Tuesday, May 18, 2010

Ikhlaskan niat dan bertaubatlah

04 Jamadil Akhir 1431.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hidup di dunia adalah sementara sebagaimana Nabi Muhammad saw pernah mengibaratkan bahawa kehidupan manusia di atas muka bumi ini seperti seorang pengembara. Apabila tiba masanya, dia diminta pulang bersama-sama dengan tujuan pengembaraannya.

Abdullah bin Umar (Ibnu Umar) berkata, Rasulullah memegang bahuku seraya berkata: “Jadikanlah diri kamu di atas muka bumi ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Ibnu Umar berkata: Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu menjelang waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, jangan kamu tunggu menjelang waktu petang. Gunakanlah peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa hidup untuk persediaan matimu.” – (Hadis riwayat al-Bukhari)

Firman Allah bermaksud:

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?”(al-Mukminun: 115)

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)" (Al-Mulk [61] : 2)

Bekalan yang perlu dibawa ke akhirat sebagaimana yang dikehendaki Allah, bakal menentukan ke arah mana harus kita dituju. Hanya ada dua pilihan iaitu sama ada ke syurga ataupun Neraka. Jika kita memilih syurga bererti kita memilih untuk melakukan pengorbanan semasa berada di dunia ini. Pengorbanan yang harus kita lakukan ialah mengisi jiwa kita dengan menjadi insan yang sentiasa melaksanakan perintah Allah dan menghindari larangan-Nya.

Dua cabaran utama harus kita hadapi ialah mengekang kehendak syahwat dan melawan godaan iblis yang berjanji untuk mengheret sebanyak untuk bersamanya ke neraka.

Firman Allah bermaksud:

"Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (daripada menjalani) jalanMu yang lurus; Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". (al-A'raf [7] : 16 - 17)

Allah juga berfirman maksudnya:

“Syaitan menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan menggalakkan kamu berbuat kejahatan sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripada-Nya dan kurniaan. Dan Allah Maha Luas kurniaan lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah [2] : 268)

Segala amalan baik buruk kita semasa berada di dunia dicatat oleh malaikat pencatat dan al-Mizan akan menentukan sama ada kita akan menerima buku amalan dengan tangan kanan ataupun dengan tangan kiri pada hari akhirat kelak. Segala tindakan, perbuatan, perkataan dan perwatakan kita adalah dikira ibadat jika diniatkan kerana Allah semata-semata.

"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar". (Al-Baiyyinat [98] : 5)

Setiap amalan yang dicatatkan adalah bekalan untuk dibawa ke akhirat. Oleh itu berlaku jujurlah ketika bekerja. Jika kita seorang pemimpin kita akan ditanya tentang amanah dan tanggungjawab kita.

Seorang suami akan ditanya tentang hak dan tanggungawabnya kepada isteri dan anak-anak. Begitu juga seorang isteri ditanya pula tentang hak dan kewajipannya terhadap suami dan anak-anak.

Seorang isteri yang mentaati perintah suami selagi suaminya tidak menyuruh berbuat perkara-perkara yang bertentangan dengan syari'at Islam serta melayan suami dengan baik, dijanjikan pahala dan keampunan Allah.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanya laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah hingga ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaannya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknat hingga ia pulang.” (Hadis riwayat Al Bazzar)

Tindakan membuang benda-benda yang boleh membahayakan atau menghalangi orang ramai yang lalu-lalang di jalan walaupun perbuatannya dianggap remeh, sebenarnya mengundang keampunan Allah kepada pelakunya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Seorang lelaki melalui sebatang jalan dan ternampak ranting pokok yang berduri lalu dialihkannya ke tepi. Maka Allah melimpahkan kasihnya kepada lelaki itu dan diberikan keampunan ke atasnya.” (Sahih al-Bukhari).

Menyesali waktu yang telah berlalu merupakan perkara yang sia-sia. Dengan menyesali waktu yang telah pergi membuatkan kita lalai. Apabila lalai kita akan kerugian. Sebab itu jauhkanlah diri kita daripada perkara-perkara yang merugikan ini. Elaklah perkara ini kerana dengannya kita akan mudah mengeluh, sedih dan kaku dan menyebabkan kita lalai daripada mengingati Allah. Sedangkan kita seharusnya memperbanyakkan zikir dan bertaubat.

Kita hendaklah jadikan hari ini sebagai permulaan bagi memperbetulkan kesilapan yang telah kita lakukan pada masa lalu. Dengan ini, mungkin membawa kita kepada keinsafan dan kita melakukan perubahan. Imam Hassan al-Banna menyatakan dalam kitabnya Risalah at-Ta’lim: “Kewajipan yang perlu kita sempurnakan adalah lebih banyak daripada masa yang kita ada. Maka sepatutnya tidak ada satu saat dibiarkan berlalu tanpa kita menggunakannya dengan melakukan perkara berfaedah”.

Ini bermakna kita perlu bertaubat. Menghampiri taubat dengan rasa ikhlas akan membuahkan sinar baru dalam kehidupan. Sejahat-jahat manusia seandainya taubatnya diterima Allah, pasti darjatnya mampu mencapai kedudukan yang tinggi. Seseorang yang taubatnya diterima Allah seperti bayi baru dilahirkan.

Firman Allah bermaksud:

“Hai orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama dengannya; cahaya mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka; mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah cahaya bagi kami dan ampunlah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (at-Tahrim [66] : 8)

Seandainya kita bertaubat dengan sebenar-benar taubat sebagaimana Nabi Adam as dan Hawa' dalam doa mereka:

"Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi". (al-A'raf [7] :23

Nabi Adam as dan pasangannya memohon ampun dan bertaubat dengan merendahkan diri dan mengakui keslahan mereka, lalu Allah menerima taubat keduanya. Berbeza dengan Iblis, bukan memohon ampun sebaliknya menuduh Allah SWT menyesatkannya lalu berusaha untuk menyesatkan manusia sebagaimana yang telah diterangkan dalam ayat (al-A'raf [7] : 16 - 17) di atas tadi.

"Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani". (al-Baqarah [2] : 37)

Kesimpulan:


Berbuat sesuatu amalan perlu niat kerana Allah supaya amalan itu dapat menolong kita saat ditanya Allah pada hari akhirat.

Taubat perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh bukan sahaja dengan beristighfar (memohon ampun) tetapi berusaha berbuat baik sebanyak mana kejahatan yang telah kita lakukan.

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri". (al-Baqarah [2]: 222)

Taubat yang diterima ialah taubat sebagaimana dalam ayat 17 surah an-Nisa' dan taubat yang tak diterima ialah seperti dalam ayat 18 surah an-Nisa'. (seperti yang tertera dalam kad di bawah).

Sekian, mudah2an memberi manfaat. Subhanaka Allahumma wabihamdika, asyhaduan lailaha illa anta, astaghfiruka wa atubu ilayh.

8 comments:

ummu said...

salam kak werdah.
terima kasih atas ingatan akak ini.
moga akak sihat sejahtera selalu

Anak Pendang Sekeluarga said...

salam,laporan terbaru student UMT shahid di sabah ada di blog sy...

Werdah said...

Salam Ummu

Terima kasih juga atas doa ummu kepada kak. Semoga Ummu juga sihat sejahtera. Amiin.

Werdah said...

Salam Anak Pendang Sekeluarga.

Inna lillahi wainna ilaihi raaji'uun.

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (169) (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Ali Imran 169 & 170)

aby said...

salam ziarah dari wak ..
posting yg menarik ..

boleh dengar lagi I'tarad dari Raihan.. lagu asalnye dari Haddal Alwi .. lagu doa taubat ..

.. wahai tuhan ku tk layak ke syurga mu ... namun pula aku takut keneraka mu ...

kadang2 kumpulan berzanji pun ade bawak lagu ni ...

Werdah said...

Salam aby.

Terima kasih ziarah blog ni n beri komen.

Ya! memang syahdu nasyid taubat tu, diberitakan bahawa itu doa imam syafie..

Biarpun dia imam tetap mengaku di hadapan Allah betapa kekurangan diri, mudah2an kita dapat menconohi org2 terdahulu dan orang2 soleh beamal.. insyaAllah

aby said...

silap plak eja I'tirad tu ..
bukan I'tarad ..

hadal alwi nyanyi sume dalam bahase arab .. tp raihan ade melayu nye ..
tu yg lebih faham sikit ..

ape pun ..
sekadar aby menyambung sikit psl taubat ni ...

Hai anak adam.... andaikan dosamu memuncak kelangit kemudian engkau meminta ampun kepada ku...
aku ampunkan bagi mu dan tidak aku hiraukan bertapa banyaknye...
Hai anak adam... seandainye engkau datang kpd ku dengan membawa dosa sepenuh bumi asalkan engkau tidak menyekutukan aku dgn sesuatu pun nescaya aku isi semua itu dengan pengampunan....

Werdah said...

Salam Aby.

Allah sangat suka bila hambaNYA memohon ampun dan bertaubat, Allah al-Ghafur ar-Rahim, mengampun dengan penuh rahmat.

Mudah2an kita selalu beristighfar dan bertaubat

Anda Mungkin Juga Meminati

Related Posts with Thumbnails