Friday, April 5, 2013

Hakikat Dunia dan Kematian

Sumber 


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Seorang penyair berkata ;

"Hai orang yang sibuk menguruskan dunia!
Sungguh, engkau telah tertipu oleh angan-anganmu yang panjang.
Mengapa sentiasa engkau leka?
Maut itu akan datang kepadamu dengan tiba-tiba
dan kubur itu adalah peti segala amal.
Sabarlah terhadap ketakutan-ketakutan yang ada di dalam dunia.
Tiada kematian, melainkan ajalnya telah tiba."

Imam al-Dailami meriwayatkan hadis, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Meninggalkan dunia itu lebih pahit daripada jadam dan lebih pedih daripada goresan pedang di medan fi sabilillah dan tiada yang mahu meninggalkannya, melainkan orang yang Allah anugerahkan orang itu seperti yang dianugerahkan kepada para syuhada'. Meninggalkan dunia adalah dengan cara sedikit makan dan kenyang dan tidak suka dipuji manusia, kerana siapa yang suka dipuji manusia, bererti dia sukakan dunia dan nikmatnya. Barangsiapa yang suka memperoleh kenikmatan yang sebenar-benarnya hendaklah dia meninggalkan dunia dan pujian daripada manusia."

Imam Ibn Majah meriwayatkan. sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang berniat untuk mendapatkan akhirat, maka Allah SWT akan mengumpulkan potensinya, membuatnya kaya jiwa dan dunia akan datang kepadanya dengan melimpah-limpah. Barangsiapa yang berniat untuk memperoleh dunia (tujuan utamanya) maka Allah SWT mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kemiskinan di hadapan matanya dan tidak memeperoleh dunia, kecuali apa yang ditentukan untuknya."

Apa yang boleh kita ambil pengajaran daripada apa yang ditulis di atas ialah kaya dalam Islam bukanlah orang yang melimpah ruah kekayaannya, sebaliknya hakikat kaya ialah orang yang dapat menikmati harta kekayaannya dan berpuashati dengan apa yang dimilikinya dan digunakan sebagai wasilah untuk mencapai tujuan hidup iaitu menggapai redha Allah SWT. Harta yang ada digunakan untuk beribadah sehingga dia berasa aman tenteram dan benar-benar bahagia.

Betapa ramai orang yang melimpah ruah harta kekayaannya namun tidak tenteram. Jadi adakalanya orang yang kaya harta namun hatinya sangat miskin. 

Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada tergolong di kalangan orang kaya harta tetapi miskin jiwa.. Allahu al-Musta'an

10 comments:

Kakzakie Purvit said...

Assalamu'alaikum Kak Werdah.... moga biarlah hidup kesederhaan ini boleh membahagiakan kita di dunia dan akhirat. Kaya kalau tak diberi pada yg hak pun akan ditanya juga kelak...

aby said...

Salam k werdah,
Stuju bila k werdah kata psl kaya jiwa, itu lah sebaik kaya yg dpt terus dekat dengan Allah swt disamping baik sesama mahkluk

Makbonda61 said...

Assalamualaikum Kak Werdah

"kaya dalam Islam bukanlah orang yang melimpah ruah kekayaannya, sebaliknya hakikat kaya ialah orang yang dapat menikmati harta kekayaannya dan berpuashati dengan apa yang dimilikinya dan digunakan sebagai wasilah untuk mencapai tujuan hidup iaitu menggapai redha Allah SWT"

Jazakillah...saya share ayat ini.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam kakZakie

Terima kasih atas doa kakZakie..semoga kakZakie juga dikurniakan kesihatan yang baik.

Sebenarnya kita dituntut mencari kekayaan, kemudian dituntut jangan letakkan kekayaan itu di hati.

Mudah-mudahan kita sentiasa dalam perlindungan Allah yang mengawal hati kita. InsyaAllah. Allahumma aamiin

Werdah said...

Wa'alaikumussalam aby

Benar tu aby.. Dalam mencapai tujuan hidup kita Allah tetapkan supaya kita jaga hubungan denganNya dan lebih-lebih lagi dengan manusia sebab itulah kita boleh lihat bahawa apabila kita tidak dapat berpuasa kerana sakit kita perlu beri makan kepada orang miskin, kita tersilap dalam ibadah haji kita kena bayar dam dengan mengorbankan binatang atau beri makan orang miskin. Bila kita bersalah kepada orang kita kena minta dimaafkan terlebih dahulu oleh orang, tetapi salah kita dengan Allah SWT lebih mudah kita mohon ampun kerana akhlak kita dengan orang amat Allah beratkan.
Di sinilah menunjukkan bahawa kita amat perlu memiliki kaya jiwa.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Hasimah

Boleh dikongsikkan Hasimah kerana ilmu ini milik kita bersama. Kakpun menyalin daripada sebuah buku Syeikh Ibnu Hajar Al-Asqalani yang diterjemahkan, tajuk buku : Bekalan Kebahagiaan dan Petunjuk Jalan Menuju Syurga"

Mudah-mudahan dirimu juga diberikan kebaikan yang banyak oleh Allah SWT.. aamiin

Cikgu Zam said...

Assalamualaikum kak werdah....
Semoga hatti hari kita sentiasa dibersihkan.... INSYAALLAH

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Cikguzam

Mudah-mudahan kita gilapkan hati sambil sentiasa mohon pertolongan Allah SWT.

Anonymous said...

Salam Kak Werdah,

Lama tak singgah sini.

Itu yang kita bimbangkan. mengejar keperluan dunia dibimbangi kita lupa bekalan di akhirat.

Semoga Allah permudahkan dengan kedua urusan ini iaitu dunia dan akhirat yang mana akhiratlah patut kita beri tumpuan utama.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Adalah diharapkan kita dapat mengawal nafsu yang mengajak kepada kerugian. Letakkan harta di tangan bukan di hati.