Monday, November 22, 2010

Suasana Alam akhirat (54) - Surah Al-Ghaasiyah (Yang Luar Biasa / Yang Dahsyat)


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani



Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal hari kiamat yang huru-haranya meliputi? (1)

Muka (orang-orang yang kafir) pada hari itu tunduk kerana merasa hina. (2)

Mereka menjalankan kerja yang berat lagi berpenat lelah. (3)

Mereka tetap menderita bakaran Neraka yang amat panas (membakar). (4)

Mereka diberi minum dari mata air yang menggelegak panasnya. (5)

Tiada makanan bagi mereka (di situ) selain dari pokok-pokok yang berduri. (6)

Yang tidak menggemukkan dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun. (7)

(Sebaliknya) muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri. (8)

Berpuas hati dengan balasan amal usahanya (yang baik yang telah dikerjakannya di dunia). (9)

(Mereka tinggal menetap) di dalam Syurga yang tinggi (tempat kedudukannya dan darjatnya). (10)

Mereka tidak mendengar di situ sebarang perkataan yang sia-sia. (11)

Di dalam Syurga itu ada mata air yang mengalir. (12)

Di situ juga ada pelamin-pelamin (berhias) yang tinggi (tempatnya). (13)

Dan piala-piala minuman yang disediakan (untuk mereka). (14)

Dan bantal-bantal yang teratur (untuk mereka berbaring atau bersandar). (15)

Serta hamparan-hamparan yang terbentang. (16)

(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan? (17)

Dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya.? (18)

Dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan? (19)

Dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan? (20)

Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. (21)

Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu). (22)

Akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta dia kufur ingkar. (23)

Maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya. (24)

Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka. (25)

Selain itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka. (26)

**********

Allah SWT telah menerangkan bahawa manusia pada hari kiamat akan terbahagi kepada dua golongan, iaitu satu golongan yang celaka dan satu lagi golongan yang bahagia.

Allah menjelaskan lagi bahawa golongan yang celaka selalu berada dalam keadaan hina-dina, manakala golongan yang bahagia akan bersuka ria, keceriaan jelas tergambar pada wajah-wajah mereka.

Orang-orang (golongan celaka) yang banyak berbuat kemaksiatan semasa di dunia akan menjadi kepenatan, sedih dan mereka akan menderita terbakar dalam api yang panas. Minuman mereka pula dari mata air yang panas manakala makanan mereka pula adalah pokok-pokok (pohon zakkum) yang berduri yang tidak mendatangkan kekenyangan atau kegemukan. Hanya membakar kerongkong dan usus.

Lihat Firman Allah di bawah yang maksudnya:

"Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!". (al-Mulk [67] : 27)

"Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur (darah dan nanah)". (al-Haaqqah [69] : 36)

Golongan bahagia pula akan rasa gembira kerana semasa mereka berada di dunia, mereka beriman dan bertaqwa, syurga menjadi tempat tinggal mereka. Muka mereka berseri-seri. Dalam syurga penuh kenikmatan, ada taman-taman, tiada perkataan yang sia-sia. Di syurga mereka hidup bersenang lenang.


*********************

Di bawah ini disalin tafsir oleh Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI di Utusan Malaysia untuk rujukan

Sheikh al-Maraghi berkata: "Allah SWT telah menerangkan tentang kedatangan hari kiamat, bahawa manusia pada hari itu terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan manusia yang celaka dan yang bahagia.

"Seterusnya Dia menjelaskan pula bahawa golongan yang celaka selalu berada dalam keadaan hina-dina, manakala golongan yang bahagia yang saat itu bersuka ria, yang mana tergambar pada wajah-wajah ceria.

"Lalu, ditegaskan dengan mengemukakan hujah-hujah untuk melumpuhkan orang yang mengingkari-Nya. Diarahkan pendangan mereka untuk mengamati jejak kekuasaan-Nya atas sesuatu yang ada di hadapan mereka dan yang berada dalam jangkauan penglihatan mereka seperti langit yang menaunginya, bumi yang menyanggahnya, unta yang dimanfaatkan untuk berpergian serta dimakan dagingnya, diminum susunya, manakala bulu-bulunya dijadikan pakaian, dan gunung-ganang sebagai panduan mereka di padang sahara dan ketika menyusuri jejak".

Firman Allah SWT: (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?

Al-Mawardi berkata: Berdasarkan ayat-ayat ini menunjukkan tiga perkara:

i. Untuk mereka berdalil dan mengambil bukti serta pengajaran atas kudrat Allah dan Keesaannya.

ii. Supaya mereka mengetahui berkenaan kudrat-Nya atas semua perkara dan mampu serta berkuasa untuk membangkitkan mereka pada hari kiamat, seperti kata Yahya bin Salam.

iii. Allah SWT tatkala menyifatkan syurga kepada mereka lantas mereka yang sesat merasa hairan. Justeru, disebut bagi mereka tentang perkara yang ajaib untuk menghilangkan kehairanan mereka. Inilah pendapat Qatadah.

Kenapa dinyatakan unta?

Sayid Qutub berkata: Unta merupakan haiwan masyarakat Arab yang utama. Ia merupakan alat kenderaan dan pengangkutan mereka. Susu dan dagingnya menjadi makanan dan minuman mereka.

Bulu dan kulitnya menjadi pakaian dan khemah mereka. Ia merupakan sumber utama kehidupan.

Di samping itu, unta mempunyai sifat-sifat yang tidak ada pada haiwan-haiwan yang lain. Walaupun bentuk tubuh badannya kuat, besar dan gagah namun ia mudah dituntun.

Ia akan mengikut dan patuh walaupun dituntun oleh kanak-kanak yang kecil. Walaupun kegunaan dan perkhidmatannya begitu besar, namun perbelanjaan memeliharanya kecil. Makanannya senang dan belanjanya murah.

Unta adalah binatang yang paling sabar dan tahan lasak. Ia tahan lapar, dahaga, penat dan gigih menghadapi keadaan-keadaan yang buruk.

Firman Allah SWT: dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya?

Ibn Kathir berkata: Syuraih al-Qadi menyebut: Marilah keluar bersama kami sehingga kami dapat melihat unta bagaimana ia diciptakan dan langit bagaimana diangkatnya. Bagaimana Allah SWT mengangkat langit daripada bumi? Hal ini amat besar dan hebat.

Firman Allah SWT: dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?

Ibn Kathir berkata: Ia bertujuan untuk menetapkan bumi dengan pasaknya. Begitu juga dijadikan padanya sebahagian daripada manfaat dan hasil galian.

Al-Maghari menambah: Ia dapat didaki pada setiap saat, menjadi panduan bagi orang yang melintasi padang tandus dan menjadi tempat pancuran air hujan untuk mengairi tanaman dan minuman haiwan.

Firman Allah SWT: dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?

Hamka berkata: Dan perjalanan itu dilakukan di muka bumi, beratap langit, berpasak gunung dan alat pengangkutan unta. Semuanya terjadi di muka bumi, maka dengan sendirinya sebagai renungan terakhir memandang bagaimana Allah SWT menghamparkan bumi untuk manusia hidup.

Penutup

Sayid Qutub berkata: Empat ayat pendek ini mengumpulkan bahagian-bahagian alam sekitar masyarakat Arab yang ditujukan al-Quran ini kepada mereka buat pertama kalinya.

Di samping itu, ia mengumpul bahagian kejadian yang nyata di seluruh alam ini iaitu kejadian langit, bumi, gunung-ganang dan unta yang mewakili seluruh haiwan yang lain dengan keistimewaan kejadiannya serta nilai khususnya dalam masyarakat Arab.

Seluruh pemandangan terbentang kepada semua penglihatan manusia. Di mana sahaja mereka berada, akan bertembung dengan langit, bumi, gunung-ganang dan haiwan.

Walaupun sebanyak mana dan sejauh mana ilmu pengetahuan dan tamadun manusia, namun seluruh pemandangan ini tetap di dalam alam mereka dan di dalam kemampuan akal mereka.

Dan seluruh pemandangan ini menyarankan kepada mereka hikmah yang wujud di sebalik penciptaannya apabila mereka menumpukan perhatian untuk mencari makna dan tujuan di sebaliknya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dan mengetahui dalil untuk makrifah Allah SWT.

10 comments:

Kakzakie Purvit said...

Salam Kak Werdah,

Alhamdulillah dalam meniti hidup ini masih ada peluang untuk mengabdikan diri kepadaNya. Semoga amalan diterima dan dapat menjauhi kemungkaran yang kian berleluasa disana-sini.

Terasa betapa kerdilnya diri...

arizWanmerahs said...

terimakasih Kak Werdah krn terbitkan artikel yg banyak manafaat ni..

aby said...

salam k werdah ...
baru lps jer kite menunaikan solat eidul adhar ..
kelaziman solat raye aidil fitri atau aidil adhar,
surah al a'laa dan ghasyiah ni akan di padan kan, al a'laa pd rakaat pertama dan al ghasyiah ni pd rakaat ke dua,
sbb pd kedua2 surah ni ade ayat fazakir ... beerti, beri la peringatan ..
mcm ayat ke 21 tu,

Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.

tq k ewrdah,
sbb tergolong dalam yg fazakkir juge ..
alam akhirat memang jauh melangkaui bayang dan akal..
memberi peringatan kpd aby ...

Werdah said...

Salam kakzakie

Maha suci Allah menjadikan kita hambanya yang lemah dan memerlukan petunjuk hidayahNya.. semoga kita semua kekal atas jalanNya yang lurus dan dapat mengecap kebahagiaan dunia dan akhirat.... amin

Werdah said...

Salam saiful..

Semoga memberikan kita ingatan dan ingin mengelakkan berbuat yang tak sepatutnya dan sentiasa mohon ampun serta bertaubat...

Werdah said...

Salam aby

Ya benar aby, biasanya dalam solat sunat kedua-dua hari raya tersebut imam akan baca surah ini..

Allam akhirat tidak tebayang dik pemikiran kita, sebab dimensinya berlainan... namun kita hanya dapat bayangkan seperti apa yang Allah gambarkan menerusi lidah nabiNya uang dikasihi.. dengan itu khbar gembira yang dibawanya membuatkan kita ingin berusaha mendapatkannya dan khabar sengsara kita sedaya upaya mengelakkannya.... dengan pertolongan Allah juga...

waksab said...

Salam ziarah,alhamdulillah moga mendapat barakahNya atas penerbitan artikel yg menginsafkan ,Insaallah

waksab.blogspot.com

Werdah said...

Salam waksab.

Mudah2an dapat menginsafi diri yang menulis ini ...

ummu said...

salam kak werdah
baru melihat gambar matahari sudah terasa ngeri dan azabnya,apatah lagi apai neraka kan, kak..takut..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam ummu

Tak terbayang bagaimana nanti kedudukan kita di sana.. ya Allah lindungilah kami daripada api neraka.. amiin