بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.
Segala puji juga bagi Allah yang telah memberikan kesempatan bagi diri ini memperlajari sesuatu daripada para penyampai ilmu dan syukur kerana dapat berkongsi serba sedikit di sini.
Di bawah adalah terjemahan bagi ayat-ayat dalam Surah al-Balad (surah ke 90) yang bermaksud negeri.
Saya paparkan juga terjemahannya di sini walaupun dalam You Tube di atas sudahpun ada terjemahannya untuk memudahkan membacanya.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini; (1)
Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas), (2)
Demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya; (3)
Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya); (4)
Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)? (5)
Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut dia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa). (6)
Adakah dia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu)? (7)
(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) (8)
Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? (9)
Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? (10)
Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; (11)
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (12)
(Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: Memerdekakan hamba abdi; (13)
Atau memberi makan pada hari kelaparan. (14)
Kepada anak yatim dari kaum kerabat, (15)
Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah. (16)
Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, dia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang. (17)
(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga). (18)
Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. (19)
Mereka ditimpakan (azab seksa) Neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya). / (20)
Apa yang ingin disampaikan di sini ialah tentang kebebasan memilih. Dan apa diboldkan di atas dalam ayat-ayat itu menjadi fokus utama penulisan.
Mahu atau tidak kita hanya ada dua jalan pilihan. Kita kena pilih SATU sahaja kerana memang itulah jalan yang disediakan oleh Allah SWT buat hamba-hambaNya. Jalan yang membezakan antara manusia yang beriman dan beramal soleh lagi patuh kepada Allah dengan manusia yang kufur serta menentang kekuasaan Allah SWT.
"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata". (Al-Ahzaab [33] : 36)
Dalam surah al-Balad ini dinyatakan ada dua pilihan, kepada dua mata, apabila nampak perkara-perkara yang haram kita boleh pilih sama ada nak kekal melihatnya atupun alihkan pandangan kita. Bila pilih yang haram maka tanggunglah akibat buruknya jika tidak sempat bertaubat. Disebabkan kita boleh membuat pilihan mengapa mesti kita pilih yang memudharatkan kita. Begitu juga dengan lidah, bibir, mestikah kita berbicara perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat bahkan menambahkan dosa kita? Dalam hal mempunyai harta pula kita boleh pilih untuk tidak bermegah-megah dengan harta kita, lalu kenapa mesti bermegah-megah, apabila kita boleh bersedekah kenapa pula kita tidak mahu bersedekah. Apa yang lebih penting Allah sediakan DUA jalan iaitu kiri atau kanan, kita boleh pilih yang mana SATU kita nak tuju. Syurga atau neraka, yakni beriman dan beramal soleh atau kufur dan menentangNya (semoga dilindungi Allah daripada berbuat demikian).
Allah bagi kita DUA jalan. Kita disuruh berusaha, bila kita berusaha maka Allah akan permudahkan bila tak mahu buatpun Allah permudahkan:
Allah bagi kita DUA jalan. Kita disuruh berusaha, bila kita berusaha maka Allah akan permudahkan bila tak mahu buatpun Allah permudahkan:
Allah berfirman:
"Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. Jelasnya: Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya); Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya; ) Serta dia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;" (Al-Lail [92 ] : 4 - 10)
"Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu! (As-Saffaat [37] : 96)
Maksudnya bila kita pilih yang baik atau yang tak baik semuanya Allah mempermudahkan.
Di hadapan kita banyak takdir, pilihlah takdir yang baik. Allah akan menolong mempermudahkan segala-galanya.
Gunakanlah kebebasan memilih yang Allah beri untuk meraih keredhaanNya. Buat baik Allah redha buat jahat Allah tak redha.
Abu Laits telah menegaskan, bahawa seseorang dinyatakan takut kepada Allah SWT dapat dilihat melalui tanda-tandanya dalam tujuh perkara seperti berikut:
- Orang yang memiliki lidah yang selalu menjadikannya sibuk berzikir atau bertasbih kepada Allah serta membaca Al-Quran dan mempelajari ilmu agama.
- Orang yang memiliki hati yang selalu mengeluarkan dari dalam hatinya perasaan tidak bermusuhan, tidak ada iri, hasad dan dengki dan lain seumpamanya.
- Orang yang mempunyai penglihatannya yang tidak akan memandang kepada hal-hal yang haram, tidakmemandang dunia dengan keinginan hawa nafsu, tetapi memandanginya dengan mengambil i’tibar serta pelajaran. Rasulullah SAW bersabda; “Barang siapa memenuhi matanya dengan hal-hal yang haram, Allah SWT akan memenuhi matanya pada hari kiamat kelak dengan api neraka”.
- Orang yang perutnya, tidak dimasukkan makanan yang haram ke dalamnya, sebab itu adalah perbuatan dosa. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : “Ketika sesuap haram masuk dalam perut anak cucu Adam, semua malaikat di bumi dan di langit membenci dan melaknat kepadanya, selama suapan itu masih berada dalam perutnya dan kalau ia mati dalam keadaan seperti itu, maka tempatnya adalah jahannam".
- Orang yang memiliki tangan yang dengannya, dia tidak memanjangkan ke arah perkara-perkara yang haram, tetapi memanjangkannya untuk memenuhi ketaatan.
- Orang yang memiliki telapak kaki yang kakinya tidak digunakan untuk berjalan kepadaperkara-perkara yang haram atau ke dalam kemaksiatan, sebaliknya dia berjalan di jalan Allah SWT dengan bersahabat atau berteman dengan orang-orang yang saleh.
- Ketaatannya, dia menjadikan ketaatannya itu murni dan ikhlas kerana Allah SWT.
Perkara yang disebutkan di atas, memang tidak mudah untuk dilaksanakan, tetapi bagi orang-orang yang benar-benar mengharapkan kebahagiaan yang abadi di akhirat kelak, beban berat yang mesti dilaksanakan itu bukan lagi menjadi persoalan, meskipun ia harus merangkak sedikit demi sedikit. Untuk menanamkan rasa takut kepada Allah SWT hingga mendarah daging dan tertanam atau terpateri di dalam hati, harus terlebih dahulu membiasakan diri dengan memenuhi perintah Allah SWT. Perlukan usaha yang gigih serta istiqamah.
Pilihan di tangan kita nak yang mana satu.. Allah akan menolong kita insyaAllah. Mudah2an memberi manfaat. Apa yang baik daripada Allah yang tak baik daripada kelemahan diri ini.