Wednesday, May 30, 2012

Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat


Sumber

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah pemilik alam semesta mentadbir sendirian. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi Muhammad rahmat bagi sekelian alam, keluarga serta para sahabat.


SALAH satu doanya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT supaya tidak ditimpakan kehinaan pada hari kiamat. Nabi Ibrahim berdoa: 

“Dan janganlah Engkau hinakan daku pada hari makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik).” (Surah al-Syu'ara, ayat 87-89)
Berdasarkan doa diucapkan Nabi Ibrahim, terdapat tiga perkara yang menarik diberikan perhatian oleh setiap Muslim. 
Pertama, kebimbangan Nabi Ibrahim tentang azab yang pedih pada hari akhirat. Sebagai Nabi, bahkan bapa segala nabi dan rasul, juga bergelar Khalil Allah yang bermaksud kekasih Allah, Nabi Ibrahim masih bimbang serta takut jika ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT pada hari kiamat. Inilah sifat mulia Nabi Ibrahim yang sewajarnya dicontohi. 

Kedua, tiadanya nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Untuk neraca piawaian duniawi, harta dan anak termasuk pengikut adalah petunjuk utama menentukan status serta darjat sosial manusia. Namun pada hari akhirat nanti, kesemua itu tidak menjadi perkara penting dan tidak ada harganya kerana kenikmatan di syurga tidak dapat dijual beli, apatah lagi malaikat sebagai barisan pelaksana perintah Allah tak mungkin dapat diminta belas kasihan untuk melepaskan diri daripada azab dan kesengsaraan. 


Ketiga, kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat. Jaminan keselamatan dan kebahagiaan hanya diberikan kepada orang yang datang menghadap Allah dengan hati bersih dan sihat atau qalbun salim.

Dalam kata lain, hati memainkan peranan penting mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Malah, hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. 


Anggota tubuh badan manusia tidak berfungsi secara keseluruhannya kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq serta sifat mazmumah. 

Perlu ditegaskan, ada banyak pendapat daripada ulama tafsir berkaitan asal usul kalimah qalbun salim ini yang asasnya berkisar kepada tiga makna

Pertama, seperti dikemukakan Ibnu Katsir dan al-Alusi, qalbun salim bermaksud sejahteranya hati daripada penyakit syirik atau kepercayaan sesat. Hati sihat bererti memiliki akidah yang benar, lurus, bebas daripada segala bentuk kemusyrikan dan kesesatan. 


Kedua, qalbun salim bererti bersih daripada penyakit hati iaitu sifat mazmumah seperti riak, hasad dengki, sum’ah, sombong dan sebagainya

Permulaan surah al-Baqarah, dikemukakan tiga golongan manusia iaitu orang yang bertakwa (al-muttaqun), orang kafir (al-kafirun) dan orang munafik (al-munafiqun). 

Golongan yang disebut terakhir ini (orang munafik - al-munafiqun) adalah orang yang hatinya berpenyakit seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: 

“Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) ada penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).” (Surah al-Baqarah, ayat 10) 

Hati yang bersih dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain. 

Ketiga, seperti badan yang sihat, hati sihat juga memiliki kesempurnaan dan kekuatan melakukan tugas sesuai dengan maksud penciptaannya sebagai hamba dan khalifah Allah. Fungsi hati yang utama adalah untuk mengenal Allah SWT, iaitu dengan iman dan takwa, seperti maksud sabda Rasulullah SAW: “Takwa itu di sini, dan baginda SAW menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali.” (Hadis riwayat Baihaqi) 

Satu perkara tidak dapat disangkal adalah hati yang sihat sumber segala kebaikan dan pendorong amal salih. Di sini, hanya hati yang disebut sebagai sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat, bukannya anggota tubuh badan lain. 

Hal ini, menurut imam al-Razi, kerana jika hati sihat, seluruh anggota badan yang lain ikut sihat. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad. Tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Tiga perkara menarik di sebalik doa Nabi Ibrahim 
  • Bimbang ditimpa kehinaan dan azab pedih pada hari akhirat; 

  • Nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan tiada nilai pada hari kiamat dan 

  • Kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat.

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Berita Harian2012/05/25

12 comments:

Abd Razak said...

Assalamualaikum Kak Werdah..:)

Moga Allah limpahkan kesejahteraan dan ketenangan jiwa buat kakak di sana serta kesihatan yang berpanjangan...aamiin

Sering hati memikirkan hal mengenai pertemuan dengan Allah di Padang Mashyar kelak, dan setiap kali memikirnya degupan jantung menjadi deras dan terbit perasaan takut bimbang segala amal tidak mendapat tempat di sisi Allah SWT...Allahu Rabbi.

Moga segala amal kita diterima Allah SWT...aamiin

Unknown said...

Terima kasih kerana menyampaikan maklumat-maklumat (dakwah) yg sangat bermanfaat kpd pembaca.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Abd Razak.

Alhamdulillah kerana kesihatan tidak bertambah mudarat. Terima kasih atas doa yang dipanjatkan untuk kak di sini. Semoga Allah memberikan kebaikan yang banyak buat kita dalam melayari kehidupan yang di dunia ini.

Maafkan kak ya kerana lambat jawab komen ini. Sebenarnya kak pun merasai apa yang dirasai oleh Abd Razak. Sangat bimbang lebih-lebih lagi kerap membaca nota-nota seperti yang kak tulis dalam blog ini.

Dapatkah kita hadapi suasana yang gempar nanti dengan tenang, berseri-serikah wajah? dan pelbagai lagi persoalan.

Sungguh mengerikan memikirkannya. Ya mudah-mudahan kita dapat beramal dengan sempurna dan amalan diterima.

Werdah said...

Salam ujang kutik

Peringatan buat diri kak juga.. semakin dekat rasanya perjalanan menuju ke sana.. kadang-kadang mengisi ruangan blog ini dalam kedaan yang sangat bimbang lebih-lebih lagi bila terbaca tentang hadis di bawah:

Nabi SAW bersabda; "Pada hari Kiamat, seorang lelaki diajukan ke hadapan Allah SWT kemudian dilemparkan ke dalam neraka. Ia berputar-putar seperti keledai yang menarik penggilingan. Penduduk neraka berkumpul dan bertanya; "Wahai fulan, kenapa engkau seperti ini? padahal engkau dahulu memerintahkan kebaikan dan melarang kemungkaran kepada kami? Dia menjawab; Aku memrintahkan kebaikan kepada kamu tetapi aku sendiri tidak mengerjakannya. Aku melarang kamu mengerjakan kemungkaran tetapi aku melakukannya." (Hadis Bukhari dan Muslim).

Semoga kita dapat beramal sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT.. amiin

insan marhaen said...

IM juga selalu rasa bimbang terutama bila mengenang mur yang semakin meninggi ini.

Werdah said...

Salam IM

Ya, kelak bagaimana kita akan menjawab persoalan umur.. tambah-tambah bila ditanya "Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir .....". (Fathir [ 35 ] : 37)

Sama-samalah kita bimbang sebagaimana yang disarankan para nabi dan rasul..

Kakzakie Purvit said...

Assalamu'alaikum Kak Werdah,

Kakak dah tertinggal beberapa N3. Tapi kakak dan baca kembali... Betapa hati kita yg tak nampak ini pun masih diintai oleh syaitan. Mencari ketakwaan, sifat mahmudah dan sebagainya kena ada kekuatan iman dan perlu dibajai selalu. Kerana kita tak akan tahu bila-bila masa saja jarum jahat syaitan itu menyuntik melalaikan kita.

Moga keimanan kita terus kuat.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam kakZakie

Terima kasih datang jengah kak werdah di sini..

Seperti ada kekangan sedikit pada spinal kak.. jadi seperti tak larat nak duduk adap PC lama-lama menaip..

Ya kakZakie.. semoga kita sentiasa waspada dan sentiasa memerhatikan diri.. dan selalu menaruh perasaan bimbang di ruang hati bagaimana kelak di sana..

Mak Wardah said...

Salam kenal. Pengisisan roahni yang tidak terhingga nilainya.Tkasih

Werdah said...

Salam Mak Wardah

Salam kenal.. semoga ada manfaatnya.. amiin

ummu said...

salam kak werdah
sesungguhnya janji allah amat maha benar kan kak

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ummu

Ya Ummu, semoga kita sentiasa menggilap hati , membuang segala kotoran dan mengisaikan yang baik-baik.