Sunday, January 2, 2011

Sentiasalah merasa diperhati

Bismillahirrahmanirrahim.

Untuk mengingatkan diri ini, disalin semula hasil pembacaan.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Aku akan memberitahukan tentang beberapa kaum dari umatku, mereka datang pada hari Kiamat dengan kebajikan yang banyak seperti gunung Tihamah yang putih, namun Allah membuatnya sama sekali tidak bernilai. Ketahuilah! Mereka adalah saudara-saudara kalian sendiri, mereka beribadah di waktu malam sebagaimana kalian. Namun saat sendiri  hal-hal yang diharamkan Allah  mereka melakukannya. “(H.R. Ibnu Majah )

Sangat mengerikan bagi kita semua apabila kita telah beribadah namun masih mengerjakan maksiat disebabkan tidak mempunyai sifat muraqabah iaitu merasa diawasi oleh Allah Sang Khaliq. 

Allah berfirman: 

"....kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu". (An-Nisaa' 4:1

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)". (Qaaf 50:18)

Muraqabah sebagaimana diisyaratkan di dalam al-Quran dan hadis ialah, merasakan keagungan Allah SWT pada setiap waktu dan keadaan serta merasakan kehadiranNya (walaupun di saat kita bersendirian ataupun berada di khalayak ramai).

Sebelum kita memulakan sesuatu pekerjaan atau pada saat kita mengerjakannya, cubalah kita bertanyakan dalam diri kita, apakah setiap gerak kerja yang kita lakukan itu  untuk kepentingan peribadi atau untuk menagih populariti? untuk dipuji? atau adakah semata-mata mahu mendapatkan redha Allah SWT?

Ada 4 jenis muraqabah iaitu :

1. Muraqabah dalam melaksanakan ketaatan adalah dengan cara mengikhlaskan diri kepada-Nya.

2. Muraqabah dalam kemaksiatan adalah dengan taubat nasuha, mohon ampun, menyesal dan meninggalkannya.

3. Muraqabah dalam hal-hal yang mubah (harus) adalah dengan memelihara akhlak dan budi pekerti yang baik, kemudian mengaku dengan tulus  bahawa semua nikmat itu berasal daripada rahmat Allah dan sentiasa bersyukur  atas segala nikmat kurniaNya.

4. Muraqabah dalam musibah adalah  redha kepada ketentuan Allah SWT serta sentiasa memohon pertolonganNya dengan penuh kesabaran dan keyakinan. Segalanya milik Allah dan akan kembali kepadaNya.

Diri kita perlu kepada muhasabah setiap hari. Mutu ibadat kita juga perlu ditingkatkan setiap hari supaya pada ketika ajal menjemput, 'mabuk kerana kematian' dapat dipermudahkan dan seterusanya kita mendapat keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Mudah2an.

Orang yang suka memperhitungkan keadaan dirinya sendiri sebelum diperhitungkan nanti di akhirat, pasti akan ringanlah perhitungannya pada hari kiamat.

Agar kita boleh merasakan pengawasan daripada Allah SWT marilah kita:

1.Menyibukkan diri dengan Allah SWT.
2.Mengagungkan apa yang diagungkan oleh Allah SWT
3.Merasa rindu dan tenang bersama Allah
4.Menganggap besar dosa-dosa kecil
5.Memelihara anggota-anggota tubuh. 
6.Memperbanyakkan amalan ketaatan. 

Dengan muraqabahlah kita boleh memelihara anggota tubuh kita agar tidak terjerumus dalam perbuatan maksiat.

Ramai di kalangan para sahabat Nabi mempunyai kekuatan muraqabah sehingga mereka tidak menyia-nyiakan waktu sedikitpun kecuali  untuk  Allah SWT.

Semoga kita sentiasa dapat berusaha untuk ditambahkan hidayah dikekalkan nikmat Iman, dan Islam dan dipermudahkan untuk menjalankan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya. La haw la walaa quwwata illa billah... Amin.

Wednesday, December 29, 2010

Manusia Yang Berhak Masuk Syurga

Bismillahirrahmanirrahim.

Mari kita perhatikan ayat-ayat al-Quran yang menerangkan siapakah di antara manusia yang berhak masuk syurga... dengan rahmatNya juga..

1) Al-Baqarah (25) 

Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh,sesungguhnya mereka beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan Syurga itu, mereka berkata: Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya) dan disediakan untuk mereka dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya. (25) 

2) Al-Baqarah (155 - 157) 

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (155) (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (156) Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya. (157) 

3) Yunus (62-64) 

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (62) (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. (63) Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar. (64) 

4) Az-Zumar (18) 

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama);mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (18) 

5) Fussilat (30 - 35) 

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh Syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (30) Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat dan kamu akan beroleh pada hari akhirat apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh pada hari itu apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. (31) (Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani! (32) Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! (33) Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (35) 


6) At-Taubah (20 - 22) 

(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (20)Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. (21) Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar. (22) 

7) At-Taubah (111 - 112) 

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan)mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (111) (Mereka itu ialah): Orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian). (112) 

8) Ya-Siin (11) 

Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa dia tidak dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang menggembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia. (11) 

9) Al-'Imran (133-136) 

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (134) Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (135) Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136) 

10) Al-'Imran (169 - 171) 

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (169) (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (170)Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman. (171) 

11) Maryam (63) 

Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang yang bertakwa dari hamba-hamba Kami. (63) 



Daripada ayat-ayat di atas dan banyak lagi ayat2 lain yang tidak dicatat di sini, kita dapat simpulkan bahawa orang2 yang berhak masuk syurga ialah orang yang memenuhi TIGA syarat mutlak iaitu IMAN, TAKWA dan AMAL SOLEH yang disertai IKHLAS kerana Allah, dan mengikut Sunnah Rasulullah SAW. Ikhlas dalam kata mentaati Allah dan berbuat baik kepada sesama manusia dan makhluk Allah.. dan mentaati Allah bukan dengan terpaksa tetapi dengan rasa cinta dan rela.. kalau kita rasa cinta kepada teman istemewa kita, kita sanggup berbuat apa saya yang disuruh, mengapa apabila kita berkata kita cinta Allah dan RasulNya tetapi kita masih enggan? 

Marilah kita sama-sama berusaha bersungguh-sungguh tingkatkan keimanan dan takwa kita serta keikhlasan kita dalam beribadat serta berdoa mudah2an kita menjadi orang2 yang layak masuk ke syurga yang Allah sediakan "YA ALLAH! KAMI MOHON KEPADA ENGKAU AKAN SYURGA DAN BERLINDUNG DENGAN ENGKAU DARIPADA NERAKA.. YA ALLAH! BERILAH KAMI KEBAIKAN DI DUNIA DAN JUGA KEBAIKAN DI AKHIRAT DAN JAUHKAN KAMI DARIPADA AZAB API NERAKAMU.. AMIIN.. 

Tuesday, December 28, 2010

Sakarat

Bismillahirrahmanirrahim.
Sumber Gambar : SINI

Segala puji bagi Tuhan yang menguasai langit dan bumi. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw.

Allah berfirman:

Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah "Sakaratulmaut" membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!" (Qaaf 50:19)
Menurut pengarang buku "Insan, Ingatlah!" terbitan Nufair Street: Perkataan sakarah itu ertinya ialah mabuk. Ini bererti sebelum nyawa berpisah daripada jasad, sesuatu keadaan yang akan berlaku ialah seperti orang mabuk. Keadaan ini sukar digambarkan. Bagaimanakah sebenar sakarah tersebut atau mabuk menghadapi maut itu. Tidak ada seorangpun yang telah meninggal dapat menggambarkan kepada kita kerana sakaratul maut itu sendiri berlaku ketika seseorang diambang maut.

Kita cuba bayangkan keadaan orang yang mabuk ketika naik kenderaan, sama ada di atas bas, kereta di jalan raya atau kapal laut dan kapal terbang. Pasti pening dan tekak meloya, dan terasa isi perut melonjak-lonjak ingin keluar dan amat tidak menyenangkan. Kemudian apabila cecair masam dengan bau hanyir itu keluar dari tekak bercampur baur dengan makanan, orang-orang yang berada di sekitarnya juga turut berasa loya.

Sekadar mabuk dalam perjalanan itupun sudak cukup siksa. Hilang segala keselesaan, hilang selera makan, tidak berdaya untuk bercakap walaupun ingin benar berkata-kata sesuatu. Orang yang selalu mabuk dalam kenderaan akan merasa takut untuk menempuh perjalanan biarpun suka mengembara.

Namun mabuk dalam perjalanan bukanlah bandingan yang sesuai untuk sakaratul maut. Meskipun daripada segi bahasa maknanya mabuk, hakikat sebenar tentang sakarah itu hanya Allah yang Maha Mengetahui. Orang yang sedang 'sakaratul maut' - sedang menghadapi mabuk gelombang tidak dapat menceritakan pengalamannya.

Allah berfirman:

Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: "Telah diberi wahyu kepadaku", padahal tidak diberikan sesuatu wahyupun kepadanya; dan orang yang berkata: "Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah". Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan "sakratul-maut" (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): "Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya". (Al-An'aam 6:93)

Ayat ini menyatakan dengan jelas bahawa orang-orang zalim akan menghadapi sakaratul maut (mabuk) dengan begitu dahsyat. Ini kerana malaikat bukan sahaja sekadar mencabut nyawanya tanpa belas kasihan, malah para malaikat memukul dengan tangan mereka yang gagah perkasa yang besarnya tidak dapat dibayangkan kerana menurut setengah apara ulama tinggai mereka mencecah ke langit.

Kematian orang-orang zalim itu didahului oleh sakaratul maut yang tidak tertanggung oleh jasad dan ruh manusia. Sakaratul maut itu keluar daripada kerongkong, mereka mengeruh melambangkan kesakitan tidak terperi. Wajah mereka menjadi hitam akibat azab yang ditimpakan.

A024

A025

A026

A027

A028

"Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh. Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan. Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong, Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: "Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)?" Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan"; (Al-Qiaamah [75] : 24 - 28).

Allah SWT telah memberi amaran, jika manusia dapat melihat hakikat sebenar tekanan sakaratul maut yang ditimpakan kepada orang-orang zalim, meraka akan dapat melihat betapa sengsaranya gelombang mabuk itu. Namun mata kasar manusia tidak dapat melihatnya kecuali mata hati yang berteraskan tauhid dan ilmu berhubung alam ghaib.

Sayyidatina 'Aisyah rha meriwayatkan bahawa Nabi SAW hampir kepada wafatnya, kata Sayyidatina 'Aisyah rha: Bahawa aku telah mengambil satu bejana berisi air dan aku letakkan di sisi Rasulullah saw, aku menyapu dari bajana itu ke wajah Rasulullah. Pada ketika itu Nabi turut meletakkan tangannya ke dalam bejana berisi air itu dan menyapu sendiri wajahnya dengan tangannya yang dibasahi air dari bejana itu. Maka Nabipun mengucap: "La ilaha illallah, sesungguhnya bagi sesuatu kematian itu ada sakarahnya (mabuk)."

Kemudian berkata Sayyidatina 'Aisyah rha  lagi: "Aku turut membantu mengangkat tangan Rasulullah yang dibasahi air itu menyapukan ke wajahnya yang mulia, lalu Nabi saw bersabda lagi: "Fi Rafiqil A'la (bersama rakan karib yang Maha Tinggi). Setelah aku melihat saat menjelang wafatnya Nabi yang menghadapi sakarah, maka sekiranya ada orang yang menghadapi kematiaannya dengan mudah maka aku tidak akan mengulas panjang, sedang Nabi menghadapi keadaan sakarah sehingga turut menyapu sendiri wajahnya." (Hadis Riwayat Bukahari)
 
Hadis ini menjelaskan bahawa Nabi SAW yang menjadi Kekasih Allah yang menyifatkan kematian yang sedang dihadapinya itu adalah untuk bertemu dengan kekasihnya yang Maha Agungpun, baginda tetap menghadapi sakaratul maut. Baginda menyapu air ke wajahnya demi mendapatkan sedikit keselesaan daripada mabuk menghadapi maut.
 
Jika ada orang yang saat sakaratnya nampak mudah atau senang, mungkin Allah nak membalas kebaikan amalnya, namun bukan bermakna orang itu tidak menghadapi sakaratul maut.

Bagaimanakah keadaan kita nanti semasa menghadapi sakarah.. mudah2an kita dapat kesudahan yang baik.. Allahumma Amiin.