Sunday, January 2, 2011

Sentiasalah merasa diperhati

Bismillahirrahmanirrahim.

Untuk mengingatkan diri ini, disalin semula hasil pembacaan.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Aku akan memberitahukan tentang beberapa kaum dari umatku, mereka datang pada hari Kiamat dengan kebajikan yang banyak seperti gunung Tihamah yang putih, namun Allah membuatnya sama sekali tidak bernilai. Ketahuilah! Mereka adalah saudara-saudara kalian sendiri, mereka beribadah di waktu malam sebagaimana kalian. Namun saat sendiri  hal-hal yang diharamkan Allah  mereka melakukannya. “(H.R. Ibnu Majah )

Sangat mengerikan bagi kita semua apabila kita telah beribadah namun masih mengerjakan maksiat disebabkan tidak mempunyai sifat muraqabah iaitu merasa diawasi oleh Allah Sang Khaliq. 

Allah berfirman: 

"....kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu". (An-Nisaa' 4:1

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)". (Qaaf 50:18)

Muraqabah sebagaimana diisyaratkan di dalam al-Quran dan hadis ialah, merasakan keagungan Allah SWT pada setiap waktu dan keadaan serta merasakan kehadiranNya (walaupun di saat kita bersendirian ataupun berada di khalayak ramai).

Sebelum kita memulakan sesuatu pekerjaan atau pada saat kita mengerjakannya, cubalah kita bertanyakan dalam diri kita, apakah setiap gerak kerja yang kita lakukan itu  untuk kepentingan peribadi atau untuk menagih populariti? untuk dipuji? atau adakah semata-mata mahu mendapatkan redha Allah SWT?

Ada 4 jenis muraqabah iaitu :

1. Muraqabah dalam melaksanakan ketaatan adalah dengan cara mengikhlaskan diri kepada-Nya.

2. Muraqabah dalam kemaksiatan adalah dengan taubat nasuha, mohon ampun, menyesal dan meninggalkannya.

3. Muraqabah dalam hal-hal yang mubah (harus) adalah dengan memelihara akhlak dan budi pekerti yang baik, kemudian mengaku dengan tulus  bahawa semua nikmat itu berasal daripada rahmat Allah dan sentiasa bersyukur  atas segala nikmat kurniaNya.

4. Muraqabah dalam musibah adalah  redha kepada ketentuan Allah SWT serta sentiasa memohon pertolonganNya dengan penuh kesabaran dan keyakinan. Segalanya milik Allah dan akan kembali kepadaNya.

Diri kita perlu kepada muhasabah setiap hari. Mutu ibadat kita juga perlu ditingkatkan setiap hari supaya pada ketika ajal menjemput, 'mabuk kerana kematian' dapat dipermudahkan dan seterusanya kita mendapat keselamatan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Mudah2an.

Orang yang suka memperhitungkan keadaan dirinya sendiri sebelum diperhitungkan nanti di akhirat, pasti akan ringanlah perhitungannya pada hari kiamat.

Agar kita boleh merasakan pengawasan daripada Allah SWT marilah kita:

1.Menyibukkan diri dengan Allah SWT.
2.Mengagungkan apa yang diagungkan oleh Allah SWT
3.Merasa rindu dan tenang bersama Allah
4.Menganggap besar dosa-dosa kecil
5.Memelihara anggota-anggota tubuh. 
6.Memperbanyakkan amalan ketaatan. 

Dengan muraqabahlah kita boleh memelihara anggota tubuh kita agar tidak terjerumus dalam perbuatan maksiat.

Ramai di kalangan para sahabat Nabi mempunyai kekuatan muraqabah sehingga mereka tidak menyia-nyiakan waktu sedikitpun kecuali  untuk  Allah SWT.

Semoga kita sentiasa dapat berusaha untuk ditambahkan hidayah dikekalkan nikmat Iman, dan Islam dan dipermudahkan untuk menjalankan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya. La haw la walaa quwwata illa billah... Amin.

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Salam Kak Werdah,

Terima kasih ingatan untuk diri dan anak-anak kakak yg sedang membesar dalam mencari arah..

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Kakzakie

sama-sama kasih.. ingatan buat diri kak juga...