Sunday, May 15, 2011

Suasana Alam Akhirat (61) - Surah al-Kahfi (gua)

Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamu'alaikum. Marilah kita sama-sama memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya serta kenikmatan yang begitu banyak, sehingga kita tak mampu kita menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini sambung tentang gambaran apa yang berlaku nanti seperti yang Allah gambarkan dalam surah al-Kahfi iaitu surah ke 18 dalam al-Quran yang mulia. Apa yang ditulis di sini adalah merujuk kepada buku tafsir al-Quran di Radio oleh Allahyarham Ahmad Sonhadji.(N3 ini sebenarnya telah dipublish pada hari yang suram dulu, hari yang ramai posting blogger terpadam, lebih daripada separuh yang telah hilang dah terpaksa ditaip semula).

Allah berfirman:
"Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah (dikelilingi oleh tembok-temboknya); dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; itulah seburuk-buruk minuman, dan seburuk-buruk tempat tinggal". (Al-Kahfi 18:29)
Ayat 29 di atas, Allah menyatakan bahawa apa yang datang daripadaNya adalah hak dan Allah memberi kebebasan kepada manusia dan jin sama ada nak beriman ataupun tidak; ini adalah berkaitan dengan kebebasan memilih yang Allah berikan kepada setiap manusia dan jin yang mukallaf. Walaupun ayat ini nampak seperti Allah beri peluang untuk memilih sama ada nak beriman atau tidak beriman namun itu merupakan kata dua daripada Allah; cuba lihat maksud ayat di bawah:
Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. (Al-Israa' 17:7) 
(Pernah ditulis di sini). Maksudnya jika buat baik akan dapat balasan baik begitu juga sebaliknya.

Bagi sesiapa yang kufur ingkar, api neraka mengelilingi mereka bak khemah ataupun seperti tembok-tembok api membakar sekeliling sedangkan mereka berada dan terbakar di dalamnya. Ini disebabkan mereka zalim yakni kepada Allah dan diri sendiri. Mereka tak mahu memilih beriman sebaliknya  mereka pilih kufur, mereka tak pilih untuk mengikut petunjuk yang dibawa rasul malah memilih kesesatan. Dengan demikian; kelak mereka akan tinggal (terbakar) dalam khemah ataupun tembok api dan tak dapat melarikan diri lagi, tersiksalah terus menerus di sana. Ini merujuk kepada ayat yang bermaksud: "sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah";

Menurut riwayat; daripada Abu Sa'id al-Khudri daripada Nabi SAW mengatakan bahawa tembok neraka itu adalah empat, masing-masing tebalnya sejauh perjalanan 40 tahun.

Maksud ayat ; "dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang" ialah nanti pada hari kiamat apabila orang-orang yang kufur yang dimasukkan ke dalam neraka ini minta minum kerana tersangat haus dan panas maka mereka diberi minuman daripada cairan tembaga. Kisah ahli neraka meminta air daripada ahli syurga disebutkan dalam ayat 50 surah al-A'raaf 
Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan firmannya): ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata): "Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki (makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu". Mereka (ahli Syurga) menjawab: "Sesungguhnya Allah telah haramkan kedua-duanya atas orang-orang kafir". (Al-A'raaf 7:50)
(suasana alam akhirat dalam surah al-A'raaf boleh dibaca di sini)

Ketika itu mereka diberikan air yang begitu mengerikan sifatnya (air yang seperti tembaga cair yang membakar muka) dan apabila mereka minum terputuslah tali usus manakala muka mereka pula hangus dan terbakar semuanya.
Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya. (Al-Kahfi 18:30). Mereka itu, disediakan baginya jannaatin 'adnin (syurga yang kekal), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian berwarna hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat yang semolek-moleknya. (Al-Kahfi 18:31)
Kebaikan yang dilakukan oleh manusia tidak akan dipersia-siakan. Orang-orang yang percaya akan perkara yang hak yang telah diwahyukan Allah kepada rasulNya lagi pula mereka melakukan amalan soleh, mereka akan ditunaikan janji oleh Allah mendapat ganjaran pahala. Allah tidak mungkir janji dan Allah tidak menganiayai sesiapapun.

Mereka disediakan beberapa buah syurga yang dinamakan syurga 'Adn dan di bawahnya mengalir beberapa sungai.

Mereka juga diberi pakai perhiasan-perhiasan yang cantik dibuat daripada emas, seperti gelang tangan emas dan sebagainya.

Dalam hubungan ini Abu Hurairah ra meriwayatkan daripada Nabi SAW yang telah bersabda:

"Banyaknya gelang-gelang yang dipakai orang Mukmin sampai ke perenggan angota yang dibasuhnya semasa wudhuk"

Mengikut zahir ayat ini, perhiasan itu diperbuat daripada emas, tetapi dalam ayat-ayat lain pada surah lain ada disebut juga terbuat daripada perak, emas bertatahkan mutiara. Ini bererti ada 3 macam perhiasan yang mereka pakai yakni ada gelang emas, perak dan emas bertatahkan mutiara.

Mereka juga disediakan pakaian yang indah-indah daripada sutera halus dan sutera tebal iaitu pakaian yang biasanya dipakai oleh orang-orang yang hidupnya mewah. Manakala warnanya pula hijau, dikatakan bahawa warna hijau adalah menyejukkan mata yang memandang.

Penghuni-penghuni syurga ini sentiasa berada dalam kenikmatan, bersenang-linang duduk bersandar di atas kerusi panjang atau tempat tidur yang menunjukkan mereka sedang berehat. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya kepada mereka.
"Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar (hancurkan) dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata (nampak kosong); dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun daripada mereka"(Al-Kahfi 18:47
Pada hari Kiamat Allah akan hancurkan gunung-gunung iaitu dengan mencabut daripada tempatnya serta menerbangkannya ke udara seolah-olah seperti awan yang bergerak laju di langit sehingga iapun bertaburan ke bumi. Keadaan ini sama seperti yang diterangkan dalam ayat:
Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai Muhammad) dari hal gunung-ganang; maka jawablah: "Tuhanku akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin. "Lalu Ia membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi) rata lagi licin". Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang rendah atau yang tinggi. (Taha 20 : 105 - 107)
Juga seperti dalam ayat :
Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap - tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.(An-Naml 27 : 88)
dan dalam ayat di bawah: 
"Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran," (al-Waaqi'ah 56 : 5 - 6)
Maksudnya apabila hari kiamat nanti tidak ada satu gunungpun yang tetap berada di atas muka bumi ini. Semuanya tercabut dan berterbangan dan bumi menjadi rata sama sekali. Bumi nampak kosong tidak ada gunung, tidak ada rumah, tidak ada bangunan-bangunan mahupun pokok-pokok. Yang ada hanya mayat-mayat manusia yang keluar daripada perut bumi terburai semuanya hingga tidak ada yang tersembunyi lagi. Manusia yang telah mati semuanya dihimpunkan di satu tempat di Padang Mahsyar; tidak ada satupun yang tertinggal. Hal ini sama dengan ayat di bawah :
"Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka): "Kamu sekarang telah datang kepada Kami - (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya; bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah janjikan)"(Al-Kahfi 18 : 48
Mereka dibawa ke hadapan Allah SWT dalam keadaan berbaris-baris. Ini berlaku setelah berkumpul sekian lama lalu dibawa menghadap Allah dengan keadaan berbaris yang teratur. Maka pada waktu itu jugalah Allah berkata : ""Kamu sekarang telah datang kepada Kami - (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya." Ini sebagai celaan. Maksudnya; "Wahai manusia! sekarang kamu telah didatangkan ke mari dalam keadaan hidup semual seperti kamu mula-mula dahulu dijadikan dengan berkaki ayam, telanjang bulat dan tidak membawa sebarang harta ataupun anak". Bandingkan dengan ayat di bawah:
Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat). (Al-An'aam 6:94)
Celaan ini tentunya ditujukan kepada orang-orang yang menyengutukan Allah dan yang tidak mahu percaya kepada hari kebangkitan; yang dulunya mereka membangga-banggakan kedudukan pangkat, harta dan anak-anak kepada orang-orang mukmin yang tidak mempunyai apa-apa semasa mereka berada di dunia. Celaan ini menjadi tamparan yang hebat kepada mereka yang tidak menyangka sama sekali akan berlaku seperti itu semasa berada di dunia kini menjadi kenyataan.
Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: "Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. (Al-Kahfi 18:49
Kitab-kitab amalan  dibentangkan di hadapan  masing-masing. Setiap manusia yang berdosa merasa amat gentar dan ketakutan apabila melihat catatan dalam kitabnya; kitab yang ditulis oleh malaikat pencatat yang khusus menjaganya semasa berada di dunia. Mereka gentar kerana melihat catatan amalan sangat buruk, baik daripada segi pertuturan, perbuatan dan mereka bimbang akan didedahkan rahsia keburukan amalan dan seterusnya akan disiksa. Mereka kehairan yang tak terperi kerana semua bukti diperlihatkan kepada mereka sambil mereka berkata; "Aduhai malangnya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!". Mereka sangat menyesal apabila dikejutkan dengan perkara yang amat tidak disangka. Sebenarnya mereka tak perlu terperanjat tentang amalan yang dicatat semasa berada di dunia, kerana di duniapun sudah ada alat teknologi yang boleh membuktikan perbuatan seseorang seperti kamera, perakam suara, video, CCTV dan sebagainya. Semuanya boleh digunakan sebagai bahan bukti, inikan pula catatan amal ciptaan Allah tentulah dapat mencatat dengan lebih sempurna.

Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan. (Al-Infitaar 82 : 10 - 12) 
Dan pada hari kiamat Allah berfkata: "Panggilah sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka: dan kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang membinasakan. (Al-Kahfi 18:52


Pada hari kiamat nanti akan kedengaran panggilan Allah SWT kepada orang-orang yang ingkar yang sedang berhimpun di padang mahsyar dengan celaan; "Serulah orang-orang yang kamu katakan menjadi sekutu Aku itu! yakni panggillah dan minta tolonglah kepada berhala-berhala yang kamu sembah atau orang-orang yang kamu minta tolong semasa berada di dunia dahulu, adakah mereka dapat menolong kamu?". Sudah tentu apa yang mereka sembah itu tidak dapat menolong mereka. Malahan Allah menyediakan tempat kebinasaan kepada yang menyembah dan yang disembah.
Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya. (Al-Kahfi 18:53
Pada waktu itu orang-orang yang kufur dan musyrik dapat melihat neraka dengan cukup terang dan jelas dan yakinlah mereka bahawa mereka akan dimasukkan ke dalam neraka yang telah disediakan buat mereka dan mereka tidak dapat melarikan diri daripadanya, tidak pula dapat mencari tempat perlindungan kerana segala penjuru adalah api dan pelbagai siksaan.

Begitulah gambaran apa yang berlaku nanti seperti dalam surah al-Kahfi. Semoga kita dapat memahaminya dan dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk menghindarkan diri daripada melakukan apa yang dilarang dan semoga kita dijauhkan daripada api neraka.

10 comments:

Kakzakie said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Bila membayangkan antara syurga dan neraka yg amat ketara membuat kita rasa takut.

Perhiasan syurga yg diberi teramat indah dan tak terjangkau akal fikiran kita begitu juga balsan neraka yg menggerunkan.

Masya-Allah....

werdah said...

Wa'alaikumussalam kakzakie

kak werdah mohon maaf kerana lambat respon komen kakzakie..

Tujuan Allah memberi gambaran tentang syurga agar kita berusaha mengerjakan amalan soleh begitu juga digambarkan siksa neraka untuk menimbulkan rasa gerun dan dengan itu manusia berusaha melawan nafsu jahat yang sering mengajak ke arah kejahatan.

Segala-galanya kita dapat gambarkan seperti yang berlaku di dunia, sebab kata ustaz sunnatullah Allah tak berubah.

Kak Werdahpun amat gerun bila membaca bab neraka ni.. (buku Hidup sesudah mati ni dah lonyai kata orang) tapi amalan tak tahulah.. gerun sebab amalan dahlah tak cukup, umurpun dah mengintai-ngintai ke alam barzakh..

Anak Pendang Sekeluarga said...

gerun saya membacanya,namum banyak maanfaat boleh didapatinya...

ummu said...

assalamualaikum kak werdah
sungguh gerun mengenangkan nerakaNya
namun rasa tak layak nak masuk syurga Nya.

werdah said...

Anak Pendang Sekeluarga

mudah2an kita dapat rahmat Allah SWT.. amiin

werdah said...

wa'alaikumussalam ummu

benar ummu, takut dan berharap.. semoga kita dijauhkan azab api neraka.. amiin

Cikguzam said...

salam Makcik,
Apa khbar makcik sekarang?????

werdah said...

wa'alaikumussalam cikguzam

khabar baik.. alhamdulillah.. senang-sennag nanti boleh bertukar khabar ya.. insyaAllah....

سيتي مستورا said...

salam ziarah,, syukran atas informasi yg berguna..barakallahufik

werdah said...

Wa'alaikumussalam Siti Mastura

Sama-sama kita ambil manfaatnya ya, terima kasih atas doa.. Allahumma Amiin

Anda Mungkin Juga Meminati

Related Posts with Thumbnails