Saturday, September 4, 2010

Demi langit dan "At-Taariq"

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.



At-Taariq

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Demi langit dan "At-Taariq"; (1)

Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia "At-Taariq" itu? (2)

(At-Taariq) ialah bintang yang menembusi (sinaran cahayanya); (3)

Tiada sesuatu diri juapun melainkan ada malaikat yang menjaga (keadaannya serta menyimpan catatan mengenai segala bawaannya). (4)

(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: Dari apa dia diciptakan. (5)

Dia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim); (6)

Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan. (7)

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa untuk mengembalikannya (hidup semula sesudah mati), (8)

Pada hari didedahkan segala yang terpendam di hati (dari iktiqad, niat dan lain-lainnya), (9)

Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri) dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan). (10)

Demi langit yang berulang-ulang mencurahkan hujan, (11)

Dan bumi yang merekah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan, (12)

Sesungguhnya keterangan Al-Quran adalah kata-kata pemutus (yang sebenar), (13)

Dan bukanlah ia kata-kata yang olok-olok. (14)

Sesungguhnya mereka (yang menentangmu, wahai Muhammad) bermati-mati menjalankan rancangan jahat, (15)

Dan Aku pula tetap bertindak membalas rancangan jahat (mereka dan menggagalkannya). (16)

Oleh itu janganlah engkau hendakkan segera kebinasaan orang-orang kafir itu, berilah tempoh kepada mereka sedikit masa. / (17)

SYED Qutub berkata: "Surah ini merupakan satu contoh yang jelas dari sifat-sifat juzu' Amma itu. Pada seni kata ayat-ayatnya terdapat paluan yang keras yang sesuai dengan jenis pemandangan, jenis irama, bunyi kata-kata dan saranan makna-maknanya. Di antara pemandangan-pemandangannya ialah bintang yang muncul di waktu malam, bintang yang cahayanya menembusi angkasa raya, air mani yang memancut, hujan yang turun dan tumbuh-tumbuhan yang tumbuh. Di antara persoalannya ialah pengawasan Allah di atas setiap jiwa."

Firman Allah SWT yang bermaksud: Demi langit dan "At-Taariq" dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia "At-Taariq" itu? (At-Taariq) ialah bintang yang menembusi (sinaran cahayanya), tiada sesuatu diri juapun melainkan ada malaikat yang menjaga (Keadaannya serta menyimpan catatan mengenai segala bawaannya).

Firman Allah SWT: Demi langit dan "At-Taariq" Syeikh al-Maraghi berkata: "Kebanyakan sumpah yang dilakukan oleh Allah SWT dalam al-Quran menggunakan lafaz: Demi langit, matahari, bulan dan malam. Ini disebabkan keadaan benda-benda tersebut bentuknya, peredarannya, terbit dan tenggelamnya merupakan keajaiban yang menakjubkan. Bagi orang yang mahu merenung dan memikirkannya menjadi bukti bahawa benda-benda tersebut nescaya ada yang menciptakannya dan mengaturnya yang tiada sekutu dengan sesiapa pun dalam mencipta dan mengadakannya."

Firman Allah SWT: Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia "At-Taariq" itu? (At-Taariq) ialah bintang yang menembusi (sinaran cahayanya)

Qatadah dan juga yang lain mengatakan: "Disebutnya bintang dengan sebutan Taariq kerana bintang itu hanya dapat dilihat pada malam hari dan sembunyi (tidak terlihat) pada siang hari. Hal ini ditegaskan dengan apa yang disebutkan dalam hadis sahih yang bermaksud: "Seorang lelaki dilarang mengetuk pintu rumah isterinya, yakni mendatangi mereka secara mendadak pada malam hari".

Ibnu Abbas berkata: "Al-Thaqib bermaksud yang bercahaya."

Firman Allah SWT: Tiada sesuatu diri juapun melainkan ada malaikat yang menjaga (Keadaannya serta menyimpan catatan mengenai segala bawaannya).

Syed Qutub berkata: "Dalam ungkapan ini terdapat satu penegasan yang kuat iaitu tiada satu jiwa pun melainkan ada penjaga yang mengawasi, memerhati dan memeliharanya. Ia ditugaskan dengan perintah Allah supaya menjaganya. Allah menyebut "jiwa", kerana jiwalah tempat simpanan rahsia dan fikiran manusia dan pada jiwa itu dihubungkan amalan dan balasan. Di sana tidak ada kacau-bilau dan keadaan tidak menentu."

Manusia yang hidup di bumi ini tidak dibiarkan bebas tanpa penjaga. Mereka tidak dilepaskan begitu sahaja dalam liku-liku kehidupan tanpa pengawal. Mereka tidak ditinggalkan bebas boleh membuat apa sahaja tanpa pengawasan, malah kegiatan hidup mereka dirakamkan dengan teliti dan hisab, malah mereka kelak adalah diasaskan di atas catatan yang berhemat dan secara langsung.

Penutup

Ayat-ayat ini menyatakan saranan-saranan hebat dan membuatkan seseorang itu merasakan bahawa dia tidak pernah keseorangan. Andainya dia keseorangan akan diawasi oleh penjaganya. Di sana ada pengawas yang memerhatinya apabila ia berada seorang diri atau jauh daripada segala mata atau berada di tempat yang aman kesibukan.

Di sana tetap ada penjaga dan pemerhati yang dapat membukakan segala penutup dan menembusi segala yang tersembunyi sama seperti cahaya bintang yang dapat menembusi tabir kegelapan malam. Ciptaan Allah itu serupa sahaja sama ada pada jiwa manusia atau pada kejadian yang lain di seluruh alam.

Semoga kita menjadi umat Muhammad yang sentiasa menjunjung titah perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Amin.

Oleh : DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI
Utusan Malaysia

Boleh klik Suasana Alam Akhirat Seperti Dalam Surah At-Tariq di sini

5 comments:

penjejak maya said...

salam,

dunia ni hanya tempat persinggahan di akhirat nanti kekal abadi..

aby said...

salam k werdah ..

saye suke surah ni .
sedap d bace terutama penekanan qalqolah kt hujung ayat ..
sedap d dengar klu pembace menepati keadah tajwid di penghujung setiap ayat .. mcm yg kat video tu ...

gitu la manusia ni ..
klu mereka sedar bahawa kehidupan ni sentiase d awasi, tk perlu d adakan cctv ..

ternasuk la saye sendiri yg kekadang lupe yg saye sendiri sentiasa dalam awasan

Werdah said...

Salam PM.

Hidup juga ibarat belayar di atas lautan. Kita yang punya kapa;l dan kitalah nakhodanya, kitalah yang akan menentukan ke arah mana destinasi kita. Harapan kita adalah atas jalan yang diredhai dan sampai bertemu denganNya juga dengan RedhaNya.

Werdah said...

Salam aby.

Benar sangat tu aby, andai kita sedar kita tidak keseorangan; walau di mana sahaja kita berada malaikat akan turut serta (kecuali di dalam tandas)tak perlulah berbelanja membeli CCTV.

Sayu pada ayat 8 hingga hingga 10, gambaran yang akan berlaku di akhirat nanti.

Mudah2an kita sentiasa bermuhasabah diri.

Werdah said...

Salam Zulkbo.

Alhamdulillah, kira adillah kan dapat bahagikan tempat meraikan kemenangan.

Kak beraya di rumah je, biasanya semua anak-anak, ipar duai, berkumpul di rumah kak.

Selamat Hari Raya, maaf zahir batin.