Monday, December 28, 2009

Suasana Alam akhirat (39) - Surah Az-Zumar (Beberapa Kelompok/Rombongan Manusia)



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya.

Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini ditulis tentang suasana pada hari akhirat dalam surah Az-Zumar iaitu surah ke 39 dalam al-Quran Al-Karim.

(Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya). Katakanlah lagi: Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata. (15)



Allah mengulangi suruhanNya supaya Nabi Muhammad saw mengatakan kepada orang2 musyrik; Allah sajalah yang aku sembah, tidak menyembah kepada yang lain selain Allah, dengan seikhlas-ikhlasnya, tanpa menyengutukannya, tanpa bermuka-muka dalam mengamalkan agamaku; maka sembahlah oleh kamu hai orang2 musyrik apa-apa yang kamu sukai daripada jenis patung atau berhala; bukan menyembah Allah, nescaya kamu nanti akan mendapat malapetaka berupa siksaan Allah. Seterusnya Allah menyuruh Nabi menyampaikan; sesungguhnya orang-orang yang rugi itu ialah yang kehilangan dirinya lantaran menyesatkan diri sendiri dan kehilangan keluarga kerana menyesatkan mereka pula sehingga semuanya akan mendapat siksaan sebagai hukuman pada hari kiamat untuk selama-lamanya. Ketahuilah bahawa kesengsaraan sedemikian merupakan kerugian yang paling nyata.

Bagi mereka (yang kafir disediakan) lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka; dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hambaNya: Oleh itu, bertakwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu! (16)


Masakan tidak! mereka akan disiksa dengan api neraka yang berlapis-lapis, dari sebelah atas dan dari sebelah bawah. Di mana-mana sahaja api mengelilingi mereka.

Ayat ini samalah dengan ayat daripada surah al-'ankabut ayat 55 bermaksud; 

"Pada hari azab itu menyelubungi mereka dari sebelah atas mereka dan dari bawah kaki mereka dan (malaikat yang melakukannya) akan berkata kepada mereka: Rasalah kamu (balasan) apa yang kamu telah kerjakan. (al-'Ankabut [29] : 55) 

Dan juga seperti ayat 41 surah al-A'raf yang bermaksud : 


"Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api Neraka dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api Neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya). (al-A'raf [7] : 41)
Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu. (17)


Setelah Allah menyebut ancaman terhadap orang2 yang menyembah berhala, disebutkan pula janjinya kepada orang2 yang menjauhi Taghut (syaitan) yakni orang2 yang tidak menyekutukan Allah kerana orang2 yang menyembah patung atau berhala adalah orang2 yang menyembah syaitan. Allah menyatakan sesiapa yang telah menyembah Taghut dan kembali menyembah Allah; mereka akan disediakan oleh Allah dengan pahala yang besar baik di dunia mahupun di akhirat.

Dalam ayat ini berita yang menggembirakan ialah berita gembira apabila mendapat pujian disebabkan amalannya itu baik (semasa di dunia) dan orang itu akan gembira apabila dimasukkan ke dalam kubur. Manakala gembira di akhirat pula ialah sebaik dia keluar daripada kubur dia akan gembira apabila berdiri di Padang Mahsyar untuk dihisab kelak, gembira apabila meniti sirat dan gembira apabila masuk ke dalam syurga. Pendek kata semuanya menggembirakan kerana dengan beramal soleh semasa di dunia Allah akan berikan ganjaran pahalanya yang akam membawanya ke dalam syurga yang kekal abadi.

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (18)

Allah memuji orang2 yang beriman yang pandai memilih sesuatu yang baik dan membezakannya pula dengan yang lebih baik, membezakan yang utama dengan yang lebih utama. Yakni Allah menyuruh rasulNya; "sampaikanlah berita gembira ya Muhammad kepada orang2 yang menjauhi Taghut dan kembali kepada menyembah Allah kerana telah mendengar perkataan al-Quran lalu mengikut dan mengamalkan yang paling baik merupakan perintah dan menjauhi larangan Allah".

Maka adakah orang yang telah ditetapkan atasnya hukuman azab (disebabkan kekufurannya, sama seperti orang yang dijanjikan bergembira dengan balasan imannya? Sudah tentu tidak)! Oleh itu adakah engkau berkuasa menyelamatkan orang yang (ditetapkan kekal) dalam Neraka? (19) Tetapi (sebaliknya) orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka (dengan mengerjakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya), dibina untuk mereka (di dalam Syurga) mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji yang ditetapkan Allah; Allah tidak sekali-kali akan mengubah janji-janjiNya. (20)

Berlawanan dengan sifat-sifat orang2 mukmin yakni dinyatakan dalam ayat ini sebagai orang2 yang telah ditetapkan atasnya hukuman azab; Allah menyoal dan soalan ini mempunyai erti menolak; maksudnya Nabi Muhammad saw tidak mempunyai kuasa untuk menolong manusia yang sudah ditetapkan hukuman siksa ke atas mereka dan mengikut ilmu Allah mereka ini akan dimasukkan ke dalam neraka.

Pembalasan kepada orang2 yang bertakwa merupakan mahligai-mahligai yang indah mrempunyai bilik-bilik yang juga indah bertingkat-tingkat; sedang di bawahnya pula ada sungai-sungai yang ditetpinya tumbuh pohon-pohon yang rendang. Inilah yang dijanjikan allah kepada orang2 yang bertakwa yang mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya.

Dalam hubungan ini; Abu Sa'id al-Khudri ra daripada Nabi Muhammad saw bersabda maksudnya; "Sesungguhnya penduduku syurga itu menjenguk-jenguk daripada bilik-bilik yang berada di atas yang tinggi laksana bintang-bintang gemerlapan yang menjengok-jenguk dari ufuk timur atau dari ufuk barat disebabkan kelebihan mereka daripada penduduk syurga yang lain. Orang-orang pun bertanya; Ya Rasulullah! Itukan tempat-tempat (bilik-bilik) tinggal para nabi yang tidak akan dapat oleh orang lain?. Jawab baginda; Bahkan! Demi diriku yang berada dalam kekuasaan Allah, (itulah darjat yang didapat oleh) orang-orang yang beriman dengan Allah dan para rasul.

Maka adakah orang yang menahan dengan mukanya akan (selaran) azab yang buruk pada hari kiamat (sama seperti orang yang terselamat)? Dan (pada saat itu) dikatakan kepada orang-orang yang zalim itu: Rasalah (balasan) apa yang kamu usahakan dahulu. (24) (Ingatlah! Bahawa) orang-orang yang terdahulu dari mereka telah mendustakan (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka), lalu orang-orang itu didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya. (25) Maka Allah merasakan mereka kehinaan dalam kehidupan dunia (dengan berbagai-bagai bala bencana) dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat (yang disediakan untuk mereka) lebih besar lagi. Kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini, tentulah mereka tidak mendustakan Rasul). (26)


Di sini Allah menyebutkan perbezaan antara orang2 yang sesat dengan orang2 yang menerima petunjuk. Apakah semua manusia ini dapat disamakan? Jawapannya tentu tidak sama sekali. Lalu dibuat misalan iaitu "golongan orang2 yang menyongsangkan mukanya (semulia-mulia anggita manusia) ke arah siksaan yang maha pedih pada hari kiamat tentu tidak dapat disamakan dengan orang2 yang beriman yang terselamat daripada siksaan yang pedih pada hari tersebut". Maksudnya pada hari kiamat; org2 kafir akan dilemparkan ke dalam neraka secara menyongsang menerusi mukanya sedangkan tangannya terbelenggu ke tengkuk dan ditengkuk pula dibebankan sebuah batu besar laksana gunung mengeluarkan api yang menyala membakar mukanya sedangkan dia tak mampu menolak siksaan tersebut. Adakah orang2 ini dapat disamakan dengan orang2 beriman yang tidak mendapat siksaan Allah?

Kemudian; kepada orang2 yang tidak beriman itu dikatakan pula oleh malaikat2 penjaga neraka dengan kata2 tempelak dan ejekan. Raskanlah oleh kamu siksaan atau azab sengsara yang menimpa kamu hasil usaha kamu semasa berada di dunia dahulu.

Allah menyebutkan siksaan yang ditimpakan ke atas sebahagian daripada orang2 yang kufur itu berupa azab di dunia lalu disusul dengan azab neraka di akhirat. Mereka itu ditimpakan bala secara tiba-tiba tanpa mereka sedari seperti kaum2 terdahulu. Ada yang musnah terus, ada yang menderita kehinaan di dunia, ada yang ditukar menjadi babi atau kera dan segala macam lagi. Inilah azab dunia, manakala azab di akhirat kesengsaraan yang lebih hebat lagi!! jikalah manusia tahu tentulah mereka mengambil iktibar daripadanya, tidak sekali-kali akan mendustakan rasul atau mencuai-cuaikan pengajaran rasul.

Dan pada hari kiamat, engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) muka mereka hitam legam; bukankah (telah diketahui bahawa) dalam Neraka Jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong takbur? (60) Dan (sebaliknya) Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa (yang menjauhkan diri dari perbuatan syirik dan maksiat) dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk dan tidak akan berdukacita. (61)

Allah menceritakan kepada rasulNya; "Engkau wahai Muhammad akan melihat keadaan orang2 yang berdusta terhadap Allah; mereka yang mengatakan Allah ada anak dan mereka menyengutukan Allah dengan menyembah berhala dan tidak mengikut ajaran rasul; pada hari kiamat nanti muka mereka akan menjadi hitam penuh dengan gambaran rasa duka yang tak terhingga. Ketika itulah sesiapa yang menyombongkan diri akan memperoleh tempat tinggal yang wajar dan setimpal dengan kesalahan mereka.

Dalam hubungan ini Nabi Muhammad saw menerangkan makna orang-orang yang sombong takbur? ialah orang yang membodohkan kebenaran dan menghinakan orang. Abdullah bin Umar pula meriwayatkan daripada nabi (saw) maksudnya : "Orang-orang yang menyombongkan diri itu pada hari kiamat dibangkitkan seperti semut, mereka ditimpa kerendahan berterusan sehinggalah mereka dibawa ke neraka Jahannam.

Orang2 yang bertakwa pula Allah selamatkan daripada siksaan api neraka Jahannam dan diberikan tempat yang mereka harapkan semasa mereka beramal di dunia.

Abu hurairah ra meriwayatkan bahawa daripada Rasulullah saw maksudnya; "Setiap orang akan dibangkitkan bersama amalannya. Amalan org mukmin akan menjadi makhluk yang paling cantik ruopa dan wangi baunya, tatkala org mukmin itu terasa gementar atau takut berkatalah amalan itu keopadanya ; janganlah tuan takut Bukan tuan yang dimaksudkan dan bukanlah tuan yang dikehendaki! Apabila banyak kali berlaku perkara seumpama itu, org mukmin itupun berkata; Alangkah baiknya engkau! siapakah geranganya engkau ini? Dia menjawab : Tiadakah tuan mengenal saya? Sayalah amalan tuan yang salih. Tuan telah mendukung saya walaupun saya begitu berat. Demi Allah! Tuan akan saya dukung dan akan saya akan pertahankan. Inilah yang dimaksudkan dengan mereka mendapat kemenangan besar (keredaan Allah) mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk dan tidak akan berdukacita.

Mereka tidak akan disentuh oleh siksaan api neraka dan mereka tidaka akan merasa sengsara, kerana mereka telah menjadi orang yang paling baik dan bersenang2 di dalam syurga.

Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya pada hari kiamat dalam genggaman kuasaNya dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Dia dan Tertinggi keadaanNya daripada apa yang mereka sekutukan. (67)


Alangkah kecil dan halus serta ringannya bumi dan langit ini jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah. Bumi dan langit serta seluruh planet berada dalam genggaman kekuasaan Allah awt, begitulah pula kejadian hari kiamat. Dialah memelihara segala sesuatu serta dalam genggamanNYa terletak anak kunci perbendaharan langit dan bumi. Demikianlah hebatnya kekuasaan ALllah, namun orang2 kafir tetap tidak mahu mempercayainya, tidak mahu menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajarnya.

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta-merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing). (68)

Disebutkan pula bukti2 kekuasaanNya dgn menerangkan permulaan kiamat. Allah menerangkanbahawa bumi ini seluruhnya di dalam grnggamanNya, manakala langit semuanya akan digulung; tidak ada sat campurtangan oleh pihak lain. pada saat itu sangkkala akan ditiup; pada pertama kali; matila semua penduduk langit dan bumi yang bernyawa. Tidak ada satupun yang tinggal hidup. Semuanya binasa. Kemudian ditiupkan sangkakala kali kedua setiap yang mati kan hidup semula bangun daripada kubur walaupun dahulunya dah jadi tulang yang reput. Kecuali siapa yang dikehendaki Allah.

Yakni ada beberapa makhluk Allah yang dikecualikan seperti yang dalam ayat 87 surah an-Naml - (Dan (ingatkanlah) hari ditiupkan sangkakala, lalu terkejutlah (gerun gementar) makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh. (87)

Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan) dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun. (69) Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang, balasan apa yang telah dikerjakannya dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan. (70)


Seterusnya Allah swt memberitahu bahawa suasana pada hari kebangkitan di Padang mahsyar kelihatan terang benderang disinari cahaya keadilan Ilahi, kerana pada masa itu semua makhluk akan diadili, semua amalan dikira dengan teliti dan dibicarakan seadil-adilnya dan diberi pembalasan setimpal dengan kebaikan dan kejahatan yang telah dikerjakan. Kitab-kitab amalan akan dibentangkan, kitab yang mencatatkan setipa pelakuan manusia sebagai bukti. Hal ini diterangkan dalam surah al-Isra' ayat 13 telah dihuraikan di sini. Tidak ada seorangpun dapat mengelak daripada mengakui apa yang sudah dicatatkan dalam kitab yang terbentang di hadapan masing-masing. Di samping catatan-catatan; didatangkan juga para nabi dan juga para saksi yang akan memberikan pengakuan dan kesaksian. Para nabi akan membuat pengakuan bahawa mereka telahpun menyampaikan ajaran Allah kepada manusia dengan jujur. Begitu juga para malaikat hafadzah yang menjadi saksi menulis segala amalan, kemudian Allah menerangkan pula bahawa dalam pelaksanaan penghisaban ada 4 perkara;

1. Dibicarakan dengan adil
2. Tidak akan ada yang terinaya
3. Ditunaikan setiap balasan terhadap apa yang dilakukan
4. Dialah Tuhan yang Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.


Dan orang-orang kafir akan dihalau ke Neraka Jahanam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini? Mereka menjawab: Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir. (71)


Keadaan org2 yang mendapat celaka pada hari kiamat; yakni org2 kfir, org2 musyrik dan orang2 yang mengingkari kewujudan Allah serta nikmatNya akan dikumpul di padang Mahsyar untuk dipandu secara paksa berkumpulan seumpama sekumpulan binatang ternak ke tempat siksaan yang paling buruk lagi hina iaitu neraka jahannam. Mereka dihalau berombongan yakni sekumpulan demi sekumpulan. Mana yang lebih sesat dan jahat dialah yang didahulukan. Sambil dipandu dan dihalau mereka diherdik dan dicerca sehingga mereka merasa amat terhina. Apabila sampai sahaja ke pintu neraka pintu dibuka dan penjaga neraka berkata; "Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?" Mereka pun menjawab; "Bahkan!'.

Terdapat 7 pintu neraka; Sebelum mereka sampai; pintu2 neraka ini sentiasa tertutup ibarat penjara yang tidak mahu banduan melarikan diri. Sebaik sahaja mereka tiba di pintu dibukakanlah pintu neraka tersebut dan ahli2 rombongan tadipun dihumban ke dalam neraka dengan kasar seperti dalam ayat 13 surah at-Tur [52];

"Pada hari mereka ditolak ke dalam neraka Jahanam dengan penolakan yang sekasar-kasarnya, (at-Tur [52] : 13)


(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: Masukilah pintu-pintu Neraka Jahanam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah Neraka Jahanam. (72)

Dikatakanlah kepada mereka; masuklah kamu semuanya menerusi pintu-pintu neraka jahannam itu untuk menjalankan hukuman siksa yang keras, dan tinggallah kamu di sana selama-lamanya. Inilah seburuk-buruk tempat tinggalbagi kamu, disebabkan kamu telah menyombongkan diri di dunia dengan berlagak sombong terhadap Allah, enggan mempercayai kekuasaab allah dan ingkar terhadap suruhan dan larangan Allah.


Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk). (73)


Orang2 yang bertakwa dipandu ke ke syurga juga berombongan sekumpulan demi kumpulan. Rombongan pertama ialah golongan muqarrabin, kemudian para abrar, seterusnya yang kurang sedikat darjatnya. Masing-masing dalam kumpulan di kalangan darjat yang sama misalnya nabi2 bersama para nabi, siddiqqin bersama para siddiqqin ; begitulah sterusnya. Mereka dipandu ke syurga penuh kehormatan dan keredhaan Allah swt bagaikan rombonga para tetamu raja daripada golongan bangsawan; Sudah tentulah berbeza dengan golongan kafir, musyrik dan yang berbuat maksiat tadi.


Apabila mereka sampai ke syurga; mereka dipersilakan masuk oleh pengawal2 syurga dengan ucapan: "Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya. Orang2 bertakwapun masuk dan mendapat kenikmatan yang tak pernah dirasa.

Serta mereka berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal. (74) Dan (pada hari itu) engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy dengan bertasbih memuji Tuhan mereka, serta mereka dihakimi dengan adil dan (masing-masing bersyukur akan keputusan itu dengan) mengucapkan: Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam! (75)


Sebaik sahaja mereka (orang muslimin, mukminin bertakwa ini) masuk ke syurga merekapun mengucapkan pujian dan syukur kepada Allah swt yang memberikan kenikmatan dan kesenangan di syurga. mereka berkata; "Segala puji bagi Allah yang telah benar janjiNya kepada kami menerusi ucapan para rasul menepati doa seperti dalam ayat 194 surah ali-Imran ;

"Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji. (ali-Imran [3] : 194) 

Demikianlah Allah mempertakuti hamba-hambaNya dengan azab api neraka, bagi mencegah mereka supaya jangan sampai melakukan maksiat yang mendatangkan dosa. 


Begitu juga Allah memberi khabar gembira menjanjikan kenikmatan di syurga agar bersedia dengan amalan baik.

No comments: