Tuesday, December 1, 2009

Suasana Alam Akhirat (33) : Surah Al-An'am[6] - (Binatang Ternak)

Assalamua'laikum.


Bismillahirrahmanirrahim.


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, Selawat dan salam buat Nabi Muhammad serta keluarga dan para sahabat yg mulia.


Di bawah ini adalah ayat2 dalam surah Al-An'am yang memberikan gambaran apa yang berlaku pada hari akhirat kelak.


Katakanlah: Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari kiamat). (15)


Allah menyuruh Rasulullah saw, mengatakan kpd org2 musyrik jika ditakdirkan baginda derhaka kepada Allah yakni menyekutukan Allah; baginda amatlah takut dikenakan azab pada hari akhirat. Di sana nanti terbukti kebesaran Allah dan tiada jaminan mendapat pertolongan bagi sesiapapun walaupun berpangkat besar semasa di dunia.



Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesungguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya dan itulah kejayaan yang jelas nyata. (16)



Sesiapa yg bernasib baik kerana terlepas daripada siksaan Allah pada hari kiamat, bererti dia mendapat rahmat Allah dengan dibenarkan olehNya memasuki syurga dan terselamatlah daripada siksa neraka dan kemudiannya mendapat nikmat syurga.



Dan (ingatlah), hari (kiamat yang padanya) Kami himpunkan mereka semua, kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: Manakah orang-orang dan benda-benda yang dahulu kamu sifatkan (menjadi sekutu Allah)? (22)



Nanti di akhirat apabila mereka semua dibangkitkan daripada kubur; Allah akan bertanya : Di manakah berhala yang dan patung yang kamu sembah semasa di dunia dahulu? Pergilah kamu meminta pertolongan daripada mereka!"



Kemudian tidaklah ada akibat kufur mereka selain dari mereka menjawab dengan dusta: Demi Allah Tuhan kami, kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain). (23)



Disebabkan mereka tertipu dan terpesona kerana tersangat cinta dengan patung2 berhala yg mereka sembah; mereka menjawab dengan bersumpah: "Demi Allah Tuhan kami, bukanlah kami org2 yang menyekutukan Allah, iaitu satu sumpah yg merupakan tipu muslihat. Tipu muslihat mereka ini tidak dapat melepaskan diri daripada siksaan Allah.



Lihatlah bagaimana mereka berdusta terhadap diri mereka sendiri dan bagaimana hilang lenyapnya dari mereka apa yang telah mereka ada-adakan (sebagai sekutu Allah) itu. (24)



Alangkah besarnya pembohongan mereka; bila terdapat org2 yg sudah ternyata menyekutukan Allah selama mereka hidup di dunia; mereka mengatakan Nabi Isa itu Tuhan atau anak Tuhan semasa berada di dunia; di akhirat pula mereka menafikannya kerana terpaksa disebabkan mereka takut akan azab api neraka.



Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka dihadapkan kepada Tuhan mereka, lalu Allah berfirman: Bukankah hari kiamat ini suatu perkara yang benar? Mereka menjawab: Benar, demi Tuhan kami! Allah berfirman lagi: Oleh itu, rasalah azab seksa Neraka dengan sebab kamu telah kufur ingkar. (30)



Dalam ayat2 sebelum ini diterangkan bahawa org2 kafir tidak mempercayai hari akhirat, lalu dalam ayat 30 ini Allah menyatakan bahawa setelah mereka melihat sendiri dan berhadapan dengan Allah swt pada hari akhirat dan setelah mendapati bahawa hari akhirat itu memang benar2 ada; mereka semuanya berkata memang benar. Lalu Allah mengatakan; rasalah azab siksa neraka yang amat pedih disebabkan kekufuran kamu dahulu.



Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata: Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia! Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu. (31)



Ayat ini mengisyaratkan bahawa di akhirat nanti kita berpeluang bertemu Allah swt. Ini mesti dipercayai; namun org2 kafir tidak mahu mengimaninya. Oleh itu rugilah mereka kerana tidak berpeluang mendapat kenikmatan syurga sebaliknya mendapat siksaan dengan dimasukkan ke dalam neraka akibat mengingkari adanya hari akhirat. Apabila datangnya hari kiamat yg berlaku secara mengejut, tentulah mereka tidak dapat menyambut dengan segala persediaan. Mereka ini akan mengeluh, merintih dengan sia-sia. Mereka berkata; "Alangkah malangnya nasib kami, dahulu kami tidak berbuat amal yg salih, bahkan kami dahulu sentiasa mensia-siakan hidup kami kerana tidak mempercayai adanya hari akhirat. Mereka akan disiksa kerana dosa2 mereka. Penderitaan yg mereka pikul amatlah berat dan seburuk2nya.

No comments: