alam sekitar.

Kita diberitahu bahawa ada wanita yang yang dimasukkan ke dalam neraka akibat mengurung seekor kucing tanpa memberikannya makanan sedangkan wanita ini seorang Islam.. Terlalu banyak kisah kasih sayang yang kita pernah dengar menunjukkan betapa pentingnya berkasih sayang.

Dalam ayat seterusnya yang bermaksud : 

(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).(Al-Balad 90:18)Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. - (Al-Balad 90:19)Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).(Al-Balad 90:20)

"Kanan" di sini dirujuk kepada ketinggian dan keberadaannya di sebelah arasy Allah SWT. Tempat tertinggi yang akan diperoleh manusia sebagai penghormatan kerana ketaatannya kepada perintah Allah semasa berada di dunia.

"Kiri" merujuk kepada neraka. Biasanya manusia merujuk makna kanan sebagai kebahagiaan, keberuntungan dan perkara yang baik. Manakala kiri merujuk kepada perkara yang kurang baik.

Disebabkan degil melaksanakan perintah Allah SWT golongan kiri selayaknya mendapat hukuman yang tepat seperti yang dinyatakan bahawa mereka tertutup rapat dalam api tanpa boleh diperdebatkan lagi.

Wallahua'lam.

Semoga kita dijauhi daripada menjadi golongan kiri. Wal'iyazubillah..