Tuesday, May 29, 2012

Golongan Kanan VS Golongan Kiri





Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum.

Segala puji adalah milik Allah SWT yang mentadbir seluruh alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan sekelian yang istiqamah menjadi pengikut baginda hingga ke hari kiamat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Balad ayat 17 hingga ayat 20:

A017


Kemudian  tidak  menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.(Al-Balad 90:17)


A018


(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).(Al-Balad 90:18)


A019


Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. - (Al-Balad 90:19)

A020

Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).(Al-Balad 90:20)

Perilaku golongan pilihan digambarkan oleh Allah SWT amat berbeza dengan perilaku golongan yang ingkar terhadap perintah Allah SWT.

Ayat-ayat di atas memberikan isyarat bahawa amal-amal soleh tidak bernilai di sisi Allah kecuali didahului dengan iman. Ini kerana Allah telah berfirman yang maksudnya :  

Kemudian  tidak  menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang.(Al-Balad 90:17).

Ini membuktikan amalan yang dilakukan oleh orang-orang kafir itu menjadi sia-sia dan tidak dikira di akhirat. Untuk memahami siapakah yang tergolong dalam kategori orang-orang kafir boleh baca di sini.

Saidina Umar Abdul Khattab ra pernah melihat dengan perasaan sedih tindakan seorang rahib yang hidup dengan serba sederhana. Apabila Umar ditanya kenapa beliau sedih? Beliau menjawab rahib itu sebenarnya menyiksa diri sendiri tanpa beroleh ganjaran baik di akhirat.

Sifat golongan yang mendapat pujian Allah SWT pula dalah berkat kesabaran menghadapi segala ujian daripada Allah SWT atau mehnah daripada makhluk. Ujian yang merupakan kesenangan, kepayahan, nafsu syahwat dan sebagainya.

Kemudian golongan yang dipuji ini menghargai kasih sayang. Mereka berpesan-pesan dengan penuh kasih sayang. Dengan itu semua amalan mereka membawa kepada beroleh rahmat Allah SWT.

Kasih sayang dengan Allah atau hubbullah ialah berusaha untuk menunaikan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan; berusaha gigih untuk mencintai apa yang Allah cinta dan membenci apa yang Allah benci.

Manakala berkasih sayang dengan sesama makhluk pula ialah menjaga hubungan dengan saling menghargai, mengasihani dan sebagainya terhadap manusia, haiwan dan alam sekitar.

Kita diberitahu bahawa ada wanita yang yang dimasukkan ke dalam neraka akibat mengurung seekor kucing tanpa memberikannya makanan sedangkan wanita ini seorang Islam.. Terlalu banyak kisah kasih sayang yang kita pernah dengar menunjukkan betapa pentingnya berkasih sayang.

Dalam ayat seterusnya yang bermaksud : 

(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).(Al-Balad 90:18)Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. - (Al-Balad 90:19)Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).(Al-Balad 90:20)

"Kanan" di sini dirujuk kepada ketinggian dan keberadaannya di sebelah arasy Allah SWT. Tempat tertinggi yang akan diperoleh manusia sebagai penghormatan kerana ketaatannya kepada perintah Allah semasa berada di dunia.

"Kiri" merujuk kepada neraka. Biasanya manusia merujuk makna kanan sebagai kebahagiaan, keberuntungan dan perkara yang baik. Manakala kiri merujuk kepada perkara yang kurang baik.

Disebabkan degil melaksanakan perintah Allah SWT golongan kiri selayaknya mendapat hukuman yang tepat seperti yang dinyatakan bahawa mereka tertutup rapat dalam api tanpa boleh diperdebatkan lagi.

Wallahua'lam.

Semoga kita dijauhi daripada menjadi golongan kiri. Wal'iyazubillah..

Saturday, May 5, 2012

Neraka Saqar pembakar kulit manusia



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat serta salam buat junjungan mulai Nabi Muhammad, keluarga, para sahabat dan pengikut yang setia hingga ke hari kiamat.

Apa yang saya publish di sini ialah hasil pembacaan sebahagian tafsir Surah Al-Muddaththir oleh Dr ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI. Saya salin dan tambah ayat-ayat al-Quran. Semoga menambah bahan bacaan kita dan dengan itu kita sentiasa berasa gerun dengan api neraka dan seterusnya berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT untuk ke Syurga dan dijauhkan daripada Neraka. Allahumma Amiin.

Allah berfirman:
A026
(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar. (Al-Muddaththir 74:26

A027
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? (Al-Muddaththir 74:27

A028
Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus) (Al-Muddaththir 74:28)
A029

Ia terus-menerus membakar kulit manusia! (Al-Muddaththir 74:29)

A030
Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat). (Al-Muddaththir 74:30)


A031
Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (daripada kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) menjadi yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya (orang-orang munafik) dan orang-orang kafir berkata: "Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka (saqar) itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia. (Al-Muddaththir 74:31)

Nota
Yang dihighlightkan dengan warna biru dalam ayat di atas itu ada penerangannya tersendiri. Harap baca di link yang tersenarai di bawah: 



SYED Qutub berkata: "Orang mukmin menerima penjelasan mengenai bilangan pengawal neraka Allah dengan penuh yakin tanpa mempertikaikannya. Tetapi orang musyrikin menerima penjelasan bilangan pengawal tersebut dengan hati yang sunyi daripada iman, sunyi daripada rasa hormat kepada Allah dan sunyi daripada sikap yang serius dalam menerima penjelasan mengenai perkara yang besar ini."

Mereka mempermainkan dan mengejek dan berkata: "Tidakkah setiap 10 orang daripada kamu sanggup membunuh seorang pengawal daripada 19 pengawal neraka itu? Ada pula yang berkata: Kamu boleh membunuh dua orang daripada pengawal itu dan bakinya serahkan kepadaku untuk menguruskannya. Mereka menerima perkara yang amat besar ini dengan jiwa dan hati yang tertutup."


Ibnu Kathir berkata: "Iaitu malaikat Zabaniah yang tampak bengis lagi kasar. Ini kerana Abu Jahal pernah berkata: Hai orang Quraisy! Tidak mampukah kamu 10 orang di kalangan kamu melawan satu malaikat?"

Ada pendapat menyatakan yang berkata itu adalah Kildah bin Khalaf.

Al-Maraghi berkata: "Penjaga neraka adalah malaikat kerana malaikat adalah makhluk terkuat dan terhebat serta makhluk yang amat patuh dalam menunaikan hak Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan penjaga Neraka Jahannam itu dalam bilangan sebanyak itu, adalah untuk menimbulkan keyakinan kepada orang Yahudi dan Nasrani terhadap kenabian Muhammad SAW. Ini disebabkan persamaan yang terdapat di antara al-Quran dengan kitab-kitab mereka."

Sesungguhnya penjaga neraka itu walaupun bilangan hanya 19 malaikat, tetapi mereka ini mempunyai pembantu-pembantu yang tidak diketahui jumlahnya kecuali Allah SWT yang mengetahuinya dan neraka Saqar yang digambarkan oleh Allah SWT hanyalah sebagai peringatan kepada manusia.

A032
Sebenarnya! Demi bulan, (Al-Muddaththir 74:32)

A033
Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri, (Al-Muddaththir 74:33)

A034
Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang, (Al-Muddaththir 74:34)

A035
Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar, (Al-Muddaththir 74:35)

A036
Yang menjadi amaran bagi umat manusia, (Al-Muddaththir 74:36)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu sangat besar neraka Saqar tersebut seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas dan ramai ulama salaf."


Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan bulan yang bersinar, malam yang bertukar ganti dan Subuh yang terang bahawa neraka Jahannam itu adalah salah satu bencana dan bahaya besar sebagai peringatan kepada manusia."

Syed Qutub berkata: "Jarang hati manusia yang segar kerana melihat bulan yang sedang naik atau sedang turun, menghilang kemudian tidak teringat kepada rahsia alam yang dibisikkan oleh bulan. Kadang-kadang berdiri di bawah cahaya bulan boleh menyucikan hati seseorang."

Jarang hati manusia segar melihat malam berlalu dalam saat yang tenang menjelang naiknya matahari dan ketika alam mula sedar dan membuka matanya kemudian tidak terlekat kesan pemandangan dalam hatinya serta tidak berdenyut dalam lubuk jiwanya.

Jarang hati manusia segar kerana melihat waktu pagi yang terserlah dengan sinarnya yang terang kemudian tiada perasaan gembira dan riang menghasilkan fikiran terbuka dan perasaan yang berubah untuk bersedia menerima hidayah yang memancar dalam hati nurani bersama cahaya pagi.

Allah telah menciptakan hati manusia itu tahu pemandangan alam kadang-kadang boleh membawa kepada perubahan yang menakjubkan dengan penghasilan insan yang baru.

Terserlahnya pancaran dan sambutan yang wujud pada bulan, malam dan waktu pagi, terdapat hakikat besar yang menarik yang dijadikan objek oleh al-Quran supaya difikir oleh akal. Ia juga terdapat bukti yang menunjukkan kudrat Allah SWT yang amat kreatif dan pentadbiran-Nya yang bijaksana dalam mengaturkan alam buana dengan cara yang begitu rapi dan halus yang mengkagumkan akal kita.

Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk daripada-Nya dan seterusnya melayakkan kita mencapai mardhatillah yang dapat menghuni syurga-Nya.

Saturday, April 14, 2012

Hari Penyesalan



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum

Segala pujian adalah milik Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia.

Allah berfirman:

A021


Makhluk-makhluk itu tetap akan mati, bukanlah kekal hidup; dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan (menerima balasan). (Al-Nahl 16:21)

A048

(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa. (Ibrahim 14:48)

Hidup yang singkat ini hendaklah dipenuhkan dengan memanfaatkan alam maya ciptaan Allah yang pada buminya tumbuh pelbagai tanaman, pada lautannya berlumba-lumba pelbagai jenis ikan, dan jauh di perut bumi dan lautan terdapat pelbagai logam kurniaan Yang Maha Segala Kekuasaan dan Kemuliaan..

Manfaatkanlah segala keindahan dengan lautan kesyukuran. Bergembiralah kerana sang mentari yang dermawan menyinari cahayanya lalu sirna malam yang kelam. Bergembiralah bersama terbitnya hari yang baru. Sematkan rasa di jiwamu akan betapa nikmatnya keseronokan dan kegembiraan.

Namun awas! keseronokan yang dicari jangan sampai melahirkan penyesalan kemudiannya. Keseronokan yang dicari hendaklah bersamanya ada rahmat dan redha Ilahi.

Jangan tergolong dalam kalangan yang tersalah pilih dan tersalah dalam tindakan. Jika demikian akan tenggelam dan karam. Malang bagi yang tersalah buat pilihan kerana akhirnya akan wujud penyesalan.

Tanyalah kepada mereka yang telah melangkah ke usia tua, usia muda yang ditinggalkan dengan menyia-nyiakan ruang dan peluang. Pasti mereka akan berkata dengan nada kesal; jikalah saya masih muda saya akan bersungguh-sunguh dalam setiap lapangan!

Penyesalan di akhirat

A030


Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.(Yaa Siin 36:30)


Hidup ini semua orang tahu tidak berhenti di dunia. Itulah maksud ayat di atas. Kita akan mati dan akan berhimpun di sana.

Manusia akan berada pada situasi penyesalan yang amat dahsyat. Manusia yang tenggelam dalam kemaksiatan dan kelalaian semasa berada di dunia akan lemas dalam lautan penyesalan. Mereka akan merintih, merayu agar dikembalikan ke dunia. Masakan dapat!

Orang-orang yang beriman juga turut menyesal termasuk juga orang-orang yang dipanggil muhsinun. Kenapa begitu?

Mudah difahami jika yang mujrimin merasa menyesal yang amat sangat. Ini kerana mereka telah engkar dan melakukan dosa. Lantaran dosa mereka berhadapan dengan bahaya api neraka.

Muhsinin pula menyesal kerana mereka melihat nikmat syurga. Jika sebelum ini mereka bayangkan kenikmatan syurga dan tingkatan-tingkatanya pasti mereka berusaha berlipatganda. Mereka berasa kerugian.

Peluang dan ruang disediakan amat banyak. Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Umur yang diberi perlulah dimanfaatkan. 

Berseronok, begembiralah! Namun keseronokan yang hakiki ialah ketika fitrah diri yang suci diisi dengan apa yang diredhai Allah.

Ketika kita mentaatiNya ada keseronokan dan kebahagiaan yang tidak ada bandingannya. Andai menderhakaiNya akan terasa resah dan gelisah.

Oleh itu awaslah kedatangan hari penuh penyesalan ini. Penuhilah hidupmu mencari kebahagiaan yang hakiki.

Coretan buat menyedarkan diri penulis yang sering alpa..