Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat, tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.
N3 kali ini disalin dan ditampal di sini. Artikel asal Manusia ciptaan terbaik Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI berkenaan tafsir surah a-Tiin. Sumber : Utusan Malaysia
Maksudnya:
"Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Demi buah tiin dan zaitun, (1) Dan gunung Tursina, (2) Serta negeri (Mekah) yang aman ini; (3) Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (4) Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, (5) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus. (6) (Jika demikian kekuasaanKu), maka apa pula yang menjadikan engkau seorang pendusta, (berkata tidak benar) mengenai hari pembalasan, sesudah (ternyata dalil-dalil yang membuktikan kekuasaanKu mengadakan hari pembalasan) itu? (7) Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim? (8)"
AL-MARAGHI berkata: Surah al-Tiin termasuk Surah Makiyyah. Ia terdiri daripada lapan ayat dan diturunkan selepas Surah al-Buruj. Surah ini berkait dengan surah al-Insyirah.
Surah al-Insyirah telah dijelaskan oleh Tuhan perihal makhluk Allah SWT yang paling sempurna iaitu Nabi Muhammad SAW. Berikutnya dalam surah ini Allah SWT menerangkan perihal keadaan manusia sehingga akhir saat urusan mereka dan balasan yang telah disediakan oleh Allah SWT untuk orang yang beriman kepada rasul-Nya.
Firman Allah SWT: Demi (buah) Tiin dan (buah) Zaitun.(ayat 1)
Ibn Kathir mengemukakan beberapa pendapat berkenaan dengan tiin antaranya:
* Masjid Damsyik.
* Gunung-ganang dan bukit di sekelilingnya.
* Al-Qurtubi berpendapat: Masjid Ashab al-Kahfi.
* Ibn Abbas r.a berpendapat Masjid Nuh yang berada di puncak gunung Judiy.
Ustaz Muhammad Abduh berpendapat, al-Tiin adalah nama pokok tempat Nabi Adam a.s bernaung di syurga. Sedangkan al-Zaitun pula dikatakan Masjid Baitu al-Maqdis dan buah zaitun.
Al-Maraghi berkata: Tiin dan zaitun mengingatkan kewujudan kedua-dua masa ini iaitu Nabi Adam a.s sebagai bapa manusia yang pertama dan Nabi Nuh a.s sebagai bapa manusia yang kedua.
Firman Allah SWT: Dan demi bukit Sina. Iaitu bukit Tursina atau gunung Sinai.(ayat 2)
Al-Alusi berkata: Ia merupakan tempat Allah berkata-kata dengan Nabi Musa a.s tanpa khilaf lagi ia bukit di negeri Syam tetapi yang ma'ruf pada masa kini adalah satu kawasan antara Mesir dan Aqabah.
Firman Allah SWT: Dan demi kota (Mekah) ini yang aman. (ayat 4).
Ibn Abbas, Mujahid, Ikrimah, al-Hasan, Ibrahim al-Nakhaie, Ibn Zaid dan Ka'ab al-Akhbar berpendapat ia kota Mekah.
Ibn Kathir berkata: Sebahagian ulama berpendapat: Tiga tempat ini dimuliakan Allah di mana Allah bangkitkan setiap satunya Rasul yang diutuskan di kalangan ulul al-Azmi.
Pertama: Tempat tin dan zaitun di Baitu al-Maqdis yang diutuskan Nabi Isa bin Maryam.
Kedua: Tursina di mana Allah SWT berbicara dengan nabi Musa a.s.
Ketiga: Mekah yang Allah SWT utuskan Muhammad SAW.
Berdasarkan kenyataan di bawah, jelas menunjukkan permulaannya di tempat yang mulia kemudian lebih mulia dan yang terakhir paling mulia. Yang mana Allah menceritakan berdasarkan tertib, kewujudan mereka secara kronologi.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (ayat 5).
Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan manusia dalam sebaik-baik bentuk kejadian, ketinggian dan keindahannya.
Al-Maraghi berkata: Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang paling baik. Kami jadikan manusia bersifat tegap, bertulang tumit indah, mampu mencapai maksud yang diinginkannya dengan tangannya, tidak seperti haiwan yang memungut sesuatu dengan mulutnya.
Allah SWT mengurniakan keistimewaan akal kepada manusia, kebolehan membezakan serta kesanggupan menerima ilmu yang pelbagai jenis. Begitu juga mereka mampu membuat gagasan yang menjadikannya mampu menguasai alam wujud, di samping itu mereka yang mempunyai kemampuan dan jangkauan memperoleh apa yang diingini.
Firman Allah SWT: Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya (ayat 6).
Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Apabila ia menyeleweng dengan fitrahnya dari garis lurus yang ditunjukkan Allah dan setelah diberi penjelasan dan kebebasan agar ia memilih salah satu dari dua jalan.
Merekalah golongan manusia yang kekal di atas fitrahnya yang lurus, kemudian mereka lengkapkan pula fitrah mereka dengan iman dan amal soleh dan terus meningkat ke darjat yang sempurna yang diperuntukkan kepada mereka sehingga berakhir dengan kehidupan yang sempurna di negeri akhirat, negeri yang sempurna.
Firman Allah SWT: Maka apakah yang menyebabkan kamu mendustakan (hari) pembalasan sesudah (adanya keterangan-keterangan) itu? (ayat 7)
Ibn Jauzi dalam Zad al-Masir menyebut dua pendapat:
Apakah yang menyebabkan kamu berdusta hai manusia selepas hujah ini berkaitan pembalasan. Ini adalah ancaman kepada orang kafir seperti yang disebut oleh Muqatil.
Siapa yang mampu dalam pendustaanmu dengan pahala dan balasan selepas nyata Allah mencipta manusia. Inilah pendapat al-Farra'.
Firman Allah SWT: Bukankah Allah hakim yang seadil-adilnya? (ayat 8)
Syed Qutub berkata: Tidakkah Allah itu Pengadil Yang Maha Adil apabila Dia menetapkan hukuman-hukuman seperti ini? Atau tidakkah hikmat kebijaksanaan Allah mencapai matlamatnya dalam hukuman yang telah ditetapkan terhadap orang mukmin dan bukan mukmin.
Penutup
Al-Maraghi berkata: Allah SWT itu paling bijaksana mencipta dan mengatur. Oleh sebab itu, Allah SWT menetapkan wujudnya pembalasan amal bagi umat manusia.
Tujuan pembalasan ini supaya manusia tetap kekal pada martabatnya yang mulia menurut fitrah semulajadi mereka. Akan tetapi manusia telah menjatuhkan diri mereka ke martabat yang paling hina, lantaran kebodohan dan pengaturan yang salah.
Justeru, Allah SWT mengirimkan para rasul kepada manusia untuk memberi khabar gembira (petunjuk) dan menyampaikan ancaman. Para rasul ini diberi syariat untuk dijelaskan kepada manusia dan mengajak mereka ke jalan Allah SWT sebagai bukti sifat pemurah Allah SWT kepada manusia.
Nota: Sesungguhnya Allah al-Khaaliq, al-Baari' dan al-Musawwir (Allah Maha Mencipta, Maha Mengadakan dan Maha Memberi Bentuk) serta Allah Maha Bijaksana. Dia Maha Mengetahui segala keperluan makhlukNya dan Pada penciptaanNya terdapat tanda-tanda kekuasaanNya...
Di bawah ini dipaparkan award daripada blog Titisan Nurani yang lebih dikenali dengan panggilan kakzakie.. (Terima Kasih kepada kakzakie kerana menjadikan blog ini sebagai Favorite). Sebenarnya tak ada apa yang istimewapun blog NOTA UNTUK DIRI ini. Pengisiannya tertumpu untuk mengingatkan diri ini yang hanya menunggu beberapa ketika yang tak tahu entah bila (tapi pasti) akan mendarat di tempat yang barzakh dan seterusnya dihalakan entah di tempat bahagia atau celaka. Mudah2an Allah berikan kesudahan yang baik buat kita semua.. Amiin.
Kepada pembaca blog ini sudi-sudikanlah ke blog kakzakie. Inilah dia Award daripada kakzakie. Kak Werdah mohon maaf daripada kakzakie kerana tak jawab tag.
8 comments:
Assalamualaikum Kak Werdah,
Maaf membuat kak Werdah serba-salah. Motif utama kakak kalau kakak tag kak werdah akan ramai yg berkunjung ke blog ini dan membaca sama apa yg kakak baca. Nak buat tazkirah tak pandai, jadi biarlah ramai yg berkunjung ke sini.
Teringat makan buah tin dalam perjalanan balik dari masjidilharam ke hotel penginapan sewaktu musim haji 2008.
Terima kasih juga tazkirah ini.
Wa'alaikumussalam kakzakie.
Tadi dalam N3 kak terlupa nak ucapkan terima kasih kepada kakzakie kerana menjadikan blog ini sebagai favorite. Sekarang kak dah tambahkan (editlah tu).
Terima kasih sekali lagi kerana mengetag dan sekali lagi kak mohon maaf tak tag blog lain. Bukan tak ada favorite blog malah banyak sangat.. termasuk blog kakzakie.. tapi dalam keadaan sekarang (tak dapat duduk lama). InsyaAllah niat baik kakzakie diberikan balasan/ganjaran oleh Allah SWT. Amiin.
Blog kakzakie juga banyak maklumat, susunan ayatnyapun kadang-kadang berpantun.. suka bacanya tapi kak kadang2 jadi silent reader je..
kak juga suka buah tiin dan buah zaitun.. alhamdulillah kiranya kakzakie ni dah hajah lah kan.. syukur
assalamualaikum kak werdah,
apa khabar? semoga sihat sejahtera hendaknya.
alhamdulillah, tazkrah pagi Ahad yang mengambangkan roh dan minda.
tahniah akak di atas award dari kak zakie itu,tanda ingatan seorang sahabat
sekian wassalam
Wa'alaikumussalam ummu
Kak alhamdulillah 'alaa kullihaal.. mudah2an tak bertambah mudharat (pinggang ketat sangat - bawa ke belikat)..
Alhamdulillah.. artikel diambil darida bicara agama.. mudah2an memberi manfaat kepada kita semua.. amiin
salam kak werdah,
Semoga bertambah keimanan kita pada Allah sepanjang masa, Amin.
Wa'alaikumussalam cikguzam
Mudah2an Allah membantu kita untuk sentiasa istiqamah di atas jalanNya...amiin
Salam Kak Werdah,
Terima kasih berkongsi N3 yang sangat baik ini.
Saya hati bila membaca bait-bait ini dari coretan kak Werdah:
"Pengisiannya tertumpu untuk mengingatkan diri ini yang hanya menunggu beberapa ketika yang tak tahu entah bila (tapi pasti) akan mendarat di tempat yang barzakh dan seterusnya dihalakan entah di tempat bahagia atau celaka. Mudah2an Allah berikan kesudahan yang baik buat kita semua.. Amiin."
Wa'alaikumussalam Ani
Ani, bila dah macam ini ingatan selalu tertumpu kepada tempat yang akan dituju.. memang menakutkan.. mudah2an Nota Untuk Diri ini sentiasa menjadikan kita ingat alam yang abadi... amiin
Post a Comment