Friday, April 5, 2013

Hakikat Dunia dan Kematian

Sumber 


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Seorang penyair berkata ;

"Hai orang yang sibuk menguruskan dunia!
Sungguh, engkau telah tertipu oleh angan-anganmu yang panjang.
Mengapa sentiasa engkau leka?
Maut itu akan datang kepadamu dengan tiba-tiba
dan kubur itu adalah peti segala amal.
Sabarlah terhadap ketakutan-ketakutan yang ada di dalam dunia.
Tiada kematian, melainkan ajalnya telah tiba."

Imam al-Dailami meriwayatkan hadis, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Meninggalkan dunia itu lebih pahit daripada jadam dan lebih pedih daripada goresan pedang di medan fi sabilillah dan tiada yang mahu meninggalkannya, melainkan orang yang Allah anugerahkan orang itu seperti yang dianugerahkan kepada para syuhada'. Meninggalkan dunia adalah dengan cara sedikit makan dan kenyang dan tidak suka dipuji manusia, kerana siapa yang suka dipuji manusia, bererti dia sukakan dunia dan nikmatnya. Barangsiapa yang suka memperoleh kenikmatan yang sebenar-benarnya hendaklah dia meninggalkan dunia dan pujian daripada manusia."

Imam Ibn Majah meriwayatkan. sesungguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang berniat untuk mendapatkan akhirat, maka Allah SWT akan mengumpulkan potensinya, membuatnya kaya jiwa dan dunia akan datang kepadanya dengan melimpah-limpah. Barangsiapa yang berniat untuk memperoleh dunia (tujuan utamanya) maka Allah SWT mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kemiskinan di hadapan matanya dan tidak memeperoleh dunia, kecuali apa yang ditentukan untuknya."

Apa yang boleh kita ambil pengajaran daripada apa yang ditulis di atas ialah kaya dalam Islam bukanlah orang yang melimpah ruah kekayaannya, sebaliknya hakikat kaya ialah orang yang dapat menikmati harta kekayaannya dan berpuashati dengan apa yang dimilikinya dan digunakan sebagai wasilah untuk mencapai tujuan hidup iaitu menggapai redha Allah SWT. Harta yang ada digunakan untuk beribadah sehingga dia berasa aman tenteram dan benar-benar bahagia.

Betapa ramai orang yang melimpah ruah harta kekayaannya namun tidak tenteram. Jadi adakalanya orang yang kaya harta namun hatinya sangat miskin. 

Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada tergolong di kalangan orang kaya harta tetapi miskin jiwa.. Allahu al-Musta'an

4 perkara penting hari ini



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Catatan untuk renungan dan muhasabah diri hari ini.
(Sumber : FB Ustaz DR Hj. Zahazan Hj Mohamed)


. أربعة أمور في يوم الجمعه *
حبيبك محمد ينتظر صلاتك عليه
* قبر مظلم ينتظر نورك بسورة الكهف*
ساعة إستجابه تنتظر لترفع منزلتك عند ربك * 
مرسل ينتظر دعائك له بظهرالغيب
طيب الله جمعتكم بالخير

4 perkara penting hari ini

1.  Kekasih kita nabi Muhammad saw menanti salawat, maka perbanyakkanlah.

2. Qubur yang sememangnya gelap menanti maka siapkanlah pencahayaannya dengan membaca surah al-Kahfi.

3.  Suatu waktu istimewa yang doamu padanya dimakbulkan, maka rebutlah peluang itu.

4.  Seseorang yang minta saudara menyertakannya dalam doa, maka sebutlah permintaannya dalam doa yang saudara panjatkan. 

Semoga Allah menjadikan jumaat ini yang terbaik buat kalian.

Friday, February 22, 2013

Celik di dunia buta di akhirat


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji hanya bagi Allah SWT yang mentadbir seluruh alam, mencurahkan limpah kurniaNya dan kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Muhasabah Hari Jumaat - saiyyidul ayyam.

Ramai manusia diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, boleh melihat dengan sempurna ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi. 

Tetapi pada hari akhirat nanti ada di antara orang-orang yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan buta. 

Kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian? 

Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan perintah Allah, sebaliknya melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan.


Orang-orang seperti ini hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Manakala di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keingkaran ketika berada di dunia. 

Firman Allah SWT: 


20:124

20:125

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta.(Taha 20:124 Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, pada hal aku dulu celik?”(Taha 20:125)
Perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan di sisi Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya. Jika kita benar-benar taat dan akrabnya di dunia dengan Allah SWT, maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita.

Siapa yang mengikut petunjuk Allah mereka tidak akan sesat dan tidak pula akan menderita sengsara ditimpa azab pada hari kiamat nanti. Sesiapa yang ingkar daripada mengikut petunjuk Allah sesungguhnya kehidupan mereka pada hari kiamat nanti sukar, sempit dan dan dihidupkan dalam keadaan buta. Demikianlah balasan terhadap orang-orang yang diberi peringatan tetapi lalai dan ingkar, lalu Allah melupakan mereka pada hari kaimat nanti sebagaimana mereka lupa kepada Allah semasa berada di dunia.

20:126
Allah berfirman: "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan". (Taha 20:126)
Seorang sahabat Nabi, Samurah bin Jundab berkata: “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barang siapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.”


Mata jika dihalakan kepada kemaksiatan boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat.

Justeru, marilah sama-sama kita menghitung diri, adakah kita sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan akan diperhitungkan.