Saturday, September 12, 2009

Suasana Alam Akhirat (22) - Surah Fathir (Pencipta)

Assalamu'alaikum,

Hari ini dicatatkan tentang suasana alam akhirat yang digambarkan dalam Firman Allah swt dalam surah Fathir (Pencipta) ayat 33 hingga 37.

Huraian:

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡہُم مُّقۡتَصِدٌ۬ وَمِنۡہُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡڪَبِيرُ (٣٢

Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (32)

Dalam ayat 32 di atas iaitu sebelum Allah gambarkan keadaan di akhirat, Allah menerangkan bahawa al-Quran itu diwarisi kepada hamba2Nya yang terpilih dengan gelaran sebaik2 umat yang dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu:

ظَالِمٌ۬ لِّنَفۡسِهِۦ

Golongan pertama: (menginaya/menzalimi diri sendiri) iaitu golongan umat Islam yang menunaikan sebahagian kewajipan agama, malahan melakukan pula sebahagian perkara yang Allah haramkan.

مُّقۡتَصِدٌ۬

Golongan Kedua: (sederhana) iaitu golongan umat Islam yang sederhana dalam menunaikan kewajipan agama, dan meninggalkan perkara2 yang diharamkan tetapi adakalanya dalam amalan mereka tersilap melakukan yang haram dan meninggalkan yang halal

سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٲتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ

Golongan Ketiga: (cepat mengerjakan kebaikan dengan izin Allah) iaitu golongan umat Islam yang menunaikan amalan2 yang diwajibkan dan amalan2 sunat serta mereka tinggalkan perkara2 yang diharamkan, yang dimakruhkan bahkan meninggalkan perkara2 yang harus juga.

Di sini dinyatakan bahawa terdapat 3 macam amalan Umat Islam:

1. Cuai dalam mengamalkan ajaran al-Quran dan juga dirinya.
2. Teragak2 antara mahu beramal atau sebaliknya
3. Cepat sekali melakukan amalan kebajikan dan amalan soleh bagi mendapatkan balasan pahala daripada Allah swt dengan izinNya.

Dalam hubungan ini ada pentafsir menyatakan orang yang aniaya itu timbangan kejahatannya lebih daripada kebaikannya, orang pertengahan ialah orang yang timbangan kebaikan dan kejahatannya sama berat, manakala orang yang cepat melakukan kebaikan ialah orang yang timbangan kebaikannya lebih berat daripada kejahatan.

(Balasan mereka ialah) Syurga-syurga "Adn",(iaitu taman abadi) yang mereka akan masukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera. (33) Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat); (34) Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu. (35)

Di sini Allah menerangkan keadaan golongan ketiga akan mendapat balasan syurga berupa taman perkebunan yang indah, dan diberi persalinan yang indah serta dihiaskan dengan gelang tangan dan perhiasan2 lain daripada emas dan mutiara manakala pakaian mereka diperbuat daripada sutera. Sesetengah ahli tafsir menyebutkan setiap penduduk syurga mempunyai 3 jenis gelang iaitu gelang emas, gelang perak dan gelang bertatahkan mutiara.

Semasa menikmati kurnia Allah, golongan ketiga ini mengucapkan pujian serta syukur kepada Allah yang telah menghilangkan segala kedukaan mereka seperti yang dideritai oleh orang2 kafir yang mereka lihat sendiri. Terasa betul ke segenap jiwa raga mereka bahawa Allah Maha Pengampun dan tidak menyia2kan kebaikan yang dibuat oleh orang2 yang berbuat kebaikan serta memberika tempat tinggal yang indah kekal dan mereka terhindar daripada segala kesusahan dan kepenatan.


Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka Neraka Jahanam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa) dan tidak pula diringankan azab Neraka itu dari mereka dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya. (36) Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan. (37)


Seterusnya Allah menyatakan tempat bagi orang2 kafir/tidak beriman ialah nerka jahanam, keadaan mereka amat tersiksa kerana mereka tidak dimatikan dan tiada pula diringankan siksaan terhadap mereka. Orang2 ini ialah orang2 yang mengingkari al-Quran dan mendindingi diri mereka dengan kekufuran sehingaa cahaya kebenaran daripada petunjuk al-Quran tidak dapat menembusi pemikiran mereka. Siksaan terhadap mereka semakin bertambah tidak berkurang. Begitulah balasan allah terhadap orang2 yang kufur.

Mereka dalam keadaan amat tersiksa itu menjerit2 dan merayu2 supaya dikeluarkan daripada azab api neraka dan berjanji akan melakukan amal soleh setelah mereka dilepaskan. Lalu Allah menempelak mereka dengan mengatakan bukankah dahulu Allah telah peringatkan, dan Allah telah melanjutkan umur dan memberi masa kepada mereka supaya mengikut ajaran2 al-Quran melalui rasulNya? .. Sekarang rasalah akan akibat tidak mengendahkan amaran Allah semasa di dunia. Tiada siapa yang menolong lagi.

No comments: