Monday, April 9, 2012

BILAH-BILAH KEHIDUPAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Pagi ini berkesempatan menyalin sesuatu daripada buku Misteri Alam Arwah dan menonton youtube di bawah.

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah ra dan Abu Musa al-Asy'arie ra bahawa mereka berkata : "Aku bertanya kepada Rasulullah saw bila terjadinya seseorang yang akan meninggal dunia itu tidak mengenali orang-orang di sekitarnya? Baginda menjawab: "Ketika sudah ada kenyataan."

Menurut pendapat ulama' bahawa yang dimaksudkan dengan kenyataan itu ialah nampak Malaikat Maut atau Malaikat. Juga dalam pengertian hadith marfu' yang diriwayatkan oleh Tirmizi bahawa Allah menerima taubat seseorang sebelum waktu "ghargharah" yakni ketika roh telah sampai ke kerongkong (halkum). Jadi pada masa sudah ada kenyataan itu; maknanya roh sudah sampai ke kerongkong. 

Pada waktu itu nampak keadaan seseorang apa yang terjadi pada dirinya sama ada dalam keadaan rahmat atau azab . Jadi pada masa itu tidak berguna lagi taubat. Ini bermaksud taubat yang diterima itu adalah sebelum tibanya malaikat maut dan wajiblah seseorang itu bertaubat sebelum datangnya masa ghargharah dan nampaknya malaikat maut seperti disebut dalam sebuah sajak:

Segeralah taubat
Jangan terlambat
Sebelum maut datang menjelang.
Sebelum lidah kaku kejang.

Nafas-nafas dalam zikir
Zikir dalam nafas-nafas
Itu deposit simpanan
Untuk pelanggan-pelanggan Tuhan.




Hidup ini sebenarnya tak hilang melainkan ada yang pergi mendahului kita kepada suatu destinasi. 
Kitapun akan pergi ke tempat itu. 

Semua orang akan pergi. 
Berapa lama bertahan seseorang itu? 10 tahun? dua puluh tahun? 30 tahun lagi? 
Semua tak tahu tapi  semua orang akan pergi ke destinasi itu.
Ke tempat yang sama. 

Bila kita tengok orang lain dulu sampai kita sedih kerana kita rasa kita berpisah dengannya dan dia berpisah dengan kita.
Tapi tidak berpisah selama-lamanya.
Kita juga akan pergi ke alam itu.
Cuma di alam yang satu lagi tu dapat atau tidak berjumpa balik. 
Jika dia di kalangan orang soleh dan kita juga di kalangan orang soleh mudah-mudahan dapat berjumpa.
Jika dia di kalangan orang soleh dan kita tidak di kalangan orang soleh maka kita tidak bertemu dengannya.

Berapa ramai orang mati pada hari dia mati semua orang menangis.
Namun orang akan lupa selepas setahun, dua tahun, tiga tahun tapi orang tak akan lupa tentang kematiannya. Kita ini hanya bilah-bilah hari.

Apabila sebilangan hari itu pergi sebahagian kita pun pergi.
Apabila cukup bilangan hari itu telah pergi kitapun dah tak ada lagi.
Sebenarnya bila berlalunya hari maka hilanglah satu daripada bilah-bilah kehidupan....

Penulisan yang mengingatkan diri penulis agar sentiasa mengosongkan hati daripada sifat-sifat keji.. semoga diri penulis sentiasa diberikan kekuatan untuk menghisab diri sebelum diri dihisab si sana nanti...

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Kakak rasa kakak ada buku ini Kak Werdah. Lama sudah kakak beli masa sekolah anak kakak buat hari terbuka ambil report kad masa tu...

Menghayati dari mula bagaimana nyawa hendak dicabut dan laluan-laluan yg dihadapi memang membuat kita insaf.

Betul kata Ustaz Asri tu dah syok sangat punya rumah besar, duit bertambun kat bank lupa... na'uzubillah moga semakin kita punya harta semakin kuat iman kita hendaknya...

aby said...

salam k werdah ..
bukan ke ahlil kubur tu dulunya pun hidup nya mcm kita juga ..
bernafas, bekerja, beranak pinak ..
cume bezanya mereka di turunkan kebumi utk menjalankan amanah dan ujian dari allah swt terdahulu dari kita . sampai masa nya mereka kembali menemui penciptanya ..
sekarang giliran kita pula menjalani kehidupan mcm mereka dulu ..
semoga kita dapat penuhkan bakul amalan kita utk kita bawa bersama nanti ...

Werdah said...

Salam kakZakie

Benarlah tu.. buku yang mengajak kita memerhatikan anggota badan kita setiap saat dan berfikir bagaimanakah digunakan, untuk apakah? juga mengisahkan amalan-amalan orang-orang soleh terdahulu yang sangat takutkan mati.. bukan takut kerana hilang di dunia tetapi takut untuk bertemu Allah dalam keadaan tidak cukup bekalan..

Semoga kita sentiasa menghisab diri ..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam aby

Benar aby.. sebab itulah kita digalakkan menziarahi orang yang dah pergi sambil memerhati dan berfikir.. bagaimana jika kita juga dalam keadaan begitu.. terbaring kaku.. cukupkan bekalan dan bagaimana pula perjalanan di alam barzakh dan seterusnya berdiri di mahkamah Allah bertahun-tahun lamanya..

Ya aby.. kak juga mengharapkan agar dapat mempertingkatkan amalan.

Sama-samalah kan..