Wednesday, February 2, 2011

Suasana Alam Akhirat (59) - Surah al-Naazi'aat (Para Malaikat Pencabut Nyawa)

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluaraga dan para sahabat. 
Hari ini sambung dengan menulis gambaran yang berlaku pada hari kiamat seperti dalam Surah al-Naazi'aat     النَّازعَات   (Para Malaikat Pencabut Nyawa) iaitu surah ke 79 dalam al-Quranul Kariim.
Demi (malaikat-malaikat) yang mencabut nyawa (apa yang ditugaskan mencabutnya) dengan cara yang sekasar-kasarnya; (1) 
Dan (malaikat-malaikat) yang mencabut nyawa (apa yang ditugaskan menariknya) dengan cara yang selembut-lembutnya; (2) 

Dan demi (makhluk-makhluk) yang cergas bergerak (menerima perintah) dengan gerak yang secergas-cergasnya; (3) 

Lalu masing-masing berlumba-lumba dahulu-mendahului (menjalankan tugasnya) dengan cara yang sesungguh-sungguhnya; (4) 

Serta menyempurnakan tadbir urusan alam yang diperintahkan kepadanya; (sumpah demi sumpah, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat). (5) 

Pada masa berlakunya tiupan sangkakala yang pertama yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah-ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan), (6)

Tiupan yang pertama itu diikuti oleh tiupan yang kedua, (yang menyebabkan orang-orang yang mati semuanya hidup semula serta keluar dari kubur masing-masing); (7) 

Hati (manusia) pada hari itu berdebar-debar takut, (8) 

Pemandangannya tunduk gerun. (9) 

Mereka (yang ingkar) berkata: Sungguhkah kita akan dikembalikan hidup seperti keadaan di dunia dahulu? (10) 

Bolehkah (dihidupkan semula) sesudah kita menjadi tulang yang reput? (11) 

Mereka berkata lagi (secara mengejek: Kalaulah berlaku) yang demikian, sudah tentu kembalinya kita (hidup semula) itu satu perkara yang merugikan! (12) 

(Menghidupkan semula tidaklah sukar), kerana berlakunya perkara itu hanyalah dengan satu jeritan (yang terbit dari tiupan sangkakala yang kedua); (13) 

Yang menyebabkan mereka dengan serta-merta berada di muka bumi yang putih rata. (14) 

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa? (15) 

Ketika dia diseru oleh Tuhannya di "Wadi Tuwa" yang suci; (16) 

(Lalu diperintahkan kepadanya): Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya); (17) 

Serta katakanlah kepadanya: Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? (18) 

Dan mahukah, aku tunjuk kepadamu jalan mengenal Tuhanmu, supaya engkau merasa takut (melanggar perintahNya)? (19)

(Setelah Nabi Musa menyempurnakan perintah Tuhannya dan Firaun pun meminta bukti kebenarannya); maka Nabi Musa memperlihatkan kepada Firaun: Mukjizat yang besar. (20) 

Lalu Firaun mendustakan (Nabi Musa) dan menderhaka (kepada Allah); (21) 

Kemudian dia berpaling ingkar sambil menjalankan usahanya (menentang Nabi Musa). (22) 

Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru; (23) 

Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi. (24) 

Maka Allah menyeksa Firaun di akhirat dan di dunia ini, dengan azab yang menakutkan sesiapa yang mengetahuinya. (25) 

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang takut (melanggar perintah Tuhannya). (26) 

(Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula!) Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! (27) 

Dia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, (28) 

Dan Dia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang. (29) 

Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya); (30) 

Dia mengeluarkan dari bumi itu: Airnya dan tumbuh-tumbuhannya; (31) 

Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya); (32) 

(Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. (33) 

Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar; (34) 

Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya; (35) 

Dan Neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya; (36) 

Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya); (37) 

Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata; (38) 

Maka sesungguhnya Neraka Jahanamlah tempat kediamannya. (39) 

Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu; (40) 

Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. (41) 

Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: Bilakah masa datangnya? (42) 

Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu? (43) 

Kepada Tuhanmu lah terserah kesudahan ilmu mengenainya. (44)

Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu. (45)

(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: Seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja. (46)

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Allah membuka surah ini dengan bersumpah untuk menguatkan pernyataanNya bahawa hari kebangkitan atau hari kiamat pasti berlaku. Allah bersumpah dengan menyebut:

1)  para malaikat yang mencabut nayawa orang-orang kafir dengan keras dan secara paksa (ayat 1). 

2)  para malaikat yang mencabut nyawa orang-orang mukmin secara lemah lembut (ayat 2). 

3) para malaikat yang diperintahkan membawa wahyu kepada para nabi dan rasul dan malaikat-malaikat membawanya dengan cepat dan cergas (ayat 3).

4) para malaikat yang mendahului roh-roh orang mukmin dengan lajunya memasuki syurga (ayat 4).

5) para malaikat yang mengatur urusan alam seperti yang diperintahkan Allah yakni urusan menerbangkan angin, menurunkan hujan, mengagihkan rezeki, mengatur panjang pendeknya umur termasuk juga makhluk lain serta segala perkara berkaitan dengan urusan kehidupan. (ayat 5).

Allah bersumpah dengan menyebut lima tugas para malaikat bahawa kiamat itu adalah perkara yang hak/ benar.

Jelas kepada kita bahawa perlakuan malaikat kepada dua jenis manusia adalah berbeza. Mereka bengis dan kasar kepada golongan pertama dan lembut serta seronok bertugas mengambil nyawa bagi golongan kedua. Daripada sini kita patut memahami bahawa kedudukan manusia sudah mula berbeza daripada detik awal pengambilan nyawanya sama ada diambil secara kasar atau lemah lembut. Satu diambil dengan direntap kasar dan satu lagi dengan lemah lembut dan penuh rasa kasih sayang.

Tiupan sangkakala kali pertama menyebabkan semua makhluk mati dengan izin Allah dan tiupan kali kedua menyebabkan semua makhluk hidup semula dengan izin Allah (ayat 6 dan 7).

Ketakutan yang amat sangat menimpa manusia. Masing-masing tunduk malu kerana dulunya semasa di dunia mendustakan ajaran Nabi dan Rasul. Menurut kebanyakan para musfassir, ini berlaku kepada golongan yang engkar kepada ajaran Allah dan RasulNya serta mengejek-ejek kaum mukminin semasa berada di dunia dahulu. (ayat 10, 11 dan 12) di atas merupakan flashback Allah tujukan kepada mereka yang mengejek). Dulunya mereka berkata dengan mengejek:
  • Apakah kami boleh dihidupkan semula selepas mati?
  • Apakah kami akan dibangkitkan setelah kami jadi tulang belulang?
  • Kalau benar hari kebangkitan itu ada, sedangkan kami mendustakan tanpa menyiapkan bekal untuk menghadapinya, memang rugilah kami dikembalikan hidup.
Ayat 13 dan 14 menjelaskan bahawa kekuasaan Allah untuk mengembalikan kejadian adalah amat mudah iaitu dengan sekali tiupan sahaja semuanya akan bangun serentak. Ayat ini sama dengan ayat 104 surah al-Anbiya' :
(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya. (al-Anbiya' [21]  :104)
Berkaitan dengan kezaliman Firaun yang mengaku dirinya Tuhan, dan setelah dipujuk oleh Nabi Musa as, Firaun masih tetap berdegil; Allah mengazabnya dengan azab dunia iaitu dengan menenggelamkannya di lautan bersama-sama pengikutnya. Manakala di akhirat Firaun laknatullah dihumban ke dalam nerka jahannam.


Hanya dengan satu jeritan sahaja daripada sangkakala yang kedua semuanya akan dihidupkan kembali. Pada masa itu malapetaka yang amat besar terjadi. Manusiapun teringat apa yang dikatakan dahulu, teringat apa yang dikerjakan dahulu. Dilihatnya buku catatan. Diperlihatkan neraka dengan jelas kepada setiap orang baik kafir mahupun mukmin. Di sana ada orang-orang yang zalim, takbur, menuruti hawa nafsu kerana mementingkan kehidupan dunia yang lazat dan melupakan sama sekali amalan untuk akhirat. Tempat akhir yang menunggu mereka ialah neraka Jahim (ayat 34 hingga ayat 39).


Bagi mereka yang takut akan kebesaran Allah dan takut tatkala akan berdiri di hadapan Allah pada hari akhirat dan mereka beramal soleh, menahan nafsu sehingga tidak tercebur ke dalam kancah maksiat, syurgalah tempat tinggalnya. (ayat 40 dan 41).

Apabila orang-orang kafir melihat hari kiamat, mereka mersa seakan-akan tinggal di dunia sebentar sahaja, seolah-olah mereka berada pada waktu petang dan pagi (tidak sampai sehari) - ayat 46.

Peta hidup ini disalin daripada dakwah.info
Sila klik untuk melihat dengan jelas.

Sekian, mudah2an kita dapat membentengi diri kita dengan menjadikan hati kita sentiasa sejahtera.. amiin.

4 comments:

aby said...

salam k werdah,
semoga kata tergolong dan kumpulan yg didatangi dengan lembut ...
allah pun dah tunjuk cara kematian utk yg angkuh pd ayat ni,

firaun berkata,
Dengan berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi. (24)

dia berkata kpd rakyatnya yg dia adalah tuhan ....
akhirnya dia mati lemas disebabkan mengejar nabi musa ....

Werdah said...

Wa'alaikumussalam aby

Allahumma amiin.

Benar aby.. mudah2an kita diberi perlindungan.. sebab kadang-kadang biarpun kita tidak sembah patung dan tidak menyatakan secara terang-terangan seperti Firaun tu.. hati, lidah dan perbuatan kita secara tak sengaja mungkin membawa kepada syirik.. na'uzubillahi min zaalik...

Semoga kita sentiasa mohon ampun..

Werdah said...

aby

kak tertinggal tentang kisah Firaun tu... insyaAllah nnt tambah.. terima kasih mengingatkan :)

Werdah said...

aby.. telah ditambah ttg Firaun tu..

Anda Mungkin Juga Meminati

Related Posts with Thumbnails