Thursday, April 1, 2010

Suasana Alam Akhirat (49)- Surah Al-Mutaffifiin) Sambungan

16 Rabiu'l Akhir 1431.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini sambung tulis tentang suasana hari akhirat yang digambarkan dalam surah 83 yakni al-Muthaffifin (orang-orang yang curang/menipu dalam timbangan dan sukatan) mulai ayat 22 hingga 28.

Allah telah menciptakan syurga dan menghiaskannya untuk hambaNya yang berusaha mendapatkannya. Iaitu untuk hamba-hambaNya yang berusaha keras dan serius serta istiqamah untuk mendapatkan keredhaanNya sepanjang hidup mereka. Allah menerangakn dalam pelbagai ayat tentang keindahan syurga. Antaranya boleh rujuk dalam ayat 71 surah az-Zukhruf "Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala daripada emas dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata dan (dikatakan kepada mereka): Kamu adalah tetap kekal di dalamnya", dan banyak lagi.

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat: (22) Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ). (23)

Keindahan dan kegemilangan di syurga tidak dapat dibayangkan, namun al-Quran banyak membayangkan akan kenikmatan syurga. Terdapat mahligai, singgahsana yang bertatahkan batu permata yang disediakan kepada orang-orang yang beriman dan taat dalam menjalankan ibadat kepada Allah swt. Orang-orang yang berbakti (Abrar) dengan melakukan taat kepada suruhan dan tegahan Allah akan mendapat kenikmatan yang abadi. Yang dimaksudkan pelamin, menurut tafsir Ibnu Katsir ialah tempat tidur yang berhias dengan segala keindahan. Orang-orang ini akan duduk atau baring bertelekan (pandang-memandang) antara satu sama lain sambil menikmati keindahan syurga.

Engkau dapat melihat pada muka mereka: Cahaya nikmat yang mereka perolehi. (24) Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeteri (tertutup rapat) bekasnya, (25) Penutupnya adalah kasturi; dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; (26) Dan campuran minuman itu adalah dari "Tasnim": (27) Iaitu mata air yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang di dampingkan (Tuhan di sisiNya). (28)

Jika kamu melihat wajah mereka, nescaya kamu dapati mereka hidup dalam kenikmatan berupa kemewahan, kemuliaan dan kebahagiaan, kehormatan yang padanya benar-benar kenikmatan yang luar biasa. Mereka diberi minum daripada arak syurga yang namanya Ar-Rahiq. Airnya bersih tidak pernah tercemar oleh mana-mana tangan kerana penutupnya termetri (tertutup rapat), tidak boleh dibuka kecuali oleh orang-orang yang "Abrar". Penutupnya pula daripada jenis bau-bauan kasturi. Ini bererti semasa botol arak tersebut dibuka untuk dihidangkan semerbaklah keharumannya. Oleh sebab seronoknya keadaan itu maka berlumba-lumbalah orang-orang "Abrar" itu mendapatkannya. Pati arak ini bercampur dengan "Tasnim"; iaitu mata air syurga yang bermutu tinggi, merupakan minuman yang paling mulia dan paling tinggai kepada penghuni syurga bertaraf muqarrabun yakni orang-orang yang didekatkan kepada Alah.

Ada lagi sambungan.. insyaAllah sambung lagi bagi ayat 29 hingga akhir surah. Mudah2an memberi manfaat.

No comments: