Tuesday, December 28, 2010

Sakarat

Bismillahirrahmanirrahim.
Sumber Gambar : SINI

Segala puji bagi Tuhan yang menguasai langit dan bumi. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Allah berfirman:

Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!" (Qaaf 50:19)
Menurut pengarang buku "Insan, Ingatlah!" terbitan Nufair Street: Perkataan sakarah itu ertinya ialah mabuk. Ini bererti sebelum nyawa berpisah daripada jasad, sesuatu keadaan yang akan berlaku ialah seperti orang mabuk. Keadaan ini sukar digambarkan. Bagaimanakah sebenar sakarah tersebut atau mabuk menghadapi maut itu. Tidak ada seorangpun yang telah meninggal dapat menggambarkan kepada kita kerana sakaratul maut itu sendiri berlaku ketika seseorang diambang maut.

Kita cuba bayangkan keadaan orang yang mabuk ketika naik kenderaan, sama ada di atas bas, kereta di jalan raya atau kapal laut dan kapal terbang. Pasti pening dan tekak meloya, dan terasa isi perut melonjak-lonjak ingin keluar dan amat tidak menyenangkan. Kemudian apabila cecair masam dengan bau hanyir itu keluar dari tekak bercampur baur dengan makanan, orang-orang yang berada di sekitarnya juga turut berasa loya.

Sekadar mabuk dalam perjalanan itupun sudak cukup siksa. Hilang segala keselesaan, hilang selera makan, tidak berdaya untuk bercakap walaupun ingin benar berkata-kata sesuatu. Orang yang selalu mabuk dalam kenderaan akan merasa takut untuk menempuh perjalanan biarpun suka mengembara.

Namun mabuk dalam perjalanan bukanlah bandingan yang sesuai untuk sakaratul maut. Meskipun daripada segi bahasa maknanya mabuk, hakikat sebenar tentang sakarah itu hanya Allah yang Maha Mengetahui. Orang yang sedang 'sakaratul maut' - sedang menghadapi mabuk gelombang tidak dapat menceritakan pengalamannya.

Allah berfirman:

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: "Telah diberi wahyu kepadaku", padahal tidak diberikan sesuatu wahyupun kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya". (Al-An'aam 6:93)

Ayat ini menyatakan dengan jelas bahawa orang-orang zalim akan menghadapi sakaratul maut (mabuk) dengan begitu dahsyat. Ini kerana malaikat bukan sahaja sekadar mencabut nyawanya tanpa belas kasihan, malah para malaikat memukul dengan tangan mereka yang gagah perkasa yang besarnya tidak dapat dibayangkan kerana menurut setengah apara ulama tinggai mereka mencecah ke langit.

Kematian orang-orang zalim itu didahului oleh sakaratul maut yang tidak tertanggung oleh jasad dan ruh manusia. Sakaratul maut itu keluar daripada kerongkong, mereka mengeruh melambangkan kesakitan tidak terperi. Wajah mereka menjadi hitam akibat azab yang ditimpakan.

A024

A025

A026

A027

A028

"Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh. Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan. Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong, Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: "Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?" Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan"; (Al-Qiaamah [75] : 24 - 28).

Allah SWT telah memberi amaran, jika manusia dapat melihat hakikat sebenar tekanan sakaratul maut yang ditimpakan kepada orang-orang zalim, meraka akan dapat melihat betapa sengsaranya gelombang mabuk itu. Namun mata kasar manusia tidak dapat melihatnya kecuali mata hati yang berteraskan tauhid dan ilmu berhubung alam ghaib.

Sayyidatina 'Aisyah rha meriwayatkan bahawa Nabi SAW hampir kepada wafatnya, kata Sayyidatina 'Aisyah rha: Bahawa aku telah mengambil satu bejana berisi air dan aku letakkan di sisi Rasulullah saw, aku menyapu dari bajana itu ke wajah Rasulullah. Pada ketika itu Nabi turut meletakkan tangannya ke dalam bejana berisi air itu dan menyapu sendiri wajahnya dengan tangannya yang dibasahi air dari bejana itu. Maka Nabipun mengucap: "La ilaha illallah, sesungguhnya bagi sesuatu kematian itu ada sakarahnya (mabuk)."

Kemudian berkata Sayyidatina 'Aisyah rha  lagi: "Aku turut membantu mengangkat tangan Rasulullah yang dibasahi air itu menyapukan ke wajahnya yang mulia, lalu Nabi saw bersabda lagi: "Fi Rafiqil A'la (bersama rakan karib yang Maha Tinggi). Setelah aku melihat saat menjelang wafatnya Nabi yang menghadapi sakarah, maka sekiranya ada orang yang menghadapi kematiaannya dengan mudah maka aku tidak akan mengulas panjang, sedang Nabi menghadapi keadaan sakarah sehingga turut menyapu sendiri wajahnya." (Hadis Riwayat Bukahari)
 
Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi SAW yang menjadi Kekasih Allah yang menyifatkan kematian yang sedang dihadapinya itu adalah untuk bertemu dengan kekasihnya yang Maha Agungpun, baginda tetap menghadapi sakaratul maut. Baginda menyapu air ke wajahnya demi mendapatkan sedikit keselesaan daripada mabuk menghadapi maut.
 
Jika ada orang yang saat sakaratnya nampak mudah atau senang, mungkin Allah nak membalas kebaikan amalnya, namun bukan bermakna orang itu tidak menghadapi sakaratul maut.

Bagaimanakah keadaan kita nanti semasa menghadapi sakarah.. mudah2an kita dapat kesudahan yang baik.. Allahumma Amiin.


4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Salam Kak Werdah,

Membaca N3 kali ini terasa gerun. Sebab itulah dinasihatkan kita yang masih hidup ini bila melihat mereka yg sedang menghadap sakratulmaut selain dibacakan surah Yasiin, surah Al-Mulk juga membantu/dipermudahkan perjalanan menemui ajal. Wallahualam...

Werdah said...

Salam Kakzakie

Memang kita sentiasa diingatkan supaya selalu membaca perkara-perkara seperti ini supaya mendatangkan rasa takut untuk menghadapinya .. lalu dengan itu kita sentiasa menyiapkan bekalan.. sungguh kak juga takut apatah lagi lazimnya umur sebegini biasanya sudah dijemput pulang...

NurTruth said...

Sakarat tu bahasa Melayu ker?
Perkataan apa yang seerti dengannya?

Werdah said...

Salam Nur

Sakrat sebenarnya daripada sakratulmaut.. bahasa al-Quran/'Arab... سَكْرَةُ الْمَوْتِ daripada ayat Qaf 19 tu... jadi bila dimelayukan ramai yang tulis sekarat atau sakarah...