Monday, December 7, 2009

Suasana Alam akhirat (36) - Surah Luqman

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita memuji dan memuja Allah SWT atas segala limpahan kurniaNya yang begitu banyak memberikan kita kenikmatan sehingga tidak mampu kita menghitungnya. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasul tercinta, Muhammad SAW serta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini ditulis tentang suasana pada hari akhirat dalam surah Luqman iaitu surah ke 31 dalam al-Quran Al-Karim.

"Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu; kepada Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada". (23)

Dalam ayat 23 ini Allah menggembirakan Nabi Muhammad saw dengan menjanjikan; "Janganlah engkau wahai Muhammad, berdukacita jika ada sesiapa yang telah kufur lantaran mengingkari Allah dan mendustakan syari'at yang telah engkau bawa; kerana Allah berkuasa untuk berbuat sesuatu kepada mereka iaitu dengan mengembalikan mereka kepada Allah pada hari kiamat; lalu memberitahukan kepada mereka akan amalan yang dibuat semasa berada di dunia sehingga mereka tidak dapat menafikannya. Kemudian Allah akan menghukum mereka dengan mengenakan siksaan yang besar terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala rahsia yang tersimpan dalam hati manusia, sedikitpun tidak ada yang dapat disembunyikan daripada pengetahuanNya. Semuanya akan diberi balasan yang sewajarnya.

"Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka (dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat". (24)

Allah hanya akan memberikan kesenangan yang sedikit sahaja di dunia kepada orang2 yang kifur itu. Ini bermakna Allah menangguhkan hukuman kepada mereka buat sementara waktu, agar mereka boleh menikmati kesenangan, kemewahan dan mengejar kelazatan dunia yang pada akhirnya Allah akan memaksa mereka menerima siksaan yang berat sebagai balasan atas kejahatan yang mereka lakukan semasa di dunia.

Ayat ini samalah dengan ayat 69 dan 70 daripada surah Yunus surah ke 10 yang bermaksud : "Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya. (69) (Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan". (70)

Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya daripada azab dosanya dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya daripada azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu sekali-kali diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah. (33)

Setelah Allah mengemukakan dalil ke EsaanNya dengan memberikan pelbagai contoh, diseruNya pula manusia supaya bertakwa kepadaNya dan takutlah akan hari akhirat. Pada hari itu Allah akan mengadakan pengadilan untuk menghukum hamba2Nya. Peringatan ini ditujukan kepada semua manusia, agar takut kepada kemurkaan Allah dan jangan sampai ditimpa kemurkaanNya kerana pada hari kiamat nanti tiada siapapun dapat menolong orang lain semasa dikenakan hukuman atau siksaan. Bapa tak dapat menolong anaknya; begitu juga anak tak dapat menolong bapanya; kerana urusan menghukum itu di tangan Allah; tidak berguna di sisi Allah apa jua jenis pertolongan yang biasa diberikan semasa di dunia. Hanya satu sahaja yang dapat menolong iaitu amalan salih yang telah dipersembahkan semasa berada di dunia dahulu.

Allah menguatkan suruhanNya dengan menyebutkan Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Kedatangan hari kiamat atau hari akhirat itu benar kerana Allah yang menjanjikannya, tidak sekali2 dimungkiri. Selain itu Allah mengingatkan dupaya berhati2 jangan sampai terpedaya oleh dua perkara iaitu:

1. فَلَا تَغُرَّنَّڪُمُ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا
"Maka jangan sekali-kali diperdayakan oleh kehidupan dunia".
Yakni kemewahan dan kelazatan dunia dengan perhiasannya, menyebabkan ramai yang tertarik dan berebut2 untuk mendapatkannya. Janganlah kamu tertipu olehnya; apabila tertipu olehnya maka akan khayal sehingga terlupa mencari dan menyediakan bekalan dan persiapan untuk melepaskan diri daripada siksaan Allah iaitu bekalan berupa amalan salih.

2. وَلَا يَغُرَّنَّڪُم بِٱللَّهِ ٱلۡغَرُورُ
"dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah".

Kerja syaitan adalah memujuk manusia dengan tipu daya supaya manusia berbuat maksiat. Syaitan pandai menggunakan kata2 yang manis membujuk dibisikkan ke hati pada hala isinya racun yang berbisa. Syaitan selalu berkata "Buatlah maksiat kemudian kamu boleh bertaubat selepas itu". Apabila berbuat maksiat syaitan terus lagi memujuk lalu kamu melupakan adanya hari akhirat sehingga tidak sempat lagi menyediakan bekalan, maka kamu lebih banyak membawa dosa daripada pahala.

No comments: