Saturday, February 5, 2011

Dahi, rusuk dan belakang diseterika


Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat. 

Allah berfirman:

A035

(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda/apa yang mereka simpan ) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar / diseterika dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (At-Taubah 9:35)
Pada hari dibakar emas perak, bermaksud pada hari pembalasan (semasa di Padang Mahsyar) nanti segala harta milik orang-orang yang enggan menafkahkan sebahagiannya (tidak mahu berzakat, tidak mahu bersedekah dan seumpamanya) kepada yang berhak akan berada di dalam neraka dan dibakar menjadi cair untuk dijadikan bahan pembakar. Lalu diseterika ke dahi, rusuk dan belakang mereka dengannya (harta yang cair terbakar tadi). Dalam tafsir Ibnu Katsir, ini berlaku dalam kadar 50,000 tahun mengikut hari di dunia. Sambil di sterika mereka ditunjukkan neraka.

Mengapa ketiga-tiga anggota ini (dahi, rusuk dan belakang) ini dikhaskan dalam ayat ini?

Jawapannya ialah kerana dahi adalah anggota yang pertama sekali kelihatan cerah serta manis atau girang semasa seseorang itu mengenangkan hartanya yang banyak. Dahi akan berubah menjadi berkerut bila menghadapi orang-orang miskin yang meminta-minta. Lalu dia cuba memusingkan bahagian rusuknya serta berpaling dan akhir sekali diapun memusingkan belakangnya untuk beredar melepaskan diri daripada si peminta.

Dahi adalah anggota yang dianggap mulia, rusuk serta belakang pula adalah anggota yang selalu merasakan kenikmatan tatkala kita berbaring mengereng dan terlentang untuk merehatkan diri.

Jadi layak benarlah ketiga-tiga anggota penting ini disiksa dengan seterika  akibat perlakuan manusia semasa di dunia yang tidak mensyukuri nikmat pemberian Allah SWT. 

Sambil disiksa, orang-orang yang engkar itu juga menerima tempelakan daripada malaikat yang berkata : "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu".

Ya Allah! jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa mensyukuri nikmat pemberianMu. 

No comments: