Thursday, March 8, 2012

Suasana Alam Akhirat (64) - Surah Al-Hajj

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Berpeluang mengikuti rancangan Tanyalah Ustaz di TV9 yang bertajuk Pengisian Rohani. Disebabkan ayat-ayat yang dibaca oleh ustaz ni ada kaitan dengan hari kiamat dan ada gambaran apa akan berlaku di sana nanti; maka saya ambil kesempatan menulis serba sedikit di sini. 

Rancangan Tanyalah Ustaz dimulakan dengan bacaan ayat-ayat daripada surah Al-Hajj mulai ayat 1 hingga ayat 6 seperti di bawah:

Bismillah

A001

Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar(Al-Hajj 22:1) 

A002

Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan(Al-Hajj 22:2)

A003

Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan(Al-Hajj 22:3)

A004

Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka(Al-Hajj 22:4)

A005

Wahai umat  manusia , sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian  manusia ) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.(Al-Hajj 22:5)


A006

(Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.(Al-Hajj 22:6)


Pengisian rohani yang dimaksudkan ialah kita kena isikan jiwa kita supaya sentiasa taat akan perintah Allah.

Kita sepatutnya sentiasa bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk bangun selepas tidur. Malam kita tidur pagi esok kita bangun begitulah rutin kita yang sebenarnya malam kita mati dan pagi esoknya Allah hidupkan kita semula. Maknanya Allah sentiasa bagi peluang kepada kita untuk sentiasa buat taat dan jangan bantah. Bukan semua orang berpeluang hidup sampai umur tua kerana ada yang pergi lebih awal.

Allah suruh kita jadi orang yang bertakwa, kerana hari kiamat itu perkara besar. Pada hari itu amat menghairankan kerana ibu yang menyusukan anakpun terlupa akan anaknya. Pada hal kita tahu ibu amat sayangkan anak. Ibu yang hamil dengan sangat mudah keguguran pada hal kebiasaannya kita dengar amat susah atau sakit ibu melahirkan. Pada hari itu juga manusia seolah-olah mabuk padahal mereka tidak mabuk. Mereka terhuyung hayang. Bayangkan bila berlaku gempa bumi, bagaimana keadaannya. Itu baru gempa bumi.

Allah bagi tahu bahawa kebanyakan manusia suka bantah. Kata ustaz apakan tidak, sebagai contoh Allah panggil waktu subuh ajak solat, ajak menuju kepada kebahagiaan, tapi ramai yang tarik selimut. Allah larang minum arak, main judi ramai yang nak buat. Apa-apa sahajalah yang Allah suruh nak bantah saja. Sebenarnya sejak kita masih bayi lagi Allah ajarkan supaya kita solat dan suruh menuju kepada kebahagiaan. Ayah kita azan di telinga kita. Boleh hayati nasyid di bawah peristiwa waktu subuh (ustaz ada nyanyikan sebahagian nasyid ini) , kata ustaz; jika ayampun boleh terjaga  awal kenapa manusia tidak! Itulah nak menunjukkan manusia ini suka bantah suruhan Allah.


Tabuh berbunyi gemparkan alam sunyi
Berkumandang suara azan
Mandayu memecah sepi
Selang seli sahutan ayam

Tetapi insan kalaupun hanya ada
Mata yang celik dipejam lagi
Hatinya penuh benci
Berdengkurlah kembali
Begitulah peristiwa di subuh hari
Suara insan di alam mimpi

Ayuh bangunlah
Tunaikan perintah Allah
Sujud mengharap keampunan-Nya
Bersyukurlah bangkitlah segera
Moga mendapat keredhaan-Nya
Begitulah peristiwa di subuh hari
Setiap pagi setiap hari.


Bila tak nak ikut apa yang Allah perintahkan maka merekapun mengikut ajakan syaitan. Maka hinalah manusia itu. Allah sebenarnya meninggikan darjat manusia, daripada tanah liat jadi air mani (kotor), kemudian jadi sebuku darah (masih lagi kotor/najis), kemudian jadi daging, kemudian jadilah manusia yang mulia. Tinggal lagi manusialah yang perlu berusaha mengisi rohani agar tetap mulia supaya dapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Di bawah ni pula saya sambung dengan ayat-ayat berikut kerana di sini juga ada kaitannya tentang hari kiamat:

A007
Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur. (Al-Hajj 22:7)
A008
Dan ada di antara  manusia  yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran; (Al-Hajj 22:8)
A009
Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan orang lain dari jalan agama Allah; ia akan beroleh kehinaan di dunia, dan Kami akan merasakannya azab yang membakar pada hari kiamat kelak(Al-Hajj 22:9)

A010

(Dengan dikatakan kepadanya): "Azab yang demikian ini ialah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya". (Al-Hajj 22:10)

A011
Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata. (Al-Hajj 22:11)

A014

Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; sesungguhnya Allah melakukan apa yang ditentukanNya. (Al-Hajj 22:14)

Allah amat menyayangi kita sebab itulah kita selalu dingatkan tentang huru-hara hari kiamat. Disuruh kita tingkatkan ketakwaan. Setiap saat dan ruang kita kena rebut peluang melakukan kebaikan. Kita sentiasa diingatkan supaya mempersiapkan diri sendiri serta keluarga bagi menghadapi hari yang besar ini.

10 comments:

Kakzakie said...

Assalamu'alaikum Kak Werdah,

Memabaca N3 ini dengan hati penuh insaf. Menghayati nasyid itupun terasa syahdu. Betapa tanda-tanda kecil kiamat pun telah ada di depan mata kan Kak... tapi sayangnya masih ada juga yg tidak peduli...

Moga kita dikuatkan iman dan sentiasa mencari redha Allah.

Moga Kak Werdah sihat juga sebab selalu kakak jengah sini sepi je...

Werdah said...

Wa'alaikumussalam kakzakie

Kak alhamdulillah 'alaa kulli haal... syukur kerana tidak bertambah mudharat.. insyaAllah

Benar kakzakie.. masa nengokkan rancangan ni teringat juga akan diri ini dan keluarga.. adakah nanti bertemu di sana..

Lebih-lebih lagi bila baca satu buku "Satu hari di Neraka" ada dinyatakan dengan dalil al-Quran dan hadis bahawa ada yang berpendapat yang syurga berada di langit manakala neraka jauh di perut bumi..

Banyak yang perlu dipersiapkan terutama bila ingat niat di hati(adakah lillahi ta'aala)..

Mengaharapkan rahmat Allah .. itupun kena amal soleh...bagaimanalah nanti..

Mieza said...

Assalamualaikum Kak Werdah,
Alhamdullilah, terima kasih atas peringatan. Semoga kita semua sentiasa menuju ke arah redha dan rahmat Allah.

Kalau kak Werdah tidak keberatan saya nak minta alamat surat menyurat akak untuk projek mini Mail box postcode 7647, kalau tidak tak apa.

Email saya di mieza71@gmail.com

Barakallahhu fikum.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Mieza

Sama-sama kita berusaha ya dan terima kasih atas doa Mieza untuk makcik rasanya bukan kak..

Insya Allah makcik emelkan alamat ke Mieza ya...

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah..:)

Moga Allah limpahkan kebaikan yang banyak buat kakak...amiin

Menatapi tulisan kakak, seharusnya hendaklah kita bersedia dan bermuhasabah diri serta membuat penelitian diri kita masing-masing untuk mempertingkatkan amalan yang sedia ada dan menjauhkan segala perkara-perkara yang tidak baik.

Hendaklah kita berpegang teguh dengan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah iaitu golongan yang tetap berpegang dengan teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak

Terima kasih kerana mendoakan kak di sini. Semoga dirimu juga dilimpahkan kebaikan yang banyak.. amiin

Benar apa yang Abd Razak nyatakan tu. Semoga kita sentiasa muhasabah diri dan istiqamah menjaga amalan. Sungguh ngeri bila membaca peringatan Allah SWT tentang seksa di sana nanti.

Kunang-Kunang said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Membaca N3 kak Werdah ni selalu memberi keinsafan kepada saya dan mengingatkan saya betapa kurangnya diri ini melakukan apa yang Allah perintahkan. Semoga pintu taubat sentiasa terbuka untuk saya.

Terima kasih kak.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Samalah dengan diri kak... lebih-lebih lagi terasa saat pengakhiran dah hampir sangat. Apa-apapun kita kena sangka baik dengan Allah SWT setiap masa dan sentisa minta ampun kepadaNya.. InsyaAllah pintu taubat masih terbuka buat kita. Amiin

terima kasih kembali Ani.

insan_marhaen said...

ada pandangan yang berbunyi bahawa jika jamaah solat subuh ramainya seperti solat jumaat, itu pertanda Islam sedang menang.

Werdah said...

Salam IM,

Ya ada dengar.. dan orang-orang yahudi akan takut bila ramainya bilangan jemaah subuh seramai solat jumaat.

Anda Mungkin Juga Meminati

Related Posts with Thumbnails