Tuesday, January 12, 2010

Suasana Alam akhirat (41)- Surah Fussilat (yang dijelasakan) - 2

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini ditulis tentang suasana pada hari akhirat dalam surah Fussilat iaitu surah ke dalam al-Quran Al-Karim mulai ayat 22 hingga ayat 25.

Dan semasa kamu berselindung (ketika melakukan dosa di dunia dahulu) bukanlah kerana kamu bimbangkan pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan kamu menjadi saksi terhadap perbuatan-perbuatan kamu yang berdosa itu, akan tetapi kerana kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan dosa yang kamu lakukan (secara bersembunyi itu). (22)

Seterusnya Allah menambah celaan kepada musuh2 Allah dengan berkata; "Sekarang kamu tidak boleh bersembunyi lagi". Di dunia dahulu; segala perbuatan keji mereka boleh dilindung atau disembunyikan, tetapi di akhirat; pendengaran, penglihatan dan kulit mereka akan menyampaikan apa2 yang telah mereka kerjakan.

segala perbuatan yang dilakukan tidak dapat disembunyikan; walaupun dibuat disebalik tabir atau dinding tebal; tidak dapat menolak kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulit ke atas mereka.

Seterusnya Allah berkata lagi; "Tetapi kamu menyangka bahawa Allah tidak mengetahui kebanyakan apa yang kamu lakukan". Di sini bermaksud bahawa apa yang tidak dapat didengar dan dilihat serta dirasai oleh orang lain; akan didengar, dilihat dan dirasai oleh anggota badan sendiri serta Allah SWT. Oleh itu sayugialah wahai orang2 mukmin bahawa segala perbuatan kamu di dunia tidak terlepas daripada pandangan Allah SWT.
Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu daripada orang-orang yang rugi! (23)

Allah melarang : Janganlah kamu membuat prasangka buruk terhadap Allah kerana hal itu akan membuat kamu celaka dan binasa, yang mengakibatkan kamu menjadi orang2 yang rugi.

Terdapat DUA prasangka:

PRASANGKA yang BAIK; Hendaklah berprasangka baik terhadap rahmat, kurnia dan segala kebaikan Allah SWT. Dalam hal ini Nabi menggalakkan ummatnya berprasangka baik terhadap Allah SWT berdasarkan hadis qudsi; Baginda telah meriwayatkan bahawa Allah telah berfirman yang maksudnya: "Aku (ALLAH) berkeadaan mengikut apa yang disangkakan baik oleh hambaKu terhadap Aku".

Dan daripada Abu Jabir bin Abdullah ra meriwayatkan bahawa dia mendengar daripada Nabi saw sebelum 3 hari baginda wafat telah bersabda ;"Jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan bersangka baik terhadap Allah SWT" (Hadis Muslim dan Abu Daud). maksudnya hendaklah setiap orang berprasangka baik terhadap Allah SELAMA HIDUPNYA sampai ke matinya. Juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah daripada Nabi saw yang telah bersabda maksudnya: "Baik sangka itu merupakan kebaikan ibadah".

PRASANGKA yang BURUK; ialah menyangka bahawa Allah tidak mengetahui setengah daripada apa yang dilakukan oleh makhlukNya. Disebabkan inilah Allah berfirman yang bermaksud "itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu daripada orang-orang yang rugi! (Fussilat : 23)

Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana Nerakalah tempat tinggal mereka dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredhaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya. (24) Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (daripada jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat) mengenai perkara-perkara dunia yang ada di hadapan mereka, serta perkara-perkara akhirat yang ada di belakang mereka dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama dengan umat (yang sesat) dari jin dan manusia yang terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semuanya adalah golongan yang rugi (bawaan hidupnya). (25)

Mereka (musuh2 Allah) ini akan disiksa di dalam neraka sama ada mereka tahan disiksa atau tidak. Dan jika ada yang meminta keredhaan Allah; mereka bukanlah daripada kalangan yang akan mendapat keredhaan Allah (pengampunan). Allah menunjukkan sebab mengapa musuh2 Allah ini berdampingan dengan syaitan yang dapat menguasai mereka. Yakni beberapa banyak urusan dunia yang buruk2 dan penglibatan diri dalam menurut hawa nafsu yang haram, dan dikendalikan oleh syaitan yang sedang berada dihadapan mata mereka; semuanya dipandang indah dan menarik lalu mereka lakukan. Begitu juga mereka menafikan adanya perkara2 ghaib seperti alam barzakh yakni selaps kematian dan dibangkitakan pada hari akhirat. Pendek kata perkara buruk dipandang indah dan perkara indah dipandang buruk.

Jadi sudah tentu mereka ini layak mendapat azab yang telah ditetapkan sejak dahulu kerana mereka menurut kehandak nafsu baik daripada jin dan juga manusia.

InsyaAllah sambung lagi daripada ayat 26 hingga 32

No comments: