Monday, May 3, 2010

Kamus Al-Quran Pertama Dalam Bahasa Melayu

Bismillahirrahmanirrahim.

PELBAGAI usaha dilakukan sarjana Islam bagi mengupas, dan mengkaji segala kandungan yang wujud di dalam al-Quran. Ia bertujuan supaya manusia selalu di bawah naungannya dan mendapat hidayah yang menjamin kehidupan di dunia dan akhirat.

Antara usaha-usaha suci ini adalah melalui pentafsiran dan pentakwilan al-Quran. Ini kerana, tidak semua individu memahami dan mengetahui makna kitab suci itu.

Penerbitan Kamus al-Quran dalam bahasa Melayu adalah antara yang pertama dilakukan bagi memahami isi al-Quran.
Dr. zulkifli mohd. Yusof pada sesi bersama penulis di PWTC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Kamus al-Quran itu diterbitkan oleh PTS Islamika Sdn. Bhd. dan mendapat sambutan ramai.

"Kami melakukan kajian selama tiga tahun untuk menyempurnakan kamus ini. Kami berjaya menggabungkan pelbagai tafsir al-Quran untuk mendapatkan makna paling tepat bagi setiap perkataan.

"Kedudukan dan jumlah perkataan dalam al-Quran juga dianalisis dengan teliti hingga membolehkan pembaca yang buta bahasa Arab memahami perbezaan ataupun persamaan pada lafaz dan ayat yang berbeza," ujar ketua panel penerbitan kamus itu, Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd. Yusoff.

Beliau yang juga Pensyarah Jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dibantu 18 ahli panel dan penyelidik.

Memandangkan ia disusun berdasarkan entri mengikut abjad, pembaca boleh menentukan entri yang ingin dikaji tanpa perlu terikat pada turutan surah atau ayat.

Pembaca hanya perlu mencari perkataan berdasarkan ejaan dalam bahasa arab.

Sebagai contoh untuk mencari makna 'adiyat pembaca perlu mencari di huruf ('ain) bukan (alif). Ini kerana indeks kamus ini mengikut huruf arab.

"Kamus al-Quran ini bukan sekadar kamus untuk menterjemah dan menerangkan maksud perkataan penting dalam al-Quran, ia sebenarnya adalah tafsir kepada perkataan itu.

"Dalam erti kata lain, ia adalah tafsir perkataan dalam al-Quran atau disebut tafsir al-Quran bertema iaitu berasaskan perkataan," kata Pengurus Penerbitan PTS Islamika Sdn. Bhd., Faris Hasbullah.

Kamus ini disyorkan untuk menambah perbendaharaan kata dan seterusnya memahami perkataan dalam al-Quran.

Juga sesuai untuk aktiviti berkumpulan bagi memahami dan mengkaji setiap perkataan dan berkongsi untuk pemahaman semua.

Lebih menarik, Kamus al-Quran ini juga boleh menjadi rujukan bagi ibu bapa untuk mencari nama kepada anak mereka.

Al-Quran adalah kalam Allah yang penuh dengan 1,001 mukjizat yang tidak dapat ditandingi. Ia adalah sumber ilmu pertama dan utama bagi umat manusia.

Kitab itu mencakupi segala apa yang diinginkan, menjelaskan segala yang samar, menyentuh semua aspek kehidupan, lengkap dan tiada satu perkara pun tertinggal daripada huraiannya.

Allah menegaskan: Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam kitab (al-Quran) ini. (al-An'am: 38)

Tidak keterlaluan jika dikatakan, Kamus al-Quran ini membuka lembaran baru kepada umat Islam di Malaysia untuk memahami kalam Allah itu dengan lebih berkesan.

Belian secara langsung boleh dibuat di www.bookcafe.com.my.

Oleh MOHD ROSLAN MD ISA. Utusan Malaysia.

NOTA: Penulis blog ini telahpun mendapatkan Kamus al-Quran ini dengan mengirimkan kepada anak untuk membeli di PBAKL 2010 bulan Mac yang lepas selepas diskaun menggunakan kad pelajar anak dapat dibeli dengan harga yang lebih murah, jika tidak silap RM68.00 (harga sebenar RM95.00).

6 comments:

arizWanmerahs said...

Salam Werdah, moga sihat n gmbira selalu. Nampak cam bagus je kamus ni. Kena beli gak ni.

Werdah said...

Salam Saiful.

Kak alhamdulillah sihat dan gembira. Terima kasih semoga saiful juga begitu. Amiin.

Ya, begitulah kerana setiap perkataan tu dinyatakan ayat-ayatnya dan surahnya, dan penjelasannya mengikut tafsir beberapa ahli tafsir, mudah difahami insyaAllah.

Anonymous said...

Salam Sis Werdah,

Apa khabar, semoga sihat selalu. Lama saya tak melawat blog kawan kerana masa agak kurang berkelapangan.

Bagus yer, InsyaAllah ingin juga nak beli rasanya.

Baru minggu lepas jumpa Profesor Dzul di satu Majlis kawin anak kawan. Saya kenal agak rapat dengan Prof ni, maklumlah kerja satu tempat.

Werdah said...

Salam Ani.

Kak alhamdulillah 'ala kullihaal, masih sakit dan tegang antara pinggang ke belikat. Mudah2an akhirnya akan sembuh juga insyaAllah.

Oh ya, kenal rapat dengan Prof ni. Alhamdulillah.

Kak sesekali buka dan baca, tak dapat bertahan lama-lama baca satu-satu buku, walaupun masih banyak lagi kalimah-kalimah lain yang tak ada dalam kamus ni namun alhamdulillah mudah nak cari dalam al-Quran bila rujuk Kamus ini.

Mungkin jika ditambah lagi dengan kalimah-kalimah lain seperti asmaul husna barangkali teballah lagi kamus ni.

Anonymous said...

Salam Sis Werdah,

Saya pula semenjak belajar bahasa arah alquran ni, Alhamdulillah banyak membantu walaupun rasa susah dan masih merangkak-rangkak.

Tak apa kak, mudah2an Allah terangkan hati kita dan syukur kita ada kemahuan ke arah itu.

Semoga Allah terangkan hati kita semua.

Werdah said...

Salam Ani.

Alhamdulillah.

Kak teringin sangat nak ikut belajar bahasa Arab atau ikut kawan ke masjid belajar tadabbur ayat-ayat al-Quran namun Allah lebih Mengetahui keadaan diri kak.

Namun kak bersyukur masih lagi dapat mendengar daripada CD.