Saturday, May 5, 2012

Neraka Saqar pembakar kulit manusia



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Segala puji bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat serta salam buat junjungan mulai Nabi Muhammad, keluarga, para sahabat dan pengikut yang setia hingga ke hari kiamat.

Apa yang saya publish di sini ialah hasil pembacaan sebahagian tafsir Surah Al-Muddaththir oleh Dr ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI. Saya salin dan tambah ayat-ayat al-Quran. Semoga menambah bahan bacaan kita dan dengan itu kita sentiasa berasa gerun dengan api neraka dan seterusnya berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT untuk ke Syurga dan dijauhkan daripada Neraka. Allahumma Amiin.

Allah berfirman:
A026
(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar. (Al-Muddaththir 74:26

A027
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? (Al-Muddaththir 74:27

A028
Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus) (Al-Muddaththir 74:28)
A029

Ia terus-menerus membakar kulit manusia! (Al-Muddaththir 74:29)

A030
Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat). (Al-Muddaththir 74:30)


A031
Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (daripada kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) menjadi yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya (orang-orang munafik) dan orang-orang kafir berkata: "Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka (saqar) itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia. (Al-Muddaththir 74:31)

Nota
Yang dihighlightkan dengan warna biru dalam ayat di atas itu ada penerangannya tersendiri. Harap baca di link yang tersenarai di bawah: 



SYED Qutub berkata: "Orang mukmin menerima penjelasan mengenai bilangan pengawal neraka Allah dengan penuh yakin tanpa mempertikaikannya. Tetapi orang musyrikin menerima penjelasan bilangan pengawal tersebut dengan hati yang sunyi daripada iman, sunyi daripada rasa hormat kepada Allah dan sunyi daripada sikap yang serius dalam menerima penjelasan mengenai perkara yang besar ini."

Mereka mempermainkan dan mengejek dan berkata: "Tidakkah setiap 10 orang daripada kamu sanggup membunuh seorang pengawal daripada 19 pengawal neraka itu? Ada pula yang berkata: Kamu boleh membunuh dua orang daripada pengawal itu dan bakinya serahkan kepadaku untuk menguruskannya. Mereka menerima perkara yang amat besar ini dengan jiwa dan hati yang tertutup."


Ibnu Kathir berkata: "Iaitu malaikat Zabaniah yang tampak bengis lagi kasar. Ini kerana Abu Jahal pernah berkata: Hai orang Quraisy! Tidak mampukah kamu 10 orang di kalangan kamu melawan satu malaikat?"

Ada pendapat menyatakan yang berkata itu adalah Kildah bin Khalaf.

Al-Maraghi berkata: "Penjaga neraka adalah malaikat kerana malaikat adalah makhluk terkuat dan terhebat serta makhluk yang amat patuh dalam menunaikan hak Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan penjaga Neraka Jahannam itu dalam bilangan sebanyak itu, adalah untuk menimbulkan keyakinan kepada orang Yahudi dan Nasrani terhadap kenabian Muhammad SAW. Ini disebabkan persamaan yang terdapat di antara al-Quran dengan kitab-kitab mereka."

Sesungguhnya penjaga neraka itu walaupun bilangan hanya 19 malaikat, tetapi mereka ini mempunyai pembantu-pembantu yang tidak diketahui jumlahnya kecuali Allah SWT yang mengetahuinya dan neraka Saqar yang digambarkan oleh Allah SWT hanyalah sebagai peringatan kepada manusia.

A032
Sebenarnya! Demi bulan, (Al-Muddaththir 74:32)

A033
Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri, (Al-Muddaththir 74:33)

A034
Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang, (Al-Muddaththir 74:34)

A035
Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar, (Al-Muddaththir 74:35)

A036
Yang menjadi amaran bagi umat manusia, (Al-Muddaththir 74:36)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu sangat besar neraka Saqar tersebut seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas dan ramai ulama salaf."


Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan bulan yang bersinar, malam yang bertukar ganti dan Subuh yang terang bahawa neraka Jahannam itu adalah salah satu bencana dan bahaya besar sebagai peringatan kepada manusia."

Syed Qutub berkata: "Jarang hati manusia yang segar kerana melihat bulan yang sedang naik atau sedang turun, menghilang kemudian tidak teringat kepada rahsia alam yang dibisikkan oleh bulan. Kadang-kadang berdiri di bawah cahaya bulan boleh menyucikan hati seseorang."

Jarang hati manusia segar melihat malam berlalu dalam saat yang tenang menjelang naiknya matahari dan ketika alam mula sedar dan membuka matanya kemudian tidak terlekat kesan pemandangan dalam hatinya serta tidak berdenyut dalam lubuk jiwanya.

Jarang hati manusia segar kerana melihat waktu pagi yang terserlah dengan sinarnya yang terang kemudian tiada perasaan gembira dan riang menghasilkan fikiran terbuka dan perasaan yang berubah untuk bersedia menerima hidayah yang memancar dalam hati nurani bersama cahaya pagi.

Allah telah menciptakan hati manusia itu tahu pemandangan alam kadang-kadang boleh membawa kepada perubahan yang menakjubkan dengan penghasilan insan yang baru.

Terserlahnya pancaran dan sambutan yang wujud pada bulan, malam dan waktu pagi, terdapat hakikat besar yang menarik yang dijadikan objek oleh al-Quran supaya difikir oleh akal. Ia juga terdapat bukti yang menunjukkan kudrat Allah SWT yang amat kreatif dan pentadbiran-Nya yang bijaksana dalam mengaturkan alam buana dengan cara yang begitu rapi dan halus yang mengkagumkan akal kita.

Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk daripada-Nya dan seterusnya melayakkan kita mencapai mardhatillah yang dapat menghuni syurga-Nya.

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Tazkirah yg menginsafkan diri Kak Werdah. Kakak baca ni terasa diri ini bantyak yg perlu diperbaiki - bayangkan dibakar tapi tak habis-habis... aduh. Moga peringatan ini menguatkan keimanan dan ketaqwaan kita terhadapNya...

Werdah said...

Salam kakZakie

Benar kakZakie, sebenarnya kita tak ada alasan lagi kan nak berhujah nanti sebab kita dah banyak didedahkan dengan gambaran-gambaran yang menakutkan tentang siksa neraka.

Kak Werdah pun amat takut lebih-lebih lagi "Nota Untuk Diri" ini memang dikhususkan untuk menulis tentang suasana alam akhirat..

Semoga kita sentiasa berwaspada ya..