Monday, October 17, 2011

KETIKA MULUT DIKUNCI

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala pujian hanya milik Allah. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat dan pengikut setia hingga ke hari kiamat.

Saya telah miliki buku di atas dan baru selesai membacanya. Membaca merupakan pengisian masa yang sangat lapang buat saya yang sukar membuat kerja-kerja berat dan sukar untuk duduk lama. Syukur, dengan pembacaan ini dapatlah mengingatkan diri yang sangat sangat hampir untuk berpindah dari dunia sekarang ke satu dunia yang lain. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah.

Dunia lain sedang mengintai dan menunggu. Setiap detik kita berjalan menuju suatu dunia yang sama sekali berbeza dengan dunia yang kita huni sekarang ini.

Allah bukan sahaja mengurniakan kita dengan dua mata untuk melihat tapi Allah juga memberikan kita akal untuk berfikir. Akal inilah yang membawa kita untuk persiapan menuju kepadaNYA.

Bagaimana kita nak mengetahui kewujudan dunia lain? Pertanyaan ini mungkin terlintas dalam fikiran kita tetapi kita jangan gundah kerana kehidupan kita adalah ditetapkan oleh Allah melalui beberapa tahap. Tahap-tahap yang bermula daripada alam kehidupan yang terkecil hinggalah ke alam kehidupan yang terbesar.

Semasa berada dalam tahap alam kandungan, alam kita sangat kedap dan sempit serta gelap. Kita hanya diliputi darah. Sumber makanan kitapun daripada placenta ibu. Kemudian beralih ke alam dunia sekarang.  Keadannya lebih luas dan lebih besar daripada alam kandungan. Kita boleh melihat bulan dan matahari, bintang-bintang dan pemandangan yang indah dan sebagainya. Sumber makanan kita juga tersangat banyak. 

Seterusnya kita akan berada di alam barzakh. Alam ini lebih luas daripada alam dunia yang kita huni sekarang. Ini kerana roh telah terlepas daripada kongkongan jasad yang dihuninya. Keadaan roh yang terlepas ke alam barzakh samalah seperti keadaan janin yang terhimpit dalam rahim ibu yang melihat alam dunia yang lebih luas. Ketika roh keluar ke daripada jasad roh akan melihat alam lain yang asing. Begitulah juga nantinya alam akhirat, tentulah lebih besar dan luas daripada alam barzakh. Alam ini lebih sempurna daripada alam-alam sebelumnya.

Alam akhirat inilah alam kehidupan yang sebenarnya. Di sini gerakan aktiviti roh dan jasad akan menjadi lebih sempurna. Jasad dan roh akan dihadirkan bersama-sama untuk mendapatkan balasan kenikmatan syurga ataupun seksaan api neraka.

Kehidupan dunia ini jika dibandingkan dengan kehidupan akhirat hanyalah berselang beberapa minit atau beberapa jam sahaja.
"Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya. Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?  Mereka menjawab: Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung (umur). Allah berfirman: Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia)".(Al-Mu'minuun [24] - 111 - 114)
Meskipun kita tinggal di dunia selama sepuluh tahun, atau seratus tahun akhirnya kita akan menyedari bahawa kehidupan kita di dunia ini sangatlah singkat.
"Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar). (Ar-Ruum [30] : 55)
Oleh itu dalam perjalanan yang singkat ini kita diingatkan agar; 
"Berlumba-lumbalah / bersegeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar". (Al-Hadid [57] : 21)
Peringatan untuk diriku juga.

6 comments:

Kakzakie said...

Assalamu'alaikum kak werdah,

N3 ini sebagai ingatan buat kakak juga kak werdah. Kalau membayangkan bagaimana dari sel yg begitu kecil menjadi gumpalan darah kemudian terbina tulang dan segala organ yg unik diselaputi daging dan kulit, tak tercapai dek akal kita kak werdah. Moga perjalanan ke sana kelak kita telah bersedia dgn bekalan yg cukup.

Kakak tak ada lagi buku ini.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam kakzakie

Ya kakzakie, ini adalah peringatan buat kita semua.. semoga kita diberikan kekuatan untuk mempersiapkan diri dalam meniti hari-hari dan saat-saat yang diberikan kepada kita. La hawla walaa quwwata illa billah..

Terima kasih ya kak zkie kerana membaca N3 ini...:)

Kunang-Kunang said...

Assalamualaikum Kak Werdah,

Alhamdulillah akhirnya dapat juga saya membaca tulisan kak werdah. Rindunya saya pada kak werdah walaupun kita tidak pernah berjumpa di alam nyata ini.

Hati selalu teringat sama akak sihat atau tidak kerana dah lama tak buat N3.

Terima kasih kak werdah berkongsi dengan apa yang kak werdah dah baca. Semua ini menjadi panduan dalam menjalani hidup menuju alam yang kekal itu.

Werdah said...

Wa'alaikumussalam Ani

Sebenarnya kak juga merindui blog kawan-kawan, tapi buat masa ini sekadar menjengah dan membaca sahaja, rasa tak dapat tahan lama tampong sakit tengah-tengah pinggang..jadi tak tinggalkan jejak.. banyak berbaring dan membaca serta mendengar CD..

Bila baca kisah-kisah tentang perjalanan yang singkat seperti ini timbul rasa ingin mendapatkan keredhaan Allah, lebih2 lagi dalam keadaab seperti ini, mudah2an kita sama-sama beringat kan.

insan_marhaen said...

salam,

maut sebenarnya lebih hampir dari diri sendiri.

cuma saatnya sahaja yang dinanti!

Werdah said...

wa'alaikumussalam IM

Begitulah yang sentiasa diperingatkan kepada kita, perlu persediaan yang cukup dalam menghadapi masa yang akan datang.. semoga kita terpelihara dan mendapat kesudahan yang baik.. amiin

Anda Mungkin Juga Meminati

Related Posts with Thumbnails