Monday, April 25, 2011

Buatlah Pilihan - Pilih Satu Antara Dua

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ



Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat  tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

Segala puji juga bagi Allah yang telah memberikan kesempatan bagi diri ini memperlajari sesuatu daripada para penyampai ilmu dan syukur kerana dapat berkongsi serba sedikit di sini.

Di bawah adalah terjemahan bagi ayat-ayat dalam Surah al-Balad (surah ke 90) yang bermaksud negeri. 

Saya paparkan juga terjemahannya di sini walaupun dalam You Tube di atas sudahpun ada terjemahannya untuk memudahkan membacanya.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Aku bersumpah dengan negeri (Mekah) ini; (1) 

Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas), (2) 

Demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya; (3) 

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya); (4) 

Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya dengan kekuasaan yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)? (5) 

Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut dia bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: Aku telah habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa). (6)

Adakah dia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu)? (7) 

(Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) (8) 

Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? (9) 

Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? (10)

Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; (11) 

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (12) 

(Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: Memerdekakan hamba abdi; (13) 

Atau memberi makan pada hari kelaparan. (14) 

Kepada anak yatim dari kaum kerabat, (15)

Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah. (16) 

Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, dia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang. (17) 

(Ketahuilah! Bahawa orang-orang yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga). (18)

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Kami, merekalah golongan pihak kiri. (19) 

Mereka ditimpakan (azab seksa) Neraka yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya). / (20)


Apa yang ingin disampaikan di sini ialah tentang kebebasan memilih. Dan apa diboldkan di atas dalam ayat-ayat itu menjadi fokus utama penulisan.

Mahu atau tidak kita hanya ada dua jalan pilihan. Kita kena pilih SATU sahaja kerana memang itulah jalan yang disediakan oleh Allah SWT buat hamba-hambaNya. Jalan yang membezakan antara manusia yang beriman dan beramal soleh lagi patuh kepada Allah dengan manusia yang kufur serta menentang kekuasaan Allah SWT.
"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata". (Al-Ahzaab [33] : 36)

Dalam surah al-Balad ini dinyatakan ada dua pilihan, kepada dua mata, apabila nampak perkara-perkara yang haram kita boleh pilih sama ada nak kekal melihatnya atupun alihkan pandangan kita. Bila pilih yang haram maka tanggunglah akibat buruknya jika tidak sempat bertaubat. Disebabkan kita boleh membuat pilihan mengapa mesti kita pilih yang memudharatkan kita. Begitu juga dengan lidah, bibir, mestikah kita berbicara perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat bahkan menambahkan dosa kita?  Dalam hal mempunyai harta pula kita boleh pilih untuk tidak bermegah-megah dengan harta kita, lalu kenapa mesti bermegah-megah, apabila kita boleh bersedekah kenapa pula kita tidak mahu bersedekah. Apa yang lebih penting Allah sediakan DUA jalan iaitu kiri atau kanan, kita boleh pilih yang mana SATU kita nak tuju. Syurga atau neraka, yakni beriman dan beramal soleh atau kufur dan menentangNya (semoga dilindungi Allah daripada berbuat demikian).


Allah bagi kita DUA jalan. Kita disuruh berusaha, bila kita berusaha maka Allah akan permudahkan bila tak mahu buatpun Allah permudahkan:


Allah berfirman:
"Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya. Jelasnya: Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya);  Serta dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (Syurga). Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya; ) Serta dia mendustakan perkara yang baik, Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;" (Al-Lail [92 ] : 4 - 10)
"Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu! (As-Saffaat [37] : 96)
Maksudnya bila kita pilih yang baik atau yang tak baik semuanya Allah mempermudahkan.

Di hadapan kita banyak takdir, pilihlah takdir yang baik. Allah akan menolong mempermudahkan segala-galanya. 

Gunakanlah kebebasan memilih yang Allah beri untuk meraih keredhaanNya. Buat baik Allah redha buat jahat Allah tak redha.

Abu Laits telah menegaskan, bahawa seseorang dinyatakan takut kepada Allah SWT dapat dilihat melalui tanda-tandanya dalam tujuh perkara seperti berikut:
  • Orang yang memiliki lidah yang selalu menjadikannya sibuk berzikir atau bertasbih kepada Allah serta membaca Al-Quran dan mempelajari ilmu agama.
  • Orang yang memiliki hati yang selalu mengeluarkan dari dalam hatinya perasaan tidak bermusuhan, tidak ada iri, hasad dan dengki dan lain seumpamanya.
  • Orang yang mempunyai penglihatannya yang tidak akan memandang kepada hal-hal yang haram, tidakmemandang dunia dengan keinginan hawa nafsu, tetapi  memandanginya dengan mengambil i’tibar serta pelajaran. Rasulullah SAW bersabda; “Barang siapa memenuhi matanya dengan hal-hal yang haram, Allah SWT akan memenuhi matanya pada hari kiamat kelak dengan api neraka”.
  • Orang yang perutnya, tidak dimasukkan makanan yang haram ke dalamnya, sebab itu adalah perbuatan dosa. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : “Ketika sesuap haram masuk dalam perut anak cucu Adam, semua malaikat di bumi dan di langit membenci dan melaknat kepadanya, selama suapan itu masih berada dalam perutnya dan kalau ia mati dalam keadaan seperti itu, maka tempatnya adalah jahannam".
  • Orang yang memiliki tangan yang dengannya, dia tidak memanjangkan ke arah perkara-perkara yang haram, tetapi memanjangkannya untuk memenuhi ketaatan.
  • Orang yang memiliki telapak kaki yang kakinya  tidak digunakan untuk berjalan kepadaperkara-perkara yang haram atau ke dalam kemaksiatan, sebaliknya dia berjalan di jalan Allah SWT dengan bersahabat atau berteman dengan orang-orang yang saleh.
  • Ketaatannya, dia menjadikan ketaatannya itu murni dan ikhlas kerana Allah SWT.
Perkara yang disebutkan di atas, memang tidak mudah untuk dilaksanakan, tetapi bagi orang-orang yang benar-benar mengharapkan kebahagiaan yang abadi di akhirat kelak, beban berat yang mesti dilaksanakan itu bukan lagi menjadi persoalan, meskipun ia harus merangkak sedikit demi sedikit. Untuk menanamkan rasa takut kepada Allah SWT hingga mendarah daging dan tertanam atau terpateri di dalam hati, harus terlebih dahulu membiasakan diri dengan memenuhi perintah Allah SWT. Perlukan usaha yang gigih serta istiqamah. 

Pilihan di tangan kita nak yang mana satu.. Allah akan menolong kita insyaAllah. Mudah2an memberi manfaat. Apa yang baik daripada Allah yang tak baik daripada kelemahan diri ini.

Thursday, April 21, 2011

Empat Sifat Penghuni Syurga

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang Allah sesatkan tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

Artikel di bawah ini saya copy n paste daripada www.rumaysho.com  Semoga kita semua mendapat manfaat daripadanya.

**********************************************

Setiap muslim sangat menginginkan kebahagiaan abadi di syurga kelak. Kenikmatannya tiada terkira. Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, 

قَالَ اللَّهُ أَعْدَدْتُ لِعِبَادِى الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنَ رَأَتْ ، وَلاَ أُذُنَ سَمِعَتْ ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ ، فَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ ( فَلاَ تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِىَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ )

“Allah berfirman: Aku sediakan bagi hamba-hamba-Ku yang sholeh syurga yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terbetik dalam hati manusia.” Bacalah firman Allah Ta’ala, 

“Tak seorang pun mengetahui pelbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka, atas apa yang mereka kerjakan.” (QS. As Sajdah: 17) (HR. Bukhari no. 3244 dan Muslim no. 2824)

Ada pelajaran penting daripada surat Qaaf (surat yang biasa dibaca Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam saat khutbah Jum’at[1]) mengenai sifat-sifat penduduk syurga. 

Ada 4 sifat penduduk syurga yang disebutkan dalam surat tersebut sebagai berikut, 

وَأُزْلِفَتِ الْجَنَّةُ لِلْمُتَّقِينَ غَيْرَ بَعِيدٍ (31) هَذَا مَا تُوعَدُونَ لِكُلِّ أَوَّابٍ حَفِيظٍ (32) مَنْ خَشِيَ الرَّحْمَنَ بِالْغَيْبِ وَجَاءَ بِقَلْبٍ مُنِيبٍ (33) ادْخُلُوهَا بِسَلَامٍ ذَلِكَ يَوْمُ الْخُلُودِ (34) لَهُمْ مَا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ (35)

“Dan didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka). Inilah yang dijanjikan kepadamu, (iaitu) kepada setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya). (iaitu) orang yang takut kepada Rabb yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat, masukilah syurga itu dengan aman, Itulah hari kekekalan. Mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi Kami ada tambahannya.” (QS. Qaaf: 31-35)

Ada empat sifat yang disebutkan dalam ayat yang mulia ini, iaitu: 

(1) awwab (hamba yang kembali pada Allah), 
(2) hafiizh (selalu memelihara aturan Allah), 
(3) takut pada Allah, dan 
(4) datang dengan hati yang muniib (bertaubat).

Sifat Pertama: Awwab

Yang dimaksudkan dengan awwab adalah kembali pada Allah daripada maksiat kepada ketaatan pada-Nya, daripada hati yang lalai mengingat-Nya kembali kepada hati yang selalu mengingat-Nya.

‘Ubaid bin ‘Umair rahimahullah mengatakan, “Awwab adalah ia mengingat akan dosa yang ia lakukan kemudian ia memohon ampun pada Allah atas dosa tersebut.”

Sa’id bin Al Musayyib[2] rahimahullah berkata, “Yang dimaksud awwab adalah orang yang berbuat dosa lalu ia bertaubat, kemudian ia terjerumus lagi dalam dosa, lalu ia bertaubat.”

Sifat Kedua: Hafiizh

Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma mengatakan, “Ia menjaga amanat yang Allah janjikan untuknya dan ia pun menjalankannya.”

Qotadah rahimahullah mengatakan, “Ia menjaga kewajiban dan nikmat yang Allah janjikan untuknya.”

Ibnul Qayyim rahimahullah menjelaskan, “Perlu diketahui nafsu itu ada dua kekuatan iaitu kekuatan offensive (menyerang) dan kekuatan defensive (bertahan). Yang dimaksud dengan awwab adalah kuatnya offensive dengan kembali pada Allah, mengharapkan ridha-Nya dan taat pada-Nya. Sedangkan hafiizh adalah kuatnya defensive iaitu menahan diri daripada maksiat dan hal yang terlarang. Jadi hafiizh adalah menahan diri daripada larangan Allah, sedangkan awwab adalah menghadap kepada Allah dengan melakukan ketaatan pada-Nya.”

Sifat Ketiga: Takut pada Allah

Dalam firman Allah (yang artinya), “Orang yang takut kepada Rabb yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya)”, terkandung makna pengakuan akan adanya Allah, akan rububiyah-Nya, akan ketentuan-Nya, akan ilmu dan pengetahuan Allah yang mendetail pada setiap keadaan hamba. Juga di dalamnya terkandung keimanan pada kitab, rasul, perintah dan larangan Allah. Begitu pula di dalamnya terkandung keimanan pada janji baik Allah, ancaman-Nya, dan perjumpaan dengan-Nya. Begitu pula di dalamnya terkandung keimanan pada janji baik Allah, ancaman-Nya, dan perjumpaan dengan-Nya. 

Seseorang dikatakan takut pada Allah (Ar Rahman) haruslah dengan memenuhi hal-hal yang telah disebutkan tadi.

Sifat Keempat: Datang dengan hati yang muniib

Yang dimaksudkan dengan datang dengan hati yang muniib dijelaskan oleh Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, “Kembali (dengan bertaubat) dari bermaksiat pada Allah, melakukan ketaatan, mencintai ketataan tersebut dan menerimanya.”

Intinya yang dimaksud dengan sifat penghuni surga yang keempat adalah kembali kepada Allah dengan hati yang selamat, bertaubat pada-Nya, dan tunduk pada-Nya.

Semoga dengan mengetahui empat sifat penghuni surga ini membuat kita semakin dekat pada Allah, bertaubat, menjauhi maksiat dan kembali taat pada-Nya. Sehingga kita dapat berjumpa dengan Allah dengan hati yang selamat. Aamiin Yaa Mujibas Saailin.

-Alhamdulillahilladzi bi ni’matihi tatimmush sholihaat-

References:
Fawaidul Fawaid, Ibnul Qayyim, hal. 142-143, terbitan Dar Ibnul Jauzi.
Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, Ibnu Katsir, 13/197, terbitan Muassasah Qurthubah.

Panggang-Gunung Kidul, 15 Jumada Al Awwal 1432 H (18/04/2011)


[1] Dari puteri Haritshah bin Nu’man, ia berkata,

عَنْ بِنْتٍ لِحَارِثَةَ بْنِ النُّعْمَانِ قَالَتْ مَا حَفِظْتُ (ق) إِلاَّ مِنْ فِى رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَخْطُبُ بِهَا كُلَّ جُمُعَةٍ.

“Aku tidaklah menghafal surat Qaaf selain dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam saat beliau khutbah setiap Jum’at.” (HR. Muslim no. 873).

[2] Syaikhuna, Syaikh Hammad Al Hammad hafizhohullah dalam durus (pelajaran Kitab Tauhid) menyebutkan bahwa cara baca yang tepat adalah Sa’id bin Al Musayyib, nama lengkap beliau Sa’id bin Al Musayyib bin Hazn Al Mahzumi Al Qurasyi. Beliau adalah seorang tabi’in. Sedangkan Al Musayyab, nama lengkapnya adalah Al Musayyab bin Waadhih, meriwayatkan hadits dari ‘Abdullah bin Al Mubarok. Para ulama menilai Al Musayyab dengan “shoduuq, yukhti’ katsiroh” (jujur namun seringkali buat kesalahan).

Friday, April 15, 2011

Yang Nampak dan Yang Tersembunyi

 Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang Allah sesatkan tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

Ditulis di sini ialah tentang "Yang Nampak dan Yang Tersembunyi" satu tajuk daripada sebuah buku yang telah lama tersimpan. Ada juga kaitan dengan jin  iaitu makhluk yang tercipta lebih dahulu daripada manusia, dan ini mungkin boleh menambah pengetahuan kita tentang kata atau KALIMAT yang berkaitan dengan jin yang terambil daripada huruf JIM  جِ dan NUN نَّ.

Pertama: Jinn adalah jenis kata nama, bentuk tunggalnya adalah jiniy yang maksudnya "yang tersembunyi" atau "yang tertutup" atau "yang tak terlihat" atau yang tak ternampak".

Ini mungkin boleh dikaitkan dengan sifat yang umum yang selalu kita sebut sebagai "alam tersembunyi". Akidah Islam memaksudkannya dengan perkara-perkara ghaib dan jinn ini adalah makhluk yang berakal, berkehendak, sedar dan berupaya, serta mempunyai tanggugjawab 'taklif' (iaitu tidak dijadikan manusia dan jin semata-mata untuk beribadah/menyembah Allah SWT) sama seperti manusia, berjasad halus dan hidup bersama-sama dengan kita manusia berkongsi planet bumi ini.

Kedua: Daripada segi asal usulnya; kata nama (jinn) ini adalah dipercayai daripada bahasa 'Arab kerana bahasa 'Arab dipercayai bahasa tertua. Daripada segi bahasa pula al-Jinn (jin) adalah lawan bagi kata al-Ins (manusia) sebab selalunya kalimat-kalimat ini digandingkan dalam ayat-ayat yang pernah kita ketemui dalam al-Quran., contoh dalam surah an-Naas مِنَ الْجِنَّةِ وَ النَّاسِ

Ketiga: Kosa kata dalam bahasa 'Arab ini terdiri daripada huruf JIM  جِ dan NUN  نَّ dengan pelbagai bentuk kata nama yang bermaksud benda atau makhluk yang tersembunyi.

Di bawah ini beberapa contoh penggunaan kata yang terbentuk daripada huruf JIM  جِ dan NUN  نَّ.

Dalam ayat-ayat al-Quran:

1)  Al-janin (janin) disebut demikian kerana tersembunyinya dalam perut ibunya.

وَإِذۡ أَنتُمۡ أَجِنَّةٌ۬ فِى بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمۡ‌ۖ 

.. dan semasa kamu berupa anak yang sedang (masih tersembunyi - ajinnat) melalui pelbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu.  (An-Najm 53:32)

2) Jannat al-Layl, ertinya ketersembunyian disebabkan kegelapan malam seperti firman Allah dalam:

فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَى كَوْكَباً قَالَ هَـذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لا أُحِبُّ الآفِلِينَ

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap (janna), ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang". (Al-An'aam 6:76)

3) Dalam surah Saba' ayat di bawah:

Ada kata-kata yang diungkapkan dalam bahasa 'Arab "Janna ar-rajulu jununan, wa ajannahullahu, fahuwa majnun" - (dirumikan oleh penulis kerana tak ada perisian dalam huruf jawi) , ertinya "jika seseorang telah kehilangan akalnya dan 'tertutuplah' kesedarannya, maka dengan itu hilanglah kewajipan daripadanya akibat tidak berakal (gila; ingat cerita Laila dan Majnun; majnun pun daripada huruf JIM dan NUN), tentang pengertian yang seperti ini Allah berfirman :


أَفْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِباً أَم بِهِ جِنَّةٌ

"Adakah ia berdusta terhadap Allah, atau ia kena penyakit gila?"  (Saba' 34:8)
Dalam Hadis:

1)  "Puasa itu junnah (perisai)" juga termasuk dalam kategori ini; 'junnah' di sini perisai, diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam sahihnya.

Dalam penjelasan 'Utsman ibn Abi Al-'Ash terhadap kata junnah dalam hadis di atas; junnah itu perisai seperti junnah (perisai) dalam peperangan. Junnah yang demikian bererti pelindung atau penutup.

Penulis kitab an-Nihayah mengatakan bahawa makna puasa itu junnah ialah kerana puasa itu melindungi pelakunya daripada berbuat maksiat atau diserang syahwat.

Al-Qurtubi mengatakan junnah bererti pembatas, yakni berkaitan dengan syari'at iaitu apabila orang berpuasa dia mestilah melindungi dirinya daripada segala sesuatu yang boleh merosakkan puasanya atau menghilangkan pahalanya. 

Ibn 'Arabi pula mengatakan "sesungguhnya puasa itu adalah junnah (pelindung) daripada api neraka, kerana puasa mencegah syahwat, sedangkan neraka dipermudahkan kepadanya melalui jalan syahwat. Justeru jika seseorang berpuasa menahan diri daripada menuruti nafsu syahwat maka dia terlindung daripada api neraka.

Orang 'Arab menyebut perisai yang dengannya seorang tentera melindungi dirinya dalam peperangan dengan al-mijann. Ini kerana tentera tersebut menutupi dirinya dengan perisai daripada terkena lontaran panah atau libasan pedang. Oleh itu segala sesuatu yang kita gunakan sebagai pelindung daripada segala keburukan itu ialah junnah.

Selain perisai dan yang tersembunyi; Syurga yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang bertakwa juga disebut jannah kerana banyaknya pohon di sana yang saling menutupi (menaungi) satu sama lain. Ini kita ketemui dalam al-Quran jannatul Firdaus, jannatul-Ma'wa dan jannatul-na'im.

Hati kita juga disebut al-janan kerana hati merupakan sesuatu yang tertutup oleh dada. Ada pula yang mengatakan bahawa ia disebut sedemikian, kerana fikiran dan lintasan hati yang dimiliki tertutup dan tidak terlihat.

Segala sesuatu yang tidak kelihatan oleh pandangan mata atau tersembunyi disebut sebagai janan. Sebab itulah juga kuburan disebut junan, kerana ia menutupi orang yang dikebumikan di dalamnya.

Di dalam kamus-kamus bahasa Arab pada huruf JIM dan NUN semuanya memberikan maksud atau pengertian 'yang tersembunyi' dan 'tertutup'.

Kata jiniy yang diucapkan oleh orang-orang 'Arab dahulu digunakan dalam al-Quran adalah makhluk yang berakal yang tidak terlihat oleh mata, mereka hidup bersama kita. Bahasa-bahasa Eropah mengambilnya daripada bahasa 'Arab lalu melafazkan dengan genie dalam bahasa Inggeris, walaupun kamus-kamus mereka memberikan maksud sebagai 'roh syaitan'. Namun dalam filem-filem moden istilah genie ini , mereka mksudkan sebagai makhluk berakal khususnya yang berbuat baik atau membantu manusia membuat kebaikan.

Kesimpulannya: 

Penggunaan kata yang terbentuk daripada huruf JIM  جِ dan NUN نَّ  ialah segala sesuatu yang tidak kelihatan oleh pandangan mata iaitu tersembunyi. Dengan sebab itulah kita tidak boleh melihat jin.
     
Allahua'lam.

Saturday, April 9, 2011

U-TURN KE JALAN LURUS

Bismillahirrahmanirrahim

Segala puji bagi Allah. Kita memuji, meminta pertolongan dan memohon keampunan daripadaNya. Kita juga memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan kejelekan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang tersesat tiada siapa yang dapat memberinya petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi kita Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat.

Hari ini saya sambung penulisan yang tertunda, alhamdulillah kerana diberikan kekuatan, syukur dalam setiap keadaan.

Dahulunya saya menyepi kerana pelbagai perkara. Dalam keadaan demikian saya dapat membaca beberapa buah buku yang sudah lama dibeli serta menyambung mendengar CD-CD yang belum lagi didengar.

Salah satu bukunya ialah:



Buku ini mempunyai banyak pengajaran bagi kita yang agak tersasar daripada jalan yang lurus agar cepat-cepat membuat pusingan U. Penulisannya dimulakan dengan kisah-kisah yang mudah difahami dan dihadam, kemudian diikuti dengan hadis Qudsi. Memang menarik.

Buku ini mencungkil rahsia di sebalik kitab himpunan Hadis Qudsi karangan al-Imam al-Ghazali rhm, 'al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah'. Buku ‘U-TURN KE JALAN LURUS’ ini menterjemahkan mutiara peninggalan Rasulullah SAW dengan mengaitkan kisah-kisah yang boleh dijadikan wake-up call kepada kita yang kadang-kala alpa tentang agama. Kealpaan yang mengheret kita ke jalan yang ‘mungkin’ lurus tetapi sebenarnya tidak betul! Setelah membacanya, sebahagian besar pengajaran dan tauladan yang dimasukkan benar-benar menginsafkan diri ini. Kadang-kala perkara yang sering berlaku di persekitaran kita, sebenarnya mempunyai seribu satu pengajaran (hikmah) bagi mereka yang benar-benar berfikir. 

Dalam pengajian tadabbur Ustaz Kariman juga mengingatkan kita bahawa jalan lurus (As-Siraat al-Mustaqim) itu ialah jalan yang besar, lurus dan dapat menampung pelbagai kenderaan. Inilah jalan yang lurus menuju kepada Allah SWT. Jalan itu amat dekat, kenapa? Sebabnya jalan tu besar dan lurus cuba kalau besar tapi bengkang bengkok tentu jadi jauh. Jika lurus tapi sempitpun susah juga. Ini juga nak menyatakan bahawa jalan menuju Allah SWT itu sebenarnya sangat mudah. Ini kerana fitrah manusia ialah mudah untuk melakukan perkara yang baik daripada melakukan perkara yang tak baik. As-Siraat al-mustaqim yang kita pohon setiap kali kita mendirikan solat (Ihninaassiratalmustaqim) itu ialah jalan menuju Allah semasa kita masih berada di atas dunia ini menjalani kehidupan yang bermatlamat hanya SATU; mengabdikan diri  hanya kepada Allah (lilllahi ta'ala) dan akhirnya akan diterima menemuiNya dengan membawa HATI YANG SEJAHTERA.

 

Andai kita bermula dari jalan-jalan kecil menuju jalan yang satu itu iaitu jalan yang lurus dan lebar, kita bertemu round about lalu kita berpusing-pusing di sana berkali-kali pasti kita dikatakan sesat. Begitupun bila kita dah sesat mulalah balik ke pangkal jalan dan bermula lagi di sana.  Tapi AWAS! Janganlah kita sentiasa tersesat. Amat rugi jika tidak berpatah balik hingga sesat sampai ke hujung biarpun kita sedar kita tersesat. Jadi buatlah U-TURN KE JALAN LURUS. InsyaAllah selamat. 

Antara kisah yang ditulis dalam buku ‘U-TURN KE JALAN LURUS’ ini ialah kisah anak ikan yang degil akan pesanan ibunya supaya jangan makan cacing yang dilihat oleh anak-anak ikan, kerana kata ibu ikan, di dalam cacing itu ada keluli yang akan mencangkukkan mulut jika dimakan, seterusnaya akan diseret naik ke darat oleh pengail, kemudian akan disiang sirip dan sisip, dikeluarkan insang dan dibelah perut untuk dikeluarkan isi perut dan akhirnya yang paling menakutkan ialah dilemparkan ke dalam kuali yang berisi  minyak panas. Ada di kalangan anak-anak ikan itu tidak mempedulikan nasihat ibunya. Bila keesokan harinya anak ikan ternampak cacing yang menggeliat di hadapannya diapun menyambar, dengan mengingkari nasihat ibunya, ikan itupun diseret naik sebaik sahaja menelan cacing yang menggiurkan itu.

Begitulah kisah itu dikaitkan dengan kita yang lalai walaupun diberi peringatan berkali-kali, bahawa nafsu syahwat akan membawa kepada kebinasaan, namun ramai yang menjadikan nafsu syahwat sebagai Tuhan.

Sekian dulu untuk kali ini, mudah-mudahan memberi manfaat. Mudah-mudahan kita sentiasa berusaha untuk sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Buatlah pusingan U jika kita tersasar ataupun kita berpusing-pusing di round about. Ya Allah! tunjukilah kami jalan yang lurus.. amiin