Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Segala puji bagi Allah pentadbir sekalian alam, selawat serta salam buat junjungan mulai Nabi Muhammad, keluarga, para sahabat dan pengikut yang setia hingga ke hari kiamat.
Apa yang saya publish di sini ialah hasil pembacaan sebahagian tafsir Surah Al-Muddaththir oleh Dr ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI. Saya salin dan tambah ayat-ayat al-Quran. Semoga menambah bahan bacaan kita dan dengan itu kita sentiasa berasa gerun dengan api neraka dan seterusnya berusaha untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT untuk ke Syurga dan dijauhkan daripada Neraka. Allahumma Amiin.
Allah berfirman:
(Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar. (Al-Muddaththir 74:26)
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? (Al-Muddaththir 74:27
Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus) (Al-Muddaththir 74:28)
Ia terus-menerus membakar kulit manusia! (Al-Muddaththir 74:29)
Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas (malaikat). (Al-Muddaththir 74:30)
Dan (ketahuilah bahawa hikmat) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (daripada kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmat) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) menjadi yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya; dan juga supaya orang-orang yang diberi Kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan (sebaliknya) supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya (orang-orang munafik) dan orang-orang kafir berkata: "Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?" Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka (saqar) itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia. (Al-Muddaththir 74:31)
Nota :
Yang dihighlightkan dengan warna biru dalam ayat di atas itu ada penerangannya tersendiri. Harap baca di link yang tersenarai di bawah:
SYED Qutub berkata: "Orang mukmin
menerima penjelasan mengenai bilangan pengawal neraka Allah dengan penuh yakin
tanpa mempertikaikannya. Tetapi orang musyrikin menerima penjelasan bilangan
pengawal tersebut dengan hati yang sunyi daripada iman, sunyi daripada rasa
hormat kepada Allah dan sunyi daripada sikap yang serius dalam menerima
penjelasan mengenai perkara yang besar ini."
Mereka mempermainkan dan mengejek dan
berkata: "Tidakkah setiap 10 orang daripada kamu sanggup membunuh seorang
pengawal daripada 19 pengawal neraka itu? Ada pula yang berkata: Kamu boleh
membunuh dua orang daripada pengawal itu dan bakinya serahkan kepadaku untuk
menguruskannya. Mereka menerima perkara yang amat besar ini dengan jiwa dan
hati yang tertutup."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu malaikat
Zabaniah yang tampak bengis lagi kasar. Ini kerana Abu Jahal pernah berkata:
Hai orang Quraisy! Tidak mampukah kamu 10 orang di kalangan kamu melawan satu
malaikat?"
Ada pendapat menyatakan yang berkata itu
adalah Kildah bin Khalaf.
Al-Maraghi berkata: "Penjaga neraka
adalah malaikat kerana malaikat adalah makhluk terkuat dan terhebat serta
makhluk yang amat patuh dalam menunaikan hak Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menjadikan
penjaga Neraka Jahannam itu dalam bilangan sebanyak itu, adalah untuk
menimbulkan keyakinan kepada orang Yahudi dan Nasrani terhadap kenabian
Muhammad SAW. Ini disebabkan persamaan yang terdapat di antara al-Quran dengan
kitab-kitab mereka."
Sesungguhnya penjaga neraka itu walaupun
bilangan hanya 19 malaikat, tetapi mereka ini mempunyai pembantu-pembantu yang
tidak diketahui jumlahnya kecuali Allah SWT yang mengetahuinya dan neraka Saqar
yang digambarkan oleh Allah SWT hanyalah sebagai peringatan kepada manusia.
Sebenarnya! Demi bulan, (Al-Muddaththir 74:32)
Dan malam apabila ia balik melenyapkan diri, (Al-Muddaththir 74:33)
Dan waktu subuh apabila ia terang-benderang, (Al-Muddaththir 74:34)
Sesungguhnya neraka Saqar itu adalah salah satu (malapetaka) yang amat besar, (Al-Muddaththir 74:35)
Yang menjadi amaran bagi umat manusia, (Al-Muddaththir 74:36)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu sangat
besar neraka Saqar tersebut seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas dan ramai
ulama salaf."
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT
bersumpah dengan bulan yang bersinar, malam yang bertukar ganti dan Subuh yang
terang bahawa neraka Jahannam itu adalah salah satu bencana dan bahaya besar
sebagai peringatan kepada manusia."
Syed Qutub berkata: "Jarang hati
manusia yang segar kerana melihat bulan yang sedang naik atau sedang turun,
menghilang kemudian tidak teringat kepada rahsia alam yang dibisikkan oleh
bulan. Kadang-kadang berdiri di bawah cahaya bulan boleh menyucikan hati
seseorang."
Jarang hati manusia segar melihat malam
berlalu dalam saat yang tenang menjelang naiknya matahari dan ketika alam mula
sedar dan membuka matanya kemudian tidak terlekat kesan pemandangan dalam
hatinya serta tidak berdenyut dalam lubuk jiwanya.
Jarang hati manusia segar kerana melihat
waktu pagi yang terserlah dengan sinarnya yang terang kemudian tiada perasaan
gembira dan riang menghasilkan fikiran terbuka dan perasaan yang berubah untuk
bersedia menerima hidayah yang memancar dalam hati nurani bersama cahaya pagi.
Allah telah menciptakan hati manusia itu
tahu pemandangan alam kadang-kadang boleh membawa kepada perubahan yang
menakjubkan dengan penghasilan insan yang baru.
Terserlahnya pancaran dan sambutan yang
wujud pada bulan, malam dan waktu pagi, terdapat hakikat besar yang menarik
yang dijadikan objek oleh al-Quran supaya difikir oleh akal. Ia juga terdapat
bukti yang menunjukkan kudrat Allah SWT yang amat kreatif dan pentadbiran-Nya
yang bijaksana dalam mengaturkan alam buana dengan cara yang begitu rapi dan
halus yang mengkagumkan akal kita.
Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk
daripada-Nya dan seterusnya melayakkan kita mencapai mardhatillah yang
dapat menghuni syurga-Nya.
Sumber: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
2 comments:
Tazkirah yg menginsafkan diri Kak Werdah. Kakak baca ni terasa diri ini bantyak yg perlu diperbaiki - bayangkan dibakar tapi tak habis-habis... aduh. Moga peringatan ini menguatkan keimanan dan ketaqwaan kita terhadapNya...
Salam kakZakie
Benar kakZakie, sebenarnya kita tak ada alasan lagi kan nak berhujah nanti sebab kita dah banyak didedahkan dengan gambaran-gambaran yang menakutkan tentang siksa neraka.
Kak Werdah pun amat takut lebih-lebih lagi "Nota Untuk Diri" ini memang dikhususkan untuk menulis tentang suasana alam akhirat..
Semoga kita sentiasa berwaspada ya..
Post a Comment