Friday, December 16, 2011

Hijrah Perlu Sepanjang Masa


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.


Di hujung ayat 195 surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman yang bermaksud : 
“... sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Al-Baqarah 2:195)


ANDAINYA setiap individu muslim memahami dan menyedari betapa cintanya Allah SWT kepada orang yang berbuat baik, sudah tentu dia akan merebut cinta Allah itu dengan mengisi setiap ruang waktu kehidupannya berbuat amal salih.

 Allah juga berfirman dalam ayat 111 surah an-Nisaa' maksudnya:


“Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. ”(An-Nisaa' 4:111)


Jika setiap muslim itu benar-benar menginsafi betapa Allah SWT sangat membenci perlakuan jahat dan maksiat, sudah tentu dia akan berasa takut untuk mendekati segala perbuatan jahat dan mungkar. Jika sudah terlanjur, dia akan segera meninggalkannya dan bertaubat kepada Allah SWT.

Mukmin yang menjerumuskan dirinya dalam perlakuan jahat dan amalan mungkar sebenarnya terdedah kepada dosa, kemurkaan serta balasan Allah SWT sama ada di dunia atau akhirat kelak. Inilah perlu ditakuti muslim yang masih tidak mengendahkan tegahan Allah SWT. 

Mereka yang meninggalkan larangan Allah SWT melalui fasa perubahan yang dinamakan hijrah atau transformasi diri. Tindakan ini perlu dilakukan setiap masa kerana amalan muhasabah memang digalakkan dan diterjemahkan kepada berusaha berubah kepada lebih baik dalam bentuk perlakuan. 

Mukmin yang sengaja tidak menghiraukan tegahan Allah dibimbangi ajal menjemputnya lebih dulu sebelum sempat bertaubat. Dinyatakan dalam hadis, Allah SWT cemburu kepada hamba-Nya yang melakukan perkara ditegah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT memiliki sifat cemburu, dan kecemburuan Allah itu ialah apabila orang mukmin melakukan perbuatan yang diharamkan oleh-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Sesungguhnya akhlak yang mulia adalah buah daripada ibadah yang sempurna. Ibadat yang difardukan Allah SWT seperti solat lima waktu, puasa, zakat fitrah dan ibadah haji, selain bukti kepatuhan kepada Allah SWT, juga membentuk pelakunya menjadi manusia berakhlak mulia. 

Dengan kemuliaan akhlak itulah, manusia mampu menjauhi segala amalan mungkar yang ditegah Allah SWT. 

Mukmin yang insaf bahawa hidup ini sementara dan amat singkat, sedangkan masa berlalu setiap saat adalah usianya, akan memandang umurnya masih berbaki itu sangat bernilai dan tidak wajar dibazirkan kepada perkara sia-sia.

Apalagi menjerumuskan diri ke kancah kejahatan dan maksiat. Hidup ini sebenarnya adalah kesempatan emas untuk memburu dan berlumba-lumba mengejar amal kebajikan sebagai bekalan menemui Allah SWT kelak.

Diceritakan, suatu hari seorang lelaki yang gemar berbuat maksiat datang menemui ahli sufi bernama Ibrahim bin Adham untuk meminta nasihat (dengan harapan ia dapat meninggalkan amalan maksiatnya). 

Ibrahim bin Adham lalu menasihati lelaki itu dengan berkata: “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu lakukan maksiat.”

Syaratnya ialah, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan (kamu) makan rezeki-Nya; jika kamu berbuat maksiat, jangan tinggal di bumi-Nya, jika kamu masih bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya.

Jika malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakan kepadanya, ketepikan kematianku dulu kerana aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal salih. Jika malaikat Zabaniah datang hendak mengiringimu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya. 

Nasihat Ibrahim bin Adham itu amat menusuk kalbunya, membuatkan lelaki berkenaan insaf. Air matanya bercucuran kerana tidak tahan mendengar nasihat sangat mengesankan dan sedar bahawa semua syarat itu tidak mampu dilaksanakannya. Mulai saat itu dia bertaubat kepada Allah SWT. 


Tuesday, December 13, 2011

Celaka Besar Bagi Kafir



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Pengisian kali ini saya salin daripada  blog nasbunnuraini.wordpress.com

Bertajuk CELAKA BESAR BAGI ORANG KAFIR

……dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) daripada azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). (Ibrahim: 2)
Neraka Untuk Kafir dan Orang Islam yang Hidup Secara Kafir
Neraka sebenarnya disediakan untuk orang-orang kafir.

Ali-Imran [131] : Dan peliharalah diri kamu dari api Neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.

Timbul persoalan kenapa ada orang islam masuk neraka. Ulama mengatakan bahawa orang Islam yang masuk neraka ini adalah mereka yang hidup secara kafir iaitu perangai dan perbuatannya mereka yang menyamai perbuatan kafir seperti tidak sembahyang, minum arak dan sebagainya. Selain itu juga mereka lebih mengutamakan dan menyayangi dunia berbanding akhirat.

Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. (Ibrahim: 3)

Orang Islam masuk neraka untuk membersihkan diri mereka daripada dosa, umpama padi yang ditumbuk dengan lesung untuk mendapatkan beras. Setelah dikeluarkan beras barulah ianya dimasak. Manakala orang kafir masuk neraka untuk dihina. Orang Islam yang masuk neraka tidak digantikan kulit setelah diazab tetapi orang kafir yang masuk neraka diganti kulit untuk diazab lagi.

An-Nisaa [56] Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api Neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

Tidak Ada Kematian di Neraka

Orang yang masuk ke dalam neraka itu tidak hidup dan tidak mati, bak kata pepatah “hidup segan mati tak mahu“.

Al-A’laa[13] : Selain dari itu, dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup senang.

Furqaan [13] : Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam Neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (bagi melepaskan dari azab itu).
Mereka meminta kebinasaan (dimatikan semula) kerana tidak tahan dengan seksaan azab neraka itu.

Furqaan [14] : (Lalu dikatakan kepada mereka): Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya).

Minuman Ahli Neraka

Minuman mereka adalah air panas, tembaga cair, danau, air danau iaitu darah bercampur nanah, air dari kemaluan perempuan berzina yang mati tidak bertaubat.

Muhammad [15]…..orang-orang yang tinggal kekal di dalam Neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur?….

Al-Kahfi [29] …dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya Neraka sebagai tempat bersenang-senang.

Ibrahim [16] Di belakangnya disediakan Neraka Jahanam dan dia akan diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli Neraka).

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak berhenti minum arak, nescaya Allah ta’ala akan memberinya minum air sungai Ghuthah. Iaitu sungai di neraka yang bersumber dari kemaluan para pelacur (wanita-wanita penzina).”(Hadith riwayat Imam Ahmad)

Tiada Jalan Keluar Bagi Kafir

Apabila orang kafir naik ke lapisan atas dan hendak keluar dari neraka, mereka dicampak kembali oleh malaikat ke dalamnya:

Al-Hajj [22] : Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: Rasalah kamu azab seksa yang membakar!

Bekas Ahli Neraka

Manakala orang Islam yang masuk neraka pula akan keluar umpama bekas banduan dan selepas itu samada mereka memakai kalung atau di dahi mereka tertulis perkataan “bekas ahli neraka”.

Daripada Anas bin Malik r.a, dari nabi s.a.w Baginda bersabda:” Keluar satu kaum dari neraka sedangkan kulit mereka telah hitam kerananya. Mereka masuk ke dalam syurga, sedangkan isi syurga menamakan mereka ‘orang-orang dari jahannam’ (Bukhari). “:

…..Lalu mereka keluar bagaikan mutiara. Di leher mereka ada kalung, sehingga para ahli syurga dapat mengenali mereka. Mereka adalah orang-orang yang dibebaskan Allah, yang dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga, tanpa amal yang mereka kerjakan dan tanpa kebaikan yang mereka lakukan.

Namun di syurga Allah memenuhi apa saja permintaan ahlinya, lalu mereka meminta agar dipadamkan tanda “bekas ahli neraka” itu.

Oleh itu berjaga-jagalah agar tidak dimurkai Allah. Apabila Allah murka, nerakalah tempatnya.
Aku telah menciptakan neraka bagi mereka yang telah menderhaka kepada-Ku (wa khalq-tu al-Nara li-man ‘asa-ni), tidak mengikuti para rasul-Ku, dan Aku tidak peduli

Semoga Allah s.w.t. melindungi mereka yang ingin lari daripada azab api neraka.
Sabda Rasulullah s.a.w. “Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan hanya bersedeqah sebiji buah tamar” (Riwayat Muslim).

Sekian, Semoga memberii manfaat

Monday, December 12, 2011

Suasana Alam Akhirat (63) Ayat 128 Surah al-An'aam


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamu'alaikum,

Segala pujian hanya bagi Allah, selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia.

Dalam ruangan ini kali ini saya suka merujuk kepada tafsir al-Quran oleh ustaz Haji Abdul Hadi Haji Awang dalam ruangan tafsir al-Quran Harakah 6 - 8 Muharram 1433 H bersamaan 2 - 4 Disember 2011.

Allah berfirman:


A128

Maksudnya : "Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah memperbanyakkan pengikut-pengikut daripada manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui." (Al-An'aam 6:128

Dalam ayat di atas Allah menyuruh nabi Muhammad SAW supaya menyampaikan berita buruk kepada SYAITAN dan RAKAN-RAKANnya di kalangangan MANUSIA tentang balasan azab di akhirat akibat daripada perbuatan jahat mereka di atas muka bumi.

PADA hari kiamat itu Allah SWT menghimpunkan syaitan di kalangan jin dan rakan-rakan mereka di kalangan manusia yang tatkala di dunia itu memohon pertolongan daripada syaitan dan menurut segala perintah syaitan.

Kedua golongan sayaitan dan manusia ini bekerjasama dalam menyampaikan idea dan nasihat untuk menyesatkan manusia dengan perancangan dan pelan tindakan yang jahat sehingga mereka layak menerima balasan neraka pada hari kiamat.

Allah berfirman : "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah memperbanyakkan pengikut-pengikut daripada manusia" Dalam ayat ini ada maksud tersembunyi di sebalik firmanNya kerana Allah tidak menyebut secara langsung apakah sebenarnya dan bagaimanakah syaitan-syaitan itu memperbanyakkan manusia menjadi rakan mereka mereka.

Caranya ialah tidak lain dan tidak bukan dengan menyesatkan manusia daripada jalan Allah dan menjadikan manusia sebagai hamba syaitan.

Itulah maksud yang tersembunyi sebagaimana Allah berfirman dalam surah Yaa Siin ayat 60 - 62

A060

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! (Yaa Siin 36:60)

A061

"Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus. (Yaa Siin 36:61)  

A062


"Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? (Yaa Siin 36:62


Seterusnya Allah berfirman: Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia"Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan)

Ayat ini sebagai jawapan daripada apa yang Allah firmankan kepada syaitan sebelum ini sebagai suatu perakuan dan kenyataan yang sebenar apa yang telah berlaku semasa mereka berada di duni.. Kelak di akhirat manusia yang menjadi kawan-kawan syaitan itu membuat pengakuan bahawa mereka masing-masing telah mengambil manfaat dan bersenang-senang daripada segala perbuatan keji mereka antara satu sama lain.

Syaitan mengambil manfaat dan bersenang-senang dengan perbuatan menyesatkan manusia ; hasilnya mereka disembah, dipuja dan ditaati dan memperbanyakkan kawan-kawan mereka daripada kalangan manusia. Manakala manusia pula yang disesatkan telah mengambil manfaat dan bersenang-senang dengan segala kemewahan dan maksiat hasil daripada kerja jahat mengikut arahan syaitan semasa berada di dunia dahulu.

Antara kerja yang menurut arahan syaitan:

  • Mengikuti budaya orang-orang kafir.
  • Hiburan yang melampau.
  • Menjauhkan umat daripada agama Islam.
  • Memuja artis; menjadikan artis sebagai kayuukur serta ikutan.
  • Bahan-bahan media hiburan dijadikan rujukan.



Pola pemikiran hedonisme jelas melencong daripada tujuan dan matlamat hidup seseorang Muslim.

Tajuk asal : Ramai manusia tersesat dengan tipu daya syaitan hingga mempertuhankannya.

Sekian, semoga memberikan manfaat.