Bismillahirahmannirahim..
Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.
Hari ini tulis tentang suasana hari akhirat seperti dalam surah at-Taghabun iaitu surah ke 64 dalam al-Quranul Kariim. Yaum al-Taghabun - hari masing-masing nampak kerugian
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih kepada Allah; bagiNyalah kuasa pemerintahan dan bagiNyalah segala pujian dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (1)
Dialah yang mengaturkan kejadian kamu; maka ada sebahagian dari kamu yang kafir dan ada sebahagian dari kamu yang beriman dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan (serta membalas masing-masing). (2)
Dia menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan Dia menentukan bentuk rupa kamu serta memperelokkan rupa kamu dan kepadaNyalah tempat kembali. (3)
Dia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi dan Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada; (4)
Bukankah telah sampai kepada kamu berita orang-orang kafir yang telah lalu? Lalu mereka merasai kesan yang buruk dari perbuatan kufur mereka dan mereka (pada hari akhirat kelak) beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (5)
(Balasan) yang demikian itu, kerana sesungguhnya mereka pernah didatangi Rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, maka mereka berkata: Patutkah manusia (yang seperti kami menjadi Rasul untuk) memberi petunjuk kepada kami? Lalu mereka kufur ingkar serta berpaling (dari kebenaran) dan Allah pun menyatakan tidak berhajatNya (kepada iman dan ketaatan mereka lalu membinasakan mereka) dan Allah sememangnya Maha Kaya, lagi tetap Terpuji. (6)
(Di antara sebab-sebab kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (sesudah mati). Katakanlah: Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya. (7)
Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan kepada rasulNya serta kepada penerangan cahaya Al-Quran yang Kami turunkan dan (ingatlah), Allah Amat Mendalam PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (8)
(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar. (9)
Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah ahli Neraka, kekallah mereka di dalamnya dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. (10)
Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (11)
Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata. (12)
Allah, tiada Tuhan melainkan Dia dan dengan yang demikian, kepada Allah jualah orang-orang yang beriman wajib berserah diri. (13)
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (14)
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. (15)
Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya) dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (16)
Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat). (17)
Dialah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.(18)
Hari akhirat juga dikenali sebagai yaum al-Taghabun (Hari ditampakkan kesalahan-kesalahan/ hari masing-masing nampak kerugian/ hari yang penuh penyesalan).
Kalimah yaum al-Taghabun ini terdapat dalam ayat ke 9 iaitu "(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya/kesalahan-kesalahan dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh, nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; yang demikian itulah kemenangan yang besar. (9)
Ada juga yang berpendapat bahawa Yaum al-Taghabun bermaksud hari yang nampak segala sesuatu yang berlainan dengan yang pernah terlintas di dalam fikiran seseorang. Ini selaras dengan ayat yang bermaksud:
"Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang mata dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. (As-Sajdah [32] :17)
"Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka)". (Qaaf [50] : 35)
Orang mukmin yang tidak beramal lebih daripada apa yang dia telah lakukan semasa berada di dunia dahulu (walhal ketika itu dia boleh memperbanyakkan amalannya) akan menyesal dan berasa kerugian, sebab dia tidak memberi penilaian yang benar terhadap kehidupan akhirat semasa berada di dunia, dan dia baru mengetahui hakikatnya ketika balasan pahala yang merupakan keindahan yang tidak pernah dia lihat itu terjadi di hadapan matanya. Dia menyesal, andainya dia berbuat lebih baik ketika di dunia, nescaya dia akan mendapatkan syurga yang lebih tinggi. Demikian pula orang-orang kafir, mereka amat menyesal kerana tidak memiliki amal sama sekali. Tetapi semuanya telah terlambat...