Wednesday, December 16, 2009

Syaitan Bekerja Hingga Kiamat


Bismillahirrahmaninrrahim.


Assalamu'alaikum.


Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.


Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.


Muncung Syaitan membuatkan manusia lupa;


Rasullullah saw bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu meletakkan muncungnya di atas hati anak Adam, jika manusia ingat kepada Allah, maka mundurlah ia, jika manusia itu lupa kepada Allah,dipatuklah hatinya"(Hadis Riwayat Ibnu Jauzi).


Syaitan menangis;


Rasullullah saw bersabda: "Apabila anak Adam membaca Surah As-sajadah,lalu ia sujud,nescaya menyingkirlah syaitan sambil menangis dengan meratap:"Ah... Celakalah aku. Anak Adam disuruh sujud lalu ia sujud maka ia mendapat syurga, tetapi aku disuruh sujud maka membangkang, maka aku mendapat neraka" (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Majah).


Syaitan kencing;


Daripada Ibnu Masud; dia berkata:Diceritakan (Allah) kepada Nabi Muhammad saw tentang seseorang lelaki yang tidur hingga waktu Subuh (waktu Fajar Pagi), sabda Baginda: "Itulah orang lelaki yang dikencingi oleh syaitan pada kedua telinganya" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)(As-Syaikhan).


Syaitan tertawa (ketawa);


Rasullullah saw bersabda bermaksud:"Apabila menguap salah seorang kamu dalam solat, maka hendaklah ia tutup mulutnya sedapat mungkin; dan jangan ia mengucap "Ahhh...", kerana sesungguhnya yang demikian itu daripada syaitan dan ia tertawa kerananya." (Hadis Riwayat Bukhari).


Syaitan mempunyai rambut dan janggut yang kusut;


Daripada Atha bin Yasr; dia berkata: Telah datang lelaki kepada Rasullullah saw dalam keadaan kusut rambut dan janggutnya, maka Rasulullah saw memberi isyarat kepada lelaki itu, seakan-akan disuruhnya membereskan (meluruskan) rambut dan janggutnya. Maka orang itu mengerjakannya, kemudian ia kembali. Maka Rasullullah saw bersabda: "Bukankah ini lebih baik daripada seseorang yang datang dengan kusut rambutnya seperti syaitan." (Hadis Riwayat Malik).


Syaitan menyilangkan (mematah-matahkan) jari tangan;


Nabi Muhammad saw bersabda (memberitahu): Apabila salah seorang kamu berada di dalam masjid, maka janganlah sesekali menyilangkan (mematah-matahkan) jari tangan, kerana menyilangkan jari-jari tangan itu daripada syaitan. Dan seorang kamu tetap dalam pahala solat selama ia berada di dalam masjid sehingga ia keluar daripadanya." (Hadis Riwayat Ahmad).


Syaitan masuk dalam aliran darah manusia;


Rasullullah saw bersabda bermaksud:" Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam diri manusia mengikuti pejalanan darah. Oleh sebab itu, aku takut syaitan melontarkan sesuatu tuduhan atau satu kejahatan dalam hatimu" . (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)(as-Syaikhan).


Syaitan takut orang yang solat berjemaah;


Rasullullah saw bersabda yang bermaksud: "Jika ada tiga orang di desa atau di gunung yang tidak menunaikan solat berjamaah, nescaya mereka dikusai oleh syaitan. Oleh sebab itu, hendaklah kamu berjamaah kerana sesungguhnya serigala tidak akan memakan kambing melainkan yang terpisah sendiri dari rombongan" . (Hadis Riwayat Abu Daud).


Hentakan kaki syaitan menyebabkan wanita istihadhah (mengeluarkan darah haid secara berlebihan walaupun dalam keadaan sihat).


Daripada Amnah binti Jahsy bahawa ia keluar darah banyak dan deras(mengalir-ngalir) daripada kemaluannya (darah istihadhah), lalu ditutup dengan kapas masih juga keluar dan ditutup dengan kain masih juga keluar. Rasullullah bersabda: "Sesungguhnya darah yang keluar deras itu adalah salah satu hentakan kaki dari hentakan-hentakan kaki syaitan." (Hadis Riwayat Ahmad,Abi Daud dan Tirmidzi).


Syaitan menghadang di saf solat;


Rasullullah saw bersabda: "Apabila salah seorang daripda kamu solat dengan memakai batas (Sutroh/penghadang), lalu ada orang yang melintas dihadapannya (dalam kawasan solat, dibawah penghadang) maka hendaklah ia menghalanginya.Tetapi jika orang itu enggan (dalam keadaan curiga, melintasi dengan sengaja berulang kali) maka boleh orang itu diperangi (usir atau dibunuh), kerana dia itu tidak lain adalah syaitan".(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)(As-Syaikhan).


Rasullullah SAW menangkap dan mencekik syaitan: "Ketika Nabi SAW akan melakukan solat , lalu datang kepadanya syaitan hendak memutuskan solatnya. Maka Nabi Muhammad SAW menangkapnya (syaitan itu) lalu mencekiknya sehingga keluar air liurnya di atas tangannya (Nabi)." (Diceritakan oleh Ibnu Qoyyim).


Syaitan kentut;


"Apabila diseru untuk melakukan solat (laungan azan), maka mundurlah syaitan sampai terkentut-kentut sehingga ia tidak mendengarkan azan, maka selesai azan ia kembali lagi. Dan apabila akan berdiri sola t (laungan iqamah), ia mundur lagi dan apabila selesai iqamah, ia datang kembali" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)(as-Syaikhan).


Syaitan menyelit disaf solat yang renggang:


Rasullullah saw bersabda: "Luruskan saf-safmu, rapatkan bahu-bahumu (dalam solat) dan berlaku lembutlah terhadap tangan-tangan saudaramu dan tutuplah tempat-tempat renggang kerana seungguhnya syaitan masuk (menyelitkan diri) pada celah-celahmu, bagaikan anak kambing yang menyelit di celah-celah induknya."(Hadis Riwayat Ahmad dan Thabrany).


Syaitan menghalangi khusyuk solat;


Aisyah ra berkata : Aku pernah bertanya kepada Rasullullah saw tentang menengok dalam solat (melihat-lihat ke mana-mana arah tanpa perlu); maka Rasullullah saw bersabda: "Itu adalah curian cepat yang dicuri syaitan daripada hambaNya" (Hadis Riwayat Bukhari,Ahmad,An-Nasai dan Abu Daud)(Hadis Sahih).


Sabda Rasullullah lagi yang bermaksud: "Akan datang syaitan pada seseorang kamu dalam solatnya, lalu syaitan mengingatkan kepadanya, keperluan begini dan begitu. Maka janganlah ia menurutinya. Dan syaitan datang pula pada waktu tidurnya, maka syaitan memberikan berita mimpi buruk padanya, maka janganlah diikutinya (mempercayainya)". (Hadir Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi).


Syaitan membuat mimpi buruk:


Rasullullah saw bersada yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu bermimpi yang tidak disukai (mimpi buruk), maka hendaklan ia meludah kesebelah kiri tga kali dan hendaklah membaca: “A'uzubillahi minassyaitanir rajim maksudnya: "Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam". Dan hendaklah ia pindah dari lambungnya ketika hendak tidur yang ia sedang ada di atasnya". (Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, An-Nasai dan Ibnu Majah).


Syaitan mencelak mata;


Syaitan akan mencelak mata para pendengar ceramah agama atau khutbah supaya para pendengar akan tertidur dan leka tidak menghayati apa-apa yang dikatakan oleh penceramah.

Syaitan menggincu bibir;


Syaitan akan menggincu bibir para pendengar ceramah supaya dapat berbual-bual dengan temannya dan dapat mengeluar kata-kata kesat.


Syaitan akan mengetuk para pendengar ceramah dengan tongkatnya agar dapat membuat bising dan tidak akan duduk diam,disamping membuat kacau dan kekalutan.


Banyak lagi propaganda yang telah dilakukan oleh syaitan untuk menyesatkan manusia supaya tidak dapat manusia itu berpaut kembali kepada tali aqidah dan ajaran Allah yang lurus dan benar. Manusia diingatkan agar berhati-hati menjalani kehidupan ini agar tidak terpedaya dengan dakyah-dakyah syaitan.


Tujuan Allah menciptakan syaitan adalah untuk menguji tahap keimanan manusia itu kepada Allah.Sesiapa yang terpedaya dengan ajakan syaitan Allah akan membalas dengan azab sengsara yang pedih di dunia dan di akhirat. Manakala orang yang berbuat baik dan berjaya menyekat kejahatan syaitan, Allah akan membrikan penghargaan yang tidak terkira yakni dibalas dengan Syurga dan kehidupan yang tetap berbahagia.


Allah tidak akan menguji manusia itu dengan berlebih-lebihan daripada kemampuan orang itu sahaja.Syaitan merupakan salah satu bencana kepada orang yang ingkar kerana mereka akan terus mengikuti syaitan selagi mereka tidak mendapat restu dan inayah daripada Allah.


Dikatakan juga orang yang dirasuki syaitan atau jin jahat sebenarnya adalah orang yang mempunyai iman yang lemah di samping jiwa dan raganya kosong yakni lemah daripada segi zahir dan batinnya. Syaitan mudah untuk mendekati orang yang mempunyai sifat-sifat demikian dan menjadikan orang-orang seperti ini sebagai penempatan (perumahan) bagi mereka. Pengubatan Islam sahaja yang mampu menghalau perkara tersebut daripada terus membahayakan manusia selain orang-orang itu sendiri berusaha mengingati Allah dan mengamalkan segala ajaran Allah.


Syaitan yang cuba untuk mendengar rahsia Kerajaan Allah di langit.


Allah akan melontarkan api-api di langit (asteroid,meteor atau meteorid) kepada syaitan.Dalam kejadian itu, dengan izin Allah; ada juga syaitan yang berjaya mendapatkan maklumat atau rahsia daripada Kerajaan Allah di langit. Dari situlah munculnya golongan sihir/dukun/bomoh (golongan manusia yang suka mengamalkan ilmu mistik atau ilmu hitam yang sudah diduga banyak melakukan penyimpangan akidah dan kepercayaan kolot) yang cuba menjadikan syaitan sebagai rakan dan akhirnya mudah untuk golongn sihir membuat penipuan dan kejahatan di atas muka bumi ini.


Pada akhir zaman nanti; Syaitan akan dimatikan oleh Malaikat Izrail atas arahan Allah, setelah Allah membinasakan segala-galanya yang berada di alam buana dan semesta ini. Syaitan akan dihidupkan kembali untuk menerima janji Allah sebagai bahan bakar dalam neraka. Pada waktu itu peneman syaitan yang turut binasa adalah manusia dan jin yang ingkar dengan perintah Tuhan serta batu-batuan.

Tuesday, December 15, 2009

Siapakah Orang Yang Rugi.


Bismillahirrahmaninrrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (103) (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. (104) Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (105) (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya Neraka Jahanam, disebabkan mereka kufur ingkar dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan. (106) (Q.S. Al-Kahfi [18] ayat 103 hingga 106)

Antara sifat2 orang-orang yang rugi ialah :

  1. Orang yang bodoh kerana tidak mahu belajar.
  2. Orang yang pandai kerana tidak mahu mengajar.
  3. Orang yang berilmu kerana tidak mahu mengamalkan ilmu.
  4. Orang yang beramal tanpa ilmu.
  5. Orang tua yang tidak menghargai masa muda.
  6. Orang muda kerana tidak mengingati akan hari tuanya.
  7. Orang kaya yang tidak mahu bekerja.
  8. Orang miskin yang tidak mahu berjimat.
  9. Orang yang berdosa tetapi tidak mahu bertaubat.
  10. Orang yang bertaubat tetapi masih mahu mengulangi maksiat.
  11. Otang 'alim tetapi tidak tawadhu'.
  12. Orang 'alim yang tawadhu' tetapi menunjuk-nunjuk.

Semoga kita dilindungi daripada sifat2 yang merugikan ini...

Monday, December 14, 2009

Terus Berdoa Sekalipun Zahirnya Seperti Tidak Dimakbulkan

Bismillahirrahmaninrrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak.

Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumNya):"Berdoalah Kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu" (Surah Al-Ghaafir:60)

Firman Allah (mafhumNya): "Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk" (Surah al-Baqarah:186)

Dalam as-Sunnah, terdapat banyak hadis-hadis fi'li (perbuatan) dan hadis-hadis qauli (percakapan) yang jelas baginda Rasulullah s.a.w., berdoa ke hadrat Allah SWT.

Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT.

Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.

Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang.

Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah.

Doa itu dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika baginda mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya.

Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s., seolah-olah baru dimakbulkan.

Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai 'khalilullah' - kekasih Allah - sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.

Apabila kita sering berdoa, jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimakbulkan.

Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta.

Kadang-kadang doa kita dimakbulkan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak.

Ia adalah suatu ujian kepada kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.

Antara sebab-sebab nyata Allah tidak makbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam ayat 186, Surah al-Baqarah tadi, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah itu, masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan.

Ada hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang doa yang tidak dimakbulkan, antaranya (mafhum): "Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan."

Pada suatu ketika ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, dan berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah, tatkala Nabi s.a.w. melihatnya, lalu baginda bermadah kepada para sahabat, mafhumnya: "Lihat orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya."

Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memakbulkan doanya.

Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya: "Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat)."

Walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memakbulkan doanya.

Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.

Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta.

Amat sedikit yang tidak diberi, itu pun ada kemaslahatannya.

Mengenai soalan, pernahkah doa Rasulullah sendiri ditolak Allah, jawapannya, ya. Memang doa Nabi s.a.w. pernah ditolak. Kadangkala doa baginda pun ditolak.

Ketika Nabi Muhammad s.a.w., pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam.

Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah (mafhumnya): "Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui."

Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka.

Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman.

Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur.

Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): "Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, "Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi. Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan."

Bagaimanapun kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w. dimakbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimakbulkan itu memang ada kemaslahatannya.

Oleh itu berdoalah ke hadrat Allah SWT, kerana ia adalah ibadah. Ibadah dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan.

Jika kita ikhlas beribadah, insya-Allah Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian.

Solat, puasa, zakat, haji, berjihad dan ibadah-ibadah, kita lakukan kerana berhajatkan keredaan Allah atau pahala yang dijanjikan kepada kita pada hari akhirat.Wallahua'lam.
Sumber: Sini