Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum
Segala pujian adalah milik Allah yang selayaknya dipuji. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia.
Allah berfirman:

Makhluk-makhluk itu tetap akan mati, bukanlah kekal hidup; dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan (menerima balasan). (Al-Nahl 16:21)
(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa. (Ibrahim 14:48)
Hidup yang singkat ini hendaklah dipenuhkan dengan memanfaatkan alam maya ciptaan Allah yang pada buminya tumbuh pelbagai tanaman, pada lautannya berlumba-lumba pelbagai jenis ikan, dan jauh di perut bumi dan lautan terdapat pelbagai logam kurniaan Yang Maha Segala Kekuasaan dan Kemuliaan..
Manfaatkanlah segala keindahan dengan lautan kesyukuran. Bergembiralah kerana sang mentari yang dermawan menyinari cahayanya lalu sirna malam yang kelam. Bergembiralah bersama terbitnya hari yang baru. Sematkan rasa di jiwamu akan betapa nikmatnya keseronokan dan kegembiraan.
Namun awas! keseronokan yang dicari jangan sampai melahirkan penyesalan kemudiannya. Keseronokan yang dicari hendaklah bersamanya ada rahmat dan redha Ilahi.
Jangan tergolong dalam kalangan yang tersalah pilih dan tersalah dalam tindakan. Jika demikian akan tenggelam dan karam. Malang bagi yang tersalah buat pilihan kerana akhirnya akan wujud penyesalan.
Tanyalah kepada mereka yang telah melangkah ke usia tua, usia muda yang ditinggalkan dengan menyia-nyiakan ruang dan peluang. Pasti mereka akan berkata dengan nada kesal; jikalah saya masih muda saya akan bersungguh-sunguh dalam setiap lapangan!
Penyesalan di akhirat

Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.(Yaa Siin 36:30)
Hidup ini semua orang tahu tidak berhenti di dunia. Itulah maksud ayat di atas. Kita akan mati dan akan berhimpun di sana.
Manusia akan berada pada situasi penyesalan yang amat dahsyat. Manusia yang tenggelam dalam kemaksiatan dan kelalaian semasa berada di dunia akan lemas dalam lautan penyesalan. Mereka akan merintih, merayu agar dikembalikan ke dunia. Masakan dapat!
Orang-orang yang beriman juga turut menyesal termasuk juga orang-orang yang dipanggil muhsinun. Kenapa begitu?
Mudah difahami jika yang mujrimin merasa menyesal yang amat sangat. Ini kerana mereka telah engkar dan melakukan dosa. Lantaran dosa mereka berhadapan dengan bahaya api neraka.
Muhsinin pula menyesal kerana mereka melihat nikmat syurga. Jika sebelum ini mereka bayangkan kenikmatan syurga dan tingkatan-tingkatanya pasti mereka berusaha berlipatganda. Mereka berasa kerugian.
Peluang dan ruang disediakan amat banyak. Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Umur yang diberi perlulah dimanfaatkan.
Berseronok, begembiralah! Namun keseronokan yang hakiki ialah ketika fitrah diri yang suci diisi dengan apa yang diredhai Allah.
Ketika kita mentaatiNya ada keseronokan dan kebahagiaan yang tidak ada bandingannya. Andai menderhakaiNya akan terasa resah dan gelisah.
Oleh itu awaslah kedatangan hari penuh penyesalan ini. Penuhilah hidupmu mencari kebahagiaan yang hakiki.
Coretan buat menyedarkan diri penulis yang sering alpa..