Tuesday, September 8, 2009

Suasana Alam akhirat (21) – Surah Al-Furqaan (Pembeza/Yang Membezakan)

Assalamu'alaikum,

Bismillahirrahmanirrahim.


Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia nabi kita nabi Muhammad saw, keluarga serta para sahabat.


Hari ni sambung tentang suasana alam akhirat yang dinyatakan oleh Allah swt dalam surah Al-Furqaan iaitu surah ke 25 dalam al-Quran yang mulia, mulai ayat 11 hingga 34.. Allah berfirman maksudnya:
(Mereka bukan sahaja mendustakanmu) bahkan mereka juga mendustakan hari kiamat; dan Kami telah sediakan bagi sesiapa yang mendustakan hari kiamat itu, (neraka sa'ir) api yang menjulang-julang. (11)
Allah memperkatakan tentang keraguan orang2 kafir musyrik terhadap adanya hari kiamat.. keengganan orang2 kafir musyrik mempercayai kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad saw dan enggan percaya adanya hari kiamat serta balasan syurga kepada yang berbuat baik serta neraka kepada yang berbuat jahat disediakan api yang menjulang2 (neraka) yakni nerakalah tempat bagi mereka yang degil itu.

Apabila Neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah oleh mereka suara marahnya yang menggelegak dan suara nafas yang gemuruh. (12)

Allah memberitahu bahawa apabila neraka "sa'ir" melihat manusia kafir yang akan dimasukkan ke dalamnya, dari jauh lagi neraka mengeluarkan suara kemarahan dengan bunyi apinya yang bergejolak, suara ribut daripada nafasnya yang bergemuruh ingin sangat2 membakar orang2 kafir yang masih jauh itu kerana geramnya terhadap sikap orang2 kafir semasa berada di dunia dahulu. Ibnu Mundzir dan Ibnu Jarir telah mengeluarkan hadis yang diriwayatkan daripada 'Ubaid bin 'Umair katanya : Sesungguhnya neraka itu bernafas dan bergemuruh bunyinya. tidak ada satu malaikat yang muqarrabin mahupun nabi2 yang diutus melainkan gementar tulang2 sendinya apabila mendengarnya, sehingga nabi Ibrahim terduduk di atas lututnya seraya berkata : "Ya Allah! Tiada kupohonkan kepadaMu melainkan keselamatan diriku". Di sini cuba bayangkan bagaimana orang2 yang ingkar sudah masuk ke dalam neraka, tentulah dicengkam, dikeronyok dan dibaham oleh api nerka sebagaimana sesekor singa yang lapar membaham mangsanya. Juga bolehlah kita fahami bahawa neraka adalah makhluk hidup yang boleh mengenal pasti orang-orang yang bakal menghuninya. Orang-orang kafir juga bole mendengar suara api yang mengaum yang marah, geram dan tak sabar-sabar lagi membaham mangsanya.

Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam Neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu). (13)
Setiap orang kafir dilontarkan ke dalam neraka yang tempatnya sempit, mereka pula terbelenggu tangan ke tengkuk dengan pasung dan diikat dengan rantai besi, lalu mereka pun terpekik terlolong, menjerit2 dan meratapi nasib malang mereka dengan mengatakan : "Lebih baik mati sahaja kami sekarang ini" Kalau mati terlepaslah daripada siksaan api neraka tersebut.


Di sini cuba bayangkan kita dalam keadaan terikat begitu, kaki dan dan tangan tak dapat menolong melepaskan diri, terkena pula api, jika api yang kecil di dunia ini pun tak tertanggung ataupun jika digigit semut api pun kita tak sanggup menghadapinya inikan pula keadaan separti yang Allah gambarkan ini.

(Lalu dikatakan kepada mereka): Janganlah kamu menjerit-jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang menunggu kamu di sini banyak jenisnya). (14)
Lalu pada hari itu, dikatakan (ditempelak) kepada mereka : "tak usahlah kamu meratap dengan mengharapkan kematian satu kali, tetapi merataplah dengan mengharapkan kematian dan kebinasaaan yang berkali2. Kamu bukannya dibinasakan sekali tetapi dibinasakan berkali2, kerana siksaan itu bermacam2 dan tiap2 siksaan itu amat pedih, (sebab di akhirat manusia tak akan mati lagi. Mereka akan hidup selama2nya). Saat itu keadaan orang-orang kafir kacau bilau menerima azab yang bersangatan itu. Lalu mereka bertanya:

Bertanyalah (kepada mereka): Adakah (azab seksa Neraka) yang demikian itu lebih baik atau Syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa? Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali. (15)
Ayat ini ditafsirkan oleh Ahmad Sonhadji Mohammad dalam tafsir di radio; bahawa setelah Allah menceritakan tentang siksaan yang ditimpakan kepada org2 yg mendustakan hari kiamat, disuruh pula Nabi Muhamad saw bertanya kepada org2 kafir musyrik Mekah iaitu : "Katakanlah ya Muhammad kepada org2 yg mendustakan hari kiamat itu adakah neraka yang kamu lihat sedemikian sifatnya itu lebih baik ataupun syurga yang kekal nikmatnya lebih baik"


Menurut Bey Arifin dalam bukunya "Hidup sesudah Mati" ayat ini bermaksud, di sana nanti bertubi2 pula sindiran oleh malaikat2 kepada mereka yang sedang menderita itu.. antaranya mereka disindir dengan pertanyaan2 yang tak diminta menjawabnya seperti : "Apakah neraka ini ini yang lebih baik atau syurga? Soalan ini untuk menambahkan penderitaan mereka kerana semasa di dunia mereka mendustakan apa yang diajar oleh Nabi2 mereka, kenapa mereka menurut ajaran syaitan, kenapa mereka lebih mencintai harta dunia dan sebagainya. Untuk membuat pilihan, di sini bukanlah tempatnya lagi. Segala-galanya sudah terlambat. Hendak memilih jalan ke syurga atau ke neraka bukanlah tempatnya di akhirat tetapi ketika masih berada di dunia. Di dunia Allah telah membentangkan jalan yang luas sama ada nak syukur atau kufur. Apabila sudah merentasi jambatan akhirat, manusia hanya layak menuai hasil tanaman masing-masing.
Mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing). (16)
Dalam ayat ini Allah menggambarkan bahawa kesenangan yang diperoleh dalam syurga adalah berkekalan, mereka yang mendiami syurga mendapat apa saya yang mereka inginkan, yang tak pernah mereka lihat, dengar dan terfikir sebelum ini. Itulah janji Allah dan Allah akan membalasnya kerana orang2 Mukmin selalu berdoa semasa di dunia antaranya dengan doa : Rabbana Aatina Fiddunniya Hasanah wa Fil Akhirati hasanah (Ya Allah berikanlah kami kebaikan di dunia dan juga kebaikan di akhirat"

Dan (ingatlah) hari Tuhan menghimpunkan mereka (yang kafir) dan makhluk-makhluk yang mereka sembah selain Allah, lalu Dia bertanya (kepada makhluk-makhluk yang telah dipuja dan disembah itu): Kamukah yang menyesatkan hamba-hambaKu itu atau mereka yang sesat jalan? (17)
Di sini Allah menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti mereka akan dikumpulkan di padang mahsyar bersama2 dengan apa yang mereka sembah itu (ini termasuk patung2 berhala, iaitu benda2 tak bernyawa mahupun yang disembah itu berakal seperti malaikat, jin dan manusia termasuk para nabi seprti Nabi Isa dan 'Uzair) dan akan ditanya :"Adakah kamu yang menyesatkan hamba2Ku ini atau adakah mereka yang tersesat daripada ajaran sebenar yakni tidak mahu menurut ajaran rasul?"

Mereka menjawab: Maha Suci Engkau (wahai Tuhan kami)! Sudah tentu tidak patut bagi kami mengambil sesiapa pun yang lain daripadaMu sebagai pelindung yang disembah (dan tidak patut juga kami menyeru orang menyembah kami); tetapi engkau (wahai Tuhan kami) telah melimpahkan kemewahan kepada mereka dan kepada datuk neneknya sehingga mereka lalai dan cuaikan ajaran agamaMu dan menjadilah mereka kaum yang binasa. (18)
Di sana nanti apabila disoal sedemikian, benda2 yang disembah oleh orang2 kafir termasuk para Nabi akan berkata: "Maha Suci Tuhan kami daripada apa yang disifatkan oleh orang2 musyrik.. Tidak patut kami diambil sebagai pelindung daripada musuh2Mu, bahkan Engkaulah pemimpin kami. Maksud ucapan mereka ialah "Tidak patut mereka menyuruh/menyeru manusia menyembah mereka sedangkan mereka juga sepatutnya menyembah Allah swt tambahan pula Allah swt telah memberikan kesenangan kepada mereka serta bapa2 mereka sedangkan mereka asyik leka kerana menuruti hawa nafsu dalam menikmati kesenangan, mereka lupa akan ajaran2 Allah, lalu jadilah mereka orang2 yang binasa".
Maka (dikatakan pula kepada golongan itu): Sesungguhnya mereka (yang kamu puja dan sembah) itu telah mendustakan dakwaan kamu (bahawa mereka yang menyesatkan kamu). Oleh itu, kamu semua tidak akan dapat menjauhkan azab seksa atau beroleh sebarang pertolongan dan sesiapa yang berlaku zalim di antara kamu (wahai umat manusia, dengan kekufuran atau maksiat), Kami akan merasakannya azab seksa yang besar. (19)
Kata2 tempelakan dalam ayat ini ditujukan kepada orang yang menyekutukan Allah, bahawa orang2 dan benda2 yang mereka sembah itu (mengaku) bukanlah Tuhan yang patut mereka sembah kerana mereka (yang disembah) sendiri pun tidak berdaya untuk mengelakkan sebarang siksaan Allah swt kepada diri mereka dan tuidak juga dapat menolong orang2 yang menyembah mereka. Oleh itu Allah akan menyiksa mereka dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan yakni berbuat SYIRIK.

Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya). (20)
Dalam ayat 20 ini Allah menjelaskan kepada Nabi Muhammad saw bagi menghiburkan hatinya bahawa para nabi yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan ajaran Allah swt adalah terdiri daripada manusia. Ini kerana org2 musyrik menganggap bahawa seorang rasul itu tidak patut makan, minum dan berbuat seperti manusia lain (mereka meminta supaya malaikat yang tak perlu makan atau minum dan ke pasar2 bagi menyampaikan ajaran kepada mereka). Allah memberitahu bahawa para rasul sebelum Nabi Muhamad saw juga semuanya makan, minum, berjalan untuk mencari nafkah hidup.. perlakuan nabi2 dan rasul seperti ini tidaklah merendahkan martabat mereka, yang membezakan antara satu sama lain ialah tentang sifat2 mereka serta mukjizat yang Allah kurniakan kepada mereka sebagai bukti kenabian dan kerasulan mereka. Dan allah ingatkan bahawa Allah sudahpun menguji manusia itu antara satu sama lain.. ada para rasul ditugaskan menyampaikan perytusan Allah, ada yang Allah lantik sebagi raja atau ketua negara, ada yang ditakdirkan jatuh miskin. Ini adalah ujian Allah sama ada para rasul akan taat mengerjakan perintah ataupun meninggalkan perintah Allah.. dan para rasul yang menjadi utusan Allah ditakdirkan sedemikian agar mereka menyeru manusia menyembah Allah tanpa mengaharapkan balasan. Itulah sebabnya Allah menjanjikan pahala yang besar bagi orang2 yang sabar.

Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita atau kita dapat melihat Tuhan kita? Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya. (21)
Orang2 yang mendustakan Allah dan rasulNya bersikap angkuh dengan memohon supaya Allah menurunkan Malaikat sebagai rasul supaya mereka dapat melihat Allah swt. Mereka mengatakan mengapa tidak diturunkan bangsa malaikat supaya mereka (malaikat) dapat menyatakan adakah benar2 Nabi Muhammad saw itu seorang Rasul Allah. Kalu tidak diturunkan malaikat lebih baik kami dapat berjumpa dengan Allah. dengan ini barulah kami dapat beriman.. Inilah tentangan yang teramat jahat.

(Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya) dan mereka akan berkata: Semoga kita jauh, dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk). (22)
Akhirnya pada hari kiamat mereka dapat melihat malaikat datang untuk menyiksa mereka. Begitulah Allah mengabulkan permintaan mereka. Mereka yang berdosa dapat melihat malaikat datang tanpa membawa berita gembira. Mereka berdoa supaya tidak mendapat apa2 yang buruk terhadap diri mereka.

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan. (23)
Segala amalan baik mereka seperti menghubungkan silaturrahim, menolong orang dalam kesusahan, dan lain2 kebajikan tidak akan akan mendapat pahala. Jikalah mereka beriman pasti mereka diberi pahala tetapi disebabkan kesyirikan mereka segala perbuatan baik mereka tiada nilai, semuanya sia-sia ibarat debu berterbangan.

Ahli-ahli Syurga pada hari itu lebih baik tempat menetapnya dan lebih elok tempat rehatnya. (24) Dan (sebutkanlah perihal) hari segala langit pecah-belah (disertakan) dengan kumpulan awan (yang berisi malaikat) dan (pada hari yang tersebut) diturunkan malaikat itu dengan cara berpasuk-pasukan. (25) Kuasa pemerintahan yang sebenar-benarnya pada hari itu adalah tertentu bagi Allah Yang Maha melimpah rahmatNya dan adalah ia satu masa yang amat sukar keadaannya kepada orang-orang kafir. (26) Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? (27) Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! (28)
Orang2 beriman (ahli2 syurga) tempatnya lebih baik daripada orang2 kufur (ahli neraka). Diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti apa yang mereka minta iaitu supaya diturunkan malaikat akan benar2 terjadi. Malaikat akan turun berpasuk2an dan berterusan, segala makhluk yang tinggal di cakerwala seperti langit, bintang akan pecah terbelah dan hancur menjadi abu. semuanya akan jadi kosong dan segala peraturan alam akan rosak binasa. Pada hari itu Allah menunjukkan sebenar2 kekuasaanNya. Pada hari itu malaikat turun membawa kitab catatan amalan semua manusia. Inilah masa yang amat sukar bagi org2 kafir. Mereka amat menyesal dan amat marah kepada diri sendiri sambil berkata: Alangkah baiknya jika dahulu aku bersama2 para rasul Allah. Mereka juga mengutuk diri mereka kerana mengikut jalan yang sesat.

Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya). (29) Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai. (30)

Orang2 musyrik ini nanti akan mengatakan :"Sesungguhnya teman2 kami yang menyesatkan kami dan mengajak kami supaya tidak beriman dengan apa yang diajarkan oleh para rasul iaitu ajaran al-Quran" dan rasul2 pula mengatakan bahawa kaum mereka telah mengabaikan ajaran Allah dengan meninggalkan ajaran al-Quran begitu sahaja yakni tidak mahu menggunakan peraturan2 yang telah ditetapkan.
Orang2 musyrik ini nanti akan mengatakan :"Sesungguhnya teman2 kami yang menyesatkan kami dan mengajak kami supaya tidak beriman dengan apa yang diajarkan oleh para rasul iaitu ajaran al-Quran" dan rasul2 pula mengatakan bahawa kaum mereka telah mengabaikan ajaran Allah dengan meninggalkan ajaran al-Quran begitu sahaja yakni tidak mahu menggunakan peraturan2 yang telah ditetapkan.

Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka). (31)
Dalam ayat ini Allah menyatakan kepada Nabi Muhammad saw bahawasanya Nabi Muhammad saw mempunyai musuh daripada kalangan org2 musyrik yang suka melemparkan kata2 yang keji dan melakukan perbuatan2 di luar batas. Begitu juga dengan nabi2 terdahulu, mereka juga mempunyai musuh yang mengingkari ajaran Allah. Yang pastinya Allah akan menolong Nabi dan orang2 yang beriman. Dan Allah berkata cukuplah Tuhanmu sahaja yang akan memimpin engkaundengan hidayahNYa dan akan menyampaikan ke arah yang engkau tuju dan dan akan mennolng engkau sehingga engkau menang.

Dan orang-orang yang kafir berkata: Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)? Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu. (32) 
Di sini Allah menyatakan bahawa orang2 Yahudi yang kufur bertanya mengapa al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw tidak diturunkan sekaligus sebagaimana yang diturunkan kepada Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Daud. Pada pendapat mereka al-Quran hendaklah diturunkan sekaligus. Dalam tafsir al-Maraghi dikatakan bahawa Taurat juga diturunkan secara beransur2 tetapi orang2 Yahudi itu degil tidak mahu menerima kenyataan.. Allah menyebutkan bahawa al-Quran itu diturunkan secara beransur2 supaya dapat menguhkan hati Nabi Muhammad saw dan al-Quran itu dapat dibaca berulang2, diteliti berulang2 sehingga tertanam dengan kuatnya ke dalam hati orang2 yang membaca dan menghafalnya. Hal ini disebut juga dalam surah al-Isra' ayat 106 yang bermaksud : Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang dan Kami menurunkannya beransur-ansur. (106)

Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu). (33)
Setiap kali orang2 Yahudi menemui/mendatangai Nabi Muhammad saw mereka akan menanyakan perkara2 pelik untuk menentang Nabi, mereka juga mengemukakan cadangan2 yang ganjil bagi mencela kerasulan Nabi. Dan bagi setiap ucapan ganjil mereka ini Allah bekalkan kepada Nabi hujjah2 yang benar bagi menangkis segala yang mereka perkatakan.
Orang-orang yang akan diseret beramai-ramai ke Neraka Jahanam (dengan tertiarap) atas mukanya, merekalah orang-orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya. (34)
Orang2 kafir ini akan diheret beramai2 ke dalam Neraka Jahanam. Mereka dihukum dengan menyeret mereka dalam keadaan meniarap dan muka tersembam ke tanah terbelenggu dengan keadaan yang amat hina. Itulah tempat yang paling buruk dan hina bagi orang-orang kafir, musyrik, munafik serta para pencela agama.

Begitulah gambaran suasana hari akhirat nanti. Jika diperhatikan dalam ayat2 di atas tadi Allah berfirman dengan menggambarkan keadaan ketika ayat2 diturunkan dan juga menggambarkan apa yang akan berlaku di akhirat nanti. Begitulah kemukjizatan al-Quran daripada segi susunan bahasa.

Mudah2an kita semua dapat ambil iktibar daripada apa yang dapat ditulis di sini.. segala yang baik itu daripada Allah dan yang tidak baik itu daripada diri saya sendiri.. MAHA SUCI ENGKAU YA ALLAH DAN SEGALA PUJIAN HANYA UNTUKMU.. Saya Bersaksi Bahawa Tiada Tuhan yang disembah melainkan Engkau.. dan saya memohon keampunan Dari MU Ya Allah.

No comments: