Tuesday, March 8, 2011

Wahai Diri!

بسم الله الرحمن الرحيم

Mari kita bayangkan betapa dahsyatnya suasana di Padang Mahsyar nanti. Kita berada di mahkamah Allah SWT pada hari kiamat. Tatkala itu kita manusia dan juga jin akan dihadapkan kepada Allah SWT. Kita akan dihakimi seorang demi seorang serta secara berkumpulan. Tiada seorangpun yang dapat menolong kita, walaupun dulunya orang itu sahabat karib,  ibu, bapa, suami, isteri atau anak-anak kita di dunia. Ayat-ayat di bawah adalah sebahagian ayat-ayat daripada al-Quran yang memberi gambaran apa yang perlu kita bayangkan bila kita dibangkitkan nanti di Padang Mahsyar.

"Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari kiamat dengan seorang diri". (Maryam [19] : 95)
"Iaitu masa ditiup sangkakala, lalu kamu (bangkit hidup) serta datang berpuak-puak / berkelompok-kelompok (ke Padang Mahsyar)"; (An-Naba' 78:18
"Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): "Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!" (Al-Jaathiyah [45] : 28)
"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang  selamat sejahtera ; (Asy-Syu'araa [26] : 88 - 89)
"Pada hari Allah membangkitkan semuanya dihimpunkan (dikumpulkan), lalu diterangkan (dikhabarkan) kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan. Allah telah menghitung amal-amal mereka itu satu persatu, sedang mereka telah melupakannya. Dan (ingatlah), Allah menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu". (Al-Mujadalah [58] : 6)
Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu berserta syaitan-syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka duduk berlutut di keliling Neraka Jahanam. (Maryam - 68)
Semua kita akan berada di hadapan Allah SWT, Yang Maha Mengetahui segala amalan hambaNya dan mengetahui segala rahsia hati kita. Tiada suatupun dapat disembunyikan. Mampukah kita mengangkat muka yang penuh berlumur dosa di hadapan Mahkamah Allah?

Diriwayatkan daripada 'Adiy bin Hatim ra, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seorang juapun di antara manusia ini kecuali (pada hari kiamat kelak) akan disoal oleh Allah SWT (dihadapkan ke Mahkamah Allah SWT). Maka pada waktu itu tidak ada orang lain yang sanggup menjadi jurubicara antara keduanya (sebagai orang yang ketiga atau peguam). Lalu orang yang diadili Allah SWT tadi akan melihat ke sebelah kanannya, maka ia tidak melihat melainkan hanya pahala kebaikan yang pernah ia lakukan ketika berada di dunia dahulu. Dan apabila ia cuba melihat ke sebelah kiri, maka ia tidak melihat kecuali hanya balasan perbuatan jahat yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dahulu. Kemudian apabila ia melihat ke hadapan maka ia tidak melihat kecuali hanya api neraka. Maka tanamkanlah rasa takut terhadap api neraka dan jauhilah siksaannya walaupun kalau kamu hanya mampu bersedekah dengan sebelah buah kurma sahaja." (HR Bukhari dan Muslim).

Wahai diri!

Fahamilah hadis di atas, "Tiada pembantu, tiada peguam. Bila kamu menoleh ke kanan seolah-olah mahu minta pertolongan,  tiada yang ternampak kecuali amalan kebaikanmu, dan apabila menoleh pula ke kiri tiada yang kelihatan kecuali perbuatan maksiat yang pernah kamu lakukan. Apa yang lebih dahsyat daripada itu ialah apabila kamu cuba mengangkat kepalamu, maka tidak ada yang kelihatan kecuali api neraka yang marak apinya menjulang, terbentang sejauh mata memandang dan syurga masih jauh nun di sana di sebalik api yang menyala dengan garangnya.

Wahai diri!

Engkau mesti melalui dan melintasi bahagian atas api neraka tadi untuk sampai ke negeri Syurga yang telah menjadi idamanmu. Engkau belum pasti, apakah engkau akan mendapat kejayaan untuk sampai ke sana atau  engkau akan terjatuh di tengah perjalanan, iaitu apabila kakimu tergelincir daripada titian "siraatal mustaqim" yang mengakibatkan engkau akan terjatuh ke jurang api neraka jahanam. Wal'iyazubillah.

Wahai diri!

Apakah yang harus kamu lakukan pada saat ini, sebelum nyawamu diambil kembali?
Apakah kamu masih belum menentukan haluan perjalananmu?
Ingatlah saatnya akan sampai juga walaupun kamu cuba melarikan diri daripadanya!
Setiap yang bernyawa pasti mati!

Wahai diri!

Mulai dari sekarang tentukanlah arah perjalananmu. 
Sediakanlah bekalan supaya kamu selamat di dalam perjalanan menuju ke negeri Syurga. 
Buatlah amalan kebaikan sebanyak mungkin, sesungguhnya pada hari itu kamu sangat berhajat kepada pahala kebaikan, walaupun hanya pahala bersedekah dengan sebelah buah kurma.
Lakukanlah dengan setulus ikhlas!

Wahai diri!

Dalam al-Quran banyak ayat-ayat Allah yang menggambarkan tentang suasana pada hari kiamat kelak. Orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat akan bertanya ke manakah akan melarikan diri. Allah akan menempelak bahawa tidak ada tempat perlindungan bagi mereka. Segala ketetapan hanya pada Allah sedangkan di dunia Allah memberi pilihan. Pada hari itu semua manusia diberitahu apa yang mereka telah lakukan semasa di dunia dan apa yang telah mereka tinggalkan. Mulut mereka diikat sedangkan anggota lain menjadi saksi atas segala perlakuan jahat mereka.

Semoga menambah peringatan kepada diri.. 

6 comments:

Kakzakie Purvit said...

Assalamu'alaikum Kak Werdah,

Sambil makan nasi goreng kakak baca N3. Benar sekali untuk mendapat kebahagiaan di akhirat adalah atas diri sendiri. Kalau dah tahu yg diikut itu salah usah subahat kerana di akhirat kelak ia tidak dapat membantu kita melainkan kita sendiri menghindari darinya.

Banyak amalan seperti yg Kak Werdah kata walau dgn sebiji kurma mendapat ganjaran. Jadi kakak klick banner dlm blogger biar dapat % pun ok juga ye. Heee....(gurau kak....)

Werdah said...

Kakzakie

Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakaatuh.

Alhamdulillah sedap nasi goreng.. kak bersarapan dengan sekeping roti gardenia wholemeal dengan secawan nescafe (sesekali nescafe - sedap)

Ya kakzakie, semoga kita dapat berusaha dengan bersungguh-sungguh, banyak fitnah melanda pada akhir zaman.. semoga kita dapat membentengi diri kita sambil berdoa semoga segala perkara subhah dapat kita elakkan.. amiin

gurau, ok :))

Mutiara Bernilai said...

Assalamualaikum Werdah,

Benar, harus sentiasa bermuhasabah dan melihat ke dalam diri..

terima kasih atas perkongsian di pagi hari,,

:)

Werdah said...

Mutiara Bernilai

Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakaatuh.

Salam kenal.. N3 yang mengingatka diri.. semoga kita dapat manfaatkannya sambil mohon restu Ilahi..

Terima kasih..:))

Cikgu Zam said...

salam kak,
satu kisah yang dapat menginsafkan kita tentang hari kiamat dan dapat meningkatkan amalan baik kita, InsyaAllah.

Werdah said...

Cikguzam

Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakaatuh.

InsyaAllah.. dengan pertolongaNya juga.. amiin