Thursday, February 4, 2010

Suasana Alam Akhirat (45)- Surah As-Syura (Musyawwarah) - Sambungan


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Kali ini sambung tulis tentang suasana pada hari akhirat dalam surah As-Syura iaitu surah ke 42 dalam al-Quran Al-Karim.

"Dan sesiapa yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak ada baginya sesudah itu sesiapapun yang dapat menolongnya dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada hari kiamat) berkata: Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?" (44)


Allah menerangkan bahawa orang-orang yang yang dibiarkan sesat oleh Allah tidak akan mendapat petunjuk. Tiada siapa yang boleh menolong kecuali Allah; dan mereka yang zalim ini akan disiksa pada hati kiamat dengan siksaan yang pedih; dan nanti pada hari kiamat mereka ini akan bertanya: Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?". Orang-orang ini akan kecewa kerana persediaan diri mereka yang buruk semasa berada di dunia. Mereka melibatkan diri dengan dosa dan maksiat. Oleh itu tiadalah mereka mendapat hidayah. Itulah yang dikatakan mereka dibiarkan tersesat. Ayat yang sama maksudnya lihat ayat 17 surah al-Kahfi: Sesiapa yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai kebahagiaan dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya. (al-Kahf [18] : 17).

Seterusnya Allah menyebutkan betapa ingin orang-orang yang kufur ini jika mereka dapat kembali ke dunia kerana mereka tidak tahan menanggung siksaan yang pedih. Keadaan ini juga Allah ceritakan dalam surah al-An'am ayat 27 dan 28:"Dan sungguh ngeri jika engkau melihat ketika mereka didirikan di tepi Neraka (untuk menyaksikan azabnya yang tidak terperi), lalu mereka berkata: Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami dan menjadilah kami daripada golongan yang beriman. (27) (Mereka mengatakan yang demikian bukanlah kerana hendak beriman) bahkan setelah nyata kepada mereka apa yang mereka selalu sembunyikan dahulu dan kalau mereka dikembalikan ke dunia sekalipun, tentulah mereka akan mengulangi lagi apa yang mereka dilarang dari melakukannya dan sesungguhnya mereka adalah tetap pendusta. (al-An'am [6] ayat 27 dan28)


"Dan engkau juga akan melihat mereka didedahkan kepada Neraka dalam keadaan tunduk membisu dengan sebab kehinaan (yang mereka rasai) sambil memandang (ke Neraka itu) hanya dengan mengerling (kerana gerun takut) dan orang-orang yang beriman pula berkata: Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah mereka yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab mereka memilih perbuatan derhaka di dunia). Ingatlah! Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal". (45)

Allah mengambarkan keadaan orang-orang yang berbuat zalim lantaran memilih kesesatan apabila mereka dibawa ke neraka dan dipalingkan muka mereka ke arah neraka bagi melihat keadaan api yang menyala-nyala. Apa yang dapat mereka lakukan hanyalah tunduk membisu dalam keadaan yang amat hina dan malu serta menginsafi apa yang telah mereka lakukan semasa di dunia. Hanya sesekali mereka mengerling untuk melihat keadaan api neraka kerana mereka merasa gerun dan takut.


Orang-orang yang beriman pula akan menempelak orang-orang yang zalim kerana memilih kesesatan: sesungguhnya mereka adalah daripada kalangan orang-orang yang rugi kerana mereka membiarkan diri mereka serta keluarga mereka serta orang-orang yang dipimpin oleh mereka berada dalam kesesatan. Mereka akan disiksa kerana Allah berfirman;
Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab seksa yang kekal (lama) dan tidak ada jalan untuk membebaskan diri lagi.

"Dan tiadalah bagi mereka sebarang penolong yang lain daripada Allah yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (disebabkan pilihannya yang salah) maka tidak ada baginya sebarang jalan (untuk mendapat hidayat petunjuk)". (46)

Kecewalah mereka kerana tidak ada siapapun yang boleh menolong mereka. Orang-orang yang sesat lantaran mereka memilih jalan yang salah tidak akan mendapat kebenaran baik semasa berada di dunia dan pada hari akhirat mereka akan disiksa.


Sahut dan sambutlah seruan Tuhan kamu (yang mengajak kamu beriman), sebelum datangnya dari Allah hari yang tidak dapat ditolak; pada hari itu tidak ada bagi kamu tempat berlindung (dari azabNya) dan tidak ada pula bagi kamu sebarang alasan untuk menafikan (kesalahan yang kamu telah lakukan). (47)

Allah mengingatkan supaya beriman sebelum datangnya hari akhirat yang menggemparkan dan tak dapat ditolak kehadirannya . Bagi yang tidak beriman; pada hari itu tiada siapa yang dapat menolong dan tiada tempat berlindung daripada azabnya. Pada hari itu tiada dapat menyorok segala perbuatan kerana telah ada kitab catatan dan ada pula saksi-saksi sehingga tidak dapat mencari alasan untuk menafikan segala dosa yang telah dilakukan. Ayat ini sama seperti dalam ayat 10 hingga 15 surah al-Qiyamah:

(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri? (10) Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! (11) Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. (12) Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan. (13) Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, (14) Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri). (15)[Al-Qiyamah 10 hingga 15]

No comments: